Baru-baru ini sewaktu menghadiri sebuah acara, saya disapa oleh seorang peguam muda. Katanya, “Doktor! Tunggu jap.”. Saya termangu seketika cuba mengingati wajah anak muda itu. “Siapakah anak muda itu?”, getus saya dalam dalam hati. Puas saya cuba mengingati wajahnya namun memori ini tidak juga dapat dicapai.
Sebentar sahaja, anak muda itu keluar kembali membawa buku “Peguam Bukan Peguam”. Nah! Baharu saya faham rupanya beliau ingin mendapatkan tandatangan saya. Menurunkan tandatangan atas kulit buku bukan suatu kebiasaan saya sebelum ini. Pada awalnya agak janggal juga apabila ada orang meminta tandatangan. Mungkin jiwa ini belum mahu menjadi selebriti yang dikenali orang ramai. Meskipun begitu, kata penerbit, buku ini laris di pasaran dan mendapat maklumbalas yang baik daripada pembacanya.
Selepas menandatangani buku itu, saya sempat berbuat mesra dengan beliau. Rupa-rupanya beliau adalah seorang peguam muda yang baharu memulakan kerjayanya setahun yang lepas. Setelah habis menjalani latihan dalam kamar, beliau telah memasuki sebuah firma yang beramal dalam litigasi jenayah. Setelah itu, beliau menimba pengalaman di firma yang lain. Menurutnya lagi, beliau mengalami perasaan terasing dan tidak tahu hala tuju apabila mula-mula beramal. Beliau tidak tahu arah mana yang patut beliau patut ambil untuk memajukan kerjayanya. Katanya, mujurlah ada buku “Peguam Bukan Peguam” ini yang membantunya untuk mencari nilai sebenar menjadi seorang peguam muda. Beberapa tips yang diberikan di dalam buku ini menjadi bekalan dalam menghadapi kerjayanya.
Saya katakan kepadanya bahawa apa yang ditulis itu adalah hasil pengalaman yang dilalui oleh diri ini dan saya percaya bahawa setiap peguam muda yang baharu beramal akan menghadapi masalah yang sama.
Hampir lima tahun mencari nilai diri menjadi seorang peguam bukanlah suatu masa yang singkat. Bagi seorang pelajar undang-undang pula, tempoh lima tahun adalah cukup lama. Rasanya tidak sabar untuk menghabiskan pengajian undang-undang selama empat tahun dan seterusnya memasuki alam pekerjaan. Tetapi bagi seorang peguam, tempoh lima tahun itu adalah tempoh yang singkat. Bahkan, setelah mula beramal menjadi peguam semenjak tahun 2000 sehingga kini sudah mencecah tempoh 17 tahun tetapi masih merasa muda jagung dalam dunia kepeguaman. Rasanya masih banyak benda yang belum mahir dan perlu dipelajari. Pengamalan saya hanya setelah beramal selama tempoh lima tahun itu baharulah saya mampu untuk memuhasabah diri dan mencari hala tuju sebagai peguam.
Untunglah sesiapa yang dapat mencari nilai diri sebagai peguam dalam tempoh setahun dua setelah beramal . Menjadi peguam adalah suatu perkara yang tidak pernah terfikir di dalam hati. Sebab itu, seorang yang tidak pernah berfikir untuk menjadi peguam akan mengambil masa yang lebih lama untuk melihat potensi dirinya. Seseorang itu perlu terlebih dahulu perlu menerima hakikat dirinya sebagai seorang peguam.
Setelah itu, beliau perlu merenung panjang dalam jiwanya untuk melihat di manakah kedudukannya dalam tempoh lima tahun akan datang. Jika beliau bermula dengan kerja-kerja ‘debt recovery’ apakah beliau pada lima tahun akan datang akan kekal dengan kerja ‘debt recovery’. Jika beliau mengambil kes-kes jenayah kecil seperti kes urine maka apakah dalam tempoh lima tahun akan datang beliau mampu untuk mengendalikan kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya atau Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kes bunuh). Apakah lima tahun akan datang beliau sudah mampu untuk mengendalikan kes di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan? Jika beliau mempunyai misi sebegini, kadar untuk beliau berjaya dalam kerjaya guaman akan lebih tinggi berbanding dengan seorang peguam yang hanya tahu pergi balik berkerja sahaja.
Jika beliau mempunyai misi sebegitu, tentu sekali beliau akan memanfaatkan tempoh awal lima tahun permulaan kerjayanya semaksima mungkin. Beliau akan berusaha untuk mengendalikan kes-kes jenayah yang melibatkan perbicaraan di merata-rata mahkamah. Beliau akan berusaha untuk memahami peel dan perangai para hakim yang pelbagai. Beliau akan berlawan dengan pelbagai rencam dan tipu helah pendakwa raya. Yang paling penting, beliau akan berusaha untuk mempelajari teknik advokasi yang lebih mantap daripada para ‘senior’ khasnya para peguam yang ternama dalam bidang jenayah. Beliau juga akan mempunyai ‘mimpi’ untuk mencapai aras yang sama seperti peguam jenayah ternama itu.
Begitu juga dengan lain-lain cabang guaman sama ada guaman hartanah, sivil atau syariah. Ramai peguam yang tidak menyedari potensi dirinya sehingga beliau mencapai tahap tersebut secara tidak sengaja. Namun, proses sebegitu akan memakan masa yang lama berbanding jika seorang peguam itu semenjak awal lagi telah menyedari potensi dirinya dan merancang cara dan strategi untuk beliau berjaya dalam kerjaya guaman.
Saya percaya kerjaya guaman masih lagi mapan dan belum mencapai tahap tepu meskipun ratusan graduan telah tamat pengajian setiap tahun. Pada suatu ketika dahulu saya pernah berfikir bahawa kerjaya guaman ini adalah ‘sunset industri’ (kerjaya yang malap dan tiada potensi). Namun, setelah belasan tahun dalam bidang ini saya dapati masih banyak ruang guaman yang belum diteroka dan berdaya maju.
Pendek kata, masih banyak lubuk emas yang belum digali dan menunggu masa untuk digali oleh orang-orang yang berakal panjang. Bagi peguam yang merasakan terhimpit dengan bebanan kewangan perlu keluar daripada ‘tempurung’ tempat beliau berlindung sebelum ini dan carilah potensi diri. Setelah berjumpa potensi diri maka kembangkan potensi diri itu. Lengkapkan diri dengan skil dan kemahiran asas yang diperlukan. Jika seseorang itu berada di hutan, maka skil yang perlu dipelajari adalah untuk memahami tumbuhan yang boleh dimakan dan cara untuk menangkap dan memburu haiwan. Begitulah jika berada dalam dunia kepeguaman ini, selain daripada memupuk kemahiran teknikal guaman, seorang peguam juga perlu belajar skil asas komputer, skil membuat penyelidikan undang-undang, skil bercakap dan berkomunikasi dengan klien, skil untuk berkomunikasi dengan hakim (corum and decorum) dan lain-lain skil. Jika kesemua perkara ini mampu dibuat maka In sya Allah, kejayaan akan berada dalam genggaman kita.
Comments