Satu perkara strategik pilihan raya yang dibuat oleh Tun M dalam PH adalah bertanding dengan menggunakan satu logo iaitu logo PKR. Tindakan ini bukan setakat memberikan keyakinan kepada pengundi terhadap kemampuan PH untuk bersatu dan menjadi alternatif kepada BN tetapi mempunyai implikasi undang-undang di bawah Peraturan 25F Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981. Tindakan ini nampak simple dan mudah tetapi gagal dibuat semasa PRU 13 di bawah Pakatan Rakyat. Ini juga membezakan kedudukan Gagasan Sejahtera kerana Gagasan Sejahtera tidak bertanding di bawah satu logo. Tambahan lagi. Gagasan Sejahtera tidak menamakan calon PM mereka.
2. Menurut Peraturan 25F itu, setelah selesai semua penjumlahan undi, SPR boleh membuat perisytiharan bahawa sesuatu parti yang bertanding di Dewan Rakyat atau DUN telah memenangi pilihan raya itu jika parti itu telah mendapat majoriti melebihi 50% daripada kerusi yang dipertandingkan. Bermakna, jika PH yang bertanding atas logo PKR itu mendapat 112 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan itu maka SPR boleh mengumumkan PKR memenangi pilihan raya tersebut.
3. Satu perkara yang perlu diambil perhatian oleh Tun M adalah jika PKR gagal untuk mendapat 112 kerusi di Semenanjung, maka SPR tidak dapat membuat pengumuman tersebut kerana calon-calon di Sabah dan Sarawak bertanding menggunakan logo parti masing-masing walaupun mungkin calon-calon di Sabah dan Sarawak menyokong Tun M sebagai PM.
4. Ini memberikan kelebihan kepada PM Najib kerana BN menggunakan logo yang sama di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ini memudahkan perisytiharan tersebut.
5. Peraturan 25F ini bukanlah peraturan yang mandatori tetapi jika SPR membuat pengumuman tersebut maka ianya memberikan kelebihan kerana ianya adalah pengumuman rasmi dan muktamad.
6. Jika tiada majoriti yang jelas selepas penjumlahan undi bermakna SPR tidak akan membuat pengumuman tersebut dan ini akan menjadikan ketidaktentuan berlaku sehinggalah PM baharu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Tun M perlu meyakinkan YDPA bahawa beliau mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan yang baharu dipilih itu.
7. Harus juga diingat bahawa YDPA mempunyai kuasa prerogatif iaitu boleh bertindak menurut budi-bicaranya dalam melantik seorang Perdana Menteri seperti mana yang disebut dalam Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.
8. Justeru, PH haruslah mempunyai pelan tindakan yang khusus berkaitan hal ini untuk mengelakkan sebarang ketidaktentuan. Ketidaktentuan ini pastinya akan memberikan kelebihan kepada BN jika tidak ditangani dengan baik.
Comments