Semalam (11.2.2016) saya berasa amat gembira kerana saya telah berkhidmat dengan sebaik baiknya kepada anakguam saya. Saya mula mewakili anakguam saya dalam kes perlaksanaan perintah harta sepencarian pada tahun 1999. Anakguam saya sebelum itu telah 10 tahun berjuang di mahkamah syariah bagi mendapat haknya dalam kes harta sepencarian setelah bercerai pada tahun 1998. Pada masa itu beliau menggunakan khidmat guaman seorang peguam lain. Akhirnya, setelah beberapa tahun, suatu perintah muktamad harta sepencarian telah diperolehi di Mahkamah Rayuan Syariah. Oleh kerana tempoh masa berguamnya sangat panjang maka beliau telah kehabisan dana untuk membiayai kos guaman berikutnya.
Sewaktu beliau berjumpa saya, beliau menyatakan bahawa tidak mampu lagi untuk membayar kos guaman. Setelah melihat kepada perintah itu saya menjangka bahawa kes beliau tidaklah begitu sukar kerana ianya hanya berkaitan perlaksanaan perintah. Saya bersetuju untuk memulakan kesnya dengan bayaran guaman permulaan yang sangat rendah dan bayaran guaman sepenuhnya akan dijelaskan setelah wangnya diperolehi.
Saya telah menfailkan permohonan saman penghutang penghakiman dan berjaya mendapatkan sebahagian kecil daripada wang beliau. Dapatlah beliau membayar lagi sebahagian daripada yuran guaman. Saya pada masa itu masih menaruh harapan bahawa kes ini akan dapat segera diselesaikan.
Namun, perintah muktamad di Mahkamah Rayuan Syariah itu tidak lengkap. 2 perkara penting gagal diperincikan iaitu berkaitan tempoh masa perlaksanaan dan jumlah yang harus dibayar. Perintah itu cuma membuat pecahan pembahagian harta sepencarian sahaja. Tambahan pula, ada terma yang tidak jelas berkaitan perintah itu yang mana terma itu bercanggah dengan alasan penghakiman yang diberikan.
Menyedari hal itu, peguam penghutang penghakiman selanjutnya telah membangkitkan isu kesilapan dalam terma perintah Mahkamah Rayuan dan telah membuat pula prosiding semakan di Mahkamah Rayuan dan akhirnya sebahagian terma perintah awal itu telah diubah kembali. Perubahan ini memberikan kesan kepada pecahan bahagian yang sepatutnya diterima oleh anakguam saya. Tetapi anakguam saya redha dengan hal berkenaan.
Setelah itu, berbangkit pula isu perintah tersebut tidak menyatakan tempoh dan jumlah bayaran yang perlu dilangsaikan. Jadi, saya terpaksa pula menfailkan satu permohonan baharu bagi menetapkan tempoh masa bagi perlaksanaan perintah dan jumlah yang patut dibayar. Kes itu akhirnya berlanjutan dari Mahkamah Tinggi sehingga Mahkamah Rayuan.
Ketika prosiding di atas berlangsung terdapat juga beberapa permohonan lain berkaitan injunksi pembekuan harta yang telah difailkan oleh pihak-pihak.
Setelah beberapa tahun, akhirnya Mahkamah Rayuan telah memuktamadkan jumlah yang perlu dibayar oleh penghutang penghakiman itu. Namun, penghutang penghakiman tetap enggan membayar jumlah yang ditetapkan.
Anakguam saya telah buntu. Beliau juga telah putus dana. Saya pun berasa tidak mampu lagi untuk meneruskan kes disebabkan ketiadaan bayaran fee guaman dan beban kerja yang banyak.
Namun, saya juga kasihan terhadap anakguam saya kerana beliau pasti tidak mampu untuk mengupah peguam lain. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk terus membantu anakguam saya dan melupakan masalah bayaran guaman. Matlamat saya adalah untuk membantu anakguam saya menegakkan keadilan bagi dirinya dalam mendapatkan haknya.
Dengan kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa, anakguam saya dapat tahu penghutang penghakiman ada menyimpan wang di dalam satu akaun. Setelah mendapat pengesahan tentang kesahihan maklumat itu, saya membuat kajian dan saya simpulkan bahawa kaedah hiwalah adalah kaedah terbaik untuk melaksanakan perintah itu. Masalahnya, tindakan hiwalah ini tidak popular di mahkamah syariah dan sangat jarang dilakukan. Malah, pegawai mahkamah sendiri pun tiada pengalaman. Saya telah meneroka jalan sendiri dan dengan izin Allah yang Maha Agung, proses hiwalah itu berjaya dan anakguam saya berjaya mendapat hasil tuaian bernilai ratusan ribu ringgit. Saya pun.mendapat juga tempias daripada hasil tuaian itu. Alhamdulillah! Dapatlah saya gunakan sebahagian wang itu untuk membayar deposit kereta baharu.
Namun, hal itu tidak berhenti setakat itu sahaja. Penghutang penghakiman terus melancarkan serangan balas dengan menfailkan beberapa tuntutan lain. Noktahnya, pada hari semalam yang mana tuntutan yang difailkan itu telah ditolak oleh Mahkamah.
Bayangkan, saya telah menghitung kembali dan mendapati saya telah mengarang 11 set hujahan bertulis dalam tempoh mulai tahun 2009 sehingga 2016. Ini bermakna sekurang-kurangnya ada 11 kes yang telah saya kendalikan bagi seorang anakguam ini. Bayangkan, setiap kes yang difailkan itu tidak pernah dapat diselesaikan melainkan dengan perintah mahkamah sahaja. Kes ini yang bermula di Mahkamah Tinggi Syariah akan berakhir di Mahkamah Rayuan Syariah. Tidak kurang ada 4 perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah. Ada kes interlokutori yang tidak dibawa ke Mahkamah Rayuan Syariah kerana ada halangan perundangan atau kerana sudah tidak larat untuk dibawa ke sana.
Nah! Inilah yang saya maksudkan sebagai istiqamah dalam kepeguaman. Peguam mesti tekun dengan arahan yang diterima daripada anakguam. Sesuatu kes mesti dikendalikan dengan sepenuh hati dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Segala tumpuan jiwa dan pemikiran akal mesti dicurahkan dalam proses mendapatkan hasil yang terbaik untuk anakguam. Proses ini memerlukan peguam untuk berfikir di luar kotak kebiasaan pemikiran lazim peguam. Peguam mesti berani mencuba perkara baharu yang boleh memberikan nilai tambah kepada kepada anakguam. Peguam juga tidak boleh penat kerana jika peguam penat maka anakguam juga akan penat. Akhirnya, hasil yang diharapkan gagal diperolehi. Perkara ini tidak dipelajari di universiti. Perkara ini hanya dapat dipelajari melalui pengalaman dan penelitian terhadap amalan guaman peguam terdahulu. Saya sendiri mempelajari hal ini setelah menekuni kerja-kerja yang dibuat peguam senior seperti Mendiang Karpal Singh, Dato’ Hj Sulaiman Abdullah dan Datuk Hj Mohd Ariff Yusof. Ramai lagi peguam senior yang kita boleh jadikan contoh teladan. Peguam-peguam senior ini akan berusaha yang terbaik untuk anakguam mereka dengan mencari apa jua ruang perundangan meskipun kecil dan isu yang kecil itu akhirnya menjadi isu besar yang natijahnya berpihak kepada mereka.
Hari ini saya hati saya sangat puas hati dengan perjalanan kes yang bermula pada tahun 2009 dapat dinoktahkan setelah melalui ranjau dan onak berduri. Kepenatan menyiapkan pliding dan hujahan telah hilang dan telah digantikan dengan rasa kepuasan yang tidak terhingga. Kepenatan itu juga telah memperkayakan khazanah ilmu dan amalan kepeguaman dalam diri ini yang mana kedua-duanya itu boleh dimanfaatkan untuk kes-kes yang lain. Maka, istiqamahlah dalam beristiqamahlah dalam kepeguaman kerana istiqamah itu menjanjikan kejayaan berterusan.
Comments
Dr,saya seorang mahasiswa llb & llbs UIAM. Saya begitu berminat dan cenderung dalam guaman syariah berbanding sivil. Adakah patut saya teruskan chambering shariah tanpa sivil? Terima kasih melayani pertanyaan saya yang sedang buntu.
lebih baik teruskan chambering dalam sivil dan syariah. ramai teman saya yang menjadi peguam syarie begitu cemburu dengan peguam syarie yang juga mempunyai lesen sivil. Mereka akhirnya mengambil kelas LLB untuk mendapatkan ijazah LLB bagi membolehkan mereka menjadi peguam sivil.
Jika saudara sudah ada kelebihan sebegitu kenapakah pula mahu sesiakannya?