Skip to main content

Memahami Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (“Akta 355”)


Semenjak Ahli Parlimen Marang mengemukakan RUU Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (“Akta 355”) pada 26 Mei 2016, polemik berkaitan isu ini bertambah panas. Isu ini menjadi panas disebabkan komen berbaur emosi dan pengaruh keagamaan tanpa difahami secara tuntas apakah persoalan yang sebenar di sebalik isu ini.

Bahkan, ramai yang tidak pernah pun membaca teks sebenar Akta 355 sebelum memberikan komen ke atas isu ini. Oleh itu, adalah wajar sekiranya kita melihat perspektif sebenar berkaitan hal ini.

Kandungan Akta 355

Akta 355 ini adalah akta yang ringkas yang hanya mengandungi 3 seksyen sahaja. Akta 355 ini dimulai dengan Tajuk Panjang dan Mukadimah yang menyatakan seperti berikut:

“Suatu Akta untuk memberi bidang kuasa kepada Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang - undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah hukum syarak.”

Seksyen 1 Akta 355 ini pula menyatakan tajuk ringkas akta ini dan menyatakan pemakaian akta ini adalah terhad di semua negeri di Semenanjung Malaysia sahaja. Kemudian, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan Dan Perluasan) 1989 (Akta A730) telah diluluskan bagi memperluaskan pemakaian akta ini di Sabah dan Sarawak.

Seksyen 2 Akta 355 ini menyatakan seperti berikut:

“Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”

Adalah nyata bahawa S. 2 Akta 355 ini menetapkan bidangkuasa yang terhad kepada Mahkamah Syariah. Bidangkuasa yang dimaksudkan itu adalah:

  1. Kesalahan yang boleh dihukum adalah terhad kepada kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam (precepts of the religion of Islam).[Lihat kes Sulaiman Takrib v Kerajaan Negeri Terengganu; Kerajaan Malaysia (Intervener) & other cases [2008] 3 MLRA 257 berkaitan definisi ‘precepts of Islam’].

  1. Kesalahan itu dilakukan oleh penganut agama Islam.

  1. Kesalahan itu hanya boleh dihukum dengan penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih RM5000 atau sebatan tidak lebih 6 kali atau gabungan hukuman-hukuman itu.

Seksyen 3 Akta 355 pula adalah berkaitan dengan keesahan perbicaraan yang dijalankan sebelum berkuatkuasanya Akta 355 ini iaitu tiada sesiapa boleh mencabar kesahihan perbicaraan sebelum itu.

Keperluan kepada Akta 355

Akta 355 ini diwujudkan atas sebab kehendak Perlembagaan Persekutuan iaitu Item 1 - List II (State List) yang menyatakan seperti berikut:

“... keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan;...”

[teks asal - “...the constitution, organization and procedure of Syariah courts, which shall have jurisdiction only over persons professing the religion of Islam and in respect only of any of the matters included in this paragraph, but shall not have jurisdiction in respect of offences except in so far as conferred by federal law;...”]

Oleh itu, kewujudan Akta 355 ini adalah diperlukan kerana Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah ini perlu diperuntukkan oleh Undang-Undang Persekutuan. Undang-Undang Persekutuan yang disebut di sini adalah suatu akta yang diluluskan oleh Parlimen. Tanpa Akta 355, Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan apa-apa hukuman terhadap kesalahan syariah yang dilakukan.



Keperluan untuk meminda Akta 355

Tidak dinafikan bahawa wujud keperluan untuk meminda Akta 355 bagi meningkatkan wibawa Mahkamah Syariah. Bidang kuasa 3 tahun penjara, 5 ribu denda dan 6 bulan penjara ini kelihatan sangat rendah dan telah lapuk serta tidak relevan dalam suasana hari ini. Mungkin pada tahun 1965, hukuman itu sudah memadai sebagai permulaan. Kita juga sedar bahawa kedudukan Mahkamah Syariah 50 tahun lepas sangat daif sama ada dari segi perjawatan mahu pun infrastruktur. Pada masa dahulu, untuk mencari hakim yang benar-benar berkelayakan dan terlatih juga agak sulit berbanding pada masa sekarang. Malah, pada masa sekarang ini sudah banyak universiti yang menawarkan kursus-kursus yang relevan dengan jawatan kehakiman ini.

Bidang kuasa jenayah yang ada kini di Mahkamah Syariah sangat terhad jika dibandingkan dengan Mahkamah Sivil. Contohnya, Majistret Kelas Satu mempunyai bidangkuasa membicarakan semua kesalahan yang mana hukuman maksimanya tidak melebihi 10 tahun penjara atau dengan denda sahaja, tetapi kuasanya terhad untuk mengenakan hukuman yang tidak melebihi lima tahun penjara, denda sehingga RM10,000 dan/atau hukuman rotan sebanyak 12 kali. Mahkamah Sesyen pula mempunyai bidang kuasa membicarakan kesemua kes jenayah bagi semua kesalahan, kecuali kesalahan yang membawa hukuman mati seperti kes berkaitan bunuh atau pengedaran dadah (39B). Mahkamah Sesyen mempunyai kuasa untuk menjatuhkan apa-apa hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang selain hukuman mati.

Usaha untuk menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah sahaja adalah tidak memadai. Ianya perlu seiring dengan usaha untuk meningkatkan mutu kerja, produktiviti dan infrastruktur Mahkamah Syariah.

Jika kita membicarakan hal Mahkamah Syariah, kita juga harus melihat kepada stakeholder (pemegang taruh) lain yang menjadi sebahagian daripada komponen Mahkamah Syariah iaitu pihak pendakwaan, pegawai penyiasat dan peguam syarie. Kedua-dua institusi ini juga perlu diperkuatkan dengan melatih pegawai pendakwaan dan pegawai penyiasat.

Jika kes tidak disiasat dengan sempurna maka kes itu mungkin gagal untuk didakwa di Mahkamah Syariah. Jika tiada kes yang dibawa maka Mahkamah Syariah tidak akan ada kes untuk dibicarakan meskipun bidang kuasanya telah diangkat tinggi. Begitu juga, untuk melihat sama ada kes itu disiasat dan didakwa dengan sempurna, ianya perlu melalui proses perbicaraan yang sempurna. Seseorang tertuduh itu hendaklah diwakili oleh peguam syarie kerana lazimnya proses Mahkamah ini sangat teknikal dan tidak difahami oleh orang awam.

Walau bagaimanapun, jika kita melihat statistik kes jenayah yang didakwa di Mahkamah Syariah, kelihatan kes pendakwaan yang dibuat itu lebih banyak tertumpu kepada kes berkaitan kesalahan khalwat dan matrimoni sahaja berbanding dengan kes-kes jenayah yang lain seperti kesalahan yang melibatkan akidah, kesucian agama Islam, seksual, arak dan judi [Lihat Zulkifli Hasan, Isu Undang-Undang Jenayah Islam Di Malaysia dan Sejauh Manakah Perlaksanaannya, Universiti Sains Islam Malaysia]. Adakah ini menunjukkan bahawa tiada kesalahan syariah lain yang berlaku di Malaysia atau kemungkinan berlaku masalah perjawatan atau ketiadaan pegawai yang cekap sehingga membiarkan kesalahan jenayah syariah berleluasa dan pesalah itu tidak didakwa? Apakah keperluan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah jika kuasa itu tidak digunakan sepenuhnya?


Akta 355 Dan Kanun Jenayah Syariah II (Negeri Kelantan)(1993) 2015 (KJS 2015)

Akta 355 amat berkait rapat dengan KJS 2015. Antara kandungan KJS 2015 adalah seperti berikut:

Sariqah - kesalahan pertama - potong tangan kanan, kesalahan kedua - potong tangan kiri, kesalahan berikut - penjara tidak lebih 15 tahun.


Hirabah - dibunuh dan disalib jika mangsa dibunuh dan harta diambil; dibunuh sahaja jika mangsa dibunuh dan tiada harta diambil; dipotong tangan kanan dan kaki kiri jika harta sahaja diambil tanpa menyebabkan kematian atau kecederaan mangsa, tetapi jika cedera maka dikenakan diyat atau irsy; dipenjarakan tidak lebih 5 tahun jika tiada harta atau kecederaan berlaku.

Zina dan Liwat - direjam sehingga mati dengan batu sederhana besar jika penzina itu mohsan; atau disebat 100 sebatan jika ghairu mohsan dan penjara setahun. Hukuman liwat sama dengan hukuman zina.

Qazaf - 80 sebatan dan keterangannya tidak boleh diterima sehingga dia bertaubat.

Syurb - antara 40 sehingga 80 sebatan.

Irtidad - hukuman hudud/penjara

Qisas (qatl-al-’amd) - hukuman bunuh balas atau penjara seumur hidup.

Qisas (qatl-shibhi al-’amdi) - diyat/penjara tidak lebih 14 tahun.

Qisas (qatl-al-khata’) - diyat/penjara tidak lebih 10 tahun.

Qisas (menyebabkan kecederaan badan) - qisas balas/irsy


Jika RUU Persendirian Akta 355 ini diluluskan maka secara langsung beberapa kesalahan di bawah KJS 2015 boleh dilaksanakan kecuali yang berhubung dengan hukuman mati. Meskipun ada beberapa orang yang mendakwa bahawa RUU Akta 355 ini hanya membolehkan hukuman dikenakan ke atas 4 kesalahan jenayah yang sedia ada iaitu zina/liwat, qazaf, syurb dan irtidad namun daripada sudut teknikal perundangan ianya membolehkan Mahkamah Syariah melaksanakan keseluruhan hukuman kecuali yang berkaitan dengan hukuman mati termasuk hukuman sariqah dan hirabah.


Siapakah yang patut mengemukakan pindaan Akta 355

Akta 355 adalah undang-undang Persekutuan yang digubal dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia. Namun, pemakaiannya bukan sahaja terhad kepada Wilayah-Wilayah Persekutuan tetapi juga kepada negeri-negeri. Ironinya, penubuhan Mahkamah Syariah di negeri-negeri adalah di bawah kawalan negeri berkenaan. Ketua bagi agama Islam di dalam negeri-negeri yang beraja adalah DYMM Sultan di negeri berkenaan.

Ini bermakna sebelum sesuatu pindaan dibuat kepada Akta 355, ianya perlu dirundingkan dengan semua pihak berkaitan. Pihak Kerajaan Persekutuan tidak akan sewenang-wenangnya meminda akta tersebut tanpa berunding dengan pihak Kerajaan Negeri serta DYMM Sultan yang berkenaan. Malah, cadangan pindaan ini perlu dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk mengelakkan sebarang masalah timbul semasa perlaksanaannya kelak.

Oleh kerana ianya sebuah undang-undang Persekutuan maka ianya akan melibatkan Peguam Negara. Maka pindaan itu perlu mendapat kelulusan Peguam Negara yang akan memastikan bahawa sebarang pindaan itu tidak akan bercanggah dengan sebarang peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau pun Undang-Undang Tubuh Negeri atau mana-mana peruntukan undang-undang lain.

Setelah proses itu semua dipatuhi maka baharulah rang undang-undang itu akan dikemukakan di Parlimen untuk diluluskan. Lazimnya pihak yang akan mencadangkan untuk ianya dibahaskan adalah seorang menteri atau timbalan menteri yang akan mewakili kerajaan.

Setakat ini, belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sesuatu rang undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan tidak diluluskan.


Cadangan Pindaan Akta 355 Melalui Rang Undang-Undang Persendirian Ahli Parlimen


Setakat ini belum pernah ada Rang Undang-Undang Persendirian Ahli Parlimen (“RUU Persendirian”) yang diluluskan di Parlimen Malaysia walau pun ada percubaan sedemikian dibuat sebelum ini. Ini kerana proses untuk meluluskan RUU Persendiriaan adalah agak kompleks.

Seseorang ahli parlimen perlu mengemukakan usul untuk meminda sesuatu akta terlebih dahulu dengan mengepilkan sesalinan rang undang-undang itu dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Usul RUU Persendirian lazimnya tidak akan dibahaskan sehingga selesai semua urusan kerajaan dan seperti mana yang dimaklumi, urusan kerajaan tidak pernah habis. Oleh itu, cara lain bagi membolehkan sesuatu usul RUU Persendirian ini dibahaskan adalah dengan disokong oleh mana-mana menteri. Seseorang menteri tidak akan menyokong usul tersebut kecuali ianya memberikan kepentingan kepada kerajaan atau parti yang beliau wakili.

Setelah usul RUU Persendirian itu dibenarkan untuk dibahaskan maka speaker akan memulakan perbahasan dan diikuti dengan sesi pengundian. Lazimnya, speaker akan membuat undian secara belah-bahagi bagi RUU seperti ini dan jika majoriti undian ahli-ahli parlimen yang hadir itu berpihak kepada RUU itu maka ianya akan diluluskan. Jika usul itu diluluskan, maka ianya secara automatik akan dianggap sebagai bacaan kali pertama.

RUU Persendirian yang diluluskan kemudiannya akan dihantar kepada pejabat peguam negara untuk diteliti lebih lanjut. Bacaan kedua akan dibuat oleh menteri. Tiada tempoh masa diberikan sehingga bilakah bacaan kedua itu akan dibuat.

Jika bacaan kedua itu telah dibuat maka ianya akan melalui proses lain seperti biasa iaitu peringkat Jawatankuasa dan Bacaan Ketiga dan seterusnya dibawa pula ke Dewan Negara.

Justeru, kesulitan dalam membawa RUU Persendirian Akta 355 ini akan melibatkan proses yang lebih panjang daripada biasa. Tidak mungkin seorang menteri berani untuk membawa bacaan kedua tanpa mendapat endosmen kabinet dan lain-lain stakeholder.

Persoalannya, jika wujud kepentingan yang mendesak dalam meminda Akta 355 ini kenapakah ianya tidak dibawa terus oleh menteri, sebaliknya dibiarkan pula kepada ahli parlimen pembangkang untuk mengusulkannya.


Implikasi Akibat RUU Persendirian

Jika RUU Persendirian ini tidak diluluskan oleh Parlimen maka pasti perkembangan Mahkamah Syariah akan terencat dan terbantut. Semenjak RUU Persendirian ini dibawa oleh Ahli Parlimen Marang pada 26/5/2016, sudah kedengaran suara-suara yang mengkafirkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan Ahli Parlimen Marang itu.

Tetapi, penyokong Ahli Parlimen Marang itu perlu sedar bahawa jalan yang diambil oleh Ahli Parlimen Marang itu sangat berisiko dan boleh mendatangkan fitnah kepada Islam itu sendiri. Bayangkan jika ianya tidak diluluskan maka adakah Kerajaan Persekutuan masih lagi mahu membawa pindaan ini jika ianya gagal? Mungkinlah Menteri Kerajaan Persekutuan akan membawanya pada masa akan datang tetapi tidak mungkin dalam masa terdekat. Mungkin selepas 5 atau 10 tahun lagi.

Selain itu, katakan jika RUU Persendirian diluluskan sekali pun, KJS 2015 masih belum boleh dilaksanakan sehingga pindaan itu menjadi undang-undang. Adakah Ahli Parlimen Marang mempunyai kuasa untuk mendesak Menteri Kerajaan Persekutuan untuk membentang Bacaan Kali Kedua di Parlimen kelak?

Jika Ahli Parlimen Marang mempunyai kuasa untuk mendesak, kenapakah Ahli Parlimen Marang tidak mendesak Menteri untuk membentangkan RUU ini untuk Bacaan Kali Pertama supaya ianya tidak perlu dibahaskan dan boleh terus dimasukkan ke dalam Bacaan Kali Kedua. Cara ini lebih praktikal dan akan kurang mendatangkan tohmah dan fitnah sesama umat Islam.

Selain itu, sudah beberapa minggu isu ini dijaja dan dipolitikkan kononnya pihak-pihak tertentu itu adalah pejuang Islam yang akan mendaulatkan Islam di bumi Malaysia. Akta 355 ini sudah wujud semenjak tahun 1965 iaitu kira-kira separuh abad yang lampau. Mengapakah ‘pejuang Islam’ itu tidak membawa cadangan pindaan RUU Akta 355 itu seawal tahun 1993 iaitu selepas KJS II 1993 diluluskan di Dun Kelantan?

Mahkamah Syariah bukan hanya tempat untuk membicarakan kes jenayah. Malah, sebahagian besar kes di Mahkamah Syariah adalah berkaitan dengan matrimoni atau hal ehwal perkahwinan/perceraian. Sehingga kini, masih banyak aduan yang diterima oleh wanita-wanita yang mempunyai masalah dalam rumah tangga yang belum dapat diselesaikan. Mungkin ‘pejuang Islam’ juga mahu merangka sesuatu jalan keluar bagi wanita dan ibu tunggal yang tersepit ini.

Ini tidak bermakna usaha untuk meminda Akta 355 ini patut diketepikan, tetapi apa yang patut dibuat adalah pindaan sepatutnya dibuat melalui menteri dan bukan secara RUU Persendirian yang dibuat pula secara tergopoh-gopoh tanpa perbincangan dengan stakeholder berkaitan.

Kaitan Orang Bukan Islam dan Akta 355

Kedengaran juga suara-suara lantang yang menyatakan bahawa orang bukan Islam usah masuk campur urusan pindaan Akta 355 kerana ianya tidak menyentuh hal ehwal orang bukan Islam. Hujahan ini jika dilihat selapis nampak benar. Namun, jika dilihat daripada perspektif berbeza, ianya juga akan melibatkan orang bukan Islam kerana orang bukan Islam juga adalah warganegara Malaysia.

Malah, jika RUU Persendirian ini dibentangkan dan diundi, pasti undi ahli parlimen bukan Islam juga berharga. Negara ini mengamalkan amalan demokrasi berparlimen. Setiap warganegara berhak untuk bersuara dan mengemukakan pandangan mereka. Malah, ianya selari dengan ajaran Islam kerana Islam tidak melarang orang bukan Islam untuk bersuara. Sepatutnya, segala teguran dan kebimbangan yang ada di kalangan orang bukan Islam itu didamaikan dengan proses rasional dan hujah, dan bukan dengan maki hamun dan marah-marah. Proses itu juga adalah selari dengan konsep dakwah.

Islam adalah rahmat untuk sekalian alam. Tindakan sesetengah orang Islam yang mencemuh orang bukan Islam bukan sahaja akan menimbulkan suasana tidak harmoni bahkan akan menutup pintu dakwah.

Kesimpulan: Jalan Ke Hadapan

Adalah lebih baik sekiranya cadangan RUU Persendirian ini diteliti semula sebelum ‘nasi menjadi bubur’. Sehingga kini, RUU Persendirian ini belum dibahaskan lagi dan belum diundi. Kemungkinan Speaker Parlimen membenarkannya untuk dibahaskan dan diundi masih belum pasti. Namun, jika Speaker Parlimen membenarkannya untuk dibahaskan dan diundi, ianya akan mendatangkan risiko yang besar berbanding laba yang diperolehi. YB Nancy Shukry dan Tan Sri Adenan Satem sudah awal-awal mengatakan tidak akan menyokong RUU Persendirian ini. Begitu juga dengan Ahli-Ahli Parlimen daripada PKR, DAP, Gerakan, MCA dan MIC. Apakah Ahli Parlimen Marang berharap sokongan mutlak dari Ahli Parlimen UMNO? Kita hampir pasti sebahagian daripada Ahli Parlimen UMNO akan ‘ghaib’ daripada Parlimen pada hari pengundian RUU Persendirian ini.

Sekiranya RUU Persendirian ini gagal untuk diluluskan, pasti suatu masa yang panjang diperlukan sebelum menteri membawa cadangan pindaan ini semula. Sekiranya, ianya diluluskan sekali pun belum tentu menteri akan membawanya untuk Bacaan Kali Kedua dalam masa terdekat sehingga menteri menyelesaikan proses biasa yang dibuat dalam membentangkan RUU seumpama ini.

Biarlah perlaksanaan hukum Islam dapat dilaksanakan dengan harmoni di negara ini tanpa wujud sebarang prasangka dan tohmahan yang akhirnya akan merugikan umat Islam untuk jangka masa panjang. Kita semua beriman bahawa Islam adalah agama yang terbaik bukan setakat untuk orang Islam tetapi untuk segala makhluk yang bernyawa mahupun yang mati. Oleh itu, penuhi jiwa ini dengan semangat ‘khalifah’ sebagaimana asal tujuan penciptaan manusia. Seorang khalifah bukan setakat mahu mentadbir orang Islam tetapi mentadbir keseluruhan umat manusia, haiwan, batu batan dan tumbuh-tumbuhan. Seorang khalifah yang dihantar ke muka bumi ini mempunyai tugas untuk memakmurkan bumi, tidak berbuat kerosakan, selalu tunduk dan patuh kepada Allah SWT dan selalu bersabar dalam segala ujian.

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".(Q.S.2:30).


Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor