Skip to main content

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000. 

 2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut

Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

3.    Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji (Kitab Fikah Mazhab Syafie) Jilid 4, 2002, Pustaka Salam, Kuala Lumpur, hlm 648, menjelaskan berkaitan pengiraan kadar mutaah seperti berikut:

Jika mereka bersetuju dengan kadar harta yang tertentu, sama ada sedikit atau banyak, kadar itulah yang diterima oleh isteri. Mut’ah itu sah berdasarkan apa yang dipersetujui.

Jika mereka berselisih pendapat dalam menentukan kadarnya, qadi (hakim) berhak menentukannya berdasarkan keadaan mereka berdua; susah senang suami, dan keturunan isteri dan sifat-sifatnya….”

4.      Hal yang sama disebut di dalam Kitab I’anat Al-Talibin, Jilid 4, Darul Salam, tanpa tarikh, hlm. 2403 – 2404,

“Jika mereka berdua (suami isteri) bertelagah (iaitu tiada persetujuan berkaitan kadar mutaah) maka qadi/hakim akan membuat penentuan kadar mutaah berdasarkan hal ehwal keadaan kedua-dua pasangan suami isteri itu dari segi kesenangan dan kesusahan suami, keturunan dan sifat-sifat isteri”.

5.      Kitab Al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syujak, Juz 2, tanpa tarikh, Darul Kutub Ilmiah, Beirut, hlm. 271 – 272 menyatakan,

“Jika antara suami isteri berbeza pendapat mengenai banyaknya mut’ah, maka banyaknya mut’ah ditentukan oleh hakim. Tentunya menurut kebijaksanaan hakim yang mana kebijaksanaan tersebut disesuaikan dengan persekitaran serta disesuaikan dengan keadaan keduanya iaitu, kaya atau miskinnya suami, dengan nasab atau sifat isteri.

6.       Oleh itu, berdasarnya hukum fiqh, kadar mutaah dalam mana tiada persetujuan antara kedua pihak suami dan isteri, hakim akan membuat penentuan berdasarkan, keadaan kedua-duanya iaitu susah senang suami dari segi kemampuan ekonominya dan nasab serta sifat si isteri.

7.       Justeru, pelbagai formula dibuat bagi penetapan kadar mutaah. Ada yang mengatakan penetapan kadar mutaah itu boleh dibuat dengan kaedah menetapkan kadar sehari atau sebulan seperti mana menetapkan kadar nafkah harian dan kemudiannya kadar itu didarabkan dengan jumlah tahun perkahwinan. Ada yang membuat penetapan berdasarkan harta yang dimiliki suami. Ada juga yang mengasaskan pengiraan berdasarkan pengorbanan isteri kepada suaminya. Keputusan kes-kes duluan juga tidak membantu kerana hakim-hakim telah membuat keputusan yang berbeza-beza antara satu kes dengan kes yang lain. Namun, setelah meneliti beberapa kes-kes duluan, saya berpendapat kedua-dua kes ini boleh memberikan sedikit panduan untuk menetapkan kadar mutaah. 

8.      Dalam kes Suraiya bt M. Shafie lwn Abd Shukor Bin Mohd Hashim Feb 2009 JH Jld 27 Bhg II, hlm. 331Hakim MTS Seremban telah membuat penelitian terhadap cara pengiraan kadar mutaah iaitu, pertama, atas dasar melihat kepada kedudukan pihak-pihak iaitu status kewangan suami dan taraf kehidupan isteri; dan keduanya, atas dasar kemampuan suami, kedudukan isteri dan pengorbanan sepanjang perkahwinan [lihat para h, hlm. 349].

9.      Hakim Bicara juga menolak beberapa asas lain yang pernah digunakan iaitu pertamanya, meletakkan kadar mutaah sama seperti nafkah iaitu keperluan harian; keduanya, kadar mutaah adalah lebih rendah dari kadar nafkah; ketiganya, mengambil tempoh perkahwinan iaitu dengan kiraan jumlah wang  didarab dengan tempoh perkahwinan; keempatnya; penetapan kadar mutaah berdasar kepada kiraan jumlah harta terkumpul; kelimanya, pengiraan kadar mutaah berdasarkan pendapatan tahunan suami [lihat hlm. 346 – 349 dan tarjih pendapat di para h, hlm 349].

10.      Seterusnya dalam kes berkenaan Hakim Bicara telah memutuskan jumlah mutaah yang perlu dibayar adalah RM70,000 dibuat secara ansuran selama 7 bulan padahal plaintif telah menuntut mutaah sebanyak RM500,000. Dalam kes ini, hakim membuat penilaian kemampuan suaminya pendapatan kasar yang diperolehi defendan semasa bercerai adalah antara RM79,776.34 dan RM110,287-79 sebulan. Kenyataan ini disokong oleh akauntan bertauliah tempat pasangan bertugas. Dan setelah tolakan dibuat, pendapatan defendan masih mencecah angka RM50,000 sebulan.

11.      Manakala, plaintif pula mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat sebagai seorang doktor pakar. Plaintif mempunyai latar belakang keluarga yang sederhana dan pada hakikatnya kedudukan plaintif lebih tinggi daripada keluarganya. Plaintif juga telah memberikan sumbangan dan pengorbanan dalam kerjaya defendan untuk mencapai kelayakan sebagai doktor pakar. Dan hakim juga memandang kepada perceraian plaintif ini akan memberikan kesan besar dan aib kepada plaintif di tempat kerja.

12.        Dalam kes Rooseliwati Binti Hussein lwn Syed Farouk Azlan Bin Syed Abdul Aziz, Feb 2013 JH 36 Bhg 1 hlm 100, Hakim MTS Kuala Lumpur telah membuat penetapan garis panduan jumlah mutaah berdasarkan kepada pendapatan suami seperti berikut:

Jenis
Pendapatan Suami
Mutaah yang diberi
Susah
Bawah RM1,000
RM500 – RM1,000
Sederhana
RM1,000 – RM3,000
RM1,000 – RM3,000
Kaya
RM3,000 – RM10,000
RM3,000 – RM5,000
Mewah
Lebih RM10,000 dan ke atas
Lebih RM5,000 dan ke atas

13.       Selanjutnya Hakim Bicara menyatakan bahawa setelah mengambil kira faktor plaintif telah mengorbankan pekerjaannya untuk taat kepada defendan dan menjadi suri rumah sepenuh masa, dan fakta plaintif telah melahirkan 4 orang anak sepanjang tempoh perkahwinan selama 18 tahun. Seterusnya, fakta kesabaran plaintif untuk berada di sisi defendan dari mula defendan berpendapatan RM3000 sehingga defendan menjawat jawatan dengan gaji RM20,000 maka Mahkamah menyatakan kadar mutaah yang wajar adalah sebanyak RM20,000 dibayar secara ansuran 4 bulan.

14.        Kesimpulannya, penentuan kadar mutaah yang mengikut Hukum Syarak seperti yang dijelaskan di atas adalah 'berdasarkan hal ehwal keadaan kedua-dua pasangan suami isteri itu dari segi kesenangan dan kesusahan suami, keturunan dan sifat-sifat isteri'. 

15.       Si isteri perlu membuktikan kesenangan suami iaitu pendapatannya semasa bercerai. Pembuktian ini boleh dibuat melalui saksi seperti memanggil kerani akaun atau melalui slip gaji suami atau melalui penentuan oleh seorang akauntan yang pernah memeriksa akaun suami. Keduanya, si isteri perlu membuktikan bahawa beliau berketurunan orang atasan atau bangsawan kerana hikmah mutaah ini adalah untuk menutup aib tatkala diceraikan suami tanpa sebab yang patut. Si isteri juga perlu membuktikan sifat-sifat lain seperti kedudukannya dalam masyarakat, tahap pelajaran dan sumbangannya dalam membantu menaikkan kerjaya suaminya.

16.        Faktor-faktor lain seperti suami tidak mengabaikan perkahwinan, suami berpoya-poya, suami menyusahkan hidup isteri sehingga berlaku perceraian tidak menaikkan kadar mutaah. Namun, faktor-faktor ini perlu ditunjukkan kepada Mahkamah untuk mewajarkan Mahkamah mensabitkan mutaah kerana mutaah itu diberikan atas dasar suami menceraikan isteri tanpa sebab yang patut. Kadang-kala ada kes yang mana perceraian itu disebabkan oleh isteri itu sendiri seperti isteri itu curang dan mempunyai hubungan sulit dengan pihak ketiga maka suami mempunyai alasan yang kukuh untuk menceraikan isteri untuk mengelakkan suami digelar sebagai si dayus. Faktor-faktor lain yang tidak mewajibkan mutaah dibayar adalah kerana kecacatan atau keaiban si isteri seperti isteri tidak mampu untuk membuat hubungan kelamin disebabkan ada ketumbuhan dalam alat sulitnya atau isteri telah murtad.

Wallahualam

Comments

Nor iman said…
Salam DrZ
Saya sebagai penjamin kes khalwat apa yg perlu saya buat sekiranya kedua dua belah pihak tidak hadir dan melarikan diri? Mohon bimbingan DrZ

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua