MASA PEGUAM
Masa adalah kurniaan Allah Taala. Masa itu sangat pelik. Hendak dikatakan ianya satu objek bukan juga. Masa itu tidak boleh dipegang seperti kita memegang ketulan emas. Hendak dijual seperti kita menjual ikan di pasar pun tidak boleh. Masa itu tidak nampak tetapi hendak dikatakan ianya seperti elektrik yang tidak nampak pun tidak juga. Jadi apa sebenarnya hakikat masa?
Selalunya jika ustaz berceramah maka selalu disebut Surah Al-Asr. Surah Al-Asr itu adalah surat Makkiah. Ianya mengandungi tiga ayat sahaja tetapi dengan tiga ayat itu seorang ustaz boleh berbuih mulutnya bersembur air liur keramatnya berceramah selama dua jam bermodalkan surah itu. Mengikut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, surah ini dinamakan sebagai surah Al-Asr kerana ianya bermula dengan lafaz sumpah Allah terhadap masa. Kata tafsir itu, kerugian yang disebutkan dalam surah itu adalah bermakna ‘hilang modal’. Modal seseorang itu ialah umurnya.
Sekiranya berlalu detik umurnya itu tanpa berpesan-pesan dengan kebenaran maka insan itu dalam kerugian. Masa yang terlepas tidak dapat dipusing balik. Kebenaran itu pula meliputi pesanan terhadap iktikad kepercayaan, tutur kata dan amal perbuatan. Berpesan dengan sabar pula ialah bersabar dalam menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangannya.
Hakikat masa ini pelik juga kerana Allah itu sangat adil. Setiap manusia diberikan masa secara percuma tetapi manusia boleh menjual masanya walaupun masa itu adalah makhluk yang tidak kelihatan di mata. Berapakah nilai yang kita boleh beri kepada masa? Sukar bukan! Kita sering menyebut jangan membuang masa. Masa adalah sesuatu yang kita selalunya akan hilang dan kita tidak peduli pun jika ianya hilang. Anehnya apabila kita membuang masa dengan tidur membuta di siang hari pun masa itu seakan tidak habis. Jadi masa itu memenuhi hidup kita seperti mana nafas yang keluar masuk dalam tubuh badan kita. Masa juga akan berganti dengan sendirinya (replenish) tanpa kita meminta-minta.
Maknanya masa itu tidak habis kecuali setelah kita meninggal dunia. Ajaib sekali masa itu akan bermula dari tarikh kita lahir dan berakhir apabila kita menghembus nafas terakhir. Masa itu seakan seiring dengan nafas. Masa tidak dapat dilihat sama seperti nafas. Cuma mungkin nilai masa itu berbeza dengan nilai nafas.
Bagi peguam, masa adalah barang dagangannya. Peguam boleh menjual masa dan ada pula yang bersetuju membeli masa peguam. Peguam boleh meletakkan nilai kepada masa dan nilai masa peguam itu berbeza mengikut waqi’ (suasana). Ada peguam yang boleh meletakkan masanya dengan nilai RM50 ribu tetapi ada peguam yang hanya mampu menjual masanya dengan nilai RM1 ribu.
Bagaimanakah seseorang peguam itu berdagang dengan masa? Jika seseorang itu selalu melihat drama undang-undang, ada peguam yang mengenakan caj mengikut masa yang diambil. Selalu kita lihat dalam drama yang mana peguam itu akan meletakkan jam randik di hadapan mejanya dan mengira berapakah masa yang diambil untuk seseorang klien itu berjumpa. Maka diletakkan harga masa yang diambil itu contohnya setengah jam bernilai RM200.
Sejujurnya sepanjang beramal ini saya tidak pernah menggunakan metod begini. Namun, ada beberapa orang peguam senior di Malaysia ini menggunakan kaedah ini. Cara yang lebih popular adalah dengan mengenakan bayaran bagi setiap kali konsultasi dan bukannya mengikut masa yang diambil. Contohnya setiap konsultasi dikenakan bayaran RM100 atau RM200 sebagaimana seseorang itu berjumpa dengan doktor. Cara ini juga ada baik dan buruknya kerana seseorang klien itu mungkin belum memutuskan untuk mengupah peguam itu dan jika isu bayaran menjadi isu maka peguam itu mungkin akan kehilangan kliennya.
Cara ini hanya efektif jika peguam itu sudah terkenal dan orang ramai menaruh kepercayaan kepadanya. Sewaktu ketika dahulu ada sahabat saya memberitahu bahawa mendiang Karpal Singh akan meminta kakitangannya meminta wang RM500 bagi setiap konsultasi dan wang itu akan dibayar sebelum daripada berjumpa dengannya. Bagi seseorang yang bermasalah barangkali nilai RM500 itu adalah berbaloi kerana beliau dapat berjumpa seorang peguam terkenal dan mendapatkan buah pandangannya. Memang ada kewajaran bagi Karpal Singh mengenakan bayaran itu kerana beliau seorang yang sibuk dan masa yang dihabiskan dengan orang itu perlu dipampaskan dengan wang.
Saya tidak fikir Karpal Singh mengenakan caj yang serupa untuk kerja-kerja politik di Parlimennya. Maknanya dia meletakkan nilai masa kerja peguam dan kerja politik dengan nilaian yang berbeza meskipun mungkin masa yang dihabiskan untuk kerja politik itu jauh lebih banyak dan lebih besar berbanding dengan masa yang dihabiskan untuk kerja peguam. Saya juga mendengar bahawa beliau tidak pernah mengenakan bayaran bagi khidmat guaman yang diberikan kepada pengundi-pengundi di parlimen yang beliau wakili.
Para rasul dan nabi dahulu pun tidak mengenakan sebarang caj ke atas dakwah yang dibuat padahal mereka berhabisan masa untuk kerja menyeru kaumnya menyembah Tuhan yang Satu. Nabi Nuh a.s contohnya telah menghabiskan masa siang dan malam untuk membuat seruan menyembah Allah (“Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman). Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran). (Surah Nuh 71: 5-6).
Padahal jika dikirakan masa yang diambil oleh seseorang rasul itu sangat bernilai dan buah fikiran yang diberikan itu jauh bernilai bagi umatnya di dunia dan akhirat. Maka, nilai masa rasul itu sebenarnya sangat bernilai tinggi tetapi tiada sebarang caj dikenakan.
Maksudnya, penentuan nilai kepada masa itu adalah relatif. Meskipun ada masa yang berkualiti tinggi dihabiskan tetapi ianya tidak diletakkan sebarang nilai wang ringgit kerana orang itu diberikan ganjaran berbeza. Sama seperti Karpal Singh yang tidak meletakkan nilai wang ringgit untuk kerja politik padahal masa kerja politik itu sangat bernilai baginya. Baginya, politik itu satu perjuangan dan perjuangan memerlukan pengorbanan. Maka korban kerja politik adalah masanya yang mana masanya itu boleh ditukar dengan nilai wang ringgit.
Hal ini berbeza dengan sesetengah manusia yang menceburi bidang politik untuk menjual masa mereka. Mereka berada dalam politik dan menghabiskan masa muda atau tua mereka dalam politik untuk beroleh sesuatu pangkat. Ada yang berhasrat untuk menjadi menteri dan ada yang berhasrat untuk dilantik mengetuai GLC supaya mereka dapat meraih sedikit laba atas masa yang mereka laburkan untuk kerja politik. Ini satu perbezaan antara politik cari makan dan politik Karpal Singh.
Begitulah dalam kerja guaman ini ada pihak yang sanggup membayar nilai masa kepada peguam untuk memikirkan masalah yang dihadapi olehnya dan memberikan solusi kepada masalah yang dihadapi itu. Di sinilah terletak skil seorang peguam itu menjual masanya kepada kliennya.
Satu tanggapan silap masyarakat kepada peguam adalah bahawa peguam itu hanya berniaga air liur sahaja. Bercakap sedikit tetapi dibayar ribuan ringgit. Sebenarnya klien membayar harga yang tinggi kerana proses mengeluarkan ‘air liur’ itu bukanlah semudah seperti seekor burung tiong bertutur. Burung tiong boleh bertutur tidak henti-henti kerana burung itu tidak perlu berfikir atau mempunyai kebertanggungjawaban terhadap pertuturannya.
Bagi orang yang biasa melihat kes di Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan akan lebih memahami hal ini. Jarang hakim-hakim mahkamah ini memberikan ruang untuk peguam bercakap lebih daripada 10-15 minit. Padahal proses dan persiapan untuk bercakap selama 10-15 minit memakan masa mungkin setahun. Pelbagai kertas kausa dan kajian terpaksa dibuat bagi bercakap selama 10 minit ini. Mungkin tidak masuk akal kalau dikatakan ada peguam yang mengenakan bayaran sehingga RM200 - RM300 ribu untuk bercakap selama 10 minit ini. Namun, itulah hakikatnya yang berlaku. Paling tidak pun seorang peguam yang menguruskan kes di peringkat rayuan ini akan mengenakan bayaran paling minima RM15 - RM30 ribu. Jika ada peguam yang menawarkan upah yang lebih rendah barangkali kemungkinan beliau hanya bertindak bagi pihak responden atau beliau mempunyai keterdesakan wang atau kemungkinan mungkin beliau masih belum berpengalaman mengendalikan kes di peringkat mahkamah atasan.
Bagi peguam yang mengendalikan kes-kes berbentuk conveyancing pula kadar upah mereka adalah ditetapkan oleh skala fi peguam di dalam Solicitors’ Remuneration Order. Kes-kes conveyancing adalah kes yang melibatkan pindah milik, pajakan atau gadaian bank. Proses pindah milik bagi kes yang melibatkan pemaju perumahan lebih mudah dikendalikan kerana ianya adalah melibatkan tanah yang sama dan pemilik yang sama. Tidak banyak perbezaan antara satu perjanjian jual beli dengan perjanjian jual beli yang lain.
Namun, jika ianya melibatkan penjualan hartanah sekunder (sub-sale) maka setiap perjanjian jual beli itu mungkin berbeza kandungannya. Apatah lagi jika setiap pihak penjual dan pembeli itu diwakili oleh peguam yang berbeza. Setiap fakta kes perlu diteliti supaya perjanjian dapat didrafkan dengan terma-terma yang melindungi setiap pihak.
Perjanjian sebegini mempunyai tempoh masa yang berbeza. Jika sesuatu tanah itu perlu mendapatkan kebenaran pindah milik atau menggadai daripada kerajaan negeri maka tempoh yang diambil untuk diselesaikan mungkin memakan masa 4-6 bulan berbanding dengan tanah yang tidak perlu mendapatkan kebenaran pindah milik yang memerlukan masa penyelesaian antara 1-3 bulan bergantung keadaan jika tanah itu masih dalam gadaian dan pembayaran pula dibuat dalam bentuk tunai atau melalui pembiayaan bank.
Dalam kesemua keadaan ini tempoh masa penyempurnaan kontrak perjanjian jual beli adalah mustahak. Jika berlaku kelewatan maka kemungkinan pihak yang lewat itu akan dikenakan penalti. Jika perjanjian itu langsung tidak dapat diselesaikan maka kadar penalti itu mungkin mencecah sehingga 10% daripada harga jualan. Maka, peguam perlu sangat berhati-hati supaya tempoh perjanjian itu tidak melampaui masa yang ditetapkan. Oleh itu, jika peguam atau staf peguam itu tidak mempunyai kemahiran maka sering kali klien tersebut terpaksa menanggung kos penalti. Jadi peguam conveyancing juga berdagang dengan masa yang diambil untuk menyelesaikan satu-satu transaksi.
Pada suatu ketika dahulu, ada satu kes yang melibatkan jual beli hartanah yang melibatkan seorang tokoh perbankan Islam. Tokoh perbankan Islam ini telah membeli satu hartanah dan berlaku kelewatan dalam pembayaran baki harga jualan. Dalam kes ini, kelewatan disebabkan oleh bank pembiaya pembeli yang lewat mengeluarkan wang pembiayaan. Akhirnya pihak pembeli telah dikenakan penalti oleh pihak penjual. Beliau tidak berpuashati dan telah menulis emel kepada CEO bank membuat aduan dan akhirnya bank tersebut mengalah dan membayar wang penalti itu dengan cara memberikan rebat kepada beliau bagi ansuran yang perlu dibayar. Ini adalah contoh betapa masa itu berharga. Bayangkan jika pihak peguam yang membuat kesilapan maka peguam itu pula terpaksa menanggung penalti disebabkan kecuaian peguam itu dalam membuat perhitungan masa.
Satu lagi perkara yang sering berlaku dalam dunia guaman adalah perbuatan peguam yang suka menangguhkan kerja. Dalam satu pepatah arab ada menyebutkan, “Jangan kamu tangguhkan kerja hari ini kepada esok”. Pepatah ini menunjukkan bahawa jika sesuatu kerja itu perlu dibuat pada hari ini maka ianya perlu diselesaikan pada hari itu juga.
Sebab itu, adalah mustahak bagi peguam mempunyai satu diari khusus untuk merekodkan segala perkara yang perlu dibuat bagi mengelakkan beliau tergesa-gesa menyiapkan sesuatu kertas kausa. Dalam kes-kes litigasi, pihak mahkamah akan menetapkan tempoh tertentu bagi pihak-pihak untuk menfailkan kertas kausa seperti penyataan pembelaan, jawapan kepada pembelaan dan hujahan. Selalunya tempoh yang diberikan adalah antara 2-4 minggu. Ada peguam yang suka menangguhkan menyiapkan kertas kausa sehingga ke saat akhir. Amalan sebegini adalah satu amalan yang tidak baik kerana jika kertas kausa disiapkan pada saat akhir maka kemungkinan besar peguam itu tidak dapat membuat kajian kes dengan sempurna dan akhirnya menjejaskan kesnya.
Selalunya saya sendiri cuba menyiapkan kertas kausa seberapa segera yang boleh tetapi akan menfailkannya pada saat akhir supaya nanti saya mempunyai masa untuk membaca semula kertas kausa itu buat kali kedua dan ketiga. Membaca kertas kausa pada saat yang berbeza boleh memberikan kepada peguam itu perspektif yang berbeza berbanding jika ianya disiapkan pada saat akhir. Penfailan kertas kausa pada saat akhir juga adalah satu tektikal atau strategi kes supaya pihak lawan tidak mendapat faedah tambahan masa. Contohnya jika mahkamah memberikan masa untuk penfailan dalam tempoh 14 hari, maka adalah satu tindakan yang menguntungkan pihak lawan jika kita sudah menfailkan kertas kausa pada hari ketujuh kerana pihak lawan mempunyai masa yang lebih sebanyak 7 hari.
Namun, satu keanehan dalam otak manusia ini adalah bahawa otak itu akan lebih kuat bekerja dalam keadaan tertekan. Ini perkara yang biasa berlaku juga kepada mana-mana orang yang menghadapi peperiksaan. Jika beliau akan menghadapi peperiksaan pada esok pagi maka pada malam itu beliau tidak akan tidur malam kerana membaca buku dan mudah pula menghafal fakta-fakta. Ini kerana beliau berada dalam keadaan fokus dan terdesak. Peguam juga begitu. Ada peguam yang hanya menyiapkan kertas kausa di saat akhir kerana katanya idea akan datang mencurah-curah pada waktu itu. Hakikatnya, amalan sebegini adalah amalan yang tidak baik kerana kita lebih mudah membuat kesilapan berbanding jika kita menyiapkan kertas kausa di peringkat awal dan membuat semakan pada saat akhir.
Menyiapkan kertas kausa adalah satu tugas yang bukan mudah khasnya jika peguam itu masih belum mempunyai pengalaman dalam mengendalikan kes-kes yang faktanya sama. Kertas kausa adalah kertas penting bagi sesuatu perbicaraan kerana perbicaraan akan dikendalikan berdasarkan kertas kausa yang difailkan. Apa-apa yang tidak tertulis dalam kertas kausa tidak akan dibenarkan untuk dibicarakan. Sesuatu perbicaraan dalam kes litigasi sivil (bukan kes jenayah) tidak boleh mengandungi elemen kejutan (surprise).
Tempoh masa menyiapkan kertas kausa adalah berbeza antara satu peguam dan peguam yang lain. Bagi peguam yang berpengalaman mungkin menyiapkan kertas kausa itu hanya memakan masa satu jam berbanding dengan peguam yang tidak berpengalaman yang mungkin memerlukan masa 30-40 jam untuk menyiapkan kertas kausa. Masa yang relatif inilah yang akan menentukan upah seseorang peguam.
Semasa berada di tahun akhir LL.B, lazimnya pensyarah akan mengarahkan pelajar untuk menyediakan kertas kausa bagi subjek Professional Practice. Pelajar tersebut mungkin akan mengalami kebuntuan untuk menyiapkan kertas kausa seperti Writ Saman, Pernyataan Tuntutan atau Pernyataan Pembelaan kerana tiada pengalaman. Bahkan mungkin pelajar itu sendiri pun tidak pernah melihat apa-apa kertas kausa. Maka, masa yang diambil oleh pelajar itu mungkin selama 2-3 minggu untuk menyiapkan kertas kausa itu.
Sebab itu masa adalah aset dan barang dagangan bagi seorang peguam. Berapa tempoh masa yang diambil untuk menyelesaikan kes akan menentukan berapakah upah peguam berkenaan. Bagaimanakah peguam itu menentukan nilai masa itu kepada kliennya adalah bergantung kepada ‘demand and supply’. Jika klien itu sangat berhajat kepada kemahiran seseorang peguam maka peguam itu boleh mengenakan bayaran yang tinggi atas masa yang diambil untuk menyelesaikan kesnya. Namun, jika klien itu boleh mendapat khidmat yang sama seperti itu daripada peguam yang lain dengan upah yang lebih rendah maka kemungkinan besar klien itu akan mencari peguam yang lain.
Bagi klien, pandai-pandailah berunding dengan peguam anda untuk menentukan upah yang perlu dibayar. Buat kaji selidik dahulu mengenai masalah yang dihadapi dan bandingkan mutu kerja seseorang peguam itu dengan peguam yang lain. Dari situ, barangkali lebih mudah anda menilai nilai masa yang dibayar kepada peguam itu. Pastikan khidmat guaman yang diberikan itu adalah sesuatu yang kita katakan ‘value for money’. Dalam kata lain, tiada gunanya mengupah peguam yang mengenakan upah yang murah sekiranya khidmat guaman yang diberikan itu tidak bermutu. Pada masa yang sama mengapa anda harus membayar upah yang mahal sekiranya ada peguam yang mengenakan upah yang lebih murah dengan kualiti khidmat guaman yang sama.
Comments