Skip to main content

Menangani Klien - Bagaimanakah ingin berjaya dalam profesion guaman - Siri 4

Klien atau kelayan adalah manusia terpenting dalam profesion guaman. Perkataan 'klien' ini saya tidak menjumpainya dalam laman portal pusat persuratan Melayu - DBP. Namun, dalam istilah perundangan, istilah klien ini telah digunakan secara meluas. Tanpa klien ibaratnya seperti doktor tanpa pesakit. Tanpa klien, sebuah firma guaman akan 'bungkus' atau 'tutup kedai'.

Sepanjang beramal sebagai peguam semenjak tahun 2000, saya telah berjumpa dengan ratusan klien. Sepanjang tempoh itu saya menemui pelbagai karenah klien. Kata teman saya, Almarhum Engku Mohd Azri [semoga Allah terus mengampuni dosa-dosanya dan merahmati rohnya], belajar sains kemanusiaan adalah tidak sukar, yang sukarnya adalah menangani karenah manusia kerana setiap manusia mempunyai karenahnya tersendiri. Karenah seorang manusia tidak sama dengan seorang yang lain. Jika seseorang itu bekerja di sektor yang melibatkan manusia seperti peguam, doktor dan pakar motivasi maka kesulitan itu pasti dialami. Oleh itu, menangani manusia ini perlukan aspek sains kemanusian untuk membantu kita menangani mereka dalam cabang profesion yang kita ceburi.

Menangani klien ini bukannya kerja mudah. Klien datang dengan pelbagai masalah, sifat, bahasa, corak pemikiran dan taraf pelajaran. Kata Nabi saw, 'Bercakaplah dengan mereka mengikut kadar akal mereka.' Sebab itu, seorang peguam perlu memahirkan dirinya dalam aspek komunikasi kemanusiaan untuk menangani klien sebegini.

Peguam bukanlah seorang kaunselor. Peguam adalah pemudahcara kepada orang lain dalam menyelesaikan masalahnya. Setiap orang yang berjumpa peguam mesti datang dengan masalah. Oleh itu, peguam mesti menyiapkan mentalnya untuk menghadapi masalah kliennya. Jika peguam itu tidak gemar berhadapan dengan masalah orang lain, maka eloklah baginya untuk menceburi kerjaya lain. Tidak kira samada beliau adalah peguam 'conveyancing' atau peguam litigasi. Setiap masalah itu perlu ditekuni bagi mencari penyelesaiannya.

Adakah ini bermakna jika mana-mana prospek klien yang datang maka harus seseorang peguam itu menerimanya sebagai klien? Sewaktu belajar undang-undang, pasti seseorang pelajar itu terjumpa istilah 'Cab-Rank Rule'. Istilah ini berasal daripada perundangan inggeris yang mana biasanya sesebuah teksi itu akan berbaris panjang di stesen. Drebar teksi itu tidak berhak memilih siapakah yang akan menaiki teksinya samada wanita, gadis atau jejaka. Beliau kena mengambil penumpang yang pertama datang mengikut barisnya. Jika tidak teksi di belakangnya tidak dapat bergerak dan teksi yang lain tidak dapat keluar dari barisannya. Begitu juga dalam perundangan, jika mana-mana klien datang maka secara umumnya peguam itu kena mengambil kes klien itu tanpa mengira samada klien itu orang kaya atau miskin.

Namun, secara amalinya, peguam tidak akan mengambil kes yang beliau sendiri tidak mampu mengendalikannya. Umpamanya jika beliau hanya berpengalaman dalam litigasi, maka beliau tidak mampu untuk menjalankan tugas sebagai peguam conveyancing dengan baik. Maka, tatkala itu, lebih baik beliau menolak klien itu dan meminta klien itu pergi ke firma lain yang mampu mengendalikan kesnya dengan sempurna.

Bagi saya, sewajarnya peguam menilai terlebih dahulu klien yang datang kepadanya. Tenung wajah klien itu dan lihat samada beliau mampu mewakili klien itu dengan baik dan sempurna [Awas: jika klien itu rupawan dan cantik molek, jangan ditenung lama-lama!]. Dengar tutur kata klien itu dan buat penilaian samada klien itu mampu berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikannya dan samada peguam itu mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk klien itu.

Lazimnya, saya menolak klien-klien yang berlebih-lebih pandai daripada peguam. Klien begini suka bercakap banyak dan suka mengarah peguam sedangkan beliau sendiri jahil mengenai tatacara guaman. Klien ini berasa beliau lebih pandai dari peguam dan peguam mesti mengikut cara yang disukainya. Pernah satu ketika, seorang prospek klien menelefon saya berkaitan kes perceraiannya yang mana suatu penghakiman yang telah dimasukkan ke atasnya akibat beliau tidak hadir perbicaraan di Mahkamah. Saya telah bertanyakan beberapa soalan asas kepadanya tetapi beliau menjawab berpusing-pusing dan menyalahkan Mahkamah serta bekas isterinya.

Namun, setelah bertanyakan beberapa soalan kepadanya [baca: cross examine] saya mendapati beliau telah cuai hadir kerana saman telah disempurnakan ke atasnya. Beliau mengatakan bahawa beliau pernah hadir ke Mahkamah tetapi Mahkamah telah menangguhkan kesnya. Selepas itu beliau mendapati penghakiman telah dimasukkan ke atasnya. Beliau juga tidak melantik peguam sebelum itu kerana berpandangan beliau mampu mengendalikan kesnya sendiri. Bagi saya orang sebegini tidak sesuai untuk saya wakili kerana cakapnya melebihi perbuatannya. Orang yang bercakap banyak tetapi perbuatannya tidak selari dengan perbuatannya itu mempunyai sifat dan perangai yang tidak elok. Allah Taala pun memberikan amaran terhadap orang yang sifatnya sebegini:

"Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang kamu tidak kerjakan.

                                                                                                                      Al-Saff : 2-3

Ada klien yang datang dan benar-benar ikhlas dalam menceritakan masalah mereka. Klien begini sangat mendamaikan. Bahkan ada beberapa kes yang saya buat secara pro-bono sahaja kerana sifat klien ini yang budiman. Klien ini akan mengikut nasihat peguamnya dan ini akan memudahkan kerja peguam berhadapan dengan Mahkamah. Tetapi awas, ada juga klien yang bermulut manis tetapi kotor jiwanya. Pernah sewaktu saya mula-mula beramal dahulu, ada seorang klien yang saya wakili sangat manis mulutnya. Akhirnya bukan sahaja beliau gagal untuk membayar yuran guaman tetapi berjaya pula menipu firma saya dengan mengemukakan cek palsu dan kononnya wang itu telah didepositkan ke dalam akaun firma.

Oleh itu, bagi peguam yang baharu menceburi bidang ini, saya syorkan supaya meluaskan pergaulan dan mendalami cara untuk berkomunikasi, ilmu membaca bahasa badan, mengetahui ilmu tipu-menipu dan ilmu kejiwaan selain memantapkan ilmu perundangan.

Sekian.





Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor