Skip to main content

Apakah maksud 'cek kosong' dalam RUU 355 Dan Perbezaannya Dengan Bidangkuasa Mahkamah Sesyen Sivil


Ramai orang bertanyakan, apakah maksud 'cek kosong' atau 'blank cheque' dalam konteks RUU 355 yang dibentangkan oleh YB Ahli Parlimen Marang. Oleh itu, mustahak untuk kita memahami kesan dan implikasi daripada RUU 355 tersebut. Jika kita fahami secara sebenarnya baharulah kita faham apakah yang dimaksudkan dengan 'cek kosong' ini.


YB Ahli Parlimen Marang dalam usul persendirian berkaitan RUU 355 ini, antara lain telah mengusulkan seperti berikut:


“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati.”


Frasa yang penting untuk difahami adalah, "...Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati.”

Fahaman secara harfiah atau literal menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah berhak (yakni bebas dan mempunyai hak yang tidak boleh dipertikaikan) untuk menjatuhkan apa jua hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah (undang-undang syariah terdiri daripada hukuman hudud, qisas dan takzir) atas apa jua kesalahan (yang dibuat oleh orang Islam di Malaysia) kecuali hukuman yang membawa kepada kematian (seperti hukuman gantung sampai mati).

Ini bermakna Mahkamah Syariah bebas untuk menjatuhkan apa jua hukuman. Ya, apa jua hukuman kecuali hukuman mati! Sebenarnya frasa ini mungkin bercanggah dengan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi argumen berkaitan percanggahan dengan perlembagaan ini akan dinilaikan pada masa lain. Elok kita tumpukan kepada maksud 'cek kosong' ini.

Maksud 'cek kosong' ini kita dapat fahami bahawa Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan apa jua hukuman yang ditetapkan undang-undang syariah. Konotasi undang-undang syariah itu membawa maksud yang sangat luas dan infiniti. Pelbagai hukuman takzir boleh dianggap sebagai hukuman syariah khasnya selain daripada hukuman hudud dan qisas. 

Dr Nasimah Hussin dalam artikelnya, "The Discretionary Power of The Judge in The Determination of Ta 'Zir Punishment" [Jurnal Undang-Undang dan Masyarakat 8(2004) 125-138 di hlm 125-126] menyatakan,

"The Shari'a gives the ruler or the judge considerable discretion in the infliction of ta'zir punishments, which range in gravity from a warning to death. He has the authority to determine the punishment which he considers to be the most suitable to be inflicted on the offender, taking into account any mitigating or aggravating factors. However, it is to be remembered that though the Shari'a gives the judge freedom to use his discretion, it must not contradict the general principles of the Shari'a."

Dalam artikel itu juga, Dr Nasimah membawa beberapa contoh takzir yang pernah dilaksanakan antaranya oleh Khalifah Umar Al-Khattab r.a yang telah menghukum buang negeri ke atas Nasr ibn al-Hujjah ke Basrah kerana beliau mempunyai rupa yang sangat tampan atas alasan maslahah am (bagi mengelakkan fitnah dan kontroversi dalam masyarakat). Begitu juga, diriwayatkan bahawa Khalifah Umar Al-Khattab r.a pernah menghukum seorang muslim yang mengasah pisau di hadapan seekor kambing yang akan disembelihnya.

Dalam kata lain, hukuman takzir menurut Syariah adalah apa jua hukuman selain daripada hukuman hudud dan qisas. Perbahasan akan timbul kerana pada zaman dahulu hakim adalah mempunyai kuasa legislatif dan kehakiman. Pada masa dahulu juga, hukuman ini tidak dikodifikasi atau digubal dalam bentuk undang-undang seperti zaman sekarang. Ini bermakna seorang hakim itu bebas untuk mencipta dan mengenakan apa jua hukuman ke atas apa jua kesalahan selagi ianya tidak melanggar had hukuman hudud dan qisas.

Dr Muhammad Fathi Yusof dalam artikelnya Undang-Undang Jenayah Islam (hlm 9), menyatakan beberapa contoh hukuman takzir yang boleh dikenakan iaitu:

a. Mencela iaitu kepada orang yang melakukan tindakan yang tidak sopan. Abu Zar pernahmengaibkan seseorang, lantas Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya engkau inimasih ada pada mu (saki-baki) Jahiliyyah”.

b. Membuat pengisytiharan kepada orang ramai.

c. Mengasingkan pesalah dari masyarakat seperti hukuman Rasulullah ke atas Kaab binMalik, Murarah bin al-Rabi’ dan Hilal bin Umayyah al-Wafiqi yang tidak menyertaipeperangan Tabuk.

d. Amaran atau ancaman.e. Tahanan atau penjara.

f. Pukulan dengan rotan.

g. Merampas harta benda.

h. Denda dengan wang atau harta.

i. Buang negeri.

j. Pemusnahan barang-barang.

k. Hukuman mati.

l. Hukuman bakar.

m. Memecat jawatan.

Sebab itu, jika usul ini diterima dan diluluskan kelak tanpa sebarang pindaan maka secara nyatanya Mahkamah Syariah berhak untuk menjatuhkan apa jua hukuman selain daripada hukuman mati. Adakah Mahkamah Syariah akan melaksanakan hukuman buang negeri, pemusnahan barang-barang, hukuman bakar dan hukuman memecat jawatan?

Kita juga pernah mendengar kes-kes di luar negara yang mana ada orang yang melakukan kesalahan akan dibotakkan kepala dan diarak keliling bandar. Di Terengganu dahulu ada cadangan untuk mengarak orang gagal solat jumaat di dalam van jenazah. Kita tidak tahu apa lagi jenis hukuman yang boleh dibuat di bawah kategori takzir sekiranya takat hukuman di bawah RUU 355 ini berbentuk 'cek kosong'.

Kemungkinan ada pihak yang berhujah bahawa RUU 355 ini berbentuk umum dan kelak DUN akan menggubal undang-undang berdasarkan keperluan setempat. Sebenarnya inilah yang akan menjadi polemik kelak apabila memberi lesen besar dan 'cek kosong' kepada DUN untuk meminda Enakmen Jenayah Syariah masing-masing mengikut kehendak mereka sendiri kerana tiada had atau takat hukuman yang diletakkan di dalam Akta 355. Ini akan membawa kepada ketidakseragaman undang-undang syariah di negeri-negeri dan seterusnya akan membawa fitnah besar kepada Mahkamah Syariah sendiri. Ini kerana kemungkinan wujudnya hukuman yang berbeza di antara negeri-negeri. Hal ini telah diulas dengan panjang lebar dalam tulisan saya terdahulu [RUU 355 : Bakal Membuka Jalan Ketidakseragaman Undang-Undang Jenayah Syariah].

Seperkara lain yang menjadi pertikaian bagi pihak yang menyokong Usul YB Ahli Parlimen Marang berkaitan RUU 355 adalah bahawa Mahkamah Sesyen Sivil juga diberikan bidang kuasa yang sama, maka apa salahnya jika Mahkamah Syariah juga diberikan bidang kuasa yang sama. Hujahnya, adalah berdasarkan Seksyen 63 dan 64 Akta Mahkamah Rendah 1948 (Akta 92) yang menyatakan seperti berikut:

Bidang kuasa jenayah

 63. Mahkamah Sesyen hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan segala kesalahan selain kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati.

 Hukuman

 64. Mahkamah Sesyen boleh menjatuhkan apa-apa hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang selain hukuman mati.


Kedudukan Akta 355 hendaklah dibezakan daripada Seksyen 63 dan 64 Akta 92. Akta 355 adalah akta yang MEMBERIKAN bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah manakala Akta 92 adalah akta yang MENGHADKAN bidangkuasa Mahkamah Sesyen. Segala kesalahan jenayah dalam Mahkamah Sivil telah ditetapkan hukuman yang tetap dalam pelbagai akta lain seperti Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Hasutan 1948 dan puluhan lagi akta-akta lain yang seumpamanya.

Berbanding dengan Akta 355, ianya adalah akta yang memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah seperti mana yang terkandung di dalam Tajuk Panjang dan Mukadimah Akta 355 yang menyatakan, 



"Suatu Akta untuk memberi bidang kuasa kepada Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang - undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah hukum syarak."
Ini juga selari dengan Butiran 1 Senarai II - Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan,

"...kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan;"


Kesimpulannya, peruntukan 2A. RUU 355 yang terkandung dalam Usul YB Ahli Parlimen Marang ini tidak boleh disamakan dengan peruntukan Seksyen 63 dan 64 Akta 92 kerana kesan dan implikasinya yang berbeza.

RUU 355 ini akan membawa kepada perubahan struktur yang besar kepada Mahkamah Syariah jika ianya diluluskan. Bukan bermakna kita tidak bersetuju untuk menaikkan kadar hukuman jenayah syariah tetapi kesan yang begitu luas perlu diperhalusi supaya ianya tidak membawa kesan negatif kepada Mahkamah Syariah itu sendiri. Walaupun kita yakin dengan kebolehan hakim-hakim Mahkamah Syariah namun hakikatnya para hakim itu adalah manusia biasa yang mungkin berlaku kesilapan. Kita juga bimbang sekiranya tiada had hukuman yang jelas, maka tujuan dan matlamat sebenar hukuman itu tidak akan dapat dicapai. Cukuplah kes Kartika Sari Dewi Shukarnor yang pernah dijatuhi hukuman sebat dahulu menjadi pengajaran kepada kita betapa sekiranya kita tidak berhati-hati maka akan timbul fitnah kepada Mahkamah Syariah sendiri. Menjadi hasrat kita untuk melihat Syariah Islam dapat dilaksanakan di negara ini namun perlaksanaan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira suasana semasa akhirnya akan menjadi polemik yang akan meletakkan Islam itu di sisi defensif.


Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor