Perjalanan RUU 355 yang dibawa melalui YB Ahli Parlimen Marang kini telah memasuki hampir 2 tahun semenjak ianya mula-mula dibawa pada 7 April 2015. Setelah beberapa kali dimasukkan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, akhirnya usul tersebut dibaca oleh YB Ahli Parlimen Marang pada 26 Mei 2016. Pada hari tersebut YB Ahli Parlimen Marang hanya sekadar membaca usul tersebut dan menangguhkannya untuk dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat yang berikutnya iaitu pada 17 Oktober 2016.
Namun, usul tersebut tidak diberikan laluan oleh Speaker pada hari tersebut meskipun ramai penyokong YB Ahli Parlimen Marang yang berbondong-bondong hadir ke Parlimen demi melihat catatan sejarah perbahasan RUU 355 secara ‘live’.
Selepas itu, timbul desas-desus bahawa usul tersebut hanya akan dibacakan dan dibahaskan pada 23 atau 24 November 2016, iaitu sebelum berakhirnya Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas Sidang Dewan Rakyat.
Pada 22 November 2016, suatu kejutan dibuat oleh Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri yang telah mengumpulkan kesemua Ahli Parlimen beragama Islam untuk taklimat khas berkaitan RUU 355 ini. Antara perkara yang dibincangkan adalah hakikat bahawa usul asal YB Ahli Parlimen Marang itu adalah terlalu umum dan tanpa had. Akhirnya, TPM telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil usul tersebut untuk diperbaiki dan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Khas Ahli Parlimen. TPM juga menyatakan bahawa secara dasar pindaan yang mungkin dikemukakan adalah tempoh penjara maksima selama 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan sebat tidak lebih daripada 100 rotan.
Pada masa itu, semua orang berteka-teki apakah yang akan dibuat oleh YB Ahli Parlimen Marang ke atas usulnya. Ada yang mengatakan bahawa beliau akan menarik usul tersebut dan mengemukakan usul yang lain. Ada yang menyatakan usul YB Ahli Parlimen Marang itu akan diambil alih terus oleh Menteri. Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas merangkap YB Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata,"Akan ada pindaan menentukan had berapa hukuman dan sebagainya. Tapi esok baru tahu." (Sinar Harian, “Usul RUU 355 dipinda sebelum dibentang”: 23 November 2016). Manakala, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd AmarNik Abdullah dilaporkan menyeru semua Ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira fahaman politik agar menyokong usul berkenaan.(Sinar Harian, “Terima kasih kerajaan persekutuan” : 23 November 2016).
Akhirnya pada 24 November 2016, YB Ahli Parlimen Marang telah membuat kejutan dengan membawa pindaan kepada usul asal yang dikemukakan sebelum itu. Usul itu telah dipinda menurut Peraturan 28 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan:
28. Jika seseorang ahli hendak mengubah isi-isi sesuatu usul yang terdiri dengan namanya, maka bolehlah diubahnya dengan menghantarkan kepada Setiausaha, satu pemberitahu meminda usulnya itu tetapi disyaratkan iaitu pindaan itu, pada timbangan Tuan Yang di-Pertua, tidak mengubah asas atau tujuan yang terkandung dalam usul itu pada perkara besar-besar. Pemberitahu meminda usul itu adalah mula-mula berjalan daripada masa pemberitahu usul mula-mula.
Justeru, tindakan YB Ahli Parlimen Marang untuk mengubah usul asalnya adalah tidak bersalahan dengan undang-undang atau peraturan Dewan Rakyat. Malah, inilah kritikan yang dibuat ke atas usul YB Ahli Parlimen Marang sebelum ini. Ramai pihak yang mengkritik usul asal atas dua sebab, iaitu pertamanya, jika niat asal YB Ahli Parlimen Marang adalah untuk meningkatkan hukuman maka kenapa usul asal itu telah menyarankan pindaan kepada struktur asal Seksyen 2 Akta 355 dengan mencadangkan pindaan kepada Seksyen 2 itu. Keduanya, kenapakah usul asal itu bersifat ‘cek kosong’ atau ‘blank cheque’ iaitu usul asal itu kabur dan gagal menyatakan jumlah hukuman yang akan dikenakan ke atas pesalah syariah. Pelbagai justifikasi diberikan oleh penyokong YB Ahli Parlimen Marang akan kenapakah ianya tidak diperincikan. Antaranya, adalah kerana maksud hukuman Syariah sudah dapat difahami jika dilihat kepada perbahasan ulama. Ada juga yang menyatakan bahawa ini adalah peringkat usul sahaja dan perincian akan dibuat oleh kerajaan (antaranya, adalah YB Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Haji Nasruddin Hasan Tantawi).
Namun, walaupun pelbagai justifikasi dinyatakan, akhirnya YB Ahli Parlimen Marang akur juga dengan cadangan dan nasihat Timbalan Perdana Menteri dengan membawa pindaan kepada usul asal pada 24 November 2016. Jika benar-benar YB Ahli Parlimen Marang menghargai kritikan orang ramai terhadap usulnya nescaya pindaan itu telah dikemukakan sebelum 17 Oktober 2016 iaitu hari pertama Parlimen bersidang.
Ironinya, selepas pindaan usul tersebut dibacakan dan sidang ditangguhkan, ada wartawan yang bertanyakan kepada YB Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan kenapakah ianya dipinda. YB Ahli Parlimen Kota Bharu menyatakan kedua-dua usul itu betul dan tiada kesalahan, cuma usul pindaan itu dibuat untuk menjelaskan (hal yang kabur). Inilah jawapan politik yang tidak mahu mengaku kesilapan usul asal. Jika tiada kesilapan apakah keperluan meminda. Bukankah hal tersebut sudah menjadi gegak-gempita di seluruh negara! Kenapakah hanya selepas taklimat khas baharulah tergesa-gesa untuk membuat pindaan tersebut? Kenapakah pula usul pindaan itu adalah sama seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 22 November 2016?. Kesemua hal ini tidak akan kita ketahui sehinggalah YB Ahli Parlimen Marang dapat memberikan penjelasan.
Selain itu, tiada jaminan bahawa usul yang dibawa kepada sidang pada Mac 2017 tidak akan dipinda lagi. Hal ini diakui oleh YB Ahli Parlimen Kota Bharu apabila beliau dilaporkan berkata, "Peraturan mesyuarat juga tidak kata hanya sekali saja pindaan yang boleh dibuat, namun sebarang perkembangan lanjut mengenai RUU ini akan dibentangkan pada sidang tahun depan, selari perkembangan semasa." (Sinar Harian: RUU: “Pas bebas buat pindaan baharu”: 24 November 2016). Oleh itu, jika usul ini dipinda lagi berkemungkinan YB Ahli Parlimen Marang tidak akan membahaskan usul ini dan akan menangguhkannya sekali lagi.
Pindaan Kepada Usul Asal RUU 355
YB Ahli Parlimen Marang telah mengusulkan perkara yang sama seperti dalam Aturan Urusan Mesyuarat Kedua bertarikh 26 Mei 2016. Walau bagaimanapun, setelah Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah membenarkan YB Ahli Parlimen Marang untuk membentangkan usulnya, suatu pindaan telah dibuat oleh YB Ahli Parlimen Marang di bawah Peraturan 28 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Berikut dikemukakan petikan Hansard bertarikh 24 November 2016 yang berkaitan dengan pindaan ini seperti berikut:
MENGUBAH ISI-ISI SESUATU USUL DI BAWAH P.M. 28 & MENYAMBUNG USUL DALAM MESYUARAT AKAN DATANG DI BAWAH P.M. 15(5)
12.20 tgh.
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 28, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Yang Berhormat bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti berikut:-
Pindaan Seksyen 2 - Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, [Akta 355] dipinda dalam proviso kepada seksyen 2 dengan menggantikan perkataan “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali” dengan perkataan “penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah”.
Memandangkan pindaan ini memerlukan pemahaman yang jelas, walaupun sudah ada secara bertulis yang diedarkan namun masih ada lagi kekeliruan dan berbagai-bagai polemik di luar Dewan ini melibatkan semua pihak. Walaupun rang undang-undang ini khusus bagi penganut Islam sahaja, berkait dengan bidang kuasa Raja-raja, namun masih ada pertikaian dan perbahasan yang hangat maka saya pohon untuk membuat huraian pada sesi akan datang selaras dengan Peraturan Mesyuarat 15(5). Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Baiklah Yang Berhormat, saya izinkan usul ini disambung ke Mesyuarat akan datang. Ini Ahli-ahli Yang Berhormat sebagai makluman. Ini belum pun sampai kepada bacaan kali pertama. Belum pun sampai kepada bacaan kali pertama. Kalau kerajaan yang bawa usul untuk rang undang-undang seperti begini, tidak pun dibahas, tidak pun disokong, cuma dia sebut sahaja title. Itu bacaan pertama. Yang ini cuma usul yang akan nanti dibincang.
Analisa Umum Terhadap Usul Pindaan
Ramai pihak yang terkejut kerana YB Ahli Parlimen Marang telah menangguhkan perbahasan usul beliau. Ini adalah kali kedua beliau menangguhkan perbahasannya. Alasan yang dinyatakan adalah bahawa untuk memberikan peluang untuk orang ramai membuat perbincangan dan ahli parlimen lain membuat persediaan untuk perbahasan. Ketika ditanya oleh wartawan akan hal itu, beliau menyatakan “Itu tidak betul, tidak betul...saya bukan melengah-lengahkan, tetapi itu untuk memberi ruang penambahbaikan dan memberi peluang kepada semua pihak supaya memahami dengan cara yang betul. Sebab (itu) saya tidak bertindak dengan cara tergopoh-gopoh.” (Sinar Harian, “Penangguhan tiada kaitan Umno”: 26 November 2016)
Sememangnya YB Ahli Parlimen Marang telah mencatat sejarah tersendiri kerana julung-julung kalinya suatu usul persendirian berkaitan pengemukaan suatu rang undang-undang telah dapat dibaca sebanyak dua kali di dalam Sidang Dewan Rakyat. Sejarah juga tercipta kerana untuk kedua-dua kali itu, ianya telah ditangguhkan atas permohonan orang yang membawa usul itu sendiri.
Anehnya, selepas usul tersebut ditangguhkan, YB Ahli Parlimen Marang telah membuat kenyataan bahawa satu himpunan raksasa akan dibuat bagi menzahirkan sokongan kepada RUU 355 ini. Sekurang-kurangnya, YB Ahli Parlimen Marang perlu terlebih dahulu menjelaskan hujahnya di dalam Dewan Rakyat supaya orang akan faham apakah yang dimaksudkan oleh beliau. Sokongan yang membabi-buta tanpa memahami maksud sebenar YB Ahli Parlimen Marang adalah sokongan yang tidak sihat. Sokongan yang dibuat adalah sekadar berasaskan fahaman yang tidak jitu dan mantap bukanlah suatu sokongan yang wajar diteruskan. YB Ahli Parlimen Marang perlu terlebih dahulu menerangkan di dalam Dewan Rakyat mengenai usulnya supaya orang ramai tidak tertanya-tanya maksud sebenar usul itu. Ini adalah kali kedua YB Ahli Parlimen Marang berpolemik dan membiarkan orang ramai berpolemik. Apakah YB Ahli Parlimen Marang tidak berani menyatakan hal sebenar kerana dikhuatiri jika dinyatakan hal sebenar maka sokongan akan berkurangan? Apakah ada rahsia lain yang tidak diketahui oleh orang ramai?
Berdasarkan usul yang dipinda ini, YB Ahli Parlimen Marang telah menumpukan kepada peningkatan hukuman semata-mata tanpa meminda struktur asal Seksyen 2 Akta 355. Peningkatan hukuman yang dicadangkan adalah hukuman sebat dinaikkan daripada 6 sebatan kepada 100 sebatan, hukuman denda dinaikkan daripada RM5000 kepada RM100 ribu dan hukuman penjara dinaikkan daripada 3 tahun kepada 30 tahun.
Namun, usul ini masih perlu diteliti lebih lanjut. Kajian perlu dibuat sama ada kadar hukuman yang dinyatakan itu bersesuaian dengan kefahaman rakyat, status ekonomi dan keadilan sosial. Apa yang dikhuatirkan adalah bahawa RUU 355 seperti yang dicadangkan ini akan membuka kepada ketidakseragaman undang-undang di negeri-negeri dan akan menjadikan kehidupan rakyat lebih sukar dengan kadar denda yang lebih tinggi. Selain itu, usul ini juga gagal untuk memasukkan peruntukan berkaitan hukuman alternatif.
Isu Pertama: Justifikasi Terhadap Kenaikan Hukuman
Lazimnya, sebelum sesuatu hukuman ditingkatkan suatu kajian impak perlu dibuat bagi memastikan keberkesanan hukuman tersebut. Dalam hal kenaikan hukuman yang dicadangkan ini kita masih belum melihat apa-apa kajian dibuat melainkan ianya semata-mata buah percakapan yang keluar daripada mulut Timbalan Perdana Menteri.
Kita ragu-ragu sama ada kadar hukuman yang dicadangkan untuk dinaikkan itu telah dikaji sepenuhnya supaya ianya menepati kehendak dan roh hukuman itu sendiri.
Isu Kedua: Ketidakseragaman Undang-Undang
Masalah ketidakseragaman undang-undang mungkin akan timbul di peringkat penggubalan enakmen di dalam DUN kelak. Sebagaimana kita maklum, Malaysia terdiri daripada 14 buah wilayah atau negeri yang berbeza (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya). Maka kelak setiap negeri akan menggubal enakmen jenayah syariah masing-masing mengikut pemahaman masing-masing tentang undang-undang syariah. Kita memahami juga bahawa terdapat 4 mazhab utama yang terpakai iaitu Syafie, Hambali, Hanafi dan Maliki. Bagi setiap mazhab ini pula mempunyai beberapa qaul dan pendapat.
Oleh itu, jika setiap negeri itu bebas menggubal undang-undang syariah mengikut pemahaman masing-masing maka akan wujud potensi berlakunya ketidakseragaman dalam undang-undang jenayah syariah di negeri-negeri dan hukuman yang akan dikenakan.
Mungkin ada yang mengatakan bahawa apa yang diunjurkan di sini hanya sekadar hipotesis semata-mata. Namun, jika kita melihat undang-undang jenayah syariah di negeri-negeri, kita akan dapati bahawa dalam mana had hukuman Akta 355 sebelum ini dihadkan kepada hukuman 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 sebatan rotan pun masih wujud ketidakseragaman undang-undang.
Misalnya, kesalahan perbuatan tidak sopan, perkataan tidak sopan dan menjadi muncikari di Kelantan dikenakan denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih 6 bulan. Di Perlis, bagi kesalahan perbuatan tidak sopan dan perkataan tidak sopan dikenakan denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih 6 bulan tetapi bagi kesalahan menjadi muncikari boleh dikenakan denda tidak lebih RM5000 atau penjara tidak lebih 3 tahun. Selain itu, di Perlis diwujudkan kesalahan bercumbu-cumbuan tetapi kesalahan tersebut tidak wujud secara nyata di Kelantan (melainkan jika bercumbuan itu dikatakan termasuk dalam maksud perbuatan tidak sopan. Tetapi timbul persoalan, jika perbuatan itu sama kenapakah DUN Perlis membuat suatu kesalahan khusus mengenai perbuatan ini). Di Wilayah Persekutuan, hanya kesalahan perbuatan tidak sopan dan menjadi muncikari yang disifatkan sebagai perbuatan jenayah syariah dan mempunyai hukuman sama seperti di Perlis tetapi tiada pula dijadikan kesalahan syariah bagi perkataan tidak sopan. Mungkin pengkajian mengenai perbezaan hukuman ini memerlukan suatu kajian yang khusus di masa yang lain.
Justeru, kemungkinan ketidakseragaman undang-undang jenayah syariah ini mungkin akan berlaku. Oleh itu, suatu mekanisma berkesan perlu dibuat di peringkat Persekutuan khasnya di oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Namun, MKI sendiri bukanlah badan yang mempunyai kuasa perundangan. Ianya adalah forum perbincangan antara majlis agama Islam di negeri-negeri.
Isu Ketiga: Hukuman Alternatif Yang Bersifat Mendidik
Selain itu, usul pindaan yang dibuat ini gagal untuk menyatakan hukuman alternatif yang bersifat mendidik pesalah. Hukuman alternatif ini adalah menepati roh agama Islam yang bersifat mendidik lebih daripada menghukum. Dalam beberapa kes yang berlaku di zaman Nabi SAW seperti kes Maiz dan wanita Al-Ghamiddiyyah menunjukkan bahawa Nabi SAW sendiri berusaha supaya kedua-dua mereka itu tidak membuat pengakuan atas kesalahan mereka dan bertaubat kepada Allah.
Pada hari ini, negara-negara maju di Barat sudah pun melaksanakan langkah-langkah bagi mengurangkan tempoh pemenjaraan dan melaksanakan khidmat sosial sebagai hukuman alternatif. Walgrave dan Guedens umpamanya menyatakan bahawa hukuman berasaskan komuniti dapat memberikan kesan yang lebih baik dalam memulihkan pesalah berbanding hukuman penjara (L.Walgrave & H.Guedens, ‘The Restorative Proportionality of Community Service for Juveniles’ (1996), European Journal of Crime, Criminal Law and Criminal Justice, hlm 363 [disebut oleh Nurul ‘Izzati Mohamad, “Khalwat: Keperluan Kepada Hukuman Sebat Dan Alternatif”, (2015) 19 Jurnal Undang-Undang dan Masyarakat, hlm 1-8 di hlm. 5]).
Hukuman alternatif yang boleh diputuskan oleh Mahkamah adalah pelbagai seperti perintah untuk menghadiri kelas bimbingan dan agama, perintah melakukan khidmat masyarat, melaporkan diri kepada imam pada setiap waktu solat, membersihkan masjid dan menjaga pusat kebajikan. Perintah seperti ini mampu untuk membimbing dan memulihkan pesalah agama khasnya bagi kesalahan yang berkaitan kesalahan moral seperti kesalahan berkhalwat (lihat Nurul ‘Izzati Mohamad, “Khalwat: Keperluan Kepada Hukuman Sebat Dan Alternatif”, (2015) 19 Jurnal Undang-Undang dan Masyarakat, hlm 1-8 di hlm. 6).
Peruntukan yang ada di dalam Enakmen yang sedia ada memperuntukkan seperti berikut:
Seksyen 97 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
Kuasa untuk melepaskan dengan syarat atau tanpa syarat.
(1) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen 96, Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa yang terkandung dalam seksyen ini.
(2) Apabila mana-mana orang dipertuduh di hadapan Mahkamah atas suatu kesalahan yang boleh dihukum oleh Mahkamah itu, dan Mahkamah mendapati bahawa pertuduhan itu telah dibuktikan, tetapi berpendapat bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental orang yang dipertuduh itu, atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu, atau kepada hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan, adalah tak suaimanfaat untuk mengenakan apa-apa hukuman selain daripada suatu hukuman nominal atau bahawa adalah suaimanfaat melepaskan pesalah itu dalam cubaan akhlak, Mahkamah boleh, tanpa merekodkan suatu sabitan, membuat perintah—
(a) membuang pertuduhan atau aduan itu selepas apa-apa teguran atau amaran kepada pesalah itu sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah;
(b) memerintahkan pesalah itu ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan oleh Majlis selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah; atau
(c) melepaskan pesalah itu dengan syarat dia mengikat bon, dengan penjamin-penjamin, untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh, yang tidak melebihi tiga tahun, sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu, dan hadir supaya direkodkan sabitan dan dijatuhkan hukuman apabila dipanggil pada bila-bila masa dalam tempoh itu.
Seksyen 54 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995
Kuasa mahkamah untuk mengkomitkan orang yang disabitkan ke pusat pemulihan atau rumah diluluskan.
(1) Jika mana-mana Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang atas suatu kesalahan di bawah Bahagian II atau di bawah seksyen 9, 10 atau 11, Mahkamah itu boleh, sebagai ganti hukuman yang dinyatakan bagi kesalahan itu, memerintahkan supaya orang itu menjalani kaunseling atau pemulihan di suatu pusat pemulihan diluluskan selama tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.
(2) Jika mana-mana Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang perempuan atas suatu kesalahan di bawah Bahagian IV, Mahkamah itu boleh, sebagai ganti hukuman yang dinyatakan bagi kesalahan itu, memerintahkan supaya orang perempuan itu dikomitkan ke suatu rumah diluluskan selama tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.
Peruntukan yang sedia ada ini adalah masih dalam ruang lingkup yang kecil dan tidak bersifat umum. Suatu peruntukan umum yang dimasukkan di dalam RUU 355 dilihat lebih mampu untuk membawa perubahan dalam struktur hukuman di Mahkamah Syariah.
Isu keempat: Keadilan Sosial dan Kemampuan Rakyat
Hukuman yang bakal dikenakan dalam usul pindaan ini adalah “penjara selama tempoh tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali”. Seharusnya kita sedar bahawa dalam konteks perundangan Islam di Mahkamah Syariah sekarang ini terdapat 2 jenis kesalahan, iaitu kesalahan yang melibatkan intipati agama Islam seperti kesalahan berjudi, takfir, pemujaan salah, pelacuran, muncikari, persetubuhan di luar nikah, khalwat dan lain-lain; dan kesalahan yang bersifat perlanggaran pentadbiran agama Islam seperti mengajar agama Islam tanpa tauliah, membina tempat pendidikan Islam tanpa berdaftar, berkahwin tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa kebenaran.
Kajian perlu dibuat untuk melihat sejauh mana kadar had baharu hukuman yang diusulkan itu boleh berfungsi sebagai hukuman yang bersifat deteren, rehabilitatif atau uqubah. Kita tidak mahu kelak hukuman itu bukan sahaja membebankan tetapi akan membawa kemudaratan yang lain. Umpamanya, kesalahan bernikah tanpa kebenaran yang kini dihukum dengan hukuman denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak lebih 6 bulan itu akan dinaikkan sehingga RM10,000. Ini akan membebankan sebahagian ahli masyarakat. Jika tidak dapat membayar denda itu, pesalah itu pula akan dipenjarakan. Berkemungkinan seorang yang dipenjarakan itu akan menghadapi masalah lain seperti masalah dibuang kerja dan ini akan menambah beban kepada anak isterinya.
Oleh itu, suatu kajian terperinci perlu dibuat supaya hukuman yang dikenakan itu dapat diseimbangkan antara faktor deteren dan faktor sosial.
Harapan dan Realiti Perlaksanaan Hukuman Di Mahkamah Syariah
Dikatakan bahawa tujuan pengemukaaan usul itu adalah untuk meningkatkan wibawa dan memperkasakan Mahkamah Syariah. Justifikasinya adalah kerana dengan pengemukaan usul pindaan itu akan meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah. Sekali imbas, sememangnya peningkatan bidang kuasa ini akan memberikan wajah baharu kepada Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa jenayah yang lebih luas.
Namun, jika dianalisa secara lebih mendalam, apakah benar dakwaan bahawa jika bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah itu ditingkatkan maka secara automatik wibawa Mahkamah Syariah akan juga meningkat? Hal ini memerlukan pengkajian yang lebih mendalam dengan membuat kajian empirikal terhadap masalah-masalah yang berlaku di Mahkamah Syariah.
Jika kita melihat statistik kes jenayah yang didakwa di Mahkamah Syariah, kelihatan kes pendakwaan yang dibuat itu lebih banyak tertumpu kepada kes berkaitan kesalahan khalwat dan matrimoni sahaja berbanding dengan kes-kes jenayah yang lain seperti kesalahan yang melibatkan akidah, kesucian agama Islam, seksual, arak dan judi. Dapatan ini telah ditulis oleh Dr Zulkifli Hasan, seorang pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di dalam artikelnya yang bertajuk “Isu Undang-Undang Jenayah Islam Di Malaysia dan Sejauh Manakah Perlaksanaannya”.
Adakah dapatan ini menunjukkan bahawa tiada kesalahan syariah lain yang berlaku di Malaysia atau kemungkinan berlaku masalah perjawatan atau ketiadaan pegawai penguatkuasa yang cekap sehingga membiarkan kesalahan jenayah syariah berleluasa dan pesalah itu tidak didakwa? Apakah keperluan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah jika kuasa itu tidak digunakan sepenuhnya?
Kita melihat jenayah syariah berlaku hampir setiap hari di depan mata kita tatkala kita lalu di hadapan kedai menjual nombor ekor. Kelihatan orang-orang Islam bebas untuk membeli nombor ekor tanpa rasa was-was. Sedangkan jika kita melihat Seksyen 17(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 1995 menyatakan, “Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.” Seksyen 18 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 juga memperuntukkan perkara yang sama. Seksyen ini jelas menyatakan berjudi atau semata-mata berada di premis judi sudah memadai untuk mensabitkan seseorang tertuduh.
Kita lihat pula Seksyen 15 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan perbuatan mengingkari perintah Mahkamah yang menyatakan, “Mana-mana orang yang mengingkari, melanggar, mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina apa-apa perintah Hakim atau Mahkamah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.” Kesalahan yang hampir sama juga didapati ada di dalam Seksyen 10 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Persoalannya berapa banyak kita mendengar aduan ibu-ibu tunggal yang merana dan sengsara kerana sikap bekas suami mereka enggan menunaikan perintah nafkah anak atau nafkah isteri. Berapa banyak pula kes mengingkari perintah Mahkamah ini telah didakwa di Mahkamah. Bahkan, langsung kita tidak membaca kes-kes seperti ini di dada Mahkamah. Maka, tidak hairanlah bekas suami ini memandang sepi terhadap perintah Mahkamah Syariah.
Kita lihat pula Seksyen 32 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang menyatakan, “Mana-mana orang yang memujuk lari seseorang perempuan bersuami atau membawanya pergi atau dengan apa-apa cara lain mempengaruhinya supaya meninggalkan rumahtangga yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya perempuan bersuami itu kembali kepada suaminya” Seksyen 36 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. juga mengandungi peruntukan yang sama. Kita melihat berapa banyak rumah tangga yang runtuh akibat hasutan pihak ketiga, sama ada hasutan daripada mertua, kawan-kawan, bekas teman lelaki, rakan facebook atau jiran-jiran. Namun, apakah ada pendakwaan yang dibuat ke atas penghasut ini.
Ini adalah tiga contoh kesalahan jenayah Syariah yang kerap berlaku dalam masyarakat kita. Banyak lagi seksyen yang boleh dikaji secara empirikal dan profesional mengenai tahap keseriusan kesalahan syariah ini dan pendakwaan serta sabitan yang sepatutnya dilakukan.
Kita lihat pula kes-kes mal (kes sivil) yang difailkan oleh orang ramai di Mahkamah. Kebanyakan kes adalah berlegar kepada hal ehwal rumah tangga sama ada sebelum atau selepas perceraian. Aduan yang kerap kita dengar adalah masalah kelambatan kes, tunggakan kes dan perlaksanaan perintah Mahkamah. Kita akui bahawa Mahkamah Syariah kini sudah menampakkan tindakan pro aktif dalam menyelesaikan isu yang dinyatakan itu dengan penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang bertindak sebagai badan pemantau yang menjaga kualiti dan pentadbiran Mahkamah Syariah. Kita juga akui bahawa penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Mahkamah Syariah adalah adalah antara usaha untuk menguatkuasakan perlaksanaan perintah terutamanya yang berkaitan dengan nafkah.
Hakikatnya, masih banyak aduan yang diterima dan aduan ini perlu diselesaikan dalam tempoh segera. Jika hal ini dapat diselesaikan maka kita percaya martabat dan wibawa Mahkamah Syariah akan naik di mata orang ramai. Justeru, terdapat banyak lagi cara untuk memperkasakan Mahkamah Syariah yang boleh dilaksanakan tanpa polemik.
Pertamanya, penubuhan Pusat Aduan Syariah Nasional bagi menerima aduan orang ramai berkaitan masalah di Mahkamah Syariah. Pusat Aduan Syariah Nasional ini akan mengkoordinasi semua aduan dan membuat susulan serta memberikan maklum balas segera aduan itu kepada orang ramai dalam tempoh 14 hari.
Keduanya, penubuhan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji dan memperkasakan Unit Penguatkuasaan Jenayah Syariah dan Unit Pendakwaan Syariah di jabatan agama negeri-negeri. Jawatankuasa ini perlu mengkaji dan mengemukakan dapatan berkaitan jumlah dan jenis kes-kes yang dibawa untuk pendakwaan, kesalahan yang diperuntukkan di dalam Enakmen Jenayah Syariah di negeri-negeri tetapi masih tidak digunakan dan sumber tenaga manusia yang diperlukan. Perlu juga dikaji sejauh manakah keberkesanan penguatkuasaan dan pendakwaan jika unit ini dinaik taraf sebagai sebuah jabatan yang berasingan.
Ketiganya, membangunkan sistem berkomputer bagi kegunaan Mahkamah Syariah yang boleh mengkoordinasi dan memantau perlaksanaan perintah Mahkamah Syariah. Contohnya, jika ada bapa yang cuai untuk membayar nafkah anak dalam tempoh 7 hari dari tarikh sepatutnya bayaran dibuat maka suatu waran tangkap dikeluarkan serta-merta dan penguatkuasa akan menangkap orang itu untuk dihadapkan ke Mahkamah bagi tujuan pendakwaan.
Kita inginkan supaya Mahkamah Syariah ini dipandang tinggi oleh masyarakat sama ada di kalangan masyarakat Islam atau bukan Islam. Kita percaya bahawa Islam adalah agama rahmat. Biarlah perlaksanaan hukum Islam di Mahkamah Syariah ini menjadi contoh dan teladan kepada umat bukan makin menjauhkan masyarakat daripada Islam. Akhir sekali, perlu ditegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah syiar dan lambang kedaulatan agama Islam di Malaysia. Binalah institusi Mahkamah Syariah supaya ianya menjadi suatu organisasi yang dihormati dan bukan ditakuti. Usah jadikan Mahkamah Syariah ini semata-mata modal politik murahan bagi meraih undi semata-mata.
Harapan dan Realiti RUU 355 YB Ahli Parlimen Marang
YB Ahli Parlimen Marang telah memulakan langkah RUU 355 ini semenjak bulan Mac 2015 yang akhirnya RUU 355 telah disenaraikan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas bertarikh 7 April 2015. Namun, pada waktu itu ianya hanya sekadar masuk di dalam Aturan Urusan Mesyuarat sahaja. Usul tersebut pertama kali telah dibaca pada 24 Mei 2016. Setelah dibaca, ianya telah ditangguhkan oleh pengusul itu sendiri. Pada 24 November 2016, sekali lagi usul itu telah dibaca dan dipinda. Usul tersebut dijangka akan dibaca semula pada bulan Mac 2017.
Ini bermakna, usul tersebut telah melalui perjalanan yang panjang iaitu hampir 2 tahun. Sepanjang 2 tahun itu, usul tersebut telah mencetuskan pelbagai polemik dan kontroversi. Masing-masing telah mengemukakan pandangan dan teguran. Ianya juga menimbulkan permusuhan di dalam masyarakat khasnya antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Video dan poster telah dibuat sebagai bahan kempen menyokong YB Ahli Parlimen Marang. Banyak wang dan masa telah dihabiskan untuk menganjurkan kuliah dan himpunan berkaitan RUU ini. Sejurus selepas pembentangan usul ini pada 24 November 2016, YB Ahli Parlimen Marang telah membuat kenyataan media bahawa beliau bersama rakan-rakannya akan menganjurkan satu himpunan raksasa bagi menyokong RUU 355 ini. Di Pulau Pinang, sekumpulan warga guru di Pulau Pinang telah membuat ikrar beramai-ramai untuk menyokong RUU 355 ini. Ada juga seruan daripada aktivis Felda yang membuat gesaan supaya kesemua warga Felda membuat desakan kepada ahli parlimen masing-masing untuk menyokong RUU 355.
Matlamat asal untuk pindaan Akta 355 ini adalah untuk menaikkan hukuman yang telah lama tidak dipinda sesuai dengan perkembangan zaman. Namun, matlamat asal ini sudah dipolitikkan bagi meraih undi orang Islam.
Menurut Dr Arik Sanusi Yeop Johari, Pengarah Seksyen Syariah, Kamar Peguam Negara menyatakan di dalam Forum RUU 355 anjuran Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang diadakan pada 17 November 2016 bahawa Kamar Peguam Negara telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji pindaan yang perlu dibuat ke atas beberapa akta berkaitan Mahkamah Syariah seperti Akta Pentadbiran, Akta keterangan, Akta Tatacara Mal dan Akta 355 ini yang diketuai oleh Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dan JAKIM dilantik sebagai sekretariat. Tetapi apabila YB Ahli Parlimen Marang ini telah memasukkan usul persendirian maka jawatankuasa ini telah berhenti daripada membincangkan Akta 355 kerana memberikan ruang sehingga selesai usul YB Ahli Parlimen Marang.
Jika usul RUU 355 ini lulus sekalipun, ianya akan dipulangkan kepada pihak kerajaan. Ini kerana menurut Peraturan 49 Peraturan Dewan Rakyat, sesuatu usul pengemukaan rang undang-undang persendirian diluluskan akan secara automatik menjadi Bacaan Pertama. Rang Undang-Undang yang diluluskan itu akan diserahkan kepada Menteri yang berkenaan. Menteri itu kelak akan membawa Bacaan Kedua di dalam Dewan Rakyat dalam tempoh masa yang tidak ditentukan.
Oleh itu, perjalanan RUU 355 ini lebih mudah diluluskan sekiranya ianya dibawa oleh Menteri semenjak peringkat awal. Langkah ini akan lebih mengurangkan kontroversi dalam masyarakat. Kita semua menyokong usaha untuk meningkatkan hukuman dalam Akta 355 tetapi ianya perlu dilakukan dengan lebih teliti kerana kesilapan dalam mendrafkan pindaan itu boleh membawa impak yang besar dalam perlaksanaan undang-undang jenayah Syariah.
Penutup
Tindakan YB Ahli Parlimen Marang yang membawa usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (“Akta 355”) telah mencetuskan polemik dan perbahasan di media sosial. Masing-masing telah membawa hujah masing-masing.
Perjalanan untuk meluluskan usul ini masih jauh. Tiada siapa yang boleh memberikan jaminan sama ada ianya akan dibahaskan atau tidak. Setakat ini sudah dua kali perbahasan usul ini telah ditangguhkan. Apakah jaminan bahawa usul ini akan dibahaskan pada bulan Mac 2017 nanti. Ini kerana, selepas usul tersebut dibahaskan baharulah akan dibuat proses pengundian sama ada untuk menerima atau menolak usul tersebut. Sekiranya usul tersebut diluluskan baharulah akan dibuat proses berikutnya iaitu Bacaan Pertama, Kedua, Peringkat Jawatankuasa dan Ketiga. Akhirnya, yang menjadi mangsa polemik adalah rakyat yang tidak memahami peruntukan undang-undang yang diajak untuk berkonflik dan kata-mengata di dalam media sosial.
Kita berharap semoga satu jawatankuasa khas akan dapat dibentuk segera sama ada jawatankuasa khas itu adalah di peringkat Parlimen atau jawatankuasa teknikal. Jawatankuasa ini akan dapat membuat kajian yang lebih menyeluruh dalam mengkaji kadar hukuman yang wajar untuk dinaikkan dan kemudiannya mengemukakan cadangan kepada pihak Menteri. YB Ahli Parlimen Marang boleh menarik balik usul itu dan menyerahkan kepada Menteri untuk membawa Bacaan Pertama, Kedua dan Ketiga rang undang-undang itu sebagaimana proses yang lazim berlaku. Ini akan mengurangkan polemik dan akan menjanjikan kelulusan yang lebih pantas.
Kita melihat bahawa tugas untuk meminda Akta 355 itu sebenarnya terletak di bahu Menteri berkenaan. Akta 355 ini adalah akta yang berkaitan dengan agama Islam. Ianya melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri. Ianya bukan terhad kepada negeri Kelantan semata-mata. Maka, beban untuk meminda Akta 355 ini sebenarnya terletak ke atas bahu Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam.
Kita pasti jika Menteri yang membawa usul untuk meminda Akta ini maka ianya pasti akan mendapat kelulusan Parlimen. Walaupun mungkin berlaku perbahasan yang hangat antara yang menyokong dan menolak pindaan ini kelak, namun akhirnya usaha untuk meminda Akta 355 ini akan berjaya. Setakat ini, belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sesuatu rang undang-undang yang dibawa oleh seorang menteri gagal diluluskan oleh Parlimen.
Comments