Skip to main content

PENGAMPUNAN NAJIB

 

Beberapa tahun lepas mungkin dalam tahun 2017 beberapa banduan Al-Maunah telah meminta khidmat untuk membuat petisyen pengampunan bagi pihak mereka. Pada waktu itu, tiada apa-apa precedent (duluan) yang boleh dirujuk. Pada ketika ada juga percubaan untuk meminta bantuan daripada kawan-kawan yang banyak membuat kes jenayah namun mereka juga tiada pengalaman dalam membuat petisyen berkenaan. Malangnya tiada sesiapa di antara kenalan yang dapat memberikan bantuan. 


Akhirnya dalam keadaan meraba-raba itu kita terpaksa membuat kajian dan penyelidikan sendiri mengenai undang-undang yang terpakai. Pastinya undang-undang yang utama adalah Perlembagaan Persekutuan sendiri iaitu Perkara 42. 


Perkara 42 itu memberikan kuasa kepada YDPA dan Sultan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah mengikut di mana ianya dibicarakan. Jika kesalahan itu dibicarakan di Wilayah Persekutuan maka petisyen pengampunan itu akan dibuat kepada YDPA. Begitulah juga sekiranya kesalahan itu dibicarakan di Perak maka petisyen perlu dikemukakan di negeri Perak dan begitulah seterusnya.


Kuasa pengampunan oleh YDPA atau Sultan itu perlu dinasihatkan oleh Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi tujuan itu. Namun, Lembaga Pengampunan itu hanya bersifat menasihat sahaja dan YDPA atau Sultan tidak terikat dengan nasihat tersebut. Dalam kata lain, kuasa untuk mengampun itu adalah kuasa mutlak YDPA atau Sultan itu sendiri. Mesyuarat juga tidak dapat dibuat tanpa kehadiran YDPA atau Sultan berkenaan. 


Manakala BHEUU (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri adalah urusetia yang menyusun dan mengaturkan segala suratcara atau petisyen bagi banduan berkenaan. Namun, tarikh penentuan mesyuarat Lembaga Pengampunan itu sendiri adalah ditetapkan oleh YDPA atau Sultan berkenaan. 


Sehingga kini tiada lagi digubal satu peraturan khusus berkaitan proses pengampunan ini sehinggakan dalam dokumen Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan 2018 (National Human RIghts Action Plan 2018) telah dimasukkan satu keutamaan yang perlu dibuat adalah untuk mengemaskini semua SOP berkaitan pengampunan ini. Pada masa itu masalah yang kritikal adalah kerana beberapa orang banduan akhir yang tidak dapat digantung disebabkan tiada keputusan daripada Lembaga Pengampunan terhadap petisyen mereka. Pada ketika itu ada negeri yang mana Lembaga Pengampunan mereka tidak bersidang sehingga beberapa tahun menyebabkan petisyen pengampunan tidak dapat diputuskan. Hak untuk mengemukakan petisyen pengampunan ini adalah hak setiap banduan selepas segala proses perundangan berakhir. Lembaga Pengampunan berkuasa untuk mengurangkan hukuman mati ke atas banduan akhir kepada hukuman penjara. 


Dalam kes banduan Al-Maunah itu mereka telah dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat. Hukuman penjara sepanjang hayat bermakna mereka tidak akan keluar daripada penjara sehingga hayat mereka berakhir. Maksudnya mereka akan mati dalam penjara dan setelah itu hanya mayat mereka sahaja yang dibenarkan keluar untuk dikebumikan. Ini berbeza dengan penjara seumur hidup yang mempunyai tempoh sehingga maksima penjara selama 30 tahun. Ini bermakna jika ditolak diskaun 30% mereka boleh keluar penjara lebih awal mungkin dalam tempoh 20 tahun. Banduan Al-Maunah ini telah dipenjara semenjak tahun 2000 lagi. 


Peraturan 113 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 pula menyatakan bahawa seseorang banduan boleh mengemukakan petisyen pengampunan selepas sabitan dibuat dan petisyen kedua hanya boleh dikemukakan oleh banduan yang sama hanya selepas berlalunya tempoh tiga tahun dari tarikh sabitan itu. Selepas itu, petisyen hanya boleh dikemukakan setiap dua tahun sekali. Peraturan 113 juga menyatakan bahawa jika banduan itu tidak menerima apa-apa jawapan mengenai petisyen yang terdahulu maka banduan itu tidak boleh mengemukakan petisyen yang baru.


Berkaitan petisyen Dato’ Sri Najib ini kita dapat melihat aplikasi perundangan berkaitan cara ianya dibuat. Apa yang kita tahu bahawa petisyen Najib ini telah dikemukakan seawal keputusan kes dibuat oleh Mahkamah Persekutuan. Tindakan ini telah mematuhi Peraturan 113. Namun, petisyen ini hanya diputuskan oleh YDPA di saat akhir sebelum YDPA bersara. Ini menunjukkan bahawa sesuatu petisyen pengampunan itu tidak ada had masa tertentu untuk diputuskan setelah ianya dikemukakan. 


Najib sebenarnya agak bertuah kerana YDPA mengambil tanggungjawab untuk membuat keputusan petisyen itu sebelum beliau menamatkan tugasan sebagai YDPA dan tidak membiarkan petisyen itu tergantung. Apakah sebabnya YDPA membuat keputusan di saat akhir tidaklah kita ketahui. Kemungkinan YDPA tahu bahawa keputusan yang dibuatnya kelak itu pasti akan menimbulkan polemik dalam masyarakat dan oleh itu baginda membuat keputusan di saat akhir supaya jika timbul pun polemik ianya tidak lagi meletakkan baginda dalam keadaan serba-salah.


Perkara lain yang dapat dilihat adalah bahawa keputusan YDPA ini adalah keputusan mutlak oleh YDPA sendiri tanpa campurtangan pihak eksekutif iaitu Perdana Menteri sendiri. Sekurang-kurangnya itulah yang kita lihat dan termaktub dalam undang-undang. Kita tidak pasti sama ada di sebalik itu YDPA ada meminta apa-apa pandangan daripada Perdana Menteri. Ini kerana Perdana Menteri bukanlah korum yang ada dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan. 


Seterusnya, Lembaga Pengampunan itu sendiri tidak mempunyai obligasi untuk memberitahu alasan atas penolakan sesuatu pengampunan yang dibuat kepada banduan apatah lagi untuk memberitahu kepada orang ramai. Dalam kes Najib ini, Lembaga Pengampunan telah membuat satu siaran media dan ini adalah satu tindakan yang di luar kebiasaan. Mungkin kerana kes ini adalah satu kes berkepentingan awam dan maka Lembaga Pengampunan berasa wajar satu siaran media dikeluarkan. Ini juga menjawab persoalan mengapa siaran media ini agak lewat dikeluarkan iaitu kerana siaran media ini juga adalah satu tindakan yang bukan kelaziman Lembaga Pengampunan.


Sewaktu petisyen banduan Al-Maunah dahulu ditolak, kami para peguam tidak langsung diberitahu mengenai penolakan itu. Kami tertanya-tanya bilakah petisyen itu akan diputuskan dan akhirnya pada suatu hari kami mendapat jawapan secara lisan daripada salah seorang pegawai tinggi penjara bahawa petisyen itu telah ditolak oleh YDPA pada masa itu (Sultan Abdul Halim) kerana YDPA pada masa itu merasakan bahawa banduan Al-Maunah ini adalah terlibat dengan kesalahan yang berbentuk terorisme. Mungkin YDPA pada ketika itu memikirkan bahawa sekiranya banduan Al-Maunah itu dibebaskan maka ianya akan menghantar signal yang tidak elok kepada masyarakat mengenai terorisme disebabkan pada masa itu pihak ISIS masih lagi sangat berpengaruh. Namun, akhirnya banduan Al-Maunah ini akhirnya mendapat pengampunan pada tahun 2019 dan dibebaskan pada tahun 2020. Ini ada dicatatkan oleh Tommy Thomas dalam bukunya, My Story: Justice in the Wilderness. Tommy menulis, ‘At the Board Meeting for the Federal Territories held in September 2019, His Majesty, The Yang di-Pertuan Agong agreed with my recommendation that all of them should be released at a time of the Agong’s choosing. The thirteen convicts were released on Merdeka Day in 2020.’ (halaman 335).


Secara umumnya dalam setiap petisyen pengampunan seseorang banduan itu perlu mendapat sokongan daripada pihak penjara dan pihak Peguam Negara. Sekiranya petisyen itu tidak disokong maka hampir pasti YDPA atau Sultan akan menolak petisyen tersebut. 


Isu lain dalam pengampunan Najib yang membuat orang tertanya-tanya adalah berkaitan diskaun hukuman yang diberikan iaitu 50% ke atas hukuman penjara dan denda yang dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta sahaja. Seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa YDPA berkuasa untuk memberikan pengampunan, tunda hukum atau lega hukum (pardons, reprieves and respites). 


Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim vs Mohd Khairul Azam Abdul Aziz [2023] 3 MLRA 149 Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa kuasa pengampunan ini hanya boleh diputuskan oleh YDPA secara sendirian (personally) dan oleh itu kuasa YDPA itu tidak boleh dipertikaikan (not justiciable) di mana-mana Mahkamah. Dalam kes Juraimi Husin vs Pardons Board of State of Pahang [2002] 2 MLRA 121, Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa kuasa pengampunan ini adalah termasuk dalam kuasa prerogatif Sultan Pahang (prerogative of mercy) dan keputusan Lembaga Pengampunan itu tidak boleh dipertikaikan di mana-mana Mahkamah. Oleh itu, jelas bahawa YDPA itu mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan penuh atau mengurangkan hukuman dan kuasa ini tidak boleh dipertikaikan.


Persoalannya kenapakah YDPA memberikan diskaun hukuman penjara 50% dan pengurangan hukuman denda tersebut. Sebab sebenar mengapa YDPA itu memberikan diskaun hukuman penjara tidaklah kita ketahui. Mungkin suatu masa nanti YDPA sendiri akan memberitahu kita mengapakah beliau memberikan pengurangan tersebut sebagaimana baginda menyatakan dalam satu temubual mengapakah beliau mencadangkan wujudnya kerajaan perpaduan selepas PRU 15 dan bagaimana Tan Sri Mahiaddin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri menolak bulat-bulat saranan baginda itu. 


Mungkin juga pertimbangan YDPA pada ketika itu memikirkan bahawa Najib itu mempunyai jasa tertentu kepada negara sehingga mewajarkan pengurangan hukuman tersebut. Sehingga kini, jawatan Najib sebagai salah seorang daripada pembesar empat negeri Pahang masih lagi tidak dilucutkan dan ini menunjukkan bahawa YDPA masih mempunyai pertimbangan khusus terhadap Najib.


Begitu juga berkaitan pengurangan hukuman denda kepada RM50 juta itu mungkin mengambil kira bahawa pertuduhan dalam kes SRC hanya melibatkan wang sebanyak RM42 juta dan sabitan di bawah Seksyen 24 Akta SPRM menghendaki bahawa hukuman denda hendaklah tidak kurang daripada lima kali ganda daripada jumlah yang dituduh dan sebab itulah Hakim Nazlan telah memberikan hukuman denda tidak kurang daripada RM210 juta. Mungkin YDPA melihat jumlah RM50 juta itu sendiri adalah satu jumlah yang cukup besar dan memadai dengan pertuduhan asal kes sebanyak RM42 juta. 


Berkaitan isu kenapakah Anwar mendapat pengampunan penuh dan kenapakah Najib tidak mendapat pengampuan penuh. Barang harus diingat bahawa Anwar mendapat pengampunan pada 16 Mei 2018 iaitu selepas disabitkan bersalah selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar pada 10 Februari 2015 dan mengekalkan hukuman penjara selama 5 tahun. Ini bermakna Anwar sudah menjalani hukuman lebih 3 tahun. Selain itu, Najib juga masih lagi dalam proses perbicaraan dalam kes 1MDB. Mungkin inilah pertimbangan YDPA dalam mengurangkan hukuman Najib tersebut dan tidak memberikan pengampunan penuh. 


Apa pun, kita hendaklah menghormati peruntukan Perlembagaan bahawa kuasa pengampunan ini diberikan kepada YDPA. YDPA telah menjalankan fungsinya dalam proses pengampunan itu dan kita seharusnya tidak mempertikaikannya.


Semalam, UMNO juga telah akur dengan keputusan YDPA ini dan akan menggerakkan petisyen awam sebagai sokongan kepada pengampunan bagi mengemukakan petisyen yang baharu kepada YDPA baharu. Namun, sekiranya Peraturan 113 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 itu dipatuhi maka petisyen baharu Najib hanya boleh dibuat selepas berlalunya tempoh 3 tahun lagi. Jadi nampaknya agak mustahil Lembaga Pengampunan akan bersidang kembali dalam waktu terdekat untuk memutuskan petisyen baharu daripada Najib. 


Dr Zulqarnain Lukman

4 Februari 2024

23 Rejab 1445


Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor