Skip to main content

Menasihati Klien - Bagaimanakah Ingin Berjaya Dalam Profesion Guaman - Siri 15

Dalam dunia media sosial hari ini, hubungan sesama insan banyak dipermudahkan dengan sistem teknologi. Setiap orang yang mempunyai facebook pasti mempunyai ramai teman maya yang mungkin beliau tidak pernah ketemu sepanjang hayatnya.

Ramai teman-teman peguam yang menulis pengalaman masing-masing di mahkamah dan tindakan itu pada fikiran saya banyak membantu orang ramai dalam memahami bidang guaman ini. Saya juga kerap menerima pertanyaan daripada rakan facebook yang saya tidak pernah berjumpa. Setiap soalan yang ditanya itu akan dijawab dengan sebaik mungkin sehingga pihak yang bertanya itu berpuashati.

Ada juga rakan facebook yang meminta pandangan kedua. Beliau telah melantik peguam yang lain dan cuba bertanyakan pandangan kedua mengenai kes beliau. Bagi saya jika bertanyakan pandangan kedua maka saya harus lebih berhati-hati kerana adalah menyalahi etika guaman jika kita mencampuri urusan peguam yang lain. Kaedahnya, peguam yang pertama itu lebih memahami perjalanan kes beliau dan mengatur strategi kes. Tambahan lagi, komunikasi melalui media sosial adalah sangat terhad kerana kita tidak berupaya untuk melihat sendiri kertas kausa yang telah difailkan.

Sesetengah peguam agak kedekut dengan ilmu dan pengalaman yang dikurniakan. Jika ada orang yang bertanya maka dijawabnya secara terawang-awangan. Bagi saya setiap soalan hendaklah dijawab dengan jujur. Mungkin ruangan media sosial agak terbatas menyebabkan kesukaran untuk menjawab secara terperinci. Namun, ada peguam yang sengaja tidak menjawab secara jujur meskipun soalan yang dikemukakan itu dapat dijawab secara tuntas.

Pada zaman belajar dahulu, guru-guru sekolah kita selalu mengingatkan kita bahawa setiap ilmu yang diajar maka Allah swt akan menambahkan lagi ilmu itu. Ilmu pula perlu diajar dengan ikhlas baharulah ada keberkatannya. Antara bentuk ikhlas itu adalah dengan memuliakan ilmu dan pengalaman yang dikurniakan. Kemuliaan ilmu itu adalah apabila ianya berjaya memberikan manfaat kepada makhluk di atas muka bumi ini.

Baru-baru ini ada seorang wanita yang menghubungi saya berkaitan dengan pengurusan harta ayahnya. Isu yang dibangkitkan adalah bagaimanakah harta seorang muslim boleh dibahagikan dengan anak-anaknya yang belum muslim. Isu ini menimbulkan keresahan kepada beliau disebabkan ayahnya telah kembali kepada fitrah dengan menganut agama Islam. Setelah itu, ayahnya telah menikahi seorang muslim dan telah dikurniakan dengan seorang anak.

Sudah pasti dalam peraturan di negara ini, seorang bukan muslim tidak akan mewarisi harta seorang muslim. Antara cara harta ini diuruskan adalah dengan cara berwasiat dan hibah. Akhirnya, setelah bercakap melalui telefon beberapa kali beliau telah hadir ke pejabat saya untuk berbincang.

Perbincangan itu telah memakan masa lebih daripada satu jam dan setelah menerangkan sepenuhnya mekanisme wasiat dan hibah maka beliau telah meminta izin untuk balik berbincang semula dengan ayahnya. Sehingga kini, beliau masih belum menjadi klien saya tetapi saya tidak menyesal memberikan nasihat percuma kepada beliau.

Bagi saya, meluangkan sedikit waktu untuk berbincang dengan orang seperti ini bukanlah membuang masa kerana ianya akan memberikan perspektif baharu kepada kita dan sekaligus akan menajamkan ilmu.

Walau bagaimanapun, tidak salah bagi sesetengah peguam untuk mengambil sedikit upah guaman jika perbincangan itu memakan masa. Peguam sebenarnya ‘berperang’ dengan masa. Jika masa itu diambil maka selayaknya ianya dibayar.

Namun, bagi saya sendiri jika pertemuan itu dibuat di pejabat maka kos masa yang ditanggung itu masih lagi boleh ditolak ansur. Namun, jika pertemuan itu dibuat di luar pejabat dan di luar waktu pejabat maka seeloknya dimaklumkan kepada pihak itu bahawa sedikit bayaran perlu dikenakan.

Seorang rakan saya pernah memberitahu saya pengalamannya bekerja dengan Mendiang Karpal Singh. Beliau menyatakan bahawa Mendiang akan mengenakan bayaran RM500 yang hendaklah dibayar kepada kerani akaun sebelum beliau berjumpa dengan Mendiang.

Ada sesetengah peguam ternama akan menggunakan kaedah bayaran secara mengikut jam. Maka, jam randik akan diletakkan di atas meja dan setelah selesai maka bil akan dikeluarkan. Cara begini juga tidaklah menjadi suatu kesalahan etika guaman. Perkara seperti ini harus dilakukan dengan syarat klien yang berjumpa itu hendaklah dimaklumkan lebih awal supaya beliau tidak terkejut dengan bayaran yang dikenakan.

Sesetengah klien datang berjumpa saya dan saya hanya mampu menjawab dengan umum sahaja soalan yang dikemukakan kerana ianya membabitkan hal yang spesifik dan rumit. Saya perlu mentelaah peruntukan undang-undang dan menjalankan kajian kes. Dalam kes seperti ini saya menyarankan supaya suatu kertas ‘legal opinion’ dibuat. Jika kertas ‘legal opinion’ dibuat maka ianya akan melibatkan kos yang lebih besar berbanding nasihat lisan. Ini kerana ‘legal opinion’ yang dibuat itu adalah atas dasar profesionalisme dan akan mendatangkan akibat undang-undang yang serius jika berlaku kesilapan. Risiko ini harus dipampaskan dengan bayaran yang besar.

Sesetengah ‘legal opinion’ yang rumit memakan kos ratusan ribu ringgit jika ianya dibuat oleh firma yang besar. Namun, ‘legal opinion’ yang sama mungkin berharga jauh kurang daripada kos yang dikenakan oleh firma besar. Maka, pihak yang mendapatkan ‘legal opinion’ itu haruslah bijak memilih firma dan mendapatkan sebut harga sebelum mengupah firma itu.

Akhir sekali, seorang peguam harus mengelakkan diri daripada menjawab soalan klien jika beliau tidak mengetahui jawapannya. Beliau harus memohon tempoh untuk menjawab soalan tersebut. Jika beliau tidak mampu maka sewajarnya beliau meminta klien itu untuk mencari peguam lain untuk menjawab soalan yang dikemukakan. Usahlah berlagak bahawa kita mengetahui semua yang tersirat dan tersurat di atas muka bumi ini.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor