Skip to main content

Ramadhan Dan Peguam




Salam Aidilfitri untuk semua. Tatkala coretan ini dilakarkan, Ramadhan 1433H hanya tinggal sehari lagi. Ramadhan akan datang belum pasti lagi berjaya ditempuhi.

Ramadhan adalah bulan paling diberkati di dalam agama Islam. Bulan yang penuh rahmah dan muhasabah kepada penganutnya. Di Malaysia, Per. 11(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak umat Islam untuk menganut dan beramal dengan ajaran Islam tanpa ada gangguan daripada kerajaan mahupun penganut agama lain. Oleh itu, dengan jaminan perundangan yang ada, umat Islam di Malaysia dapat beramal ibadat dan melaksanakan rukun Islam ketiga ini dengan sempurna.

Bagi seorang peguam khususnya yang bekerja sendiri, pasti bulan Ramadhan adalah bulan penuh cabaran dan dugaan. Ramadhan kali ini dirasa sangat mencabar bila mana tahap KPI (Key Performance Index) dilaksanakan. Kalau dahulu, sesuatu kes memakan masa 4-5 tahun untuk dihabiskan, kini kes perlu dihabiskan dalam tempoh 9 bulan. Lazimnya, para hakim akan cuba selesaikan satu-satu kes dalam masa 6 bulan.

Ini bermakna, Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang sibuk kerana ada tugasan guaman yang menunggu. Banyak kali juga solat tarawih berjamaah terpaksa dikorbankan demi menyiapkan hujahan. Ruang masa untuk beribadat secara khusus juga semakin sempit sebab kadangkala terpaksa tidur jam 2 pagi sedangkan waktu itu orang lain baru bangun untuk bertahajud dan bersolat malam.

Selain itu, Ramadhan kali ini juga menginsafkan diri bahawa sebenarnya kerjaya sebagai peguam ini penuh dengan masa 'melantak' makanan (suatu istilah untuk menunjukkan makan untuk keseronokan atau eating for pleasure). Waktu sampai di Mahkamah, kalau masa masih awal tentu kafeteria menjadi tempat tuju. Setelah selesai kes, jika bertemu rakan sekali lagi akan pergi melepak dan menjamu selera. Kembali ke pejabat, rasa nak makan tengahari pula. Setelah menyiapkan kertas kausa Mahkamah, pasti rasa nak mengeteh (tea time). Sebelum pulang jam 6.30 petang, rakan pejabat pasti akan mengajak makan maggi goreng atau sandwich tuna. Sampai di rumah, kena makan malam dengan famili pula! Kalau kena berjumpa klien di malam hari atau menyiapkan tugasan lain pasti akan disusuli dengan 'supper' yang enak.

Jadi, kedatangan Ramadhan ini memberikan peluang kepada perut untuk berehat dengan syarat tidak pula digantikan dengan segala macam buffet Ramadhan. Kali ini, sedaya upaya cuba dihayati pola pemakanan Rasulullah saw sewaktu berbuka iaitu berbuka dengan hidangan kurma kering dan susu lembu sahaja tanpa ada biryani, murtabak, popia, tepung pelita dan lain-lain. Hasilnya, badan terasa ringan, perut makin kempis dan terbukti, 5 kilogram berat badan sudah hilang. Segala bisa badan dan sakit sinus tiba-tiba hilang begitu sahaja. Setelah menelaah buku kesihatan, ternyata puasa ini turut diamalkan oleh pelbagai penganut agama lain dan golongan yang pentingkan kecantikan kerana puasa berfungsi sebagai agen detoksifikasi dan pembersihan perut.

Ramadhan ini juga memberikan keinsafan dan membina jiwa untuk menjadi golongan yang lebih baik. Tidak guna berpuasa jika hati dan jiwa masih penuh dengan sifat dengki, penipu, tamak, rasuah dan dendam.  Sifat-sifat buruk sebegitu amat dekat dengan kerjaya peguam. Ada yang menawarkan rasuah kepada pegawai syarikat atau bank semata-mata untuk meraih fail daripada mereka. Ada yang menipu rakan peguam yang lain atau mahkamah sewaktu perbicaraan dengan menyembunyikan bukti yang dilihat tidak berpihak kepadanya. Ada yang menfitnah peguam lain supaya klien memandang serong kepada peguam itu. Ada peguam yang tidak amanah kepada wang pemegang pertaruhan (stakeholder). Ada yang menipu klien dalam hal conveyancing yang belum diselesaikan.

Oleh itu, madrasah Ramadhan (school of Ramadhan) diibaratkan sebagai sebuah sekolah yang mengajar umat Islam menjadi lebih baik dan bertambah taqwa (piousness)dan sewajarnya mampu untuk menjadikan seorang peguam Muslim untuk menjadi peguam yang lebih baik.

Kesimpulannya, Ramadhan ini mengajar kita untuk:
1. Menguruskan masa dengan lebih baik supaya ada peruntukan masa untuk famili dan amal ibadat.

2. Mengawal nafsu makan supaya kesihatan lebih terjaga kerana sakit adalah musuh utama dalam kerjaya guaman.

3. Peguam perlu lebih kreatif dalam kerjaya supaya kerja guaman menjadi lebih ringan, berbaloi dan berjaya.

4. Peguam perlu bersihkan jiwa dan nurani daripada segala sifat terkeji seperti tidak  amanah, tipu, dusta, tamak, dendam, rasuah dan fitnah untuk menjadi peguam yang berjaya di dunia dan akhirat.

Semoga Syawal yang bakal tiba akan menceriakan hidup kita dan semoga kita menjadi peguam yang lebih baik.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor