Skip to main content

RUU 355 : Bakal Membuka Jalan Ketidakseragaman Undang-Undang Jenayah Syariah

YB Ahli Parlimen Marang dalam usul persendirian berkaitan RUU 355 ini, antara lain telah mengusulkan seperti berikut:

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati.”

Jika usul ini diterima dan diluluskan kelak tanpa sebarang pindaan maka secara nyatanya DUN di setiap negeri berhak menggubal dan meminda Enakmen Jenayah Syariah masing-masing mengikut kehendak mereka sendiri kerana tiada had atau takat hukuman yang diletakkan di dalam Akta 355.

Mengikut usul ini, “Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah”. Apakah yang dimaksudkan oleh YB Ahli Parlimen Marang dengan undang-undang syariah? Perkataan ‘undang-undang syariah’ itu tidak didefinisikan di dalam Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri atau Enakmen Pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri.

Bagi pelajar aliran agama, mereka akan memahami bahawa undang-undang syariah adalah apa jua peraturan yang ditetapkan oleh Hukum Syarak. Pemahaman ini tidak menjadi suatu kesalahan di sisi agama Islam tetapi akan mendatangkan masalah dalam aplikasinya di dalam sistem perundangan di Malaysia.

Masalah yang akan timbul adalah apabila perkara ini dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri dan Mahkamah. Dalam konteks Malaysia, segala undang-undang dan peraturan Syariah perlu ditaqninkan atau digubal dan dijadikan undang-undang oleh Parlimen (bagi Wilayah Persekutuan) dan Dewan Undangan Negeri (bagi negeri-negeri). Undang-undang itu perlu diwartakan supaya ianya menjadi suatu pemberitahuan kepada seluruh rakyat. Maka, segala yang diperundangkan itu kelak boleh dikuatkuasakan di Mahkamah Syariah.

Kelazimannya, sesuatu undang-undang itu akan memberikan pentafsiran kepada istilah-istilah tertentu. Contohnya, perkataan “Melayu” telah diberikan definisinya yang tersendiri di dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

"Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan— (a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian;

Apabila RUU 355 menyebutkan ‘undang-undang syariah’, sewajarnya YB Ahli Parlimen Marang juga mengusulkan definisi ‘undang-undang syariah’ di dalam pindaan RUU 355 supaya para wakil rakyat, hakim dan peguam tidak perlu terkial-kial mencari definisi yang sesuai bagi makna undang-undang syariah.

Masalah juga akan timbul di peringkat penggubalan enakmen di dalam DUN kelak. Sebagaimana kita maklum, Malaysia terdiri daripada 13 buah wilayah atau negeri yang berbeza. Maka kelak setiap negeri akan menggubal enakmen jenayah syariah masing-masing mengikut pemahaman masing-masing tentang undang-undang syariah. Kita memahami juga bahawa terdapat 4 mazhab utama yang terpakai iaitu Syafie, Hambali, Hanafi dan Maliki. Bagi setiap mazhab ini pula mempunyai beberapa qaul dan pendapat.

Oleh itu, jika setiap negeri itu bebas menggubal undang-undang syariah mengikut pemahaman masing-masing maka akan wujud potensi berlakunya ketidakseragaman dalam undang-undang jenayah syariah di negeri-negeri.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa apa yang diunjurkan di sini hanya sekadar hipotesis semata-mata. Namun, jika kita melihat undang-undang jenayah syariah di negeri-negeri, kita akan dapati bahawa dalam mana had hukuman Akta 355 sebelum ini dihadkan kepada hukuman 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 sebatan rotan pun masih wujud ketidakseragaman undang-undang.

Misalnya, kesalahan perbuatan tidak sopan, perkataan tidak sopan dan menjadi muncikari di Kelantan dikenakan denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih 6 bulan. Di Perlis, bagi kesalahan perbuatan tidak sopan dan perkataan tidak sopan dikenakan denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih 6 bulan tetapi bagi kesalahan menjadi muncikari boleh dikenakan denda tidak lebih RM5000 atau penjara tidak lebih 3 tahun. Selain itu, di Perlis diwujudkan kesalahan bercumbu-cumbuan tetapi kesalahan tersebut tidak wujud secara nyata di Kelantan (melainkan jika bercumbuan itu dikatakan termasuk dalam maksud perbuatan tidak sopan. Tetapi timbul persoalan, jika perbuatan itu sama kenapakah DUN Perlis membuat suatu kesalahan khusus mengenai perbuatan ini). Di Wilayah Persekutuan, hanya kesalahan perbuatan tidak sopan dan menjadi muncikari yang disifatkan sebagai perbuatan jenayah syariah dan mempunyai hukuman sama seperti di Perlis tetapi tiada pula dijadikan kesalahan syariah bagi perkataan tidak sopan. Mungkin pengkajian mengenai perbezaan hukuman ini memerlukan suatu kajian yang khusus di masa yang lain.

Suatu ketika dahulu, Mahkamah Syariah pernah berhadapan dengan masalah ketidakseragaman undang-undang yang antara lain menyebabkan perintah mahkamah syariah di satu negeri tidak dapat dikuatkuasakan di negeri lain. Ketua Hakim Syarie Selangor, Dato’ Dr Mohd Naim Mokhtar pernah menceritakan di dalam suatu seminar kesukaran untuk melaksanakan suatu perintah waran tangkap. Pada masa itu beliau menjadi hakim syarie di Petaling Jaya dan telah mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang defendan tetapi oleh kerana sekatan dalam undang-undang pada masa itu menyebabkan waran tangkap tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana defendan itu telah memasuki negeri Wilayah Persekutuan.

Justeru, kemungkinan ketidakseragaman undang-undang jenayah syariah ini mungkin akan berlaku jika Akta 355 dipinda sebagaimana format yang diberikan di dalam usul YB Ahli Parlimen Marang. Suka juga diulangi bahawa saya tidak menentang pindaan kepada Akta 355 tetapi pandangan saya usul YB Ahli Parlimen Marang ini mungkin mendatangkan masalah kepada sistem kehakiman syariah di negara ini jika ianya diluluskan sebagaimana diusulkan.

Comments

BELAJAR BAHASA said…
Rancangan Undang-undang yang dapat membuat masalah baru perlu dipertimbangkan lagi
DrZ said…
RUU itu bukan Rancangan Undang-Undang tetapi Rang Undang-Undang. RUU itu bermakna draf undang-undang yang akan dibentangkan di DUN atau Parlimen semasa sidangnya dan akan dibahaskan. Selepas dibahaskan dan diluluskan baharulah akan dihantar kepada Agong atau Sultan utk diperkenankan. Setelah diperkenankan dan diwartakan baharulah akan sah menjadi undang-undang.

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor