Skip to main content

PEGUAM MARATHON

PEGUAM MARATHON


Peguam marathon ini jarang kita boleh jumpa. Peguam marathon ini sama seperti pelari jarak jauh. Hendak sampai ke penghujung itu akan memakan masa yang lama. Perjalanan itu jauh. Kadang kala kita hairan kenapakah ada orang yang sanggup berlari sejauh 42 kilometer. Tidakkah dia berasa penat? Namun, bagi pelari marathon mereka menikmati perjalanan yang jauh itu. Bagi mereka ianya satu kenikmatan yang tidak dapat dicari dengan cara lain.


Ada 4 kes yang diingati sebagai kes yang bersifat marathon. Kes-kes itu menjadi kes yang marathon kerana perjalanan kes itu begitu panjang melingkari kehidupan. Apa untungnya kes marathon. Pastinya keuntungan kes marathon itu bukanlah berbentuk keuntungan wang ringgit. Siapakah yang mampu hendak menanggung kos guaman yang berjalan kadang-kala mencecah 10 tahun. Keuntungan yang diperolehi adalah keuntungan yang bersifat membina karier dan kerjaya. Pengalaman yang lama mengendalikan kes-kes begitu memberikan kita keinsafan betapa masa itu amat bermakna.


Kes yang mula-mula adalah kes Al-Maunah. Perjalanan kes ini bermula pada tahun 2000 dan hanya berakhir pada tahun 2020. Perbicaraan di peringkat Mahkamah Tinggi berjalan setiap hari selama 4 hari seminggu. Jika tidak silap ianya berlangsung lebih setahun. Bayangkan berada di Mahkamah setiap hari selama 4 hari seminggu melihat cara pendakwaraya kanan seperti Tan Sri Mokhtar Abdullah (Allahyarham), Tan Sri Abdul Gani Patail, Dato’ Yusof Zainal Abidin, Dato Tun Majid, Dato’ Salahuddin Saidin beraksi. Begitu juga aksi peguam-peguam kanan seperti Karpal Singh, Dato’ Zamani (suami Ketua Hakim sekarang), Bhaghwan Singh, Dato’ Zainur Zakaria (sekejap sahaja apabila beliau menarik diri kemudiannya), Kamarul Hisham, Hasnal Radzua Merican, Zainal Ithnin, Jalaludin, Zaini Zainol, Mohd Zabidi, Dato’ Zulkifli Noordin dan ramai lagi (seingat saya ada kira-kira 27 peguam waktu itu). Melihat para peguam-peguam ini membuat soal utama, soal balas dan soal semula dalam tempoh itu pastinya lebih bernilai daripada belajar kuliah Criminal Procedure Code di dalam bilik kuliah.


Masih terngiang memori ini waktu melihat Dato’ Yusof membuat soal-utama saksi iaitu seorang anggota tentera bagaimana pajero yang membawa anggota Al-Maunah itu masuk kem tentera. Cara beliau membuat soal-utama itu membolehkan kita seolah-olah berada di tempat kejadian kerana beliau bertanyakan dengan jelas dan terperinci mengenai hal-ehwal keadaan pada masa itu. Habis ditanyakan beliau mengenai jarak kenderaan dengan pos pengawal, berapa tiang lampu, keadaan pada waktu malam itu dan apakah isyarat rahsia yang diberikan kenderaan itu untuk memasuki kem tentera. Akhirnya para peguam pun mati akal untuk membuat soal-balas terhadap saksi ini.


Begitu juga melihat cara Karpal Singh membuat soal balas terhadap ketua Special Branch Perak mengenai kenapakah butiran penting tidak dimasukkan dalam laporan polis sehingga ketua Special Branch itu kelu lidah tidak dapat menjawab. Cara Karpal Singh itu adalah cara yang klasik untuk mencabar seorang saksi. Stail Karpal Singh itu memang ada kelas tersendiri kerana soalan yang ditanyakan itu tidak banyak. Kebanyakan peguam sekarang lebih suka untuk bertanyakan soalan-soalan yang meleret-leret dan tidak relevan sehinggakan tiada lagi ruang untuk berhujah dengan kemungkinan. Kadang-kala ada peguam yang bertanyakan terlalu banyak soalan sehinggakan lompong kes pendakwa pun telah ditutup oleh peguam sendiri.


Semasa berhujah mengenai keabsahan undang-undang darurat, Kamarul Hisham bertindak cemerlang. Pada masa itu para peguam yakin bahawa hujahannya itu mempunyai kekuatan untuk membuatkan pertuduhan ke atas semua tertuduh dibatalkan oleh Mahkamah. Satu persatu soalan yang dikemukakan oleh Hakim pada masa itu (Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin - bekas Hakim Besar Malaya) boleh dijawab dengan meyakinkan.


Soalnya kes Al-Maunah itu bukanlah kes yang berpaksikan undang-undang semata-mata. Jika diikutkan hujah undang-undang para tertuduh itu sebenarnya mempunyai peluang yang cerah untuk dilepaskan. Namun, satu hakikat yang perlu kita terima adalah bahawa sesuatu kes itu bukan sahaja dinilai dari aspek undang-undang bahkan ianya juga ada elemen politik. Bayangkan jika tertuduh itu dilepaskan daripada pertuduhan, apakah impak politik dan keselamatan negara. 


Mungkin atas dasar itulah, ada beberapa peguam yang menasihati anakguamnya untuk membuat pengakuan bersalah. Ternyata langkah peguam itu adalah baik untuk anakguamnya kerana mereka hanya dihukum penjara selama 6 tahun sahaja.


Selepas tertuduh dipanggil membela diri, Peguam Negara masih membuat tawaran untuk tertuduh lain mengaku salah. Peguam Negara hanya tidak memberikan tawaran itu kepada 4 tertuduh yang berat iaitu Amin sendiri dan 3 orang sekutu rapatnya yang terlibat dengan pembunuhan. Ada yang membuat pengakuan salah dan dihukum penjara 10 tahun.


Namun, sebahagian yang lain tidak mengaku salah dan meneruskan kes hingga ke akhirnya. Akhirnya mereka telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Pada tanggapan peguam waktu itu penjara seumur hidup adalah tempoh selama 20 tahun. Waran penjara juga meletakkan tarikh pembebasan mereka adalah selama 13 tahun penjara dengan mengambil kira diskaun berkelakuan baik.


Hakikatnya, selepas itu pihak Pendakwaraya mengatakan bahawa waran tersebut adalah tidak sah kerana hukuman yang diberikan menurut undang-undang adalah penjara sepanjang hayat. Ini bermakna hayat mereka adalah di dalam penjara dan hanya boleh keluar setelah nyawa ditarik oleh Maha Pencipta. Ada yang telah mati di dalam penjara dan kaum keluarga mereka hanya dapat menyentuh mayat sahaja.


Oleh kerana mereka telah dihukum penjara sepanjang hayat maka peluang mereka untuk keluar hanyalah melalui pengampunan diraja. Pada waktu itu mereka telah berbelas tahun menjalani hukuman penjara. Mereka juga berusaha untuk membuat pengampunan menerusi pihak penjara. 


Ada seorang teman mereka yang telah keluar awal daripada penjara (yang mengaku salah) telah mengumpulkan ahli keluarga yang mana masih di penjara dan mereka bersetuju untuk melantik peguam untuk membuat representasi bagi pengampunan diraja.


Mereka sepakat untuk meminta saya mewakili mereka semua dan saya telah menerima tugasan itu dengan berat hati kerana belum pernah lagi membuat kerja sedemikian. Maka, setelah berbincang dengan seorang rakan peguam lain maka kami sama-sama pergi ke semua penjara yang menempatkan banduan ini di Kajang, Sungai Petani, Marang dan Machang untuk mendapatkan butiran daripada klien. Kerja ini bukanlah satu kerja mudah kerana ianya memakan masa berminggu-minggu untuk pergi ke setiap tempat. Malang sekali, keadaan tidak menyebelahi mereka kerana katanya pihak diraja tidak berkenan untuk memberikan pengampunan disebabkan wujud isu-isu keselamatan negara berkaitan kes terorisme pada ketika itu dan mereka tidak mahu dilihat memberikan pengampunan kepada kes-kes keselamatan negara.


Mungkin juga disebabkan pandemik Covid-19 ini menyebabkan penjara penuh sesak maka kerajaan mula berlembut dan memberikan pembebasan kepada banduan Al-Maunah ini. Mungkin kedatangan kuman Covid ini memberikan sinar baharu kepada mereka untuk menikmati kebebasan di luar penjara. Sehingga ke hari ini, mereka yang dibebaskan ini telah mula menjalani kehidupan normal. Pembebasan mereka disambut baik oleh teman dan taulan kerana mereka semua hakikatnya adalah orang yang baik-baik yang rajin menunaikan ibadah tetapi telah dipesongkan oleh guru mereka yang mereka taati sepenuh hati. Oleh itu, kita semua perlu jauhi ketaksuban kepada mana-mana tuan guru kerana hakikatnya mereka adalah manusia biasa yang berbuat dosa dan terdedah kepada penyelewengan syaitan dan iblis. Usah pajakkan akal kita yang cerdik kepada tuan guru seperti ini.


Kes marathon yang lain adalah kes berkaitan dengan harta sepencarian yang mana melibatkan pertelingkahan antara bekas suami dan isterinya. Harta yang terlibat pula berada di tengah bandaraya Kuala Lumpur yang mempunyai nilai jutaan ringgit.


Sewaktu klien ini datang ke pejabat beliau telah menyerahkan sesalinan perintah muktamad berkaitan harta sepencarian daripada Mahkamah Rayuan Syariah. Pada waktu itu beliau sudah pokai kerana tidak punya pekerjaan tetap dan telah membayar ribuan ringgit untuk kos guaman. Kes juga telah berjalan bertahun-tahun di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Malangnya, ada kelemahan mengenai terma yang terkandung dalam perintah tersebut kerana perintah itu hanya memberikan pecahan haknya terhadap harta sepencarian itu tanpa perincian mengenai apa yang patut dibuat supaya perintah itu dapat dilaksanakan.


Setelah meneliti kes tersebut maka dicadangkan supaya beliau memfailkan dahulu kes untuk mengubah perintah kerana wujud terma yang tidak jelas terhadap perintah itu. Setelah kes ubah perintah difailkan maka untuk menunggu penyelesaian kes itu pun memakan masa berbulan-bulan kerana tidak mendapat persetujuan pihak lawan. Kesulitan lain timbul juga kerana ada terma dalam perintah itu yang mengarahkan klien untuk membuat pembayaran balik berkaitan sewaan harta sepencarian itu kerana sebahagian daripada harta sewaan itu telah dibuat sewaan kepada pihak ketiga.


Akhirnya hal berkaitan perbezaan terma harta sepencarian itu selesai setelah difailkan beberapa kes. Namun, timbul pula masalah baru kerana terma asal harta sepencarian itu tidak menetapkan tempoh masa bagi perlaksanaan perintah. Akhirnya satu kes bagi penetapan tempoh masa telah difailkan dan Mahkamah telah menetapkan tempoh perlaksanaan bagi perintah itu.


Setelah itu, kesulitan lain yang timbul daripada perintah asal harta sepencarian itu adalah kerana lazimnya Mahkamah sebelum ini hanya menetapkan pecahan bagi hak harta sepencarian sama ada seperempat, sepertiga atau seperdua. Perintah asal Mahkamah Rayuan menetapkan bahawa pihak isteri perlu membuat bayaran kepada klien dan selepas itu baharulah klien perlu membuat pindahmilik bahagian hartanya kepada pihak isteri.


Soalnya berapakah jumlah yang perlu dibayar kepada suami jika hanya dinilaikan kepada jumlah persen bahagian yang diterima. Maka, mahu tidak mahu perlulah ada satu keputusan muktamad daripada Mahkamah untuk menetapkan nilai harta sepencarian itu dalam bentuk ringgit dan jumlah yang perlu dibayar.


Maka, klien bersetuju untuk menfailkan kes bagi menetapkan jumlah yang perlu dibayar. Sewaktu kes ditetapkan untuk pengurusan kes, Mahkamah telah meminta cadangan nama penilai dan setelah diberikan beberapa pilihan satu penilai telah dilantik dengan persetujuan bersama dan kos ditanggung bersama.


Berdasarkan laporan penilaian itu, penilai telah membuat penilaian harta itu pada masa terkini dan nilai pada masa perintah asal Mahkamah Rayuan diputuskan. Pihak isteri mempertikaikan sama ada penilaian itu patut bergantung kepada nilai semasa atau nilai semasa kes diputuskan 10 tahun yang lepas. Mujurlah Mahkamah Rayuan mengambil kira bahawa kes patut diputuskan pada nilai semasa berdasarkan satu hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari berkaitan kisah 3 sahabat yang terperangkap dalam gua dan masing-masing menceritakan amalan mereka untuk bertawassul dan akhirnya mereka dibebaskan. Ada salah seorang daripada mereka yang menceritakan bahawa beliau dahulu pernah menggaji seorang pekerja yang mana sebelum sempat dibayar gaji pekerja itu, beliau telah pergi tidak dapat dikesan sehinggalah beberapa tahun kemudian pekerja itu datang menuntut wang upahnya kembali. Dalam tempoh itu, beliau telah menggunakan wang upah pekerja itu untuk membeli ternakan sehingga ternakan itu membiak dengan begitu subur sekali. Dan ketika itu, beliau telah menyerahkan kesemua binatang ternak itu kepada bekas pekerjanya.


Setelah melalui pelbagai peringkat penfailan dan perbicaraan akhirnya baharu mendapat keputusan muktamad jumlah yang perlu dibayar. Jumlah itu mencecah ratusan ribu kerana keseluruhan nilai harta sepencarian adalah berjuta-juta ringgit. 


Justeru, bagaimanakah caranya untuk memaksa si isteri ini untuk membayar ratusan ribu kepada klien ini. Adakah perlu untuk dibuat satu perintah jualan pula? Pening kepala memikirkan hal tersebut kerana jika terpaksa membuat perintah jualan maka bertahun-tahun lagi baru kes dapat diselesaikan.


Tiba-tiba klien teringat berkaitan wang ASB bekas isterinya ini yang mana sebelum ini telah Mahkamah telah menolak injunksi untuk pembekuan harta itu. Maka, klien telah membuat semakan dan kebetulan penyata ASB itu telah dihantar ke alamat rumahnya yang lama. Ini bermakna si isteri ini setelah berjaya mengenepikan perintah injunski itu masih lagi mengekalkan wang itu dalam ASBnya. Berbekalkan maklumat itu, dicadangkan untuk membuat prosiding garnishment atau hawalah ke atas ASB. 


Masalah yang berlaku pada masa itu adalah kerana Mahkamah masih belum mempunyai perjawatan bailif untuk melaksanakan perintah itu. Apabila ditanyakan kepada Mahkamah pun mereka agak kurang biasa dengan prosiding hawalah kerana jarang peguam yang menfailkan hawalah untuk menuntut hutang penghakiman. Lazimnya, orang hanya menfailkan prosiding saman penghutang penghakiman komital. Maka, peguam tercari-cari cara dan prosedur yang betul untuk membuat hawalah ini.


Setelah membuat beberapa penyelidikan maka klien bersetuju untuk meneruskan prosiding hawalah. Dokumen-dokumen Mahkamah telah diserahkan kepada pihak ASB dan pihak ASB juga melantik peguam syarie untuk menentang permohonan itu. Walaupun begitu, akhirnya keputusan Mahkamah berpihak kepada klien dan beliau berjaya mendapatkan wang harta sepencarian dengan nilai ratusan ribu ringgit setelah berbelas tahun naik turun mahkamah.


Namun, kisah itu tidak terhenti setakat itu sahaja. Beberapa bulan kemudian pihak isteri menyedari bahawa wang ASBnya berkurangan dan pihak isteri telah membuat serangan balas. Pihak isteri telah menfailkan kes tunggakan nafkah anak dan tuntutan mutaah. Agak aneh juga tindakan menfailkan kes tunggakan nafkah anak dalam hal ketiadaan apa-apa perintah awal berkaitan jumlah nafkah anak. Begitu juga dengan kes mutaah. Klien bersetuju untuk menfailan satu bantahan awal terhadap kes ini dan Mahkamah bersetuju bahawa kes tunggakan nafkah anak itu tidak sah. Namun, kes tuntutan mutaah akan berjalan.


Klien pada mulanya tidak berpuashati dengan keputusan itu dan ingin merayu. Notis rayuan telah difailkan tetapi sementara menunggu rayuan itu Mahkamah mengarahkan kes berjalan seperti biasa. Klien terpaksa mengorek semula cerita-cerita lama berkaitan isterinya terutama mengenai kecurangan lampau isterinya yang menyebabkan berlakunya perceraian ini. Kesemua fakta kecurangan itu telah dimasukkan dalam pembelaan dan ianya amat mengaibkan bagi sesiapa yang membacanya. Sememangnya itu strategi yang berkesan kerana akhirnya si isteri telah menarik balik tuntutan mutaah itu. Tidak dinyatakan kenapa beliau ingin menarik balik kes itu tetapi kemungkinan besar jika kes ini dibicarakan maka aib yang keluar daripada kisah perceraian ini tidak mungkin dapat ditanggung oleh beliau terutamanya jika ianya menjadi tajuk besar di Harian Metro.


Satu kes marathon lain adalah berhubung dengan kes permohonan fasakh. Kes ini juga telah mengambil masa yang lama untuk diselesaikan kerana punca utama dalam kes ini adalah berkaitan dengan poligami yang mana si isteri tidak bersetuju dengan suami yang berpoligami dan menfailkan kes permohonan fasakh.


Si suami pula berpendapat bahawa permohonan fasakh itu sebenarnya didorong oleh kaum keluarga isteri itu sendiri kerana beberapa orang ahli keluarga isteri itu sendiri telah bercerai. Pada masa kaedah berkaitan hakam belum wujud lagi dan biasanya si isteri yang memohon perceraian ini akan menfailkan kes taklik atau fasakh.


Si suami juga berpandangan bahawa perceraian ini akan menjejaskan kebajikan anak bongsunya yang masih kecil dan atas sebab itu si suami telah melawan kes ini bersungguh-sungguh. 


Kes ini telah berjalan sehingga tujuh tahun dan peguam telah bertukar ganti. Akhirnya, kes ini juga telah selesai bila mana si suami berpendapat bahawa rumah tangga sudah tidak dapat didamaikan lagi dan anak bongsunya pun sudah agak besar dan dapat memahami suasana dalam rumah tangga mereka. Si suami akhirnya telah melafazkan lafaz talak terhadap isterinya itu.


Terakhir berkaitan kes marathon ini melibatkan pertelingkahan antara suami isteri berikutan si suami telah berpoligami. Pada peringkat awal kes difailkan nampaknya kes ini tidaklah akan berlarutan kerana masing-masing bersetuju untuk merekodkan persetujuan selepas perceraian. 


Namun, hal menjadi rumit apabila si isteri menarik balik persetujuannya khasnya berkaitan hak jagaan anak. Si isteri enggan membenarkan anak-anak untuk berjumpa dengan suaminya walaupun si suami bersetuju untuk melepaskan hak jagaan dan hanya meminta hak untuk melawat dan bermalam.


Pada masa kes ini bermula anak-anak itu masih belum bersekolah kecuali seorang sahaja. Kes ini berjalan kira-kira 11 tahun dek kerana faktor Mahkamah sendiri. Sebenarnya, kes berkaitan hak lawatan bapa ini tidak perlu berjalan dengan begitu lama jika Mahkamah tegas dengan keputusannya. 


Dalam soal penjagaan anak yang masih kecil undang-undang telah jelas menetapkan bahawa hak jagaan akan diletakkan di bawah kuasa ibu dan hak lawatan akan diberikan kepada bapa. Masalah timbul kerana ibu banyak kali menghalang bapa daripada melawat sehingga memerlukan kepada satu permohonan interlokutori difailkan bagi mendapatkan perintah lawatan setiap kali cuti sekolah atau hari perayaan.


Si ibu pula banyak kali engkar dengan perintah tersebut sehinggakan dua kes komital difailkan. Malang sekali, kedua-dua kes komital itu hanya terperap di Mahkamah dan tidak berjalan kerana Mahkamah hanya ingin menumpukan kepada kes induk hak jagaan sahaja.


Kes induk hak jagaan itu berjalan sehingga empat tahun tetapi keputusan yang diberikan adalah mengecewakan si bapa kerana Mahkamah yang memberikan hak lawatan secara umum dengan terma hak lawatan pada tempoh yang munasabah sahaja tanpa apa-apa perincian berkaitan waktu atau hari. Ini menyulitikan si bapa kerana tentu sekali tiada waktu yang munasabah bagi si ibu untuk bapa melawat.


Sedangkan hak lawatan yang diberikan sewaktu perintah interlokutori juga diabaikan oleh si ibu malah sering kali si ibu melarikan anak itu apabila tiba hari lawatan. Pernah suatu ketika anak hanya dapat melihat si bapa ini dicelah gril besi pintu dan diajar supaya anak itu berkata kepada si bapa bahawa mereka tidak ingin kepada bapa mereka. Ini semua gara-gara cemburu yang tidak berkesudahan akibat poligami sehingga hak anak-anak kepada bapa mereka dinafikan. Pernah juga suatu ketika bapa ini telah dihalang oleh ahli keluarga si ibu dengan dihalau dengan batang penyapu.


Meskipun bapa ini telah membuat laporan polis berpuluh kali tetapi pihak polis pun tidak dapat berbuat apa-apa kepada si ibu jika ianya tidak melibatkan sebarang kecederaan fizikal. Apabila kes ini telah selesai di peringkat Mahkamah Tinggi dan dirayu kepada Mahkamah Rayuan, satu masalah lain juga timbul kerana alasan penghakiman tidak dikeluarkan oleh hakim.


Pihak bapa ini telah menunggu selama kira-kira 4 tahun baharulah alasan penghakiman dikeluarkan. Itu pun sekadar 4-5 mukasurat sahaja seolah-olah hakim itu mengambil masa setahun untuk menyiapkan satu mukasurat. Setelah ada alasan penghakiman itu baharulah kes di Mahkamah Rayuan dapat berjalan.


Akhirnya, Mahkamah Rayuan telah bersetuju dengan perayu dan memberikan hak lawatan yang tetap kepada klien yang merayu ini. Namun, itu semua telah mendatangkan impak yang besar kepada beliau kerana kes berjalan kira-kira 11 tahun. Pada saat tahun kesebelas itu anak-anak sudah pun dewasa dan mumayyiz dan sudah boleh membuat keputusan sendiri.


Bayangkan bagaimana anak-anak itu telah hilang kasih sayang daripada si bapa selama 11 tahun sehinggakan pernah si bapa ini langsung tidak dapat bertemu dengan anak-anak selama 6-7 tahun termasuk pada hari raya. Malah, si bapa ini langsung tidak dapat bercakap dengan telefon pun dengan anak-anaknya. Ini mendatangkan penderitaan emosi yang tidak terperi kepada si bapa. Bagi bapa ini beliau berasa teraniaya dengan dizalimi dalam keadaan perjalanan kes tidak memihak kepadanya.


Sebab itu, ada sesetengah hakim yang proaktif berkaitan kes nafkah anak dan hak jagaan atau hak lawatan anak ini dan tidak membiarkan kes itu berlangsung bertahun-tahun tanpa kesudahan. Kes berkaitan anak ini sudah tidak mempunyai nilai jika anak itu sudah besar. Anak-anak memerlukan kasih sayang kedua ibu bapanya sewaktu mereka kecil. Biar pun kedua-dua ibu bapa sudah bercerai namun memisahkan hubungan silaturrahim antara anak dan bapa atau anak dan ibu adalah satu bentuk kezaliman kepada anak-anak. Apatah lagi, dalam tempoh tersebut ada ibu atau bapa yang sengaja menghasut anak-anak untuk membenci bekas pasangannya.


Sebagai peguam, kita seharusnya bertindak secara profesional dan tidak terbuai-buai dengan emosi klien. Peguam seharusnya menasihati klien untuk sentiasa mematuhi undang-undang khasnya apabila ianya berkaitan dengan hukum syarak kerana ianya melibatkan soal dosa dan pahala. 


Bagi peguam pula, menjalankan kes-kes marathon ini adalah satu peluang untuk menambahkan pengalaman dalam karier. Kes-kes marathon ini tidak sepatutnya dilihat sebagai bebanan meskipun dalam kes seperti ini klien tidak mampu untuk membayar peguam mengikut skala kebiasaan. 


Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor