Skip to main content

IKON HEBAT DUNIA PEGUAM: TAN SRI MD ARIFF YUSOF - SIRI 1



Tan Sri Md Ariff Yusof adalah antara insan yang banyak memberikan ilham dan inspirasi kepada saya dalam dunia peguam. Pengalaman menjalankan kes bersama insan ini adalah pengalaman berharga.

Saya mula mengenali Tan Sri Md Ariff Yusoff pada tahun 2004 selepas PAS kalah teruk dalam pilihan raya. Pada waktu itu banyak kerusi yang PAS menang di Selangor telah jatuh ke tangan BN. Maka, parti buat keputusan untuk membuat petisyen pilihan raya. Pada waktu itu sangat sukar untuk buat petisyen pilihan raya disebabkan tiada pengalaman. Peguam lain pun ramai yang tiada pengalaman. Malah, kalau ditanya 20 orang peguam kesemuanya langsung tiada pengalaman.

Undang-undang petisyen pilihan raya ini sangat berlainan dengan undang-undang sivil yang lain kerana ia menggunakan Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 sebagaimana yang wujud dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Maka, kita terpaksa mendrafkan sendiri petisyen itu berdasarkan Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya itu dan terpaksa membaca tiap-tiap satu daripada peruntukan kaedah-kaedah itu dengan bahasa Inggeris klasik ala Victorian style. Memang itu adalah tugas yang sangat besar ditambah pula dana kewangan yang sangat terhad.

Kalau tidak silap pada waktu itu ada lima petisyen difailkan di Negeri Selangor antaranya, petisyen Parlimen Gombak (Dr Hatta Ramli), Dun Gombak Setia (Dato’ Ismail Kamus), Dun Bangi (Ustaz Shafie Abu Bakar) dan dua lagi yang saya tidak ingat.

Sewaktu mula menfailkan petisyen itu ramai juga peguam yang berminat untuk membantu dan YB Hanipa Maidin yang menjadi ketua peguam. YB Hanipa sendiri pun tidak pernah membuat petisyen pilihan raya kerana kerja petisyen pilihan raya ini hanya ada lima tahun sekali. Seorang peguam senior pada waktu itu, Darshan Singh juga menawarkan diri untuk membantu gerak kerja petisyen ini di sebelah utara. Darshan Singh ini namanya Singh tetapi beragama Islam. Jika tidak silap, peguam Darshan Singh ini mengendalikan petisyen pilihan raya Dun Belantik yang ditandingi ketika itu oleh Menteri Besar Kedah sekarang, Tuan Haji Sanusi Md Noor.

Anehnya dalam petisyen pilihan raya ini, hanya pihak pempetisyen yang menfailkan petisyen manakala pihak responden tidak perlu menfailkan apa-apa kecuali hanya menfailkan perlantikan peguam sahaja. Ini berbeza dalam kes sivil yang lain yang mana pihak responden perlu menfailkan pembelaan jika kes dimulakan dengan writ dan menfailkan afidavit jawapan jika kes bermula dengan saman pemula dan usul pemula serta afidavit menentang petisyen sekiranya kes bermula dengan petisyen. Mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 pada waktu itu, ada empat kaedah memulakan kes iaitu writ, saman pemula, usul pemula dan petisyen. Kes yang dimulakan dengan petisyen itu pula hanya dibuat jika ada peruntukan khusus undang-undang yang mengarahkan berbuat demikian seperti petisyen untuk didaftaraikan sebagai peguam atau petisyen pemiutang untuk menggulung syarikat.

Sebab itu, pada masa itu, peguam Darshan Singh berpendapat kena ada afidavit untuk menentang petisyen pilihan raya sebagaimana wujud dalam kes petisyen penggulungan syarikat. Namun, seperti mana yang dinyatakan di atas, petisyen pilihan raya ini menggunakan kaedah yang lain dan kaedah itu tidak menyatakan peruntukan untuk menfailkan afidavit itu.

Berbalik kepada cerita awal tadi, pada masa itu Tan Sri Gani Patail menjadi peguam negara dan mewakili SPR telah menentang petisyen pilihan raya itu dan telah membuat bantahan awal. Beberapa petisyen telah dibatalkan kerana tidak mematuhi kehendak kaedah tetapi ada dua petisyen yang terselamat iaitu Petisyen Parlimen Gombak dan Dun Gombak Setia.

Pada masa itulah Tan Sri Md Ariff datang membantu secara aktif secara pro bono. Memang PAS pada waktu itu tidak mempunyai kewangan untuk membayarnya padahal kalau dia membuat kes-kes litigasi sebegini kos yang perlu dibayar seharusnya melebihi RM200 ribu setiap kes. Pada mulanya, kami sendiri tidak mengenali beliau dan menyangka beliau adalah seorang berbangsa Cina dek kerana rupa parasnya yang tidak berwajah Melayu.

Pada masa itu, pasukan peguam terpaksa bertungkus lumus untuk menyiapkan kes dan menyediakan saksi. Seingatnya, kami terpaksa berkampung setiap malam lebih kurang 2 minggu untuk menyiapkan saksi kes seramai 24 orang. Kami membuat kerja di Markaz PAS Taman Melewar. Proses menyediakan saksi dan dokumen sangat rumit kerana antara alasan petisyen itu dibenarkan untuk dibicarakan adalah berkaitan dengan pertambahan pengundi yang mana ada pengundi telah mengundi dua kali kerana kesilapan SPR itu sendiri dalam menyediakan daftar pemilih. SPR pada waktu itu telah membuat dua daftar pemilih yang berbeza sehinggakan ada kes pengundi yang mempunyai nama di dua tempat berlainan dan pengundi itu berjaya untuk mengundi dua kali. Zaman itu undang-undang celup jari belum diperkenalkan dan selepas kes petisyen ini baharulah SPR menimbangkan untuk membuat undang-undang untuk setiap pengundi membuat tandaan dakwat hitam selepas diberikan kertas undi bagi mengelakkan masalah mengundi dua kali. Selain itu, SPR juga telah memanjangkan tempoh pengundian sehingga jam 7 malam sedangkan menurut warta pusat pengundian patut ditutup pada jam 5 petang. Ini menunjukkan berlaku perlanggaran undang-undang yang serius.

Berbalik kepada cerita Tan Sri Md Ariff ini kita boleh lihat ketekunannya dalam membuat kerja. Pada waktu itu kami sering berulang-alik ke pejabatnya, Tetuan Cheang & Ariff di Jalan Yap Kwan Seng sama ada petang atau malam. Malah, ada satu ketika kita buntu untuk mendapatkan kes autoriti dan beliau telah memecahkan kebuntuan itu dengan membuat pesanan pembelian buku itu terus dari United Kingdom dengan kos dan biayanya sendiri.

Selain itu, kita dapat melihat bagaimana corak pemikiran beliau yang sangat mengutamakan asas undang-undang sebelum membuat keputusan. Beliau akan meneliti setiap peruntukan undang-undang dan mencari kes-kes duluan yang membincangkan hal tersebut. Kes-kes yang dilihat bukan setakat yang wujud di Malaysia bahkan di seluruh dunia khasnya kes-kes England, India dan negara komanwel yang lain. Dengan cara ini, kualiti hujahan peguam akan menjadi sangat kemas dan bermutu tinggi. Sekiranya pada peringkat awal lagi dilihat bahawa fakta kes yang ingin dibawa itu bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada, beliau tanpa ragu-ragu akan menyatakan sedemikian meskipun ianya mungkin menyebabkan kita akan kehilangan klien. Ini adalah kualiti penting untuk menjadi peguam yang hebat kerana tugas peguam untuk menasihati anakguam dan bukannya untuk membodek anakguam dengan memberikan cerita-cerita yang indah-indah tetapi akhirnya sendiri ‘kantoi’ di Mahkamah.

Petisyen pilihan raya Dun Gombak Setia dan Parlimen Gombak itu mencatat sejarah tersendiri kerana satu keputusan penting petisyen itu telah menjadi asas perundangan bagi petisyen pilihan raya pada tahun-tahun berikutnya.

Dalam petisyen pilihan raya itu, antara asas tindakan petisyen itu adalah berlaku perlanggaran undang-undang penjalanan pilihan raya yang mana SPR sendiri telah melakukan perlanggaran serius mengenai tatacara pilihan raya kerana telah melanjutkan tempoh pengundian. Kesalahan itu menurut Seksyen 32 Akta Kesalahan Pilihan Raya membolehkan seseorang pengundi atau calon pilihan raya mengemukakan petisyen asalkan dapat dibuktikan bahawa perlanggaran itu telah menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut.

Sememangnya perlanggaran itu telah menjejaskan keputusan pilihan raya kerana pada pandangan kami apabila gazet telah menentukan masa pengundian maka perubahan waktu pengundian hendaklah dibuat melalui gazet juga. Namun, berlaku kesulitan untuk membuktikan bagaimanakah perlanggaran itu menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada masa itu, ada dua tafsiran mengenai hal tersebut. Pertamanya, keputusan pilihan raya terjejas kerana berlaku pertambahan pengundi antara jam 5 petang hingga 7 petang dan itu dapat dibuktikan melalui daftar pemilih. Selain itu, daftar pemilih juga menunjukkan ada pengundi yang dapat mengundi sebanyak dua kali. Keduanya, tafsiran yang menyatakan bahawa maksud terjejas itu adalah terjejasnya keputusan dan majoriti undi yang menunjukkan siapa yang akan memenangi pilihan raya berkenaan. Ini adalah sulit dibuktikan kerana undi setiap orang adalah rahsia dan adalah mustahil untuk memanggil saksi seramai lebih dua ribu orang bagi bertanyakan kepada mereka apakah undi yang mereka berikan (majoriti kemenangan BN di Dun Gombak Setia adalah lebih dua ribu).

Antara saksi penting pada waktu itu adalah arwah Cikgu Radzi yang menjadi tonggak jentera pilihan raya bagi pihak PAS di Gombak. Cikgu Radzi ini adalah seorang penjawat awam yang masih berkhidmat dengan kerajaan maka beliau agak khuatir sekiranya beliau menjadi saksi bagi pihak pembangkang maka majikannya akan mengambil tindakan ke atasnya. Analisa keputusan pilihan raya yang dibuat oleh Cikgu Radzi ini meyakinkan Tan Sri Md Ariff bahawa beliau adalah orang yang tepat untuk menjadi saksi kes kerana tiada orang lain yang dapat membuat analisa yang sebegitu jelas butirannya. Akhirnya, Cikgu Radzi naik sebagai saksi walaupun menghadapi risiko sedemikian.

Malang sekali, Mahkamah berpandangan bahawa analisa itu walaupun meyakinkan tetapi bukanlah satu bukti yang berasaskan fakta berdasarkan undang-undang keterangan. Analisa itu masih lagi bersifat andaian dan pengiraan yang dibuat oleh Cikgu Radzi itu masih boleh dipatahkan dengan kemungkinan yang lain. Ini disebabkan pihak kami hanya dapat membuktikan bahawa berlaku pertambahan pengundi yang menjejaskan keputusan pilihan raya tetapi gagal membuktikan bahawa pengundi yang bertambah itu mengundi Dato’ Ismail Kamus atau Dr Mohd Hatta Ramli. Ini kerana undang-undang pilihan raya menyatakan bahawa undi setiap pengundi itu rahsia dan boleh jadi pengundi yang bertambah itu mengundi calon BN dan bukannya calon PAS.

Selain itu, Mahkamah juga berpandangan bahawa maksud ‘perlanggaran itu menjejaskan keputusan pilihan raya’ adalah bermaksud menjejaskan jumlah majoriti undi yang dimenangi oleh calon yang lain dan bukannya sekadar berlakunya pertambahan pengundi. Disebabkan faktor itulah, Mahkamah dengan jelas menyatakan bahawa walaupun SPR telah melanggar peraturan-peraturan pilihan raya tetapi pihak pempetisyen gagal untuk membuktikan perlanggaran itu menjejaskan keputusan pilihan raya melalui majoriti undi yang diterima.

Apa yang menariknya petisyen pilihan raya ini telah dihakimi oleh Tan Sri Md Raus Shariff yang akhirnya telah naik pangkat sehingga menjawat jawatan Ketua Hakim Negara. Pihak PAS pula diwakili oleh ketua peguam Tan Sri Md Ariff yang akhirnya menjadi Speaker Dewan Rakyat. Manakala pihak BN pula diwakili oleh Tan Sri Shafee Abdullah tetapi Tan Sri Shafee ini tidak hadir keseluruhan prosiding kes dan banyak diwakili oleh Datuk Azhar Azizan @ Harun yang pada waktu itu bekerja untuk Tan Sri Shafee. Akhirnya, Datuk Azhar Azizan @ Harun pula yang menjadi Speaker Dewan Rakyat sekarang (beberapa tahun selepas itu, Datuk Azhar Azizan @ Harun kemudiannya bekerja di bawah Tan Sri Md Ariff di firma Cheang & Ariff).

Akhirnya, keputusan itu dirayu ke Mahkamah Persekutuan. Undang-undang pilihan raya ini adalah undang-undang yang klasik dan lapuk serta tidak mengikut perkembangan zaman. Walaupun, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Court of Judicature Act 1964) menyatakan kewujudan Mahkamah Rayuan tetapi dalam hal petisyen ini apa-apa keputusan Mahkamah Pilihan Raya (Mahkamah Tinggi) hendaklah dirayu terus ke Mahkamah Persekutuan. Dahulu keputusan Mahkamah Tinggi ini adalah muktamad tetapi setelah BN kalah petisyen pilihan raya di Sabah, undang-undang telah dipinda bagi membolehkan satu rayuan dikemukakan.

Semasa rayuan dibuat ke Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Md Ariff sekali lagi telah menyumbangkan tenaganya secara pro bono. Pihak kami bertungkus lumus menyiapkan dokumen dan hujahan kes. Pada pandangan kami, hujahan kami itu adalah antara yang terbaik dibuat dengan mengemukakan autoriti kes yang bukan sahaja daripada Malaysia malah juga daripada negara-negara komanwel yang lain. Malah, sewaktu prosiding kes di Mahkamah Persekutuan Tan Sri Shafee sendiri sangat teruja dengan hujahan pihak kami dan menyatakan kepada peguam bawahannya bahawa hujahan seumpama inilah yang kamu patut buat (‘this is the quality of a submission that you should do’).

Mujurlah pada waktu itu, perpustakaan UIAM mempunyai jurnal undang-undang dan jurnal laporan undang-undang yang hebat. Antara koleksi rujukan yang dibuat adalah Commonwealth Law Report yang jarang diperolehi daripada perpustakaan yang lain. Antara kes yang dibawa adalah kes Morgan vs Simpsons iaitu satu keputusan kes oleh Lord Denning. Prinsip undang-undang yang diputuskan oleh Lord Denning adalah bahawa sekiranya perlanggaran itu tidak serius maka ianya tidak menjejaskan keputusan pilihan raya. Namun, sekiranya keputusan majoriti undi itu tidak terjejas tetapi berlaku perlanggaran serius peruntukan undang-undang maka dianggap ianya tetap berlaku perlanggaran undang-undang. Tan Sri Shafee sendiri bersetuju dengan prinsip kes Morgan vs Simpsons tetapi tidak bersetuju ianya terpakai dalam petisyen rayuan tersebut.

Akhirnya, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan penting dalam sejarah petisyen pilihan raya yang mana Mahkamah Persekutuan telah menolak langsung pemakaian kes Morgan vs Simpsons kerana menurut mereka Malaysia tidak perlu bergantung kepada undang-undang England disebabkan kewujudan Akta Pilihan Raya ini adalah ciptaan Parlimen (creature of a statute) dan bukanlah menjadi sebahagian daripada Common Law yang perlu diikuti.

Semenjak dari itu, Tan Sri Md Ariff menjadi rujukan peguam PAS sepanjang masa kerana kepakarannya dalam bidang undang-undang pentadbiran dan pilihan raya. Apa yang harus diteladani oleh peguam muda sekarang adalah bahawa dalam bidang kepeguaman ini kalah dan menang bukanlah segala-galanya. Apa yang penting adalah pihak-pihak mengemukakan kes masing-masing dengan kualiti yang terbaik. Ini adalah jasa besar peguam kepada negara kerana melalui proses ini undang-undang negara dapat dimantapkan dan dicerapkan (ascertained) sehingga tiada lagi keraguan dalam pemakaian undang-undang itu.

Sehingga kini kes Petisyen Pilihan Raya Dato Ismail Kamus ini menjadi rujukan setiap kali berlaku petisyen pilihan raya kerana dalam kes tersebut mengandungi prinsip-prinsip perundangan yang tidak tercatat dalam akta. Bukan setakat itu, SPR sendiri telah meminda Peraturan-Peraturan Penjalanan Pilihan Raya bagi membenarkan SPR mengubah waktu pengundian tanpa melalui warta. Ini menunjukkan bahawa hujahan pihak kami di Mahkamah itu sebenarnya bermerit meskipun kami kalah dalam petisyen tersebut.

(Jika ada ruang dan kesempatan, siri kedua nanti akan menjelaskan peranan Tan Sri Md Ariff Yusof dalam petisyen pilihan raya Dun Pengkalan Pasir)

Dr Zulqarnain Lukman

18 Julai 2020

26 Zulkaedah 1441H

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor