Skip to main content

Menterjemah Elemen Rahman dan Raheem Dalam Kepeguaman

Dalam satu kes yang dibawa, saya telah mewakili seorang suami yang sudah menjadi orang kurang upaya dek sakit jantung dan gout yang dialami. Segala sendi dan badannya telah menjadi lemah dan bengkak sehingga beliau sudah tidak mampu berjalan. Beliau hanya berkerusi roda dan terpaksa ditolak oleh anaknya.

Apabila beliau sampai ke Mahkamah (di sebuah daerah di Selangor) saya melihat kesukaran yang dialaminya untuk menuju ke kaunter pendaftaran. Saya agak ralat dengan binaan Mahkamah di dalam daerah di Negeri Selangor kerana reka bentuknya yang nampak canggih tetapi tidak mesra pengguna terutama warga OKU.

Untuk naik ke pejabat Mahkamah di lantai bawah sudah ada tiga anak tangga yang perlu didaki. Bagi seorang yang mampu berjalan hal sedemikian tidak menjadi suatu yang sukar. Tetapi bagi OKU yang berkerusi roda beliau terpaksa diusung kerana tiada dibina laluan khas untuk OKU itu menolak kerusi roda. Mengangkat seorang OKU berkerusi roda bukanlah suatu kerja yang mudah dan memerlukan tenaga yang banyak. Sekurang-kurangnya tenaga 2 orang dewasa diperlukan untuk mengangkat OKU tersebut. Sekurang-kurangnya pihak kerajaan negeri harus menjenguk pintu Mahkamah di Selangor ini dan memberikan bantuan kewangan kepada pihak Mahkamah untuk membina laluan berkerusi roda daripada keluli atau simen.

Begitu juga dengan dewan bicara di Mahkamah ini, lazimnya berada di tingkat 1. Reka bentuk tangga yang berbentuk 'semi spiral' seperti yang kita lihat dalam filem hindustan itu nampak cantik tetapi tidak praktikal. Saya sendiri yang tidak OKU ini sudah beberapa kali hampir terjatuh kerana lantai tangga yang sempit dan tidak muat untuk bertapak sepenuhnya. Oleh itu, orang ramai yang berurusan perlu memegang tempat berpegang supaya badan dapat menjadi seimbang. Bagaimana pula dengan peguam yang kadang kala terpaksa membawa dokumen dan kertas bicara di dalam beg yang besar. Lazimnya, peguam membawa beg 'pilot case' atau lebih dikenali dengan beg tarik yang berwarna hitam. Bayangkan bagaimana sukarnya untuk mendaki tangga sebegini jika anda membawa beg yang besar yang berisi fail berkilo-kilo beratnya.

Masalah akan berlaku kepada OKU untuk naik tangga tersebut. Tidak mungkin untuk orang mengusung OKU itu di atas kerusi roda. Pasti bukan sahaja OKU itu jatuh tergelincir bahkan sang pengusungnya juga akan jatuh berdebuk berguling-guling.

Agak menghairankan kenapakah tidak dibuat lif bagi mengangkut orang yang kurang upaya ini. Barangkali pada waktu bangunan itu dibina, masih belum ada garis panduan pembinaan supaya mengambil kira faktor kepayahan OKU. Kini saya difahamkan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), setiap bangunan baharu mesti mematuhi kaedah dan prinsip 'universal design'. Namun, suatu jalan penyelesaian hendaklah juga dibuat dan jika perlu pihak kerajaan negeri juga perlu membantu menyediakan dana bagi memasang lif di seluruh Mahkamah di dalam daerah di Negeri Selangor.

Selain itu, saya amat berharap warga Mahkamah dapat memberikan keutamaan kes kepada warga OKU untuk diselesaikan. Saya pernah menunggu dari jam 9.30 pagi sehingga jam 1.30 petang untuk kes warga OKU ini dipanggil. Padahal kes itu boleh diselesaikan dalam tempoh kurang dari 5 minit kerana kes tersebut hanya berkaitan permohonan perceraian dalam keadaan kedua-dua plaintif dan defendan sudah bersedia untuk bercerai. Bukanlah menjadi suatu hal yang serius jika Mahkamah dapat menangguhkan sebentar kes-kes lain yang diadili dan datang menyelesaikan kes OKU yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Dalam kes saya itu, hampir sahaja saya menjerit ingin membaca ayat Al-Quran berkaitan keadilan. "Dan apabila kamu memutuskan hukum di antara manusia hendaklah kamu memberikan keputusan hukum dengan adil" (QS. An-Nisaa': 58). Ini kerana, hampir sahaja kes OKU ini akan ditangguhkan kepada sesi petang atas alasan pegawai Mahkamah ingin solat. Pada saya, kita gagal melihat keutamaan antara solat dan menyelesaikan segera urusan OKU yang telah menunggu kira-kira 4 jam dalam keadaan lapar dan dahaga di atas kerusi rodanya. Akan tetapi, akal yang waras masih memandu saya untuk merayu secara baik kepada pegawai Mahkamah untuk mendengar segera kes OKU itu agar tidak ditangguhkan kepada sesi petang. Nasib baik rayuan saya itu didengar dan hakim bersegera mendatangi OKU itu untuk menyelesaikan urusannya. Saya khuatir kelak akan ada kemudaratan yang lebih serius berlaku. Mungkin sahaja OKU itu akan pitam dan ambulan terpaksa dipanggil dan ini akan menjejaskan nama baik Mahkamah berkenaan.

Sewajarnya, warga Mahkamah lebih peka dengan konsep Rahman dan Raheem dalam melaksanakan tugas. Saya memahami sesetengah warga Mahkamah terlalu terikat dengan prosedur sehingga gagal menterjemahkan sikap pengasih dan penyayang dalam perlaksanaan tugas. Sesetengah warga Mahkamah ini memanggil kes mengikut turutan di dalam senarai kausa (cause list) sedangkan mereka mempunyai budi bicara dalam hal ini. Namun, ini hanya melibatkan segelintir pegawai sahaja dan secara umumnya ramai pegawai yang berbudi bahasa dan penuh santun. Hal ini dapat diselesaikan dengan mudah melalui pekeliling atau arahan jabatan.

Undang-undang dan peraturan tidaklah beku dan jumud kerana undang-undang itu dicipta oleh manusia sesuai dengan keadaan pada masa itu. Tetapi, penterjemahan dan pentadbiran undang-undang yang dicipta itu menjadi suatu perkara yang anjal. Neraca keutamaan dalam fiqh al-awlawiyat sepatutnya menjadi pegangan. Hal ini gagal difahami oleh ramai orang Islam. Tidak dinafikan bahawa solat di awal waktu itu afdal tetapi menghilangkan kemudaratan dan kepayahan lebih afdal daripada solat di awal waktu itu.

Walaupun setiap kali kita bersolat, kita akan membaca lafaz basmalah yang mengandungi nama Allah yang Rahman dan Raheem tetapi kita gagal menghayati dan menterjemahkan sifat mulia itu di dalam diri kita sendiri. Lafaz basmalah itu hanya sampai di kerongkong dan gagal dihadam di dalam jiwa.

Selain warga Mahkamah, ramai juga para peguam sendiri yang gagal menghadam konsep Rahman dan Raheem. Saya ada menerima kritikan daripada beberapa klien saya yang mengadu hal berkaitan sikap peguam mereka yang membuat kerja sambil lewa. Ada yang tidak berpuas hati sebab ada peguam yang gagal untuk memaklumkan perkembangan kes kepada mereka. Ada juga yang tidak puas hati sebab peguam gagal untuk menasihati mereka dengan sempurna. Ada juga yang mengadu peguam mereka hanya membuat kerja separuh jalan dan apabila fail mereka menghadapi masalah, mereka ditinggalkan terkontang-kanting. Seseorang peguam sebenarnya terikat dengan kod etika. Sesiapa yang melanggar kod etika ini boleh diadukan kepada Jawatankuasa Peguam Syarie untuk diambil tindakan disiplin. Saya berharap klien saya jika mempunyai aduan ke atas diri saya boleh berbincang dengan terus dengan saya. Tetapi, ada sesetengah klien lebih selesa mengadu di facebook atau media sosial yang lain dengan harapan aduan mereka akan menjadi tular. Hal sebegini tidak akan membantu melicinkan kes malah mendedahkan kepada saman sivil berkaitan fitnah.

Akhirnya, semoga kita sama-sama dapat mengambil pengajaran bahawa Islam itu mengandungi nilai-nilai murni yang bukan setakat perlu disebut di bibir bahkan perlu dihayati di dalam hati nurani. Jika kita benar-benar menghayati nilai-nilai murni itu pasti makin ramai orang bukan Islam dapat didakwahkan untuk sama-sama kita menuju ke jalan yang diredhai-NYA.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor