Skip to main content

Darihal Saman Polis

Semalam sewaktu bersembang dengan seorang teman sewaktu menunggu kesnya dipanggil, beliau telah menceritakan pengalamannya ditahan oleh polis dalam satu sekatan jalan raya atas kesalahan menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu.

Sewaktu beliau ditahan, beliau telah bertanyakan kepada polis yang menahan itu. “Apa kesalahan saya, encik?. Polis itu berkata, “Menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu”. Beliau bertanya lagi, “Saya guna loud speaker semasa menggunakan handphone itu. Apa beza guna loud speaker dengan menggunakan bluetooth atau hand’s free”. Polis itu terdiam dan bertanyakan pengesahan kepada rakan polis yang mengendap dalam semak. Polis yang mengendap itu mengesahkan bahawa rakan saya itu menggunakan loudspeaker. [Saya tak pasti bagaimana polis itu dapat sahkan sedangkan dia tak dengar pun bagaimana rakan saya bercakap].

Polis itu bertegas juga untuk mengeluarkan saman ke atas rakan saya itu walaupun rakan saya tetap mengatakan beliau tidak melakukan kesalahan. Polis itu cuma mengulang beberapa kali dengan nada yang tinggi, “Apa-apa jawab di Mahkamah!”. Rakan saya berkata, “OK, saya akan buat repot ke atas encik. Minta nombor badan encik.” Polis itu enggan memberikan nombor badan dan berkata, “Buat apa nak nombor badan saya.” Rakan saya yang tidak berpuas hati itu akhirnya menuding jari ke arah polis itu seraya berkata dalam keadaan tidak puas hati, “OK, saya akan jawab di mahkamah”. Akhirnya, rakan saya itu perasan nombor badan itu ada ditulis di atas saman yang dikeluarkan itu.

Selepas itu, rakan saya telah pergi ke balai polis di USJ untuk membuat laporan polis ke atas polis berkenaan. Setibanya di balai polis, polis yang bertugas di kaunter itu memberikan pelbagai dalih untuk tidak menggalakkan rakan saya membuat laporan polis. Katanya, “Ini kesalahan kompaun sahaja encik. Tak perlu buat repot polis.” Rakan saya berkata, “Saya nak buat repot juga sebab polis itu tidak mengikut peraturan dan telah mengeluarkan saman yang tidak sah ke atas saya. Saya tidak lakukan kesalahan.”

Akhirnya, setelah bertekak beberapa ketika dengan polis kaunter, rakan saya bertanya, “Cik nak terima atau tidak repot saya.” Polis itu kata tidak mahu. Rakan saya terus ke kaunter polis yang bersebelahan dan menyatakan, “Baiklah kalau cik tak mahu, saya buat repot ke atas cik pula sebab cik tak mahu terima repot saya.” Tiba-tiba polis kaunter itu berkata, “Encik janganlah buat macam itu. Takkan saya pula nak direpot.”

Setelah itu, polis itu menerima repot daripada kawan saya itu. Setelah selesai buat laporan polis, polis menyuruh rakan saya itu balik. Rakan saya menjawab, “Saya nak jumpa IO (investigation officer). Takkan saya nak balik tanpa ada dibuat siasatan.

Setelah beberapa lama berusaha, rakan saya akhirnya diarahkan ke balai polis di Putra Height iaitu di kawasan berlakunya kesalahan itu. Rakan saya pergi ke sana dan setibanya di sana, beliau rupa-rupanya mengenali ketua balai di situ. Ketua balai bertanyakan masalahnya dan setelah beliau menceritakan hal itu, ketua balai menelefon balai di USJ untuk membuka kertas siasatan. Sekali lagi rakan saya terpaksa balik semula ke balai USJ.

Setibanya di balai USJ, ada 3 orang pegawai penyiasat yang menunggu. Pada mulanya, pegawai-pegawai itu memujuknya untuk menarik balik repot itu tetapi rakan saya berkeras hati dan telah memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat. Pegawai penyiasat itu sendiri berpuas hati bahawa beliau tidak melakukan kesalahan jika menggunakan loudspeaker semasa bercakap telefon.

Pada hari ditetapkan untuk hadir ke Mahkamah, kes beliau tidak berjalan kerana masih ada kertas siasatan yang belum dilengkapkan. Beliau telah hadir ke Mahkamah sebanyak tiga kali tetapi pihak pendakwaan tetap tidak bersedia. Saya memberikan tips kepadanya bahawa jika pendakwaan tidak bersedia sampai tiga kali sebutan, beliau sepatutnya meminta supaya dilepaskan tanpa dibebaskan (discharge not amounting to acquittal - DNA).

Sewaktu di Mahkamah beliau telah terserempak dengan polis yang menyamannya itu. Setelah bertanyakan khabar polis itu nampaknya agak menyesal kerana telah menyaman beliau kerana akibat daripada saman itu beliau sendiri telah disiasat kerana tidak mematuhi SOP pengurusan saman. Antaranya, polis itu gagal untuk memberitahu kesalahan apa yang dibuat sewaktu menahannya.

Sebenarnya, jika ada satu laporan polis ke atas seorang pegawai polis, pihak pengurusan polis akan menjalankan siasatan dalaman. Ini menyusahkan polis tersebut sekiranya beliau didapati melanggar apa-apa peraturan atau SOP polis.

Sebelum beliau beredar daripada Mahkamah, polis itu telah meminta untuk berswafoto (selfie) dengan beliau dalam Mahkamah itu. Mungkin untuk dijadikan kenangan tentang suatu kes yang menyusahkan dirinya sendiri.

Kata rakan saya, polis itu telah meminta untuk beliau mengaku bersalah dan sanggup untuk berkongsi denda. Rakan saya tidak bersetuju kerana jumlah denda sekarang adalah minima RM300 dan maksima RM2000. Lagipun, rakan saya mengatakan bahawa beliau berbuat begitu bagi membersihkan imej polis sendiri yang sering kali dikaitkan dengan budaya ‘settle luar Mahkamah’.

Rakan saya meluahkan rasa kesal beliau tentang sistem kepolisan di Malaysia ini dan sikap tidak cakna rakyat terhadap hak masing-masing. Semasa beliau di Mahkamah, beliau melihat ramai orang yang dituduh dan terus mengaku salah. Selepas keluar Mahkamah, pesalah itu soksek-soksek sesama sendiri dan tidak puas hati dengan hukuman dan kesalahan yang dikenakan. Sepatutnya, pesalah itu menggunakan ruang Mahkamah untuk mendapatkan keadilan jika orang itu tidak berpuas hati dengan kesalahan yang dibuat itu.

Beliau bercadang untuk membuat satu gerakan rakyat yang beliau namakan “Gerakan Anti Saman Melulu”. Saya menyatakan kesediaan saya untuk membantu daripada nasihat perundangan bagi memberikan kesedaran hak sivil kepada rakyat Malaysia. Saya mencadangkan supaya pesalah ini dikumpulkan dan diberikan kursus DIY bagaimana untuk membela diri sendiri di Mahkamah.

Dalam kes kawan saya itu apabila beliau minta dibicarakan, Majistret telah meminta beliau melantik peguam. Beliau bertanya adakah perlu melantik peguam. Saya kata, elok baginya belajar sendiri kerana peguam tidak mampu untuk bertindak secara pro bono dalam setiap kes. Sebaiknya peguam mengajar bagaimana tatacara dan prosedur undang-undang jenayah dan selepas itu bolehlah mereka yang menghadapi masalah yang serupa untuk bertindak mewakili diri sendiri.

Saya berdoa beliau agar dipermudahkan urusan.

Comments

Popular posts from this blog

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua...

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk mem...

Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Secara umumnya undang-undang berkaitan hak penjagaan anak ini adalah mudah. Lazimnya jika seseorang anak itu belum mumaiyyiz (belum dapat membezakan antara yang baik dan buruk), hak jagaan adalah diberikan kepada ibu. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyyiz, lazimnya umur 7 tahun ke atas, Mahkamah akan menemuramah anak itu dan menanyakan anak tersebut dengan siapakah dia lebih selesa untuk tinggal. Walaupun terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip umum ini, Mahkamah biasanya jarang lari daripada prinsip umum ini. Namun, pengalaman lepas menunjukkan bahawa kes berkaitan hadhanah ini paling sulit untuk diselesaikan disebabkan faktor-faktor yang mendatang. Ini disebabkan seseorang ibu atau bapa itu gagal memahami konsep hadhanah ini menurut hukum syarak. Ibu atau bapa yang bercerai itu kadang-kadang terbawa-bawa dengan sebab perceraian sehinggakan anak tersebut menjadi mangsa. sumber: www.jurnalberita.com Sewaktu kes hadhanah itu berlangsung, pihak-pihak biasanya akan m...