Skip to main content

MANIFESTO PH VS MANIFESTO PN

MANIFESTO PH


Manifesto PH yang terdiri daripada 94 mukasurat terdiri daripada 10 keutamaan tawaran. Manifesto ini telah dilancarkan pada 2 November 2002. Kali ini manifesto PH tidak lagi dinamakan sebagai manifesto tetapi dinamakan sebagai Tawaran Harapan. Barangkali mungkin kerana tidak mahu lagi terpalit dengan kata-kata ‘manifesto sebagai bukan kitab suci’. Sebenarnya, Mahkamah sendiri pun pernah memutuskan bahawa manifesto bukanlah satu kontrak yang mana pihak-pihak akan terikat dengannya. Manifesto sebenarnya lebih tepat jika dianggap sebagai visi atau aspirasi parti yang bertanding.


Manifesto PH meletakkan 3 matlamat utama iaitu kesejahteraan rakyat, mewujudkan pentadbiran beramanah dan mempersiapkan negara untu menghadapi cabaran masa hadapan. Sememangnya, kita semua menghadapi masalah ekonomi yang serius khasnya pasca Covid-19. Ramai orang telah hilang pekerjaan dan perniagaan baharu sahaja untuk tumbuh dan pulih kembali. 


Oleh itu, menjadi keutamaan untuk mana-mana kerajaan selepas PRU-15 menumpukan kepada usaha pemulihan ekonomi. Pemulihan ekonomi tidak akan berlaku tanpa pentadbiran yang bersih dan cekap. Kerajaan juga perlu mempunyai perancangan masa hadapan dan bukan sahaja hanya kerajaan yang menyelesaikan masalah semasa tanpa melihat masa hadapan. 


10 keutamaan tawaran PH adalah berkaitan dengan menangani kos sara hidup, memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi, memperkasa ekonomi belia dan menjaga kebajikan warga tua, menyelamatkan generasi tercicir, membina ketahanan bencana, menangani isu kebajikan doktor kontrak, menangani isu ketaksamaan gender dan sosioekonomi wanita, memperkasa wilayah Sabah dan Sarawak, meningkatkan daya saing rakyat khasnya golongan rentan dan memelihara khazanah alam.


Selain 10 keutamaan itu, terdapat 29 lagi tawaran yang dinyatakan seperti reformasi pendidikan, pendigitalan kerajaan bagi mengurangkan beban penjawat awam, menyelesaikan kebanjiran warga asing di Sabah, memacu ekonomi sukan, membangunkan industri kreatif dan budaya, menjamin kebebasan media dan lain-lain.


Sekiranya kita melihat secara lebih mendalam, tawaran ini adalah berbentuk tawaran yang menyatakan prinsip pentadbiran yang baik. Setiap tawaran itu akan disertakan dengan beberapa strategi ringkas untuk menjayakan tawaran itu. 


Contohnya, tawaran untuk menangani kos sara hidup akan dibuat melalui strategi penghapusan kartel, mencukupkan bekalan (supply chain), meningkatkan lebihan pengeluaran dan mengurangkan kos logistik melalui penurunan bayaran tol.


Manakala, tawaran untuk mewujudkan jaminan keselamatan makanan (food security) akan dibuat melalui reformasi tanah pertanian dengan mengusahakan tanah-tanah terbiar secara sistem pajakan, membangun pertanian moden dan pintar, menjadi negara pengeksport makanan, memperkasa program agropreneur muda dan memperluaskan jaringan keselamatan sosial nelayan serta pernternak.


Antara tawaran yang agak menarik adalah keutamaan untuk menyuntik sejumlah pelaburan awam bagi menghadapi peningkatan populasi masyarakat menua. Penjagaan orang tua memerlukan skim yang komprehensif terutamanya berkaitan perubatan, fisioterapi dan insentif kekeluargaan. 


Selain itu, tawaran untuk mengukuhkan institusi demokrasi seperti pencalonan Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dwipartisan, pengisytiharan aset oleh ahli parlimen, penjawat awam kanan, pengerusi GLC serta ahli keluarga mereka, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat, mengukuhkan sistem perolehan kerajaan melalui tender terbuka dan permintaan sebutharga yang lebih telus, menubuhkan Majlis Media dan sistem Ombudsman akan dapat membantu mengatasi masalah ketirisan wang kerajaan. 


Pasca pandemik Covid-19, tawaran reformasi kesihatan adalah sangat mustahak. Dua suruhanjaya dicadangkan untuk ditubuhkan iaitu Suruhanjaya Kesihatan untuk memantau Pelan Reformasi Kesihatan Negara dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara untuk mengukuhkan pengurusan sumber manusia, perjawatan, latihan dan pengembangan kerjaya petugas kesihatan. Selain itu, tumpuan juga perlu diberikan kepada mengekang peningkatan penyakit tidak berjangkit (seperti diabetes, sakit jantung, darah tinggi dan sebagainya) melalui tumpuan saringan kesihatan dan pendidikan kesihatan.


Perkara lain yang menarik perhatian adalah berkaitan pembangunan industri kreatif dan budaya negara yang mana dicadangkan untuk dibuat Dasar Industri Kreatif Negara dengan mengambil contoh daripada negara Korea Selatan yang telah memanfaatkan seni dan budaya mereka.


Secara dasarnya, tawaran PH itu mampu dibuat dan bukanlah bersifat populis semata-mata. Tawaran itu sememangnya berkisar kepada masalah-masalah semasa dan jika tawaran itu berjaya dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun akan datang maka pastinya ada perubahan kepada iklim ekonomi rakyat Malaysia.


Namun, ada satu perkara penting yang tidak dinyatakan dalam tawaran PH iaitu untuk meningkatkan kegiatan pelancongan. Aktiviti pelancongan sebelum pandemik adalah antara penyumbang terbesar bagi ekonomi. Malah, negara seperti Arab Saudi juga sudah mewujudkan pelan mereka bagi menggalakkan aktiviti pelancongan tanpa berharap kepada industri petroleum lagi.


Selain itu, perkara yang mungkin menimbulkan kontroversi adalah berkaitan dengan pengiktirafan sijil UEC yang diletakkan di bawah Reformasi Pendidikan. Tawaran ini menyatakan bahawa akan meneruskan usaha untuk mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam dengan syarat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Untuk ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.


Manifesto PH boleh dimuat turun di laman web https://kitaboleh.my/




*MANIFESTO PN*


Manifesto PN telah dilancarkan pada 6 November 2022 iaitu kira-kira 4 hari selepas Manifesto PH dilancarkan. Nampaknya PN juga telah meniru PH dengan tidak menamakannya sebagai manifesto tetapi menamakannya sebagai tawaran.


Manifesto PN ini menggunakan slogan Prihatin, Bersih dan Stabil dan berasaskan kepada 12 tunjang, 30 pendekatan dan 234 tawaran. Manifesto ini mengandungi 97 mukasurat. 15 mukasurat pertama hanya dipenuhi dengan grafik yang mengisahkan apa yang telah dibuat oleh Tan Sri Mahiaddin Yasin ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu. 


Sepertimana Manifesto PH, tunjang pertama PN adalah untuk memulihkan ekonomi. Tawaran yang dinyatakan adalah bersifat umum kecuali mengenai mewujudkan 1 juta pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor ekonomi digital dan masa hadapan dalam tempoh 5 tahun. Selain itu, tiada janji yang mengatakan akan memberikan royalti 20% kepada negeri Sabah atau Sarawak dan hanya menyatakan secara umum untuk agihan hasil petroleum mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974. Ini bermakna agihan petroleum itu akan sama sahaja seperti sekarang. 


PN juga menyatakan akan menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan bernilai RM5 bilion untuk tujuan industri masa hadapan. Tawaran ini juga adalah sangat umum dan kurang perincian mengenai kaedah perlaksanaan.


Berkaitan dengan pendidikan, manifesto PN menyatakan akan menyediakan internet laju dalam bilik darjah dan bilik guru di seluruh negara. Pelbagai goodies dijanjikan seperti laptop percuma untuk guru, peranti digital untuk siswa B40 dan M40, perkhidmatan bas percuma, menaikkan elaun guru KAFA dan lain-lain lagi. Persoalannya, apakah Menteri Pendidikan selama ini buat dalam tempoh selepas Langkah Sheraton sehingga keluar manifesto baharu seperti ini.


Berkaitan dengan tunjang untuk membersihkan politik dan tadbir urus, tiada satu perkara baharu yang kita akan dapat lihat melainkan pengulangan terhadap retorik lama seperti memperkasa perundangan Islam, melindungi kebebasan kehakiman, memperkasa pelan antirasuah dan lain-lain. Manifesto ini tidak menyatakan komitmen mereka untuk melaksanakan sistem perolehan tender terbuka serta pengisytiharan harta ahli-ahli politik. 


Satu perkara yang ada dalam manifesto PN dan tiada dalam PH adalah berkaitan dengan merancakkan sektor pelancongan dengan suntikan dana khas sebanyak RM1 bilion. Selain itu, penetapan kuota 2 senator dalam Dewan Negara bagi belia dan beliawanis. Perkara lain adalah berkaitan dengan Felda yang mana ditawarkan inisiatif untuk generasi muda Felda, pemulihan perumahan Felda dan skim keusahawan Felda.


Manifesto PN boleh dimuat turun di laman web : www.pnbest.com





PERBANDINGAN MANIFESTO PH VS MANIFESTO PN


1.  Manifesto PH lebih komprehensif berbanding dengan manifesto PN daripada sudut penyataan dasar dan strategi. Manifesto PH nampaknya telah dibuat dengan lebih teliti berbanding manifesto PN yang nampaknya dibuat seperti dalam keadaan tergesa-gesa.


2. Manifesto PH tidak menyebutkan sebarang angka untuk belanja seperti Manifesto PN yang menyebut angka-angka seperti RM 1 billion untuk dana khas pelancongan dan mewujudkan 1 juta pekerjaan sektor ekonomi digital.


3. Tema pertama manifesto PH adalah untuk menangani kos sara hidup manakala manifesto Pn adalah untuk membina ekonomi masa hadapan. 


4. Manifesto PH menyebutkan mengenai membasmi kemiskinan manakala manifesto PN untuk menaikkan nilai dan taraf hidup rakyat. 


5. Manifesto PH menyebutkan mengenai memperkasa ekonomi belia dan belia harapan negara manakala manifesto PN menyebutkan mengenai memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda.


6. Manifesto PH menyebutkan mengenai memantapkan pembangunan wanita dan institusi keluarga manakala manifesto PN menyebutkan mengenai memoptimumkan potensi wanita.


7. Manifesto PH menyebutkan mengenai ekonomi manusiawi iaitu persediaan menghadapi realiti warga menua dan hidup selesa warga emas manakala manifesto PN menyebutkan mengenai membina warga emas yang aktif dan sejahtera.


8. Manifesto PH menyebutkan mengenai membela nasib OKU manakala manifesto PH menyebutkan mengenai memperkasa OKU.


9. Manifesto PH menunjukkan komitment berkaitan memerangi rasuah dengan memperkenalkan kaedah baru perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan pengenalan akta baru berkaitan kebebasan maklumat, perisytiharan aset dan mewujudkan Majlis Media manakala manifesto PN tidak menyatakan secara spesifik dan hanya menyatakan di bawah tunjang politik dan tadbir urus.


10. Manifesto PH menyatakan komitmen untuk mengukuhkan integriti institusi seperti menetapkan had jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada maksima 10 tahun, pemisahan kuasa Pendakwaraya - Peguam Negara dan memperkenalkan Akta Penggal Tetap Parlimen tetapi manifesto PN tidak menyatakan apa-apa berkaitan hal ini.


11. Manifesto PH menyatakan komitmen untuk memperkasakan sistem demokrasi dan kuasa rakyat dengan meningkatkan wibawa parlimen, tambah baik kualiti perdebatan ahli parlimen, akta pendanaan politik, peruntukan kawasan sama rata, mengatasi ketidakseimbangan saiz pengundi dan memperluas definisi pengundi tidak hadir manakala manifesto PN hanya menyatakan retorik umum di bawah tunjang membersihkan politik dan tadbir urus.


12. Antara perkara-perkara yang dinyatakan dalam Manifesto PN adalah berkaitan Felda dan ianya tidak dinyatakan dalam Manifesto PH. Walaupun begitu, Manifesto PN lebih menjurus kepada pengulangan mengenai apa yang telah dibuat sepanjang PN berkuasa dan tidak mengandungi butiran mengenai polisi yang jelas seperti terkandung dalam Manifesto PH.


13. Ada juga perkara yang tidak dinyatakan dengan spesifik dalam Manifesto PN tetapi dinyatakan dalam manifesto PH dengan lebih jelas seperti pembangunan industri kreatif dan budaya negara, isu kawalan keselamatan negara, memperbaiki sistem perolehan kerajaan, memacu ekonomi sukan, desentralisasi kuasa kepada wilayah Sabah dan Sarawak dan menyelesaikan isu kebanjiran warga asing di Sabah.



*KESIMPULAN*


Secara peribadi, saya berpendapat manifesto PH lebih terperinci dari segi polisi dan strategi. Apabila kita membaca manifesto PH kita akan dapat gambaran menyeluruh mengenai corak pentadbiran 5 tahun akan datang. Jika PH kembali memerintah, buku manifesto ini perlu dijadikan panduan dalam pentadbiran dan polisi yang akan diambil.


Manakala, buku manifesto PN pula lebih bercorak kepada mengulang kembali apa yang telah dilakukan sepanjang Tan Sri Mahiaddin Yasin menjadi Perdana Menteri dan mengulangi corak penyampaian yang dibuat ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Contohnya, mengenai tindakan anti rasuah tidak dinyatakan apakah inisiatif baharu yang akan dibuat selaras dengan slogan Prihatin, Bersih dan Stabil. Begitu juga komitmen untuk menjadikan amalan tender terbuka sebagai satu polisi dalam perolehan kerajaan juga tidak dinyatakan. Selain itu, amalan perisytiharan harta juga tidak dinyatakan. 


Dr Zulqarnain Lukman

7 November 2022







Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor