Dewasa ini perkataan “Kebebasan Asasi” atau “Hak Asasi Manusia” menjadi suatu tema yang sangat popular. Saya mula menekuni bidang hak asasi ini selepas tamat ijazah kedua (LL.B (Shariah)) pada tahun 1998. Pada waktu itu, saya bertemu dengan seorang peguam senior iaitu Tuan Hj Syed Ibrahim. Beliau mengatakan bahawa abad ini adalah abad hak asasi setelah manusia mula melepasi revolusi industri. Sesiapa yang ingin menerokai masa hadapan perlu menekuni bidang hak asasi. Pada masa itu, beliau adalah bekas pimpinan sebuah parti politik Islam. Beliau menyarankan supaya parti itu mula mengambil perhatian terhadap arus hak asasi manusia dan menggunakan pentas hak asasi bagi kebaikan umat. Walau bagaimanapun, saranan beliau itu tidak begitu diambil perhatian sehinggalah unit guaman parti berkenaan menjenamakan diri sebagai unit guaman dan hak asasi manusia. Sayang sekali, perkara itu terhenti setakat isu perundangan sahaja dan gagal digarap oleh pihak berautoriti agama di dalam parti untuk menggunakan landasan hak asasi sebagai alat untuk mengajak ke arah kebaikan.
Setelah pertemuan dengan Tuan Hj Syed Ibrahim itu, saya mula mengkaji tentang hak asasi secara lebih serius. Pada waktu itu isu hak asasi mula berkembang berikutan dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Ramai orang berdemonstrasi menentang pemecatan DSAI. Seingat saya ratusan orang telah ditahan di pusat tahanan. Polis pula mengambil langkah untuk memohon reman secara pukal. Jika tiada peguam yang membantah, pasti tahanan itu akan direman selama 14 hari. Tujuan reman itu bukan untuk menyiasat tetapi lebih kepada untuk memberikan tekanan kepada orang kena tahan supaya meninggalkan protes terhadap pemecatan DSAI. Orang yang belum pernah ditahan pasti akan insaf apabila berada di dalam lokap. Keadaan lokap pada masa itu sangat teruk. Jika ada yang ditahan di penjara Pudu, mereka terpaksa membuang air di khalayak tahanan lain kerana tandas adalah terbuka. Begitu juga tempat mandi. Yang pasti tiada kain basahan disediakan.
Saya pula mendapat tawaran untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Master in Laws di Universiti Islam Antarabangsa. Antara subjek yang ditawarkan adalah subjek ‘Perlembagaan’. Saya mendaftarkan diri untuk mengikuti kelas itu. Kebetulan pada waktu itu, yang mengajar subjek berkenaan adalah Prof. Dr Aziz Bari, seorang tokoh perlembagaan yang sedang harum pada masa itu. Corak pengajaran di peringkat ‘master’ agak berbeza dengan pengajaran di peringkat sarjana muda. Jika pada peringkat sarjana muda, kita banyak diajar dengan cara ‘spoon feeding’, pada peringkat sarjana pula kita dikehendaki untuk mentelaah dan membuat banyak tugasan. Seingat saya, pada waktu sarjana muda, kita hanya perlu membuat hanya satu tugasan (assignment) tetapi di peringkat sarjana kita perlu membuat tidak kurang daripada enam tugasan. Tugasan ini memerlukan saya untuk berada di perpustakaan beberapa jam setiap hari. Hasilnya, pembacaan yang banyak itu telah membuka minda dan membuka paradigma pemikiran yang baharu.
Akhirnya, setelah selesai segala peringkat ‘coursework’ saya perlu menulis satu disertasi untuk ijazah sarjana itu. Saya memilih untuk menulis dalam aspek hak asasi. Setelah berbincang dengan Prof Dr Aziz Bari, beliau bersetuju untuk saya menulis berkaitan hak orang yang kena tuduh. Tajuk disertasi yang dipilih pada waktu itu adalah “Rights of an arrested person under Malaysian Law : a comparative analysis with the concept of natural rights under civil and Islamic law” yang kini boleh didapati di Perpustakaan Dar Al-Hikmah, UIAM. Setelah itu, saya menyambung pelajaran di peringkat kedoktoran dan saya memilih bidang yang sama untuk mengembangkan lagi idea yang telah digarap di peringkat ijazah. Sekali lagi, saya membuat konsultasi dengan Prof Dr Aziz Bari dan beliau juga menyarankan supaya saya meneruskan bidang hak asasi ini kerana kurangnya pakar yang memahami isu hak asasi sedangkan isu ini sedang berkembang di Malaysia. Telahannya pada masa itu adalah tepat kerana kini isu hak asasi sudah memasuki arus perdana. Bahkan, Malaysia kini sedang merangka satu pelan tindakan hak asasi manusia peringkat kebangsaan selaras dengan saranan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. [Maklumat mengenai pelan ini boleh diperolehi di laman web www.nhrapmalaysia.com dan dikawal selia oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU)].
Ramai orang yang masih skeptikal dengan topik hak asasi ini tanpa memahami asal-usulnya terutama daripada pihak agamawan. Sikap skeptikal ini tidak sukar untuk difahami disebabkan subjek hak asasi ini selalu digambarkan sebagai berasal daripada barat. Apa-apa yang berasal daripada barat seringkali dikaitkan dengan perkara negatif. Dahulu internet pun dianggap negatif. Begitu juga facebook sehingga ada yang menasihati supaya jangan baca facebook tetapi bacalah Al-Quran. Bagi saya ini adalah pemahaman yang salah. Sewajarnya, seseorang itu harus membuat penilaian sesuatu perkara secara lebih objektif, ketimbang faedah dan manfaat yang bakal diperolehi daripada subjek itu. Subjek hak asasi ini sukar difahami oleh pihak agamawan kerana kurangnya pendedahan mengenai perkara ini. Sepanjang pengetahuan saya subjek ini tidak diajar di dalam jurusan syariah atau ilmu wahyu di mana-mana universiti di dalam dan di luar negara (sila betulkan jika silap).
Bagi masyarakat barat, hak asasi ini seakan-akan memberi harapan baharu kepada komuniti yang tertindas atau golongan minoriti. Ini kerana hak asasi memberikan peluang kepada golongan ini untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka kepada masyarakat dalam arus perdana. Kita lihat sahaja setiap kali sesi Universal Periodic Review(UPR) dibuat, berduyun-duyun komuniti NGO hak asasi akan pergi ke Geneva dan menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap layanan ke atas mereka atas nama hak asasi. Maka, negara yang terlibat terpaksa menjawab isu yang dibangkitkan oleh mereka. Selama ini, suara NGO berkenaan tidak didengari di dalam negara mereka dan masalah yang dibangkitkan hanya disapu di bawah ‘permaidani’ indah. Kini, setiap negara begitu bersedia untuk menjawab isu hak asasi ini kerana negara yang dikategorikan sebagai kurang mesra hak asasi akan dianggap sebagai negara yang bukan mesra pelabur. Negara yang tidak mesra pelabur akan sukar mendapatkan dana pelaburan asing dan boleh menyebabkan ekonomi negara berkenaan menguncup dan merudum.
Sebelum kita melihat lebih jauh berkenaan hak asasi manusia ini, ada baiknya kita memahami konsep dan falsafah hak asasi ini. Apakah yang tergambar apabila kita menyebut perkataan ‘manusia’? Apabila disebut perkataan tersebut akan tergambar di fikiran kita seorang manusia yang cukup sifat iaitu satu makhluk yang mempunyai kepala, otak, hidung, telinga, mulut, tangan, badan, anggota reproduksi dan kaki. Selain itu, manusia juga mempunyai anggota dalaman iaitu hati, jantung, paru-paru dan limpa.
Bagaimanakah pula dengan perkataan ‘hak asasi’? Apakah yang tergambar di fikiran kita? Perkataan ‘hak asasi’ agak sukar untuk digambarkan kerana ianya agak abstrak berbanding dengan ‘manusia’. Namun, perkataan ‘hak’ dan ‘asas’ mungkin lebih mudah untuk difahami jika kita pisahkan antara keduanya. ‘Hak’ adalah sesuatu yang menjadi milik seseorang. ‘Asas’ pula adalah sesuatu yang bersifat fundamental, atau lebih mudah jika dikatakan ia perkara paling asas atau minima yang diperlukan oleh seseorang.
Oleh itu, perkataan ‘hak asasi manusia’ boleh didefinisikan sebagai hak yang paling minima yang layak diperolehi bagi seseorang manusia sesuai dengan anggota tubuh badannya sewaktu beliau dilahirkan. Apakah pula hak-hak yang paling minima yang seharusnya diperolehi oleh seorang manusia? Tentu sekali ada nilai sejagat (universal) berkaitan hak minima bagi seorang manusia.
Sepertimana yang dinyatakan di atas berkaitan gambaran seorang manusia, hak minima yang patut diberikan kepada seorang manusia juga adalah berkait rapat dengan anggota tubuh badannya. Jika seseorang itu dianugerahkan dengan mulut, maka haknya adalah untuk bercakap dan berkomunikasi dengan orang lain termasuk memberikan apa-apa komen dan pendapat. Selain itu, mulut juga digunakan untuk memakan makanan. Jika seseorang diberikan mata, haknya adalah untuk melihat. Jika seseorang itu diberikan telinga, maka haknya untuk mendengar apa-apa bunyi termasuk mendengar pendapat yang dikemukakan oleh orang lain. Jika seseorang itu mempunyai kaki maka haknya adalah untuk berjalan, bergerak, melancong dan mengembara. Jika seseorang itu mempunyai tangan maka haknya adalah untuk menggunakan tangan tersebut untuk menyentuh dan memegang sesuatu seperti sebatang pen dan menggunakannya menulis, mengarang dan melukis atau dalam maksud lain membuat ekspresi tertentu di atas catatan tulisannya. Begitu juga jika seseorang dianugerahkan dengan otak maka otaknya itu boleh digunakan untuk berfikir. Dalam menjalankan proses berfikir, seseorang itu pasti akan menggunakan pancainderanya untuk melihat, merasa, mendengar, mencium, menyentuh dan merenung segala kejadian alam baharulah akan timbul proses pemikiran. Oleh itu, seseorang yang berfikir akan mula mahu bercakap bagi mengeluarkan pendapatnya. Umpamanya, seseorang yang pergi ke restoran akan melihat dan mencium bau makanan yang terhidang. Setelah itu, beliau akan merasa makanan itu dan setelah dirasai makanan itu beliau akan mengeluarkan pendapatnya sama ada makanan itu cukup citarasa atau kekurangan bahan perisanya. Justeru, kesemuanya ini adalah termasuk dalam ruang lingkup hak asasi bagi seorang manusia.
Setelah kita yakin seseorang itu mempunyai hak, maka adakah haknya itu boleh disekat oleh orang lain? Dalam maksud lain, adakah seseorang itu bebas mutlak untuk berbuat menurut hak yang ada pada dirinya? Secara alami atau tabie, Tuhan seakan-akan telah menetapkan bahawa hak-hak yang wujud pada seseorang itu tidaklah mutlak. Ertinya, seorang yang mempunyai mulut sememangnya berhak untuk bercakap tetapi itu tidak bermakna dia boleh menfitnah, mencerca atau memaki-hamun orang lain. Begitu juga seseorang tidak berhak untuk menggunakan tangannya untuk menulis perkara yang buruk atau membunuh atau mencederakan orang lain. Seseorang juga mempunyai kebebasan untuk bergerak tetapi haknya untuk bergerak tidaklah sampai sehingga memberikan hak kepadanya untuk menceroboh kediaman orang lain. Begitulah juga dengan sekatan terhadap hak-haknya yang lain.
Oleh itu, kesimpulannya hak asasi manusia ini adalah hak yang perlu ada pada diri seorang manusia bagi membolehkannya hidup sebagai seorang manusia yang sempurna. Hak asasi manusia ini adalah satu kalimat sakti di abad ke 21 ini. Sebenarnya perjuangan untuk mendapatkan hak asasi ini sudah timbul sejak zaman berzaman lagi. Namun, pada ketika itu perjuangan itu belum lagi dikenali sebagai ‘hak asasi manusia’. Perjuangan untuk mendapatkan hak ini akan timbul apabila berlaku penindasan oleh orang yang memerintah terhadap orang bawahannya. Apabila berlaku kezaliman seperti itu, orang bawahan akan bertindak balas dengan menuntut hak yang sewajarnya beliau perolehi. Proses tindak balas ini adalah proses alami dan tabie yang menjadi sifat dalam diri manusia.
Pada abad ke 21 ini, kesedaran untuk mewujudkan gerakan hak asasi secara sistematik berlaku setelah tamat Perang Dunia Ke-II apabila kira-kira enam juga orang yahudi telah dibunuh secara beramai-ramai oleh Adolf Hitler yang dikenali sebagai peristiwa ‘Holacaust’. Setelah itu, kesatuan beberapa buah negara telah bersepakat untuk menubuhkan satu pertubuhan yang dikenali sebagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1945. PBB pula telah merangka suatu deklarasi hak asasi manusia yang bertujuan untuk memberikan panduan kepada negara-negara anggotanya mengenai bagaimana untuk melayan manusia yang menjadi rakyat masing-masing dengan memberikan hak yang sepatutnya kepada mereka. Deklarasi ini dikenali sebagai Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) 1948.
Di Malaysia, peruntukan berkaitan hak asasi ini telah dimasukkan di dalam Bahagian II, Perlembagaan Persekutuan iaitu di dalam Perkara 5 sehingga Perkara 13. Peruntukan ini berkaitan dengan terma ‘Kebebasan Asasi’ dan tidak menggunakan terma ‘Hak Asasi Manusia’. Namun, perbezaan terma ini tidaklah sampai menggugat hak-hak yang terkandung di dalam Perlembagaan ini. Secara umumnya, kebebasan asasi yang dimasukkan di dalam Perlembagaan ini adalah hak berkaitan kebebasan diri seperti hak untuk hidup bebas tanpa ditahan melainkan jika dibenarkan oleh undang-undang, hak untuk mendapatkan konsultasi peguam jika ditahan, hak untuk dibawa ke hadapan majistret dalam tempoh 24 jam setelah ditahan, hak untuk mengetahui alasan penahanan; hak untuk tidak dipaksa berkerja atau menjadi hamba abdi; hak untuk tidak dibicarakan atas satu jenis kesalahan jenayah lebih daripada sekali; hak sama rata di sisi undang-undang dan untuk tidak didiskriminasi; hak untuk bergerak di dalam Malaysia; hak untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat, hak untuk berhimpun, hak untuk berpersatuan; kebebasan beragama dan mengamalkan ajaran agama masing-masing dengan bebas dan harmoni; hak berkaitan pelajaran; dan hak untuk memiliki harta yang mana harta itu tidak boleh diambil secara paksa daripadanya melainkan diberikan pampasan yang sewajarnya.
Perbincangan mengenai kebebasan diri dan hak asasi ini sangat panjang dan meluas. Mungkin berjilid-jilid buku boleh dihasilkan tentang subjek hak asasi ini. Aneh sekali, ramai orang yang mencemuh hak asasi tanpa memahami apakah itu hak asasi. Dalam hal ini, saya mendapati Buya Hamka lebih terkehadapan dalam hal ini sehingga beliau menulis satu buku khas mengenai hak asasi. Buya Hamka sebagai seorang agamawan terkemuka tidak menolak secara total idea hak asasi tetapi beliau berusaha untuk membaca, membuat perbandingan dan mendamaikan konsep hak asasi yang terkandung dalam agama Islam itu sendiri dengan doktrin hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Jika ada kesempatan lain, setiap satu hak ini boleh dikupas dengan lebih mendalam supaya setiap orang dapat memahami teori dan amalan hak asasi di Malaysia serta perbandingannya dengan undang-undang antarabangsa. Isu hak asasi ini sangat mustahak untuk dibincangkan kerana perlaksanaan hak asasi ini tidak mungkin dapat dibuat tanpa kerjasama dengan semua pihak. Isu ini bukan bersifat individu tetapi melampaui segenap lapisan masyarakat.
Comments