Skip to main content

Memandang Manusia Daripada Sudut Hak Asasi Dan Taqwa


Sewaktu menikmati sarapan pagi di sebuah hotel, saya melihat dua wajah yang kontras. Saya melihat satu wajah ceria penuh senyuman daripada pelayan hotel yang bertugas mengangkat pinggan mangkuk dan satu wajah yang kusam tanpa keceriaan daripada penghuni hotel.

Sebenarnya wajah pelanggan hotel itu pelbagai. Ramai pelanggan hotel datang bercuti bersama ahli keluarganya. Mereka datang bersarapan dengan ahli keluarga tetapi sangat kurang wajah yang ceria menampakkan senyuman. Ada yang begitu sibuk mencuba pelbagai menu sarapan sehingga lupa untuk menikmatinya. Mungkin mereka jarang ketemu dengan hidangan yang terlampau banyak dan pelbagai. Ada yang dihidangi senyuman oleh pelayan tetapi membalasnya dengan wajah yang kusam.

Ya, kita akui bahawa pelayan itu barangkali sudah dilatih oleh majikannya untuk sentiasa senyum dan sentiasa berhemah apabila melayan pelanggan. Tidak hairanlah, bukan sedikit pengunjung kopihaus yang terpikat dengan pelayannya.

Aneh bukan! Bagaimana seorang yang dalam keadaan nikmat dengan hidangan beratur di atas meja tetapi berwajah muram manakala seorang lagi yang dalam tekanan bekerja tetapi berwajah manis.

Manusia yang normal pasti gemar untuk melihat wajah yang manis dan ceria. Tanyalah mana-mana manusia pun pastilah itu jawapannya. Tetapi kenapakah manusia itu enggan melatih dirinya untuk berwajah manis dan senantiasa dalam keadaan bersedekah dengan senyuman?

Mungkinkah ini berpunca daripada mentaliti yang dimilikinya? Tabi’e manusia sememangnya bersifat feudal. Seorang yang feudalistik sangat suka memandang rendah kepada orang lain. Sifat feudalistik ini bukanlah ajaran agama. Agama menyuruh manusia untuk tidak menyombong diri. Agama menyuruh seseorang itu merendah diri kerana boleh jadi orang bawahan itu lebih bertaqwa dan lebih mulia serta lebih mustajab doanya berbanding orang yang di atas. Justeru, agama menyuruh supaya manusia melatih dirinya untuk bersedekah dan membuat infaq. Sekurang-kurang infaq adalah senyum kepada makhluk Allah yang lain khasnya kepada manusia yang lain. Saya juga pernah membaca kisah ajaib bagaimana tumbuhan menjadi lebih subur dan haiwan lebih gemuk jika kehidupan mereka dipenuhi dengan senyuman dan kasih sayang oleh penjaganya.

Malang sekali, manusia lebih mementingkan hak mereka berbanding hak orang lain. Antara puncanya adalah kurang kesedaran hak asasi. Mereka lebih utamakan hak individualistik mereka daripada hak sesama manusia. Mereka menuntut hak tetapi enggan memberikan hak. Sekiranya mereka memandang orang lain daripada sudut hak asasi nescaya mereka akan lebih insaf bahawa manusia ini mempunyai hak-hak yang lahir bersekali dengan kewujudannya. Kita perlu melihat bahawa setiap orang berhak untuk dilayan dengan penuh hormat (self dignity and self-respect) sebagaimana kita sendiri suka dilayan dengan rasa hormat. Insan lain tidak kira apa tarafnya juga mempunyai hak yang sama. Begitulah jua jika kita selaku pelanggan hotel tidak selayaknya kita memandang rendah pelayan yang bekerja di situ. Hormatilah mereka sebagaimana kita mahu dihormati. Ada pelanggan yang marah-marah dan menghina mereka semata mata kerana kerjaya mereka itu sebagai pencuci bekas pinggan mangkuk sisa makanan mereka. Sebab itulah jarang yang senyum kepada mereka dan mengucapkan ucapan terima kasih. Hal ini akan berbeza sekiranya mereka memandang pelayan itu sebagai manusia yang penuh dengan kemuliaan.

Belasan tahun yang lalu, saya pernah mengalami peristiwa yang saya kesali sehingga sekarang. Pada waktu itu zaman mula bekerja sebagai peguam. Peguam sering kali berasa dirinya terhormat dan perlu dihormati. Pembawaan ini mungkin disebabkan kerjaya guaman itu pada zaman dahulu sangat ekslusif. Peguam tidak akan bercampur dengan masyarakat awam dan kehidupan mereka banyak dihabiskan sesama peguam yang lain, atau sesama sahabat yang mempunyai ijazah yang sama. Perangai sebegitu nampaknya berjangkit juga kepada diri ini selepas tamat ‘chambering’. Pada masa itu, ada seorang kakitangan yang bekerja di bawah saya yang telah melakukan sedikit kesilapan dan saat itu terkeluar senyuman sinis seperti sindiran. Hal itu telah ditegur oleh rakan saya dan sesungguhnya peristiwa itu telah menghantui jiwa bertahun-tahun.

Apabila kita telah menjadi dewasa dan melalui pelbagai pengalaman jatuh bangun dalam kerjaya, kita akan mengimbau kembali kesilapan yang dilakukan. Setiap kemenangan dan kekalahan yang kita alami dalam pertarungan di Mahkamah akan menyedarkan, mendewasakan, ‘mematangkan’ dan men’sejahtera’kan hidup kita bahawa hidup ini tidak akan hanya bertongkat langit. Hidup adalah roda yang berputar yang akan meletakkan kita di atas dan ke bawah. Maka tiada sebab untuk kita terus bermegah dan melupakan hakikat hidup ini.

Hal ini selari dengan prinsip hak asasi manusia sejagat yang menjadi inspirasi kepada ramai manusia. Perkara 1 dan 2 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) menyatakan;

Perkara 1.

Semua manusia dilahirkan bebas dan samarata dari segi kemuliaan dan hak-hak. Mereka mempunyai pemikiran dan perasaan hati dan hendaklah bertindak di antara satu sama lain dengan semangat persaudaraan.

Perkara 2.

Setiap orang adalah berhak kepada semua hak-hak dan kebebasan yang termaktub dalam Perisytiharan ini, tanpa sebarang apa jua pembezaan, seperti bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, ugama, faham politik atau lain-lain fahaman, asal-usul bangsa keturunan atau sosial harta-benda, kelahiran atau apa-apa taraf lain.


Dalam agama, kita dilatih untuk melihat kesempurnaan penciptaan manusia. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah Al-Tin bahawa manusia itu diciptakan dengan sebaik-baik penciptaan. Justeru, kenapakah kita memandang manusia lain dengan pandangan yang hina sedang manusia itu keseluruhannya sudah diangkat darjatnya oleh Allah Taala. Allah juga menyatakan bahawa kemuliaan manusia itu terletak di taqwanya. Manusia yang banyak tersenyum itu lebih bertaqwa daripada manusia yang kusam dan masam. Senyuman itu diperintahkan oleh Nabi saw. Saya sendiri belum ketemu lagi hadis yang mengarahkan manusia berwajah masam. Saya pernah berjumpa kisah Ibnu Ummi Maktum yang berjumpa Nabi saw tatkala Nabi saw sibuk melayan bangsawan Arab sehingga Allah menurunkan ayat Abasa watawalla. Bukankah ini menjadi suatu tema dalam agama kita untuk tidak memandang rendah kepada orang lain.

Penyakit membangga diri dan memandang rendah kepada orang lain ini banyak sekali berjangkit, malah menjadi wabak ke atas orang alim dan orang berharta. Orang alim memandang orang lain sebagai bodoh dan jahil dan berasa diri mereka yang paling hebat sedangkan Allah menempelak orang sebegini bahawa ilmu yang diberikan kepada manusia itu amatlah sedikit berbanding ilmu Allah yang tidak habis ditulis meskipun jika air laut sebanyak tujuh lautan digunakan sebagai tinta dan daun digunakan sebagai kertas. Orang alim berasa dirinya hebat kerana mempunyai ramai pengikut yang mengiyakan segala kata-katanya meskipun kata-katanya itu bercanggah dengan disiplin ilmu yang dituntutnya. Orang alim berasa dirinya dihormati kerana ke mana sahaja beliau pergi manusia akan berpusu-pusu mencium dan mengucup tangannya.

Begitu juga Allah menempelak orang kaya dengan bandingan seperti Qarun yang kekayaannya begitu hebat sehingga kunci gedungnya pun tidak mampu digalas oleh orang yang kuat. Selain itu, Allah juga telah membuat perbandingan antara yang megah dengan hasil pertaniannya dan orang yang bersyukur serta bagaimana Allah mampu memusnahkan kekayaan sumber hasil taninya dalam sekelip mata.

A032
Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.
A033
Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.
A034
Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai".
A035
Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.
A036
Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.
A037
berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?
A038
Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.
A039
Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu,
A040
Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.
A041
Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi".
A042
Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!"
A043
Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.
A044
Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).


Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani di dalam kitab Hidayatus Salikin Fi Suluki Maslaki-Muttaqin (Petunjuk Jalan Bagi Orang yang Takut Kepada Allah Taala)(Suntingan: Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam)(2013), hlm. 208-209 menyatakan berkaitan hubbul-jaah atau perasaan kasih terhadap kemegahan:

Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Al-Qasas 28:83)


Sabda Nabi saw:

“Kasih akan harta dan kemegahan itu menumbuhkan keduanya itu akan sifat munafik di dalam hati seperti menumbuhkan air akan sayur-sayuran.”

Kata Sayyidina Ali r.a:

“Hinakan akan dirimu dan jangan engkau masyhurkan. Dan jangan engkau angkat akan dirimu supaya disebut oleh orang dengan mempunyai ilmu dan lainnya. Dan sembunyikanlah olehmu akan dirimu dan pengetahuanmu, dan diam engkau nescaya sejahtera engkau daripada kejahatan lagi menyukakan akan segala orang yang soleh dan menyakitkan hati orang yang fasik.”

[Maksudnya: Sayyidina Ali ra ini menyarankan supaya orang yang berilmu itu sentiasa dalam keadaan merasa dirinya hina dan jangan senantiasa bersikap menunjuk-nunjuk dengan ilmunya serta mencari peluang untuk memasyhurkan dirinya. Beliau juga berpesan supaya orang yang berilmu itu tidak mengangkat dirinya di khalayak ramai supaya namanya disebut-disebut sebagai alim ulama atau disebut apa-apa kelebihan sekalipun. Beliau juga menyarankan supaya orang yang berilmu itu menyembunyikan diri dan ilmu kerana tindakan itu akan dapat menyelamatkan dirinya daripada orang yang dengki ke atasnya. Ini bukan bermakna seseorang yang berilmu itu harus mendiamkan diri dan tidak memanfaatkan ilmunya itu ke jalan yang baik. Maksudnya kalau seseorang itu menyembunyikan ilmu dengan merendah diri tanpa mendabik dada sebagai orang alim dan banyak mendiamkan diri, nescaya beliau akan selamat daripada kejahatan musuh. Tindakan itu juga akan membuatkan orang-orang baik dan soleh akan bertambah kasih ke atasnya dan akan menyebabkan orang fasik berasa sakit hati.]

Oleh itu, sama ada kita menggunakan neraca hal asasi atau neraca agama, kedua-duanya mengesahkan bahawa perbuatan memandang rendah kepada orang lain dan membangga diri adalah perbuatan yang keji dan tidak bermoral. Semoga kita semua dijauhi daripada sifat tidak bermoral itu. Salah satu caranya adalah dengan memperbanyakkan senyuman kerana senyuman boleh menyelamatkan kita daripada perasaan keji itu. Senyuman juga dapat membahagiakan orang lain yang melihatnya. Yang paling mustahak, senyuman yang ikhlas kepada mereka yang lebih rendah daripada kita akan dapat menghilangkan rasa megah dan bangga diri yang wujud bersarang dalam hati kita.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor