Skip to main content

Murtad dan Kebebasan Beragama di Malaysia: Sorotan Pendapat Prof. Ahmad Ibrahim

Sewaktu mentelaah kes dalam Jurnal Hukum, saya terbaca tulisan Almarhum Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim, 'Penyelesaian Masalah Murtad Dalam Ruang Lingkup Undang-Undang Malaysia Yang Ada' [Jurnal Hukum Jld XII Bhg 1, Rabiul Awal 1419/Jun 1998, hlm vii-xxxvii].

Saya tidak bercadang untuk menyalin satu persatu tulisan itu tetapi hanya mengutip beberapa perenggan yang penting iaitu:

"Murtad adalah merupakan dosa besar dan mengikut jumhur Ulama' ia bukan sahaja dibalas dengan hukuman pedih di akhirat akan tetapi boleh dihukum sebagai jenayah mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Ini biasanya dipandukan kepada ayat al-Quran yang ....(rujuk surah al-Baqarah 2: 217).

Hadis yang biasa dirujuk di dalam perkara ini ialah bermaksud:

'Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia'

..... Sungguh pun hadis itu menyebut pertukaran agama secara am, telah sepakat majoriti ulama Islam bahawa seorang bukan Islam yang menukar agama kepada suatu agama lain tidak dihukum, akan tetapi seorang Islam yang meninggalkan agama Islam dan memeluk agama lain hendaklah dibunuh mengikut hadis itu.

..... Pendapat yang biasanya disebut bahawa seorang yang murtad hendaklah dibunuh pada zahirnya terdapat berlawanan dengan konsep kebebasan beragama dalam Islam seperti yang disebut di dalam al-Quran maksudnya:

'Tidak ada paksaan dalam agama Islam kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran Islam dari kesesatan kufur...' (surah al-Baqarah 2: 256)

...Hak kebebasan agama disebut juga dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11(1) menyebutkan,

'Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkan agamanya'.

...Dalam kes Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri lwn Jamaludin bin Othman [1989] 1 MLJ 418, Hakim Hashim Yeop Sani di Mahkamah Agung menyatakan,

'Sungguhpun di bawah Seksyen 8(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri, Menteri boleh menahan seseorang dengan maksud menahan orang itu dari bertindak dengan apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia, saya berpendapat Menteri itu tidak berkuasa melucutkan dari orang itu haknya menganut dan mengamal agamanya yang dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan. Jika Menteri itu bertindak untuk menyekat kebebasan seseorang menganut dan mengamal agamanya, tindakannya itu akan menjadi tidak bersesuaian dengan Perkara 11 dan oleh kerana itu perintah tahanan akan menjadi tidak sah'. Tanpa apa-apa kerugian kami berkata kami bersetuju sepenuhnya dengan perasaan yang dilahirkan oleh hakim yang arif itu. ....'

[lihat hlm xiv - xviii]

Mengulas mengenai kesalahan irtidad atau riddah yang disebut di dalam Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II, Kelantan 1993, Almarhum menyatakan, 'Peruntukan seperti ini mungkin memerlukan pindaan kepada Perlembagaan kerana tidak sesuai dengan hak kebebasan beragama'.

Di akhir tulisannya beliau menyebutkan,

'Disimpulkan kita boleh liat bahawa semenjak kes Dalip Kaur (pada tahun 1992) membawa kepada kes Habibullah (juga pada tahun 1992) sehingga sekarang, sekurang-kurangnya empat orang Hakim Mahkamah Agong yang terkenal dengan ketokohan masing-masing serta beberapa orang hakim Mahkamah Tinggi, sepakat dan sependapat bahawa apabila timbul isu seorang Islam murtad, isu itu hanya boleh didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Walaubagaimanapun, untuk mengelakkan pertikaian adalah lebih baik diadakan undang-undang yang jelas yang memberi bidangkuasa itu kepada Mahkamah Syariah'.

Rumusan:

Setelah meneliti tulisan Almarhum ini saya dapati Almarhum tidak membantah pendapat jumhur ulama berkaitan hukuman ke atas kesalahan riddah. Namun, wujud permasalahan untuk melaksanakan hukum berkenaan disebabkan oleh kekangan undang-undang dan perlembagaan khususnya berkaitan hak asasi. Almarhum cuba untuk mengharmonikan antara tuntutan agama dan amalan undang-undang, namun Almarhum tidak sesekali menerobos batas perundangan meskipun hukuman riddah itu menjadi sebahagian daripadan tuntutan agama. Jika diteliti juga kes-kes yang timbul berkaitan murtad ini rata-ratanya berkisar mengenai forum mahkamah mana yang perlu mengadili samada seseorang itu murtad atau tidak.

Saya merumuskan bahawa isu riddah dan kebebasan hak beragama ini hendaklah diperhalusi dan diteliti oleh jawatankuasa pakar kerana rumitnya hal ini dalam konteks masyarakat Malaysia. Jawatankuasa pakar ini hendaklah dianggotai oleh pakar undang-undang, pakar agama, pakar dan pengamal hak asasi.


NOTA: Petikan ini adalah sebahagian daripada tulisan panjang oleh Almarhum. Jika ada kekeliruan adalah sayugia sekiranya dapat dirujuk terus daripada sumber asalnya. Anda juga perlu merujuk kepada beberapa kes terbaharu berkaitan hal ini seperti kes Roman Titular, Lina Joy, Sulaiman Takrib dan lain-lain.


Comments

Popular posts from this blog

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua...

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk mem...

Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Secara umumnya undang-undang berkaitan hak penjagaan anak ini adalah mudah. Lazimnya jika seseorang anak itu belum mumaiyyiz (belum dapat membezakan antara yang baik dan buruk), hak jagaan adalah diberikan kepada ibu. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyyiz, lazimnya umur 7 tahun ke atas, Mahkamah akan menemuramah anak itu dan menanyakan anak tersebut dengan siapakah dia lebih selesa untuk tinggal. Walaupun terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip umum ini, Mahkamah biasanya jarang lari daripada prinsip umum ini. Namun, pengalaman lepas menunjukkan bahawa kes berkaitan hadhanah ini paling sulit untuk diselesaikan disebabkan faktor-faktor yang mendatang. Ini disebabkan seseorang ibu atau bapa itu gagal memahami konsep hadhanah ini menurut hukum syarak. Ibu atau bapa yang bercerai itu kadang-kadang terbawa-bawa dengan sebab perceraian sehinggakan anak tersebut menjadi mangsa. sumber: www.jurnalberita.com Sewaktu kes hadhanah itu berlangsung, pihak-pihak biasanya akan m...