Baru-baru ini ada klien yang datang berjumpa untuk meminta pandangan peguam berkaitan memberi hutang. Ceritanya bahawa seorang kenalannya telah berjumpa dengannya untuk meminjam wang berjumlah lebih RM100 ribu. Beliau berasa was-was sama ada kenalannya itu kelak mampu untuk menjelaskan hutang yang berjumlah ratusan ribu itu.
Katanya, “Saya risau kalau-kalau dia tidak dapat menjelaskan hutangnya. Walaupun saya ada wang tetapi jumlah wang itu besar dan sepatutnya saya gunakan wang itu untuk melabur di tempat lain.”
Peguam menjawab, “Kalau awak khuatir kenalan awak itu tak menjelaskan hutang lebih baik jika awak meminta sesuatu sebarang cagaran bagi hutang itu. Mungkin kereta, rumah, barang kemas atau apa-apa sahaja yang berharga.”
Selanjutnya peguam terangkan, “Cuba awak lihat bank. Mana ada bank bagi hutang ratusan ribu tanpa cagaran. Paling kuat pun bank hanya bagi pinjaman peribadi secara tunai RM20-30 ribu sahaja. Itu pun beri kepada pegawai kerajaan atau pekerja syarikat besar macam TNB, Telekom dan mereka akan guna sistem potongan gaji. Biasanya bank akan ambil jaminan atau kolateral daripada peminjam. Biasanya bank akan ambil hartanah. Kadang-kala, kalau jumlah tak besar bank hanya minta jaminan daripada pihak ketiga. Takkanlah kita individu kecil begini nak bagi mudah-mudah wang ratusan ribu kepada orang lain.”
Klien bertanya lagi, “Kalau tanah itu macam mana?”
Peguam kata, “Kalau tanah itu bank biasa buat gadaian. Tetapi kalau individu biasa ini susah sikit nak buat gadaian sebab individu ini tak sama macam bank. Banyak isu nanti dengan pejabat tanah. Cara yang paling baik adalah awak beli tanah atau rumah itu daripada kenalan awak itu. Katakan dia nak pinjam RM150 ribu. Rumahnya pula bernilai RM400 ribu. Tolak tebus hutang dengan bank dalam RM100 ribu. Jadi baki bersih adalah RM300 ribu. Maknanya awak boleh bagi pinjam RM150 ribu sebab nilai bersih hartanah itu RM300 ribu. Bahkan awak boleh beli rumah itu dengan harga yang lebih murah daripada harga RM400 ribu. Dengan cara itu awak boleh ada untung jualan. Cuma kalau setuju dengan cara ini nanti ada kos guaman yang perlu dibayar selain daripada fi pendaftaran di pejabat tanah. Tetapi semua itu boleh dimasukkan dalam kos transaksi dan ditanggung oleh penghutang. Kita boleh tulis ‘exit clause’ dalam perjanjian itu nanti yang mana perjanjian ini boleh dibatalkan jika penghutang membayar kesemua jumlah hutang dan kos.”
Setelah itu, klien telah balik berbincang dengan rakannya itu dan tidak sampai seminggu kemudian klien telah kembali semula berjumpa peguam bersama terma-terma yang telah dipersetujui. Peguam telah mendrafkan perjanjian itu dan memasukkan klausa-klausa yang sepatutnya dimasukkan untuk menjaga kepentingan klien.
Sebenarnya mekanisme pemberian hutang sebegini banyak dibuat oleh institusi besar yang banyak wang tetapi tidak mempunyai lesen sebagai bank. Biasanya mereka adalah ‘fund manager’ yang menerima deposit daripada ahlinya dan perlu memberikan pulangan dividen kepada mereka. Oleh itu, ini adalah salah satu cara bagaimana mereka boleh menjana pendapatan melalui proses jual beli dan sewa balik untuk suatu tempoh yang panjang. Di akhir tempoh itu, mereka akan memindah balik aset itu kepada pemilik asalnya dengan harga nominal.
Firman Allah swt:
Surah Al-Baqarah ayat 283 yang bermaksud:
“Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedangkan kamu tidak mendapati juru tulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).”
Majoriti ulama berpendapat hukum mengambil sesuatu gadaian itu adalah harus. Dalam konteks perlaksanaan gadaian di Malaysia ini, nampaknya ada sedikit halangan dalam Kanun Tanah Negara untuk gadaian itu dibuat oleh individu.
Dalam Tafsir Al-Maraghiy, Jilid 2, Juz 3-4, DBP, (2001), hlm 662 dinyatakan bahawa Nabi SAW pernah menjaminkan baju besinya di Madinah kepada seorang Yahudi yang memberi hutang kepada baginda sebanyak 20 cupak gandum yang baginda peruntukkan untuk para isterinya (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Jadi cara terbaik untuk mengambil gadaian hartanah ini adalah dengan cara mengubah struktur gadaian kepada struktur jual beli atau pindah milik. Namun, cara pindah milik ini akan melibatkan kos yang lebih kerana bayaran duti setem pindah milik lebih besar daripada duti setem gadaian. Tetapi cara sebegini adalah cara paling selamat bagi pemberi hutang yang mana pemberi hutang juga boleh mengambil keuntungan daripada hutang yang diberikan tanpa melibatkan riba. Namun, cara begini memerlukan modal yang besar kerana nilai hartanah sekarang ini adalah tinggi.
Selain mengambil cagaran dalam bentuk hartanah, anda juga boleh mengambil gadaian harta alih iaitu apa-apa barang yang bernilai seperti emas, barang kemas, jam rolex, kereta dan lain-lain sebagai cagaran terutamanya jika nilai hutang itu tidak lebih daripada 3 atau 4 angka. Jika penghutang gagal membayar maka boleh dicairkan barang gadaian itu.
Cara begini banyak diamalkan oleh agensi Al-Rahnu atau pajak gadai Islam. Dalam sistem Malaysia ianya memerlukan lesen khusus bagi menjalankan perniagaan pajak gadai. Bagi individu persendirian, cara yang selamat adalah dengan cara jual janji. Maksudnya pemberi hutang itu membeli barangan emas itu daripada penerima hutang dengan memberikan pilihan (option) kepada penerima hutang itu untuk membelinya semula pada tarikh yang akan datang. Dengan itu, pemberi hutang akan berasa selamat dengan hutang yang diberikannya itu.
Jika tiada juga apa-apa harta untuk dijadikan cagaran maka mintalah kepada orang itu untuk mengemukakan jaminan daripada pihak ketiga. Maksudnya jika penghutang itu gagal membayar maka penjamin itu bertanggungan untuk membayar hutang si penghutang tersebut. Dengan cara ini juga pemberi hutang mempunyai pilihan untuk mengejar penjamin jika penerima hutang gagal membayar hutangnya. Pemberi hutang juga perlu teliti dalam memilih penjamin. Usah pilih penjamin yang dirinya sendiri tidak berpendapatan kerana mana mungkin orang yang tidak berpendapatan mampu untuk menanggung hutang orang lain.
Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati apabila memberi hutang kepada orang lain. Jangan rasa kasihan kepada penerima hutang menyebabkan kita tidak berhati-hati kerana kelak kita akan menyesal memberi hutang kepada penerima hutang yang culas membayar hutang.
Bagi penerima hutang, ingatlah firman Allah Taala ini,
“Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya.” (Al-Baqarah: 283).
Ingatlah bahawa kegagalan anda membayar hutang kerana memang anda sengaja mengelak daripada membayar hutang adalah indikasi sejauh mana tahap takwa anda.
Comments