Skip to main content

Ke Mana Arah RUU 355


Perkembangan mutakhir RUU 355 ini nampaknya semakin giat diperkatakan. Saya menerima klip video dan poster yang berkempen supaya semua orang menyokong Ahli Parlimen Marang semasa pembentangan RUU 355 pada bulan Oktober ini. Saya juga ambil maklum bahawa penyokong Ahli Parlimen Marang telah menubuhkan jawatankuasa yang dianggotai para ustaz untuk tujuan memberikan kuliah berkaitan RUU 355 di masjid, surau atau di dewan kuliah. Terdapat juga jawatankuasa yang ditugaskan untuk berjumpa dengan NGO bagi mengadakan ‘engagement’ untuk tujuan menyokong RUU 355. Saya terlihat di FB saya sekumpulan warga guru di Pulau Pinang yang membuat ikrar beramai-ramai untuk menyokong RUU 355 ini. Ada juga seruan daripada aktivits Felda yang membuat gesaan supaya kesemua warga Felda membuat desakan kepada ahli parlimen masing-masing untuk menyokong RUU 355 Ahli Parlimen Marang. Beberapa himpunan juga diadakan untuk menzahirkan sokongan kepada RUU 355. Di puncak klimaks itu, saya terbaca Nota Kesal Terhadap Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan.


Saya semakin tidak faham apakah sebenarnya arah dan halatuju RUU 355. Adakah RUU 355 ini dibentangkan bagi tujuan supaya Parlimen meluluskannya atau bagi tujuan meraih undi politik untuk PRU 14 kelak.


Jika tujuannya adalah untuk mendapatkan kelulusan di Dewan Rakyat, kenapa pula warga guru digembeling semata-mata untuk dibuat penerangan dan untuk membuat ikrar sokongan kepada Ahli Parlimen Marang. Warga guru itu bukanlah ahli parlimen yang dapat mengundi di Dewan Rakyat. Saya ada berbual dengan rakan saya, seorang pensyarah kanan undang-undang di sebuah universiti tempatan berkaitan tindakan warga guru ini dan pada pendapatnya, tindakan ini adalah refleksi kepada sindrom ‘bebalism’ dan ‘pandirism’ yang semakin merebak dalam negara ini.


Saya tidak nampak keperluan untuk menggembeling semua warga Malaysia bagi menyokong RUU Marang ini. Warga Malaysia tidak mengundi di Dewan Rakyat. Hanya ahli parlimen yang akan mengundi di Dewan Rakyat. Adakah penyokong RUU 355 Ahli Parlimen Marang ini sedar bahawa ini objektif yang perlu dicapai adalah akhirnya untuk mendapat undi majoriti mudah daripada ahli-ahli Dewan Rakyat.


Sekiranya program yang dibuat itu berbentuk forum atau sidang meja bulat maka ianya tidaklah menjadi sesuatu yang ralat. Misalnya, forum yang dibuat oleh IKRAM tempohari banyak memberikan maklumat dan kefahaman. Begitu juga perbincangan terfokus dengan kumpulan stakeholders seperti persatuan peguam syarie atau pegawai mahkamah seperti yang dibuat oleh Persatuan Peguam Syarie Kelantan kerana mereka adalah warga yang dekat dengan isu RUU 355. Melalui metod ini, isu-isu berkaitan RUU 355 ini dapat dikenalpasti dan penambahbaikan dapat dibuat.


Masalahnya, program yang banyak dibuat di seluruh negara adalah kuliah di masjid dan surau atau himpunan. Program seperti ini hanyalah sekadar untuk menaikkan emosi orang ramai bagi meraih sokongan politik. Emosi jamaah surau dan masjid serta peserta himpunan disuburkan dengan ucapan yang berapi-api kononnya ini pertentangan antara orang Islam dan bukan Islam. Peserta diapi-apikan bahawa orang bukan Islam tidak sepatutnya campur tangan dalam RUU 355 ini. Bahkan ada yang menyatakan bahawa jatuh hukum wajib kepada ahli parlimen Islam untuk menyokong RUU 355 seolah-olah sesiapa yang tidak menyokong RUU 355 Ahli Parlimen Marang ini akan jatuh berdosa. Tindakan Ahli Parlimen Marang ini sudah menjadi perkara yang tidak dapat dipersoalkan betul atau salahnya.


Sedangkan jika ditelitikan perjalanan RUU 355 Ahli Parlimen Marang ini ada beberapa kelemahan yang wujud sepertimana yang pernah ditulis sebelum ini. Draf RUU 355 ini pun belum dapat diperjelaskan bagaimanakah ianya didrafkan. Siapakah yang mendrafkannya bagi Ahli Parlimen Marang? Apakah justifikasi ianya dibawa oleh Ahli Parlimen Marang? Kenapakah bukan Menteri yang membawa RUU 355 ini ke Parlimen sekaligus akan mempercepatkan dan mempermudahkan kelulusan RUU 355 ini? Adakah Ahli Parlimen Marang sudah berjumpa dengan Peguam Negara bagi berbincang mengenai draf yang dicadangkan? Jika diluluskan oleh Dewan Rakyat, bilakah ‘timeline’ atau jangka masa Menteri akan membawanya kepada bacaan kedua? Adakah Ahli Parlimen Marang sudah menghadap Majlis Raja-Raja untuk mendapatkan maklumbalas istana berkaitan RUU 355 ini?


Kita melihat penerangan yang dibuat di masjid dan surau serta perhimpunan awam ini tidak diperjelaskan kepada orang ramai masalah dalam RUU 355 ini. Apa yang sering diperkatakan hanyalah mengenai keperluan untuk meminda dan menaikkan had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah dan keperluan untuk meningkatkan martabat Mahkamah Syariah supaya ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan Mahkamah Sivil. Dikatakan bahawa hukuman ‘356’ itu membawa malu kepada institusi Mahkamah Syariah tanpa diperjelaskan berapakah statistik sebenar pendakwaan syarie yang dibuat dan apakah jenis kesalahan syarie yang didakwa di Mahkamah Syariah. Belum pernah setakat ini dibuat apa-apa wacana ilmiah untuk membedah masalah yang berlaku di peringkat pendakwaan syarie. Penerangan yang dibuat hanya sekadar untuk membangkitkan emosi pendengar yang juga pengundi di Dun dan Parlimen masing-masing. Pendengar yang mendengar kuliah dan ceramah itu akhirnya terpengaruh dengan emosi yang akhirnya membangkitkan perasaan benci kepada semua Ahli Parlimen yang tidak menyokong pindaan RUU 355 Ahli Parlimen Marang.


Pada hari ini saya juga ada membaca Bayan Linnas Siri 67 berkaitan isu RUU 355 yang dikeluarkan oleh SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan. Pandangan tersebut adalah amat baik dengan pernyataan kesimpulan bahawa RUU 355 ini perlu dipinda. Saya nyatakan bahawa saya bersetuju RUU 355 ini dipinda tetapi metod yang dibuat oleh Ahli Parlimen Marang ini yang tidak dipersetujui. Saya juga tidak bersetuju dengan kandungan RUU 355 Ahli Parlimen Marang ini. Saya percaya draf RUU 355 itu perlu diperbaiki bagi mengelak masalah yang mungkin timbul pada masa akan datang yang mungkin boleh menghentikan operasi terus Mahkamah Syariah.

Saya juga percaya Menteri berkenaan juga menerima saranan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar institusi Mahkamah Syariah ini diperkuatkan. Saya juga ambil maklum bahawa pihak Kerajaan Persekutuan juga telah berbuat sesuatu untuk meminda Akta 355 sebelum Ahli Parlimen Marang membuat usul RUU 355. Namun, tindakan di pihak Kerajaan Persekutuan akhirnya terhenti dengan usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang. Pada saya isu yang sebenar adalah soal kegopohan Ahli Parlimen Marang yang membuat usul tersebut tanpa rundingan dengan pihak yang berkepentingan (stakeholder) yang membuatkan pindaan RUU 355 ini menjadi kusut. Sekiranya pihak Menteri yang membawa usul pindaan Akta 355 pasti hal ini tidak menjadi polemik seperti sekarang.


Secara umumnya, kita boleh menilai setakat mana RUU 355 Ahli Parlimen Marang ini akan disokong.  Statistik yang kita lihat daripada 222 Ahli Dewan Rakyat, sebanyak 88 orang adalah UMNO; MCA - 7, MIC - 4; Gerakan - 2; PRS - 6; SUPP - 1; PBB - 14; PBRS - 1; UPKO - 3; SPDP - 4; PBS - 4. Keseluruhannya Ahli Parlimen BN adalah seramai 134 orang. Manakala keseluruhan Ahli Parlimen pembangkang adalah 88 orang yang terdiri daripada DAP - 37; PKR - 29; PAS - 14; PSM - 1; AMANAH - 6. Manakala seorang lagi Ahli Parlimen adalah bebas. Daripada keseluruhan jumlah itu jika diambil kira ahli parlimen Islam daripada UMNO (88), PAS (14), PKR (16), Amanah (6) dan Bebas (1) kesemuanya berjumlah 125 orang.


Penyokong Ahli Parlimen Marang menwar-warkan bahawa jika kesemua ahli parlimen Islam itu menyokong RUU 355 Ahli Parlimen Marang maka RUU 355 itu dapat diluluskan. Pernyataan ini sungguhpun logik tetapi tidak realistik. Sehingga kini tidak ada kepastian berapakah ahli parlimen yang sudah bersumpah setia dengan Ahli Parlimen Marang yang bersetuju untuk menyokong RUU 355 itu. Bahkan, setakat ini tiada kepastian siapakah ahli parlimen yang akan hadir pada sesi pengundian RUU 355 ini. Ketua Menteri Sarawak sebelum ini pernah menyatakan arahan beliau kepada semua Ahli Parlimen Sarawak supaya tidak menyokong RUU 355 Ahli Parlimen Marang. YB Datuk Nancy Shukri yang pada waktu itu menjadi Menteri yang bertanggungjawab mengenai undang-undang menyatakan beliau tidak akan hadir pada waktu pengundian RUU 355.


Sehingga ini belum ada apa-apa proses konsultasi antara Ahli Parlimen Marang dengan ahli parlimen selain daripada PAS. Tanpa proses konsultasi dibuat, laluan Ahli Parlimen Marang kelihatan sukar.  Bahkan, jika diukur program untuk menyokong RUU 355 yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan juga gagal padahal dikatakan pihak UMNO telah bersetuju untuk hadir sama sehingga menyebabkan kerugian kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan kerana terpaksa menyewa dewan hotel. Apakah yang diharapkan kepada Ahli Parlimen UMNO untuk mengundi RUU 355 ini jika di peringkat pemuda negeri pun sudah tidak tepati janjinya.


Namun, nasib RUU 355 ini akan berbeza jika ianya dibawa oleh Menteri. Sehingga ke saat ini belum pernah apa-apa rang undang-undang yang dibawa oleh Menteri telah gagal untuk diluluskan di Parlimen. Tambahan lagi, apa yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang itu hanyalah suatu usul untuk meminda undang-undang dan jika lulus usul tersebut baharulah usul itu akan diangkat menjadi Bacaan Pertama. Bilakah pula Bacaan Kedua dan Ketiga akan dibuat? Tiada tempoh tertentu yang ditetapkan berbanding jika kelaziman rang undang-undang yang dibawa oleh Menteri adalah Bacaan Pertama dan Bacaan Kedua akan dibuat dalam sidang yang sama atau paling lambat sidang yang akan datang.


Kesimpulannya, tindakan untuk menimbulkan polemik RUU 355 ini lebih banyak bermotifkan untuk meraih undi politik daripada untuk meningkatkan wibawa Mahkamah Syariah. Sebab itu, penerangan dan himpunan lebih banyak dibuat kepada masyarakat awam berbanding dibuat kepada ahli parlimen sendiri. Apabila emosi umat Islam diusik dengan perbandingan had hukuman di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah pasti ianya memberikan impak positif kepada parti berkenaan yang akhirnya diharap akan diterjemah ke atas kertas undi kepada parti berkenaan kelak.

Terdapat cara dan metod alternatif yang lebih mudah, kurang polemik, kurang popular tetapi mengambil sedikit masa sebelum ianya dapat dibentang di Parlimen tetapi langkah ini pasti berjaya iaitu dengan menunggu Menteri membawanya. Namun, cara ini pasti tidak menguntungkan dari segi meraih undi politik.

Comments

Rendy Ismail said…
PAS wajib bertanggungjawab di hadapan Allah kerana mempertaruhkan agama sebagai modal politik sehingga ramai rakyat menjadi mangsa kepada isu tersebut malah ada yang sangup kafir mengkafirkan sesama islam!
DrZ said…
amalan sebegitu sememangnya tidak elok. agama Islam ini sepatutnya bersifat rahmat kepada semua

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor