Skip to main content

The Art of Cross Examination - Bagaimana Mahu Mengenali Saksi Pembohong

Big Or Small: Lies Are Lies

          Setelah mengendalikan puluhan jenis perbicaraan dan telah berpengalaman menyoal balas saksi-saksi, saya dapat mengenal pasti beberapa tingkah laku saksi berbohong di Mahkamah. Ingatlah! Sebelum seseorang saksi itu memberikan keterangan, beliau dikehendaki mengangkat sumpah bahawa beliau akan bercakap benar dan tidak akan sesekali bercakap perkara yang tidak benar.

          Pada hari ini (31/12/2014) hari penutup tahun 2014, saya ditakdirkan bertemu dengan saksi yang pada penilaian saya beliau telah berbohong semasa memberikan keterangan. Lazimnya, saksi pembohong ini berpewatakan seperti orang alim, bertutur dengan lemah lembut, ada ketika saksi begini akan berpakaian seperti orang warak dengan bertudung litup, berketayap, berjubah atau mungkin memakai baju kot, berkasut hitam berkilat atau memakai pakaian yang bergosok, terurus penampilannya dan rambut bersikat rapi. Ada juga penjawat awam yang beruniform dan berpangkat besar tetapi berbohong di Mahkamah. Ada juga wanita yang kelihatan bersiap, memakai pakaian yang indah dilihat dan bermekap cantik tetapi rupa-rupanya rupa paras itu tidak menggambarkan dalamannya yang suka berbohong. Namun, perwatakan dan cara berpakaian begini bukanlah sebagai penanda aras bahawa mereka semua ini suka berbohong. Ada juga yang berpakaian kusut dan berpakaian tidak sopan tetapi suka berbohong. Ada yang pandai berbohong, bak kata bos saya dahulu, 'Si polan itu jika berbohong, tak akan berkerut dahinya". Maksudnya, orang itu sangat mahir berbohong sehingga tidak nampak secara zahir pembohonganya yang dibuat olehnya.

           Bagi peguam, cara yang paling senang untuk mengenal pasti seseorang saksi itu berbohong adalah dengan mengendalikan sesi soal balas secara berkesan. Contohnya, jika sesuatu dokumen itu menyatakan sesuatu fakta yang berlainan dengan kenyataannya di Mahkamah, maka besar kemungkinan saksi itu telah berbohong. 

           Dalam satu perbicaraan yang pernah saya kendalikan, saya dapati kenyataan yang diberikan di Mahkamah oleh saksi itu telah ditokok tambah. Saksi ini adalah pengadu dalam suatu kes jenayah. Beliau telah membuat laporan polis bahawa berlaku suatu kejadian jenayah dan akibat daripada itu, klien saya telah ditangkap. Sewaktu perbicaraan, saya mendapati ada perkara penting yang dinyatakannya itu tidak dinyatakan di dalam laporan polis yang dibuatnya. Apabila kita menyoal balasnya, kita akan dapati kenyataan itu tidak konsisten dengan laporan polis yang dibuatnya. Maka, hasilnya, klien saya itu berjaya dilepaskan.

           Saya masih ingat, pada tahun 2000 dahulu sewaktu satu perbicaraan kes jenayah, saya melihat cara Mendiang Karpal Singh menyoal seorang saksi polis. Beliau telah menggunakan kaedah yang sama dan akhirnya saksi polis itu tergagap-gagap tidak dapat menjawab soalan dengan tepat.

           Berbalik kepada kes yang saya kendalikan pada hari ini, saya menilai bahawa saksi ini telah berbohong kerana keterangannya tidak sama dengan dokumen-dokumen yang difailkan di Mahkamah. Malah, ceritanya berbelit-belit. Ingatlah, apabila seorang saksi itu berbohong dan kita dapati beliau berbohong maka kita perlu menanyakan saksi itu berdasarkan dokumen yang difailkan. Sekali beliau berbohong maka beliau terpaksa menutup pembohongannya dengan pembohongan yang lain. Pada masa itu, saksi itu akan terperangkap dengan jawapan yang diciptakannya sendiri.

           Selain itu, ada tanda-tanda lain bahawa beliau berbohong iaitu, saksi akan mengambil masa untuk berfikir panjang sebelum menjawab soalan bagi memastikan pembohongannya itu terpelihara. Saksi begini juga sering mengelak daripada membuat pandangan mata dengan peguam yang menyoal (eye contact). Saksi juga kadang-kadang akan menjadi gemuruh dan kalau beliau memegang kertas kita akan dapati tangannya terketar-ketar. Keadaan saksi ini amat jelas jika beliau kelihatan bergerak-gerak dalam kandang saksi persis seorang anak yang gelisah disergah oleh bapanya. Kadang-kadang ada saksi yang cuba mengalih perhatian dengan membuat perkara lain, seperti menggedikkan kaki atau tangan, atau bermain-main dengan pensil atau cincin di jari. Ada pula saksi yang cuba mengalihkan jawapan dengan memberikan jawapan yang lain dengan harapan peguam akan menanyakan soalan yang lain. Peguam yang handal pasti akan dapat mengenal pasti ciri-ciri ini dan akan terus menekan saksi itu sehingga saksi itu mengaku pembohongannya. Namun, bukan mudah untuk berbuat begitu jika tiada pengalaman. Ini kerana kaedah ini tidak diajar di dalam kelas atau tutorial. Ia harus dialami sendiri melalui pengalaman belasan dan puluhan tahun mengendalikan kes di Mahkamah.

           Bagi peguam, tidak sempurna soal balasnya jika beliau tidak mencabar saksi dengan soalan seperti 'Saya katakan kamu berbohong di dalam Mahkamah ini kerana keterangan kamu sebentar tadi tidak konsisten dengan dokumen ini'. Ada saksi yang gemuruh bila disergah dengan cabaran sebegitu. Jika saksi itu gemuruh, maka itu peluang baik bagi peguam untuk terus menekan saksi berkenaan. Namun, lazimnya saksi akan menjawab tidak bersetuju dengan cadangan peguam tersebut. Meskipun begitu, peguam harus mencabar saksi dengan soalan seumpama itu walaupun kita tahu bahawa saksi akan menjawab beliau tidak bersetuju dengan cabaran itu. Ini kerana, sewaktu peguam menggulung hujah, peguam perlu menghujahkan bahawa keterangan saksi itu telah dicabar dan berdasarkan keterangannya yang tidak konsisten, kredibiliti keterangan saksi itu adalah dipertikaikan. Tambahan lagi, jika dapat ditunjukkan keterangan saksi itu bercanggah dengan dokumen bertulis maka menjadi prinsip mantap dalam undang-undang keterangan bahawa keterangan dokumentar itu akan diutamakan lebih daripada keterangan lisan.

Bagi saksi, ingatlah bahawa Allah Taala sangat murka dengan saksi yang berbohong. Firman Allah swt di dalam :

Surah Al-Furqan (25): 72

 (وَٱلَّذِينَ لَا يَشۡهَدُونَ ٱلزُّورَ وَإِذَا مَرُّواْ بِٱللَّغۡوِ مَرُّواْ ڪِرَامً۬ا (٧٢

Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan [orang-orang] yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui [saja] dengan menjaga kehormatan dirinya. (72)

Surah Al-Hajj (22): 30


فَٱجۡتَنِبُواْ ٱلرِّجۡسَ مِنَ ٱلۡأَوۡثَـٰنِ وَٱجۡتَنِبُواْ قَوۡلَ ٱلزُّورِ (٣٠

..maka jauhilah olehmu berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta. (30)

Sabda Nabi saw:

 "ألا أنبئكم بأكبر الكبائر : الشرك بالله، وعقوق الوالدين، ألا وشهادة الزور”، فما زال يكررها حتى قلنا ليته سكت"

Maukah aku kabarkan kepada kalian sebesar-besarnya dosa besar.? Itulah Syirk, durhaka kepada kedua orang tua, dan member kesaksian palsu. Rasulullah Saw terus mengulang ucapanya, hingga kami pun berharap agar beliau berhenti mengulang“(HR. Bukhari).

Di dalam Kanun Kesiksaan dinyatakan:

191. Whoever, being legally bound by an oath, or by any express provision of law to state the truth, or being bound by law to make a declaration upon any subject, makes any statement which is false, and which he either knows or believes to be false, or does not believe to be true, is said to give false evidence.

193. Whoever intentionally gives false evidence in any stage of a judicial proceeding, or fabricates false evidence for the purpose of being used in any stage of a judicial proceeding, shall be punished with imprisonment for a term which may extend to seven years, and shall also be liable to fine; and whoever intentionally gives or fabricates false evidence in any other case, shall be punished with imprisonment for a term which may extend to three years, and shall also be liable to fine.

          Oleh itu, saya menyeru supaya sesiapa yang menjadi saksi, beliau hendaklah bercakap benar kerana kesalahan berbohong itu boleh menyebabkan memberikan penghakiman yang tidak tepat dan sekaligus akan menyebabkan seseorang itu teraniaya kerana haknya gagal diperolehi. 

          Allah Taala pasti akan memberikan azab yang pedih kepada saksi yang berbohong di hari kiamat kelak. Malah, di sisi undang-undang sivil pun hukumannya boleh dijatuhi hukuman penjara. Adalah menjadi perkara yang sia-sia sekiranya seorang saksi itu dipenjarakan akibat berbohong, Fikirlah akibat yang akan ditanggung oleh anak isterinya disebabkan beliau dipenjarakan kerana berbohong.

Pepatah menyatakan,

"Siakap Senohong Gelama Ikan Duri, Bercakap Bohong Lama-Lama Mencuri"

"Sekali Berbohong, Selamanya Berbohong"

"Kayu Bengkok, Masakan Lurus Bayangannya"

"A liar is not believed when he tells the truth"






Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor