Skip to main content

Bergaul dengan teman satu industri - Bagaimanakah ingin berjaya dalam profesion guaman - Siri 7

Antara kelebihan menjadi peguam adalah luasnya pergaulan. Kelebihan itu boleh menjadi positif dan boleh juga menjadi negatif bergantung kepada peel perangai kita sendiri. Menjadi peguam ini akan melebarkan pergaulan kerana klien yang dihadapi itu adalah daripada pelbagai status, kaum bangsa, nasab keturunan dan jantina. Namun ini bukanlah tema untuk tulisan ini.

Apa yang saya ingin kongsikan adalah berkaitan pergaulan peguam dengan teman satu industri, maksudnya pergaulan kita dengan peguam yang lain. Saya dapati ada peguam yang suka bergaul dengan rakan-rakan peguam yang lain dan ada yang suka menyembunyikan diri daripada peguam yang lain.

Peguam yang suka menyembunyikan diri daripada peguam yang lain lazimnya adalah peguam yang pergi Mahkamah dan terus tergesa-gesa balik ke pejabat setelah selesai urusan Mahkamah. Peguam ini lupa tabiat wajib peguam yang pergi Mahkamah ini biasanya akan lepak bersama kawan-kawan di kafeteria Mahkamah setelah selesai urusan. Kafeteria seolah-olah menjadi tempat wajib bagi peguam untuk bertukar-tukar maklumat.

Bagi peguam yang membuat kerja-kerja conveyancing (seperti perjanjian jual beli atau dokumen sekuriti bank) tidaklah menjadi satu keperluan untuk lepak di kafeteria. Tetapi bagi peguam yang banyak membuat kes litigasi Mahkamah adalah perlu untuk lepak dan minum dengan kawan-kawan peguam.

Hasil daripada pergaulan ini akan membantu kerjaya peguam itu sendiri kerana daripada situ kita boleh mendapatkan maklumat yang tiada di dalam buku, iaitu amalan dan prektis hakim. Untuk berjaya dalam sesuatu kes, seorang peguam bukan setakat harus memahami undang-undang di dalam buku bahkan harus memahami tabiat hakim yang beliau akan hadapi.

Dahulu bos saya  pernah berkata, "You pergi Mahkamah ini bukan setakat nak baca hujah, tapi you kena tau apa hakim tu mau". Sebab itu, ada kes yang kuat tetapi kalah kerana kita gagal memahami kehendak hakim itu. Apabila kita gagal memahami kehendak hakim bermakna kita gagal untuk mengutarakan kes kita dengan berkesan.

Cuba kita bayangkan,  di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, ada 4 Hakim Mahkamah Tinggi dan di Mahkamah Syariah Shah Alam pun ada 4 Hakim Mahkamah Tinggi. Itu belum lagi dikira jumlah hakim di Mahkamah Rendah. Setiap seorang hakim ini mempunyai stail masing-masing. Ada hakim yang suka apabila keterangan soal utama (chief examination) diberikan melalui afidavit, tetapi ada hakim yang lebih suka jika keterangan soal utama diberikan secara lisan [Di Mahkamah Sivil, lazimnya keterangan utama diberikan dalam bentuk penyataan saksi dan bukan secara afidavit, berlainan di Mahkamah Syariah yang menggunakan format afidavit]. Ada hakim yang suka kita mengemukan ikatan dokumen tetapi ada hakim yang tidak kisah pun jika tiada.

Saya masih ingat peristiwa yang mana saya mewakili plaintif dalam prosiding permohonan perceraian  di hadapan seorang hakim yang baharu bertukar. Pada hari sebutan kes itu, saya  plaintif memberitahu hakim bahawa saman dan dokumen berkaitan telah diserahkan kepada defendan pada sekian haribulan. Tetapi, saya fikir tidaklah menjadi satu keperluan untuk saya masukkan afidavit penyampaian kerana defendan turut hadir pada tarikh sebutan itu. Menurut amalan kelaziman dalam kes prosiding perceraian secara persetujuan bersama ini, afidavit penyampaian ini tidaklah perlu dimasukkan disebabkan Mahkamah boleh mendapat pengesahan sendiri daripada defendan yang hadir pada tarikh sebutan itu.

Namun, hakim tersebut telah bertanya kepada saya, "Peguam! Macam mana Mahkamah nak tau saman ini telah serah atau belum jika tiada afidavit penyampaian". Maka, kita bukan sahaja terkujap malu dengan sapaan hakim itu tetapi terpaksa lagi menerangkan kepada klien kenapa hakim bertanya begitu untuk mengelakkan salah faham bahawa kita tidak melaksanakan tugasan dengan baik.

Nah! Inilah bahayanya jika kita tidak memahami tabiat seorang hakim. Perkara aib sebegini boleh kita elakkan jika kita telah mendapat maklumat awal daripada rakan-rakan peguam yang telah hadir di hadapan hakim berkenaan.

Begitu juga ada satu keadaan di mana ada hakim yang suka supaya afidavit keterangan utama saksi dilampirkan terus dengan dokumen-dokumen yang menjadi ekshibit tetapi ada hakim yang menerima sekiranya dokumen-dokumen itu dibuat dalam bentuk ikatan dokumen (bundle of document).

Dahulu ada seorang hakim yang kerap memarahi peguam yang hadir di hadapannya. Memang ada sahaja alasan dicari untuk memarahi peguam berkenaan. Ada peguam wanita yang pernah dihalau keluar daripada bilik Mahkamah kerana beg tangannya itu ada semacam blink blink. Peguam lelaki yang dihalau kerana memakai tali leher berwarna terang pun ada [sebenarnya tidaklah begitu terang pun, mungkin kaca mata hakim itu terlebih power].

Jika kita memahami kehendak hakim berkenaan maka kita boleh mengelakkan berlaku keaiban apabila kita ditegur secara terbuka oleh hakim di hadapan klien kita. Saya tidak nafikan bahawa ada sesetengah hakim itu tegas tidak bertempat dan garang tidak berperasaan. Kadang-kadang sesetengah arahan hakim itu tidak masuk akal yang sihat, namun, apakan daya, kita hanyalah peguam yang melaksanakan amanah klien dan seboleh-bolehnya hendaklah kita elakkan pertembungan dengan Mahkamah demi kes yang kita bawa.

 Bagi peguam-peguam yang tidak membuat kes litigasi Mahkamah mungkin tidak berpeluang untuk lepak-lepak di kafeteria tetapi sewajarnya peguam-peguam ini hendaklah sekali sekala membuat open table dan mengajak kawan-kawan untuk hadir berkongsi rezeki dan ilmu.

Tidak mungkin untuk seorang peguam itu untuk tahu serba serbi. Ada perkara yang mungkin beliau tidak tahu berkaitan amalannya sehari hari seperti isu percukaian GST atau CKHT. Perjumpaan sebegitu akan mengkayakan pengetahuan kita.

Selain itu, kita boleh juga hadir di majlis atau program yang dianjurkan oleh persatuan peguam atau Majlis Peguam. Di kesempatan begitu, kita berpeluang untuk berjumpa dengan rakan-rakan peguam yang lain dan bertukar-tukar maklumat.

Kesimpulannya, jika seorang peguam ingin berjaya dalam profesionnya maka hendaklah beliau bergaul dengan teman dan rakan peguam yang lain. Ilmu yang diperolehi semasa beramal adalah untuk dikongsi. Ada peguam yang kedekut untuk berkongsi ilmu kerana khuatir orang akan tahu rahsia bisnes guamannya. Pada saya, itu adalah langkah yang salah kerana berkongsi ilmu ada 2 faedah, membetulkan kesilapan dan mengembangkan pengetahuan.

Selamat berjaya.



Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor