Skip to main content

Memilih Tempat Beramal - Bagaimanakah ingin berjaya dalam profesion guaman - Siri 5

Salam Sejahtera,

Bagi pelatih dalam kamar yang telah menghabiskan latihan dalam kamar, persoalan ini kerap menghantui fikiran. Di manakah perlu saya beramal? (beramal - ini bukan mengamalkan ajaran sesat. Ianya adalah istilah undang-undang yang merujuk kepada 'practising law'. Apabila sudah dialih bahasa maka istilahnya beramal). Bagi pelatih dalam kamar yang mana bosnya memilih untuk mengambil pelatih tersebut untuk beramal di firmanya mungkin tidak mempunyai kesulitan.

Adalah lazim bagi seorang pelatih dalam kamar untuk kekal di tempat beliau menjalani latihan kerana sudah terbiasa dengan keadaan di firma tersebut. Semua kerani dikenali dan perangai bos pun sudah terlazim. Kadang-kadang tawaran gaji yang diberikan pun adalah lumayan.

Saya sendiri waktu habis latihan dalam kamar dahulu pada tahun 2000 telah diminta oleh bos saya untuk beramal di firma beliau. Pada waktu itu, gaji yang ditawarkan adalah sebanyak RM1000 sebulan. Elaun pelatih dalam kamar pada waktu itu adalah sebanyak RM500 sebulan. Jadi pada saya itu adalah tawaran yang baik kerana gaji yang diterima adalah sekali ganda daripada elaun yang diterima. Selang beberapa bulan, gaji saya dinaikkan lagi menjadi RM1500. Maka ini lebih menggembirakan hati saya.

Tetapi, sebenarnya selain daripada gaji yang diterima, saya memikirkan pada waktu itu peluang yang saya akan perolehi jika berada di firma tersebut. Bos saya pada waktu itu sangat terbuka. Beliau memberikan peluang kepada saya untuk berbuat perkara lain selagi apa yang saya buat itu tidak mengganggu tugasan rasmi saya.

Pada waktu itu, suspek kes Al-Maunah baharu didakwa di Mahkamah. Bos saya juga terlibat secara tidak langsung di dalam pasukan pembela. Kebetulan, antara yang turut sama dalam pasukan pembela adalah Peguam Dato' Zulkifli Nordin dan Zainur Zakaria dan mereka ini adalah geng bos saya. Bos saya telah menghantar saya untuk mewakili beliau membuat kes berkenaan secara pro bono (free of charge). Perbicaraan kes tersebut memakan masa selama setahun. Pada peringkat awal perbicaraan, kes itu dibicarakan setiap hari. Namun, akhirnya dikurangkan kepada 4 hari seminggu iaitu Isnin sehingga Khamis. Maka setiap hari saya ke Mahkamah Tinggi di Bangunan Sultan Abdul Samad berhadapan Dataran Merdeka. Setelah kes habis jam 4.30 petang baharu saya kembali ke pejabat untuk menguruskan perkara-perkara lain. Peluang sebegini saya amat hargai kerana pengalaman yang diperolehi untuk menguruskan kes jenayah sebegitu besar sangat jarang diperolehi. Sewaktu latihan dalam kamar saya langsung tidak didedahkan untuk perbicaraan jenayah melainkan untuk membuat mitigasi kes (memohon untuk mengurangkan hukuman atas pengakuan salah) di bawah program 'dock brief' oleh Pusat Bantuan Guaman, Majlis Peguam. Dalam perbicaraan kes Al-Maunah itu saya berpeluang untuk belajar dengan peguam senior di pihak pendakwa seperti arwah Tan Sri Mokhtar Abdullah (bekas Peguam Negara), Tan Sri Gani Patail, Dato' Yusuf Zainal Abidin, Dato' Salahudin Saidin, Dato' Tun Majid dan lain-lain. Saya juga belajar daripada peguam pembela seperti mendiang Karpal Singh, Kamarul Hisham, Hasnal Radzua Merican, Yusmadi Yusof, Balwant Singh, Zainur Zakaria, Zulkifli Nordin, Zaini Zainol, Zabidi Mohamad, Hj Zainal Ithin, Jamaludin dan lain-lain. Bayangkan saya berpeluang untuk belajar soal-balas secara langsung dengan semua peguam-peguam ternama ini. Pengalaman ini telah mengkayakan skil dan kemahiran saya yang mana sehingga sekarang saya masih berupaya untuk menggilap skil soal balas (cross-examination) samada dalam litigasi kes jenayah, sivil atau syariah. Seni soal-balas tidak mungkin kita dapat belajar dalam kelas di universiti.

Selain itu, firma saya juga banyak membuat kes-kes berkaitan jual beli tanah dan  pinjaman bank yang diistilahkan sebagai 'conveyancing'. Sehingga saya mampu untuk menguruskan pelbagai jual beli yang bernilai dari RM35 ribu sehinggalah bernilai RM90 juta. Firma saya juga pada waktu itu banyak menguruskan hal pinjaman korporat yang bernilai jutaan ringgit. Begitu juga pengalaman mendrafkan dokumen komersial seperti perjanjian berkaitan sistem komputer, perbankan Islam, kontrak, agensi dan lain-lain sehingga bidang ini saya sangat mahir dek kerana diberikan pendedahan sebegitu rupa.

Pada masa yang sama, khususnya selepas pilihan raya, firma saya menjalankan kes secara pro bono bagi petisyen-petisyen pilihan raya. Saya dapat menyertai pasukan pempetisyen dan pasukan responden. Pengalaman membuat kes litigasi pilihan raya adalah suatu pengalaman yang hebat kerana litigasi pilihan raya adalah 10 kali lebih sukar bagi mana-mana kes sivil. Saya berpeluang untuk membuat draf kertas kausa (cause paper) daripada kosong sehinggalah kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Pengalaman bersama dengan Dato' Haji Md Ariff Yusof (mantan Hakim Mahkamah Rayuan) dan YB Mohd Hanipa Maidin bersusah payah dengan dana yang sangat terhad membawa kes petisyen ini ke seluruh negara sangat bernilai untuk menyumbang kepada skil litigasi sivil. Antaranya kes petisyen Dun Pengkalan Pasir, Kelantan yang sangat kritikal pada waktu itu disebabkan kerajaan negeri yang diterajui oleh Almarhum TG Dato' Nik Aziz Nik Mat hanya mempunyai majoriti 2 kerusi sahaja. Pada masa itu saya mempelajari skil ambush Tan Sri Zaki (mantan Ketua Hakim Negara) yang dibantu oleh Datuk Mohd Hafarizam yang telah memenangkan Barisan Nasional.

Pada saya, inilah pelatih dalam kamar yang baharu menghabiskan latihannya perlu berani mengambil risiko dan berani membawa kes-kes yang mencabar. Peluang yang ada harus digunakan sepenuhnya. Kadang-kadang peluang yang ada di firma tempat kita beramal itu adalah terhad. Namun, ruang masa yang ada harus digunakan untuk menyertai pasukan peguam pro bono atau mengambil kes-kes daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Pengalaman sebegini akan mengkayakan pengalaman dan dalam profesion guaman, pengalaman adalah perkara yang sangat mustahak berbanding dengan teori yang dipelajari di universiti.

Maka, dalam memilih tempat beramal ini kriteria yang harus diambil kira adalah peluang untuk kita menggilap skil dan membuka potensi diri. Potensi diri hanya terbuka jika kita berusaha. Firma yang tempat kita beramal itu menentukan hala tuju kita pada masa hadapan. Jika beramal di firma yang besar, barangkali kita akan pandai dalam sesuatu bidang dan kita mempunyai tenaga bantuan kerja yang mencukupi. Kadang kala sebuah firma besar telah menyediakan 3 orang kerani untuk seorang peguam dan peguam hanya perlu menandatangani dokumen atau pergi ke mahkamah sahaja. Bagi yang beramal di firma kecil, peguam terpaksa membuat semua perkara daripada interbiu klien sehinggalah menyiapkan dokumen. Kesemuanya ada kelebihan masing-masing.

Profesion ini menuntut kita untuk lebih berketrampilan dan lebih cergas dalam gerak kerja. Jika kita tidak tahu dalam sesuatu perkara jangan terlalu cepat bertanyakan soalan kepada bos kita, sebaliknya kita perlu mencari dahulu jawapannya dalam buku undang-undang atau paling mudah sekarang tips berada di internet. Kadang-kala apa yang disebut oleh bos kita itu tidak betul atau mungkin sudah ketinggalan zaman kerana undang-undang telah berubah atau dipinda.

Profesion ini juga menuntut pengamalnya untuk mempunyai keyakinan diri terhadap ilmu yang dipelajari. Tanpa keyakinan diri maka bagaimanakah klien akan percaya kepada kita. Apabila kita menfailkan sesuatu kes di Mahkamah, kadang kala kita seperti meraba-raba dalam kegelapan malam, tetapi semakin kita bergerak maka semakin kita nampak cahaya itu. Ilmu perundangan ini sangat luas dan jika kita mempunyai daya saing maka kita mampu mengharungi lautan yang bergelora. Banyak lagi cabang perundangan yang belum diterokai dan kita boleh menggunakan strategi lautan biru (blue ocean strategy) untuk mendapat hasil yang tidak terperi daripada lautan tersebut.

Akhirnya, memilih tempat beramal pada hari ini akan menentukan kejayaan kita pada hari esok. Ingatlah bahawa peguam adalah profesional. Seorang yang profesional adalah seorang yang mampu berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Handal harimau kerana ngauman dan cakarnya, handal gajah kerana jisimnya, handal peguam kerana skil dan kemahirannya. Belajarlah untuk menguasai beberapa skil kepeguaman seperti skil mendraf dokumen, skil bercakap dan berhujah, skil mengkaji peruntukan undang-undang dan skil negosiasi. Saya percaya jika selepas 5 tahun anda belajar menguasai skil-skil ini maka anda akan menjadi peguam yang hebat.

Selamat berjaya!


Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor