Skip to main content

Pengurusan Kewangan - Bagaimanakah ingin berjaya dalam profesion guaman - Siri 13

     Baru-baru ini dilaporkan bahawa mereka yang berpendapatan RM5000 sebulan dan tinggal di kota adalah dalam keadaan cukup-cukup makan. Bagi sesetengah orang, jumlah tersebut sudah dianggap sebagai jumlah yang besar. Laporan itu menyatakan bahawa lelaki berkenaan mempunyai seorang isteri dan dua orang anak. Seorang anak sudah bersekolah berumur 11 tahun dan seorang lagi masih kecil berumur setahun. Lanjutan daripada laporan tersebut, beberapa radio di ibu kota telah mendapatkan pandangan beberapa pendengar dan para penyelidik. Seorang penyelidik menyatakan dalam temu bual radio itu bahawa jumlah pendapatan yang agak selesa sedikit jika tinggal di ibu kota ini adalah sebanyak RM8000 sebulan.

    Bagi seorang peguam, gaji yang diperolehi pada masa mula-mula menjadi peguam tidak akan mencapai jumlah RM5000 sebulan. Gaji RM5000 sebulan itu mungkin akan dicapai jika sudah bekerja 3-6 tahun. Gaji permulaan seorang peguam di ibu kota ini mungkin sekitar RM2500 - RM3500 sebulan. Malah ada yang memulakan pekerjaannya dengan jumlah RM2000 sebulan. Jika tidak silap ingatan. saya dahulu memulakan kerjaya pada tahun 2000 dahulu dengan gaji permulaan RM1000 sebulan. Selepas tamat tempoh 'probation' gaji dinaikkan menjadi RM1500 sebulan.

     Ini hakikat pekerjaan sebagai peguam. Jika kita berkerja makan gaji maka itulah realiti hidup yang kita akan tempuhi. Ada kawan-kawan yang membuka firma sejurus selesai tamat tempoh sebagai pelatih dalam kamar. Ada yang berjaya dan ada yang tidak berjaya dan terpaksa menutup firma tanpa gaji. Malah, terpaksa pula menanggung hutang. 

       Kerja sebagai peguam ini memerlukan skil. Klien tidak akan sanggup membayar kepada peguam yang tidak mempunyai skil untuk menyelesaikan masalah mereka. Tetapi, klien sanggup membayar puluhan ribu kepada peguam yang mempunyai skil dan dapat menyelamatkan mereka daripada rugi jutaan ringgit. Skil ini memerlukan masa dan usaha untuk membinanya. Bagi peguam muda, saya menyarankan untuk mereka mendapatkan skil terlebih dahulu sebelum berangan-angan untuk mendapatkan pendapatan yang tinggi. 

     Oleh itu, semasa mula-mula menjadi peguam, mereka yang berpendapatan rendah ini perlu pandai menguruskan kewangan. Pengurusan kewangan adalah sangat mustahak jika peguam muda bercadang untuk menjadi peguam yang kaya. Sewaktu mula-mula menjadi peguam, tiada siapa yang bercerita hal ini kepada saya. Setelah belasan tahun menjadi peguam baharu saya sedari hal ini. Itu pun setelah saya bergaul dengan ramai peguam senior dan mendapatkan nasihat daripada pegawai bank dan konsultan percukaian. Jika perkara ini saya sedari semenjak awal sudah pasti hidup ini akan menjadi lebih mudah dan senang.

     Sebagai peguam, anda harus bijak memanipulasikan kedudukan anda (jika anda rasa perkataan 'manipulasi' ini membawa konotasi negatif, sila tukar kepada perkataan yang lebih positif seperti 'mencari peluang'). Sebagai peguam, anda tidak terikat dengan segala macam arahan dan perintah birokrasi sebagaimana penjawat awam. Anda adalah seorang yang bebas. Anda bebas untuk membuat perniagaan lain dan mendaftarkan perniagaan anda secara sah. Anda juga bebas untuk membuat apa-apa aktiviti yang boleh mendatangkan wang selepas tamat waktu berkerja berbanding penjawat awam.

     Jika anda tinggal di ibu kota, peluang anda untuk mendapatkan hasil pendapatan sampingan amatlah cerah. Anda boleh menjadi pemandu Uber. Seorang pemandu Uber secara part time dilaporkan boleh meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM3000 sebulan. Jika anda malas menjadi pemandu Uber, anda juga boleh berniaga burger pada waktu malam atau membuka gerai untuk menjual pisang goreng. Anda tidak perlu bertungkus lumus untuk memasak burger, tetapi anda boleh mengupah orang lain untuk menjual burger tersebut. Anda juga boleh menyediakan sandwich atau menggoreng karipap dan meletakkan sandiwich atau karipap itu di mana-mana kedai makan sebelum anda pergi ke mahkamah dan boleh memungut hasilnya pada waktu petang. Jika anda merasakan tugasan untuk menjual burger atau menjadi pemandu Uber adalah sukar, anda boleh menjual unit trust atau insuran takaful secara sambilan. Anda juga boleh menjadi ejen hartanah di samping menjadi peguam. Komisen ejen hartanah adalah lebih besar daripada fee untuk mengendalikan proses jual beli hartanah. Anda seorang peguam dan seorang peguam lazimnya mempunyai otak yang cekap daripada orang kebanyakan dan mampu berfikir lebih daripada orang biasa. Maka, peluang seperti ini perlu direbut tatkala anda masih muda dan mempunyai tenaga yang kuat.

    Selain daripada mencari pendapatan tambahan, peguam muda juga boleh bertindak dengan lebih bijak dengan mengumpulkan pendapatan itu dalam satu akaun khas. Sebaiknya peguam muda itu mendaftarkan sebuah perniagaan dengan Pendaftar Perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Memadailah jika pendaftaran itu dibuat atas nama milikan tunggal. Jika anda menggunakan nama sendiri, kos pendaftaran itu hanyalah RM50 sahaja setahun. Jika anda mendaftarkan terus untuk tempoh 5 tahun, SSM dahulu mengenakan yuran pendaftaran minima sebanyak RM150 tahun. Saya tidak pasti sama ada kadar minima ini masih ada atau tidak. Dengan sijil pendaftaran itu, peguam muda boleh membuka akaun semasa atas nama perniagaan itu. Saya menyarankan agar semua gaji atau pendapatan dimasukkan ke dalam akaun perniagaan ini bagi tujuan untuk membina profil kewangan yang baik. Jika peguam muda berhasrat untuk membuat pinjaman, maka tempoh masa sekurang-kurangnya setahun atau dua tahun diperlukan untuk membina profil kewangan yang baik. 

    Katakanlah, gaji yang diterima adalah sebanyak RM2500 sebulan dan pendapatan tambahan pula adalah sebanyak RM1500 sebulan maka gaji yang terkumpul adalah sebanyak RM4000 sebulan. Jika peguam muda memohon pinjaman perumahan berdasarkan gaji RM2500 sebulan maka mungkin peguam muda hanya mampu untuk membeli rumah berharga RM150 - RM250 ribu sahaja. Tetapi, jika gaji yang dikemukakan adalah sebanyak RM4000 sebulan mungkin kelayakan untuk pinjaman perumahan tersebut dinaikkan kepada RM400 - RM500 ribu. Tambahan lagi, harga rumah yang agak selesa di Kuala Lumpur ini adalah sekitar RM500 ribu. Jika isteri juga berkerja, peguam muda boleh juga mendepositkan pendapatan isteri ini ke dalam akaun perniagaan ini. Katakan isteri itu berpendapatan RM3000 maka jumlah pendapatan bulanan akan meningkat kepada RM7000 sebulan (tetapi jangan lupa untuk keluarkan balik wang isteri itu dan serahkan balik kepada beliau). Dengan cara ini, peguam muda boleh membina profil kewangan yang hebat kerana pegawai bank hanya ingin melihat fakta dan nombor yang tertulis. Mereka tidak berminat mengenai apa yang berlaku di sebalik tabir.

    Satu perkara yang mustahak, pegawai bank juga akan melihat sama ada jumlah pendapatan itu sama atau tidak dengan jumlah cukai yang dibayar. Sebab itu saya katakan bahawa peguam muda mesti mendapat khidmat perunding percukaian untuk hal ini. Akaun itu hendaklah diaudit dan laporan kewangan perlu dibuat. Jika pendapatan yang ditunjukkan di dalam akaun itu sebanyak RM7000 sebulan maka cukai yang dibayar juga hendaklah sama dengan jumlah RM7000 itu. Kos bagi mengupah perunding percukaian ini sekurang-kurangnya sebanyak RM1000 - RM1500. Kos ini tidaklah besar jika dibandingkan dengan penjimatan daripada segi pengiraan pendapatan dan perbelanjaan kerana beberapa perbelanjaan boleh diserap masuk ke dalam akaun perniagaan seperti kos internet, tuntutan perjalanan dan lain-lain. Selain itu, jika peguam muda memohon pinjaman perumahan dengan jumlah pendapatan RM7000 pasti had pinjaman itu lebih tinggi. 

    Dengan jumlah pendapatan yang lebih tinggi, peguam muda boleh memohon untuk mendapatkan pelbagai pinjaman seperti pinjaman perumahan, perniagaan dan peribadi. Tujuan meminjam bukan untuk bermewah-mewah tetapi bagi membina tapak kewangan yang lebih stabil. Umpamanya bagi membeli hartanah yang boleh menjana pendapatan tambahan daripada sewa atau kenaikan harga. Bayangkan jika rumah teres dua tingkat yang dibeli pada tahun 2008-2009 hanya bernilai antara RM200 - RM300 ribu tetapi nilaiannya sekarang adalah sekurang-kurangnya RM400 - RM600 ribu. Jika peguam muda bijak membuat pelaburan sebegini, akhirnya peguam muda tidak lagi perlu berkerja sambilan menjual burger atau karipap. Namun, jika wang pinjaman itu digunakan untuk bermewah-mewah dengan membeli kereta besar, makan besar dan berjoli sana sini maka anda sebenarnya menempah mala petaka dan bencana.

   Akhirnya, peguam muda hendaklah bijak menggunakan kesempatan dan peluang yang ada. Jika kita pandai memanfaatkan peluang yang ada maka kita mampu mengubah nasib hidup kita sendiri. Kita perlu bergaul dengan peguam dan lain-lain anggota masyarakat untuk kita mendapatkan idea-idea kehidupan. Kita juga perlu bijak meminimakan kos kehidupan dan memaksimakan pulangan terhadap apa-apa aktiviti perniagaan yang kita buat. Usah sesekali terlibat dengan pelbagai skim cepat kaya waimma atas nama Syariah sekalipun. Skim yang menjanjikan pulangan lebih 15% setahun itu kebanyakannya adalah skim penipuan yang memutar duit orang ramai untuk membayar keuntungan kepada upline. Jika ada apa-apa perniagaan yang ingin kita ceburi, pastikan kita mempunyai kuasa untuk memantau aktiviti perniagaan dan kewangan. 

      

     

Comments

Unknown said…
salam tuan mohon bertanya,

1-katakan suami bergaji 5000, isteri bergaji 3000, jumlahnya 8000.
2-kemuadian mereka buat satu company Bini Enterprise.
3-income Bini Ent ialah 8000 kerana setiap bulan gaji dimasukkan kesini.
4-katakanlah cukai enterpr1se 30%, dan cukai sy bayar 12ribu(sy tak pasti tentang percukaian dan tembak saja nilainya dulu).
5-adakah bermakna saya bayar cukai 2 kali iaitu sewaktu dpt gaji 5k & 3k, kemudian bayar lagi untuk syarikat Bini Ent?
DrZ said…
elok tanyakan pakar spt tax consultant. Setakat ini saya hanya bayar satu cukai sahaja

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor