Skip to main content

Institusi Kesultanan - Payung Negara

Seusai menghadiri Bengkel Faraid - Pengiraan Kes Munasakhat yang dikuliahkan oleh Tuan Haji Wan Abdul Halim Wan Harun, seorang tokoh ilmu faraid terkemuka tanahair di Masjid Wilayah, Jalan Duta sempatlah untuk bersolat Jumaat di masjid berkenaan.

Tajuk khutbah pada tanggal 8 September 2017 itu adalah ‘Payung Negara’ yang merujuk kepada institusi kesultanan yang wujud di Malaysia. Khutbah ini adalah khutbah khas yang dikarang sempena Hari Keputeraan Yang di Pertuan Agong pada tahun 2017 yang ditetapkan pada 9 September 2017. Sebelum ini tarikh hari keputeraan itu ditetapkan pada 27 Julai.

Antara isi menarik khutbah itu adalah bahawa:

Raja dan Sultan, selaku ketua agama juga bertindak sebagai penerus kepimpinan Rasulullah dalam melaksanakan perintah-perintah Allah SWT di tengah-tengah masyarakat dan negara. Memelihara dan mengembangkan agama ini termasuk tugas ketua negara dari segi keagamaan. Sebagai ketua agama, baginda perlu memastikan segala bentuk perundangan yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah terpelihara dan dilaksanakan mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh syara’. Hal ini bertepatan dengan kedudukan agama Islam sebagai agama negara sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan...”

Institusi Raja di bumi ini telah berakar umbi lebih enam abad yang lalu. Sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja mempunyai landasan sejarah dan tradisinya yang tersendiri. Pemerintahan beraja sejak awal mencerminkan amalan kesederhanaan, berperanan sebagai perekat sosial yang telah berjaya menyatukan warga. Konsep rakyat di negeri Melayu Beraja pada zaman silam hidup di bawah payung naungan dan berpaksikan Raja. Amalan kesaksamaan terhadap rakyat pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai bahasa, merupakan sebahagian daripada sifat dan citra Raja Melayu…”

Rakyat pula mempunyai tanggungjawab yang sangat besar kepada Raja iaitu menumpahkan taat setia, menghormati dan menghargai institusi Yang di-Pertuan Agong serta menanamkan rasa cinta terhadap negara. Raja diibaratkan seperti 'pohon' yang memayungi rakyat dengan cara memimpin, melindungi dan menjaga kebajikan. Manakala rakyat pula diumpamakan seperti 'akar' yang bertanggungjawab menumpahkan taat setia kepada raja dan tidak sesekali menderhaka selagi mana mereka taat kepada Allah SWT dan Rasul, serta tidak menjurus kepada perkara kemaksiatan. Rakyat juga perlu memelihara keamanan dan keharmonian negara sebagai tanda mendukung dan menyokong kepemimpinan Yang di-Pertuan Agong memerintah negara ini…”


Selepas selesai menunaikan solat Jumaat, sempat juga berbual ringkas dengan seorang sahabat peguam berstatus “Dato’” berkenaan isi khutbah ini. Saya lontarkan persoalan ini kepada beliau kerana ramai pihak yang giat menyuburkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat. Sentimen yang sering dimainkan adalah bahawa kaum cina khasnya DAP akan memusnahkan elemen Islam dalam negara Malaysia. DAP akan terus menyerang dan menyekat kedaulatan Islam.

Saya katakan kepada sahabat saya ini, “Sesiapa pun yang memerintah Malaysia kelak akan terikat dengan Perlembagaan. Perlembagaan meletakkan institusi Kesultanan di suatu sudut yang kukuh dan tidak boleh diganggu gugat. Bahkan, dalam Perlembagaan adalah jelas dinyatakan bahawa Ketua Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa juga perbicaraan dalam mana-mana Mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas (Perkara 32).

Selanjutnya, saya katakan kepada beliau bahawa YDPA ini mempunyai kuasa eksekutif yang besar kerana kuasa pemerintahan adalah terletak kepada Baginda. Baginda mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana Menteri atau Perdana Menteri sendiri untuk menerangkan kepada Baginda mengenai hal-ehwal Persekutuan. Dalam hal ini, YDPA berhak untuk memanggil Perdana Menteri atau mana-mana pegawai Persekutuan untuk mendapat maklumat mengenai hal ehwal negara termasuklah mengenai 1MDB dan menitahkan perkara yang sepatutnya dilakukan. [Lihat Perkara 39 - Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.]

Sahabat saya tadi pula berhujah, “Nanti, kalau DAP memerintah diorang boleh pinda Perlembagaan”. Saya katakan, tidak mudah untuk meminda Perlembagaan meskipun ada majoriti ⅔ Ahli Dewan sekalipun. Ini kerana peruntukan berkaitan pindaan ke atas hak Raja-Raja ini hanya boleh dibuat semudah itu melainkan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja [Lihat Perkara 159 Perlembagaan].

Sahabat saya meneruskan lagi hujahnya, “Dulu Tun Mahathir boleh pinda itu macam mana?” Saya kata, “Hanya Tun Mahathir seorang sahaja yang mampu buat begitu. Tidak mungkin pada masa akan datang ini Raja-Raja akan bersetuju untuk mengurangkan hak dan keistimewaan mereka terutamanya jika yang memerintah itu DAP”.

Sahabat saya berkata, “Aku masih tak percaya lagi”. Saya kata, “Terpulanglah kepada kamu hendak percaya atau tidak. Itu hak kamu. Tetapi sewajarnya kamu percaya kepada ilmu yang kamu pelajari. Itu yang terkandung dalam Perlembagaan. Ramai orang belajar Perlembagaan tetapi masih percaya kepada mitos yang direka-reka.” Akhirnya, saya memohon kepadanya untuk berundur dan pulang ke pejabat.

Semasa memandu pulang, saya terfikirkan betapa ramai manusia yang lebih percaya kepada ilmu mitos daripada ilmu hakikat. Beberapa minggu lepas saya terlihat lawak jenaka yang dibuat oleh Harith Iskandar dalam youtube.

Harith:  “Kamu pernah lihat hantu?”.

Audien: “Tidak pernah”

Harith: “Kamu pernah dengar seseorang menceritakan dia pernah melihat hantu”.

Audien: “Pernah”.

Harith: “Kamu pernah dengar dia kata, seseorang menceritakan kepada dia bahawa orang itu telah melihat hantu?”

Audien: “Pernah”.

Harith: “Tengoklah, kamu sendiri tidak pernah lihat hantu tetapi kamu percaya hantu wujud kerana kamu percaya kepada cakap seseorang yang dengar orang cakap kat dia bahawa dia pernah nampak hantu. Tetapi kamu sendiri pun tak tahu siapa yang cakap itu”

Inilah gambaran rakyat negara ini yang dimomoki dengan kebimbangan bahawa hak Melayu-Islam akan tergugat dengan DAP. Saya bukanlah ingin berkempen untuk DAP tetapi jelas sekali bahawa momokan itu adalah mitos yang ditanam dalam kepala pengundi bahawa DAP akan memusnahkan Islam dan Islam akan jatuh terjelepuk jika DAP memerintah. Orang Islam akan tiba-tiba jatuh bangsat dengan DAP memerintah.

Dua hari lepas, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyatakan,  “Mutakhir ini api tersebut sering dicetuskan DAP yang menyemarakkan hasutan kebencian dan tuduhan terutama terhadap usaha agama dibawa PAS. Ketika sama, pergerakan DAP turut dibayangi agenda Evangelis Kristian dan bercita-cita menawan untuk mengsekularkan negara ini.” Semalam, Ketua Penerangan Pemuda PAS, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim pula menyatakan, “Penguasaan dan cengkaman pengaruh dalam DAP oleh dua beranak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dilihat bakal menyebabkan parti itu berkubur. Ia ditambah dengan keangkuhan mereka yang sering menunjukkan sikap anti Islam serta memperlekehkan syariat.”

Sepatutnya, setiap orang politik hendaklah berpolitik secara sihat dengan mengemukakan idealisme mereka dan bukan memburuk-burukkan pihak yang lain dengan mitos-mitos yang tidak terjejak di akal. Kata-kata seperti DAP dibayangi agenda Evangelis Kristian dan cita-cita mensekularkan negara ini itu adalah mitos politik yang direka-reka. Mana mungkin untuk mendaulatkan agenda Evangelis Kristian dalam struktur Perlembagaan yang ada pada hari ini dalam mana dinyatakan secara jelas posisi agama Islam sebagai agama Persekutuan. Di manakah pula kedudukan YDPA dan Raja-Raja Melayu? Adalah tidak logik sama sekali jika dikatakan bahawa negara ini akan menuju menjadi negara sekular yang memisahkan agama dan politik kerana sudah wujud puluhan tahun lepas institusi khas yang menjaga agama Islam melalui Majlis Agama di setiap negeri. Ini bermakna, agama Islam itu mempunyai kedudukan politik yang tinggi dalam hieraki pentadbiran di negeri-negeri dan dalam Persekutuan itu sendiri.

Akhir sekali, khutbah Jumaat pada hari ini sepatutnya dihayati dan difikirkan oleh orang-orang yang berakal. YDPA adalah Payung Negara. Tidak mungkin YDPA akan membenarkan orang Melayu dan Islam jatuh bangsat. Kedudukan YDPA adalah sangat teguh dalam Perlembagaan Persekutuan dan beliau mempunyai kuasa yang besar serta berpengaruh dalam hal pentadbiran kerajaan. Kedudukan Islam juga adalah lebih teguh kerana Islam itu dikepalai oleh YDPA di dalam Persekutuan dan dikepalai oleh Raja-Raja Melayu di dalam negeri masing-masing. Tambahan lagi, setiap negeri mempunyai Majlis Agama masing-masing dan tidak mungkin DAP dapat campurtangan dalam urusan pentadbiran Agama Islam khasnya yang berkaitan dengan undang-undang persendirian.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor