Skip to main content

Jadilah Saksi Yang Benar

Pernahkah kita mengalami situasi yang mana saksi tersebut memberikan keterangan yang tidak seperti diharapkan oleh kita?

Sewaktu mengendalikan kes baru-baru ini, klien saya (iaitu pihak yang menuntut) ada membuat dakwaan bahawa beliau telah dilayan secara tidak saksama dan terdapat unsur-unsur diskriminasi layanan terhadap beliau di tempat kerja. Klien saya telah menyebut nama seorang rakan sekerjanya yang telah mendapat layanan yang sama. Saya namakan rakannya itu sebagai "Hj Z' [bukan nama sebenar].  Hj Z itu dikatakan telah tidak mendapat bonus dan rekomendasi untuk kenaikan pangkat oleh bosnya disebabkan kelantangannya berbeza pendapat dengan bosnya.

Setelah nama Hj Z disebut, pada tarikh perbicaraan yang berikutnya pihak responden telah memanggil Hj Z itu untuk memberikan keterangan bagi menyanggah dakwaan klien saya.

2 hari sebelum perbicaraan, klien saya telah memberitahu saya bahawa Hj Z ada berkomunikasi dengan beliau dan Hj Z berjanji untuk menyatakan perkara sebenar di dalam Mahkamah iaitu sememangnya berlaku diskriminasi ke atasnya.

Namun, apa yang diharapkan berlaku itu tidak berlaku. Harapan hanya tinggal harapan. Pada masa perbicaraan, Hj Z telah memberikan keterangan bahawa dakwaan rakan saya bahawa beliau telah dinafikan kenaikan pangkat dan telah di 'sideline' tidak benar. Bahkan beliau menyatakan pula bahawa beliau telah mendapat imbuhan yang lebih baik dan diberikan tugasan yang lebih besar untuk mengendalikan projek yang bernilai berbilion ringgit yang bukan semua orang diberikan peluang untuk mengendalikannya.

Semasa soal balas, saya mengajukan beberapa pertanyaan yang sememangnya menjurus kepada arahan klien saya bahawa Hj Z itu telah di 'sideline'. Namun, agak mengecewakan bila mana fakta itu telah dinafikan oleh Hj Z semasa soal balas itu. Malah, keterangannya itu kesemuanya menjurus kepada pujian setinggi langit kepada pihak syarikat.

Selesai Hj Z memberikan kenyataan, beliau turun dari kandang saksi dan menuju ke arah klien saya yang berada di galeri awam. Beliau beritahu klien saya, kalaulah saya menanyakan tentang 'rekod penilaian prestasi' pasti beliau akan bongkar sepenuhnya.

Apabila sampai waktu rehat, klien saya berjumpa dengan saya dan beritahu saya berkaitan perbualan beliau dengan Hj Z itu. Saya beritahu klien saya bahawa beliau sebenarnya telah kena 'kencin' (tipu) dengan Hj Z. Hj Z itu hanya hendak ambil hati dia sahaja. Sebenarnya kalau Hj Z nak dedahkan perkara sebenar pasti beliau boleh ceritakan sahaja semasa soal balas tadi sebab soalan saya sewaktu soal balas itu sudah mencukupi untuk beliau dedahkan.

Semasa saya pergi makan tengahari, perbualan saya dengan klien saya masih lagi menjurus kepada tindakan Hj Z itu. Klien saya sebelum ini telah beritahu saya bahawa Hj Z ini orang yang berani dan boleh dipercayai kerana beliau ini orang 'kuat parti politik' yang terkenal dengan ketegasannya dan kuat berpegang kepada nilai Islam.

Saya hanya ketawa sahaja dan memberitahu klien saya bahawa setiap orang pasti akan dicuba dan diberikan ujian oleh Allah Taala. Ini adalah ujian Allah Taala ke atasnya untuk menentukan samada Hj Z itu benar-benar berani untuk menyatakan perkara benar kerana bercakap benar itu adalah perkara yang sulit. Apatah lagi jika hakikat kebenaran itu akan menyentuh kepentingan orang-orang tertentu. Dalam kes ini tentunya kebenaran itu akan menyentuh hal ehwal tempat Hj Z bekerja dan berkemungkinan kebenaran itu akan meragut rezekinya kelak jika beliau pula dikenakan tindakan oleh syarikatnya.

Orang yang berperwatakan Islam, berkopiah, berjubah, bersolat jemaah 5 waktu juga belum tentu berani untuk bercakap benar kerana kerap kali kebenaran itu pahit sifatnya. Syaitan makin giat mengugut orang beriman supaya syirik kepada Allah Taala dengan mengimani bahawa yang memberikan rezki itu adalah majikannya dan bukannya Allah yang Maha Suci dan bersifat Ar-Razzaq. Maka tatkala kebenaran itu patut didedahkan, syaitan akan membisikkan perasaan takut dalam jiwa insan. Maka sesiapa yang kalah dengan ujian itu akan tunduk dengan perasaan takut itu dan menghumban kebenaran itu sejauh-jauhnya. Saya pasti jika orang itu benar-benar beriman, tatkala beliau bertahajud dan muhasabah dirinya, akan timbul penyesalan kerana gagal menzahirkan imannya dengan berkata benar padahal itulah peluang yang diberikan Allah kepadanya untuk peningkatan iman.

Saya teringat suatu kisah yang pernah saya dengar, di mana ada seorang syaikh yang sering memberikan makanan kepada seekor kucing belaan. Suatu hari, syaikh ini ditimpa musibah sehingga beliau tidak mampu lagi untuk memberi makanan kepada kucing itu dan tatkala kucing itu menghampirinya, beliau berkata kepada kucing itu, 'Maafkan aku wahai kucing! Hari ini aku sudah tidak mampu untuk memberikan makanan kepada kamu'. Kucing itu seolah memahami apa yang diucapkan oleh syaikh itu dan mengangguk-angguk dan berlalu daripada syaikh itu.

Tidak lama kemudian, kucing itu muncul kembali dengan menggonggong seekor tikus yang sudah mati dan menghampiri syaikh itu dalam keadaan seolah-olah beliau bertutur dengan syaikh, 'Sedarlah wahai syaikh, bukan kamu yang memberikan aku makan. Allah lah yang memberikan rezeki kepada kamu dan kepada aku'. Akhirnya, syaikh itu menyedari bahawa beliau telah membuat kesilapan dan hari itu kesilapannya telah ditunjukkan oleh Allah melalui seekor kucing. Lantas syaikh berkata, 'Maha Suci Allah! Aku makhluk yang hina dan kesilapan aku ini telah diperbetulkan oleh seekor kucing".

Seorang guru saya pernah berkata kepada saya, jika seorang itu bodoh maka senang untuk kita ajar mereka supaya jadi pandai. Tetapi, jika dia seorang yang penakut maka bagaimanakah kita boleh mengajar mereka menjadi berani. Tidak hairanlah, ramai ilmuwan dan profesor di universiti ramai yang takut untuk berkata benar kerana perasaan berani itu tidak ada di dalam jiwa mereka meskipun mereka itu orang yang arif dan berpengetahuan dan mampu mengenal pasti mana yang benar dan mana yang palsu!

Saya menginsafi keadaan ini dan saya berdoa semoga saya dan rakan-rakan akan diberikan iman yang kuat untuk berpegang kepada kebenaran dan berani untuk kebenaran. Sesungguhnya, jihad yang paling afdal adalah bercakap benar di hadapan pemimpin yang zalim.

Salam Jumaat.




Comments

Anonymous said…
DrZ .. saya nk tnye.. kalau nk ambil kos law.. tp masa f6 saya kena ambil subjek apa ya? Terima kasih
DrZ said…
saya tak faham maksud f6.
projekebulan said…
f6 ialah tingkatan 6

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor