Skip to main content

Seronoknya Menjadi Peguam di Hari Raya

Salam Sejahtera dan Selamat Hari Raya Idulfitri 1436H

Sudah lama rasanya tidak menulis di blog ini. Saya mengharapkan teman-teman dan peminat blog ini dalam keadaan selamat sejahtera. Saya menerima banyak emel dan pertanyaan daripada peminat blog ini berkaitan kerjaya peguam.

Saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan betapa kerjaya peguam ini dapat menambahkan keseronokan di hari raya. Bila menyebut berkaitan hari raya maka tergambar kepada kita wajah ibu bapa di kampung dan keseronokan berjumpa sanak saudara. Namun, keseronokan itu tiada gunanya jika tidak dapat dinikmati. Untuk menikmati hari raya, faktor yang paling penting adalah cuti.

Nah! Ini yang saya maksudkan. Bila menjadi peguam maka senang untuk kita merancang cuti. Namun, kelebihan ini hanya wujud kepada peguam yang menjadi bos sendiri [maaf kepada teman-teman yang makan gaji]. Jika menjadi bos sendiri maka kita akan mengaturkan jadual kita sendiri tanpa perlu menghiraukan orang lain. Sebab itu, ramai peguam akhirnya membuka firmanya sendiri atau naik pangkat menjadi pekongsi di firma tempat beliau bekerja.

Contohnya pada hari raya yang lepas, hari raya puasa jatuh pada 17 Julai 2015. Cuti sekolah pula bermula pada 15 Julai 2015. Maka, anggaran indeks jem jalan raya pasti akan berlaku antara 14 - 16 Julai 2015. Memandangkan kita sudah boleh membuat jangkaan begitu maka saya merancang untuk bercuti seawal 12 Julai 2015. Diari sudah dikosongkan 2 bulan sebelum tarikh tersebut. Begitu juga selepas hari raya, saya telah mengosongkan diari selama seminggu supaya aktiviti hari raya dan puasa enam tidak terganggu. Saya bersyukur kerana dapat menikmati tempoh hari raya ini  bersama keluarga dengan sempurna. Ibu saya juga gembira bila saya balik ke kampung lebih awal kerana saya dapat membawanya untuk berterawih di masjid idamannya.

Cuma, agak malang sedikit kerana selepas hari raya ini saya telah mengalami sakit batuk yang teruk dan ulser di tonsil dan anak tekak sehingga menyebabkan badan menjadi demam. Tetapi, mujurlah saya telah mengosongkan diari saya dan dengan itu dapatlah saya berehat secukupnya.

Inilah kelebihan bekerja sebagai peguam yang mana anda mempunyai jadual waktu kerja yang anjal. Anda sendiri boleh mengaturkan hidup anda.

Namun, ada juga perkara yang tidak dijangka boleh berlaku khususnya bagi peguam yang membuat kerja-kerja litigasi. Sebelum cuti hari raya, ada seorang klien yang terpaksa menfailkan kes dengan segera. Kesnya adalah berkaitan dengan kaveat yang telah dimasukkan olehnya. Pihak tuan tanah telah menfailkan permohonan untuk memotong kaveat di bawah S.326 Kanun Tanah Negara. Menurut seksyen tersebut, sekiranya tiada apa-apa perintah mahkamah yang menyatakan perlanjutan tempoh kaveat itu, pihak pejabat tanah boleh memotong kaveat itu selepas 2 bulan notis berkaitan pemotongan kaveat itu disampaikan kepada pihak yang memasukkan kaveat.

Oleh kerana kes ini bersifat segera (urgency), maka saya terpaksa menfailkan permohonan itu secara ex-parte sebelum hari raya berserta dengan sijil perakuan kesegeraan. Ternyata kes ini telah membuatkan cuti hari raya saya menjadi lebih pendek bila mana mahkamah telah menetapkan pendengaran kes ini pada 23 Julai 2015 dan memberikan arahan untuk membuat pendengaran inter parte pada minggu berikutnya. Ini bermakna saya terpaksa berhempas pulas untuk membuat serahan kepada pihak-pihak dalam kes itu. Alhamdulilah, semua itu dapat dibereskan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Walauapapun, setelah bergelumang dengan kerjaya guaman ini kira-kira 15 tahun, kita lebih memahami kerjaya ini dan makin menyayangi kerjaya ini. Saya harapkan semoga anda dapat juga menyayangi kerjaya ini.

Sekian.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor