Akta yang akan menggantikan ISA akan lebih zalim
Rata-rata rakyat Malaysia menyambut baik langkah Perdana Menteri
untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (“ISA”). Langkah tersebut
dipuji oleh semua pihak khususnya parti pembangkang dan badan bukan kerajaan.
Tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah
pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu kerajaan bakal
memperkenalkan dua akta baru. Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan bahawa
kerajaan akan memperkenalkan dua akta baru itu berasaskan kepada Patriot Act di
Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.
USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah
singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate
Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act
of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada 6
Oktober 2001. Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan
September 11, 2001.
Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa
undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan,
kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk
menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing. Akta ini
juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar
pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan.
Perlaksanaan
akta ini telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat
akta ini yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek pengganas
warga asing, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan
pemilik, kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan
tanpa waran mahkamah. Harus direkodkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah
beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat agensi berkenaan
adalah bercanggah dengan perlembagaan.
Di United
Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh kerajaan kira-kira dua bulan
selepas serangan September 11, 2001, kerajaan telah memperkenalkan
Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001. Ciri penting akta ini adalah kuasa
untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahanb tanpa
bicara tanpa had masa. Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan
United Kingdom. Pihak kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke
atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana faktor keselamatan.
Penggunaan
akta ini telah dicabar di Mahkamah dan House of Lord pernah memutuskan bahawa
penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998
kerana bersifat diskriminasi memandangkan akta ini membezakan tindakan ke atas
warga asing dan warga UK sendiri. Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan satu
akta baru iaitu, Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah
diskriminasi itu. Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga
asing atau warga tempatan. Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada
dicabar di mahkamah. Umpamanya, pada tahun 2006 penggunaan akta baru ini juga
telah dicabar di mahkamah dan mahkamah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 3
akta baru ini bertentangan dengan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil
di bawah Art. 6 European Convention on Human Rights. Ini kerana hak orang yang
ditahan ini bukan ditentukan oleh sebuah mahkamah yang bebas tetapi di bawah
keputusan pihak eksekutif, yang mempunyai kuasa melebihi kuasa pemutus
mahkamah. Walaupun sebahagian keputusan ini akhirnya diubah oleh Mahkamah
Rayuan namun hakikatnya perlaksanaan akta ini telah diimbangi dengan kewujudan
Human Rights Act 1998. Human Rights Act 1998 adalah sebuah akta yang sangat
berkuasa kerana akta ini menjadikan sesuatu tindakan sebuah badan awam sebagai
tidak sah jika tindakan tersebut bertentangan dengan European Convention of
Human Rights. Malah, jika pihak litigan tidak berpuas hati, mereka masih boleh
membawa kes mereka ke mahkamah hak asasi di Strasbourg.
Kesimpulannya,
langkah Perdana Menteri yang ingin memansuhkan ISA adalah dialu-alukan dan
tindakan itu selari dengan kehendak rakyat yang ingin melihat perkembangan dan
kesuburan demokrasi di Malaysia. Namun, pengumuman kerajaan untuk menggantikan
ISA ini dengan dua model iaitu Patriot Act di USA dan Anti-Terrorism Act di UK
adalah tidak tepat. Seharusnya kerajaan tidak meniru akta yang dilaksanakan di
USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di negara tersebut tidak sama dengan di
Malaysia. Jika kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut seharusnya
kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat
arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat. Jika
prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan maka tiada guna ISA itu dihapuskan dan
digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan. Di samping itu, sayugia
juga dimaklumkan bahawa pindaan telah dibuat ke atas Kanun Kesiksaan dan
beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme ini.
Sehubungan
dengan ini juga, adalah wajar kerajaan mempelajari falsafah perundangan Islam
yang tidak membenarkan kebebasan seseorang itu disekat melainkan dengan bukti
yang nyata. Penahanan seseorang tanpa bicara adalah zalim dan telah terbukti
semenjak beberapa dekad bahawa ISA telah digunakan untuk menahan tahanan
semata-mata kerana perbezaan fahaman politik. Penahanan atas dasar perbezaan
politik adalah amat kejam dan melainkan terdapat unsur-unsur terorisme dalam
perjuangan politik itu maka barulah tindakan penahanan dan pendakwaan patut
dibuat. Selagi penyebaran fahaman politik itu masih dalam batasan demokrasi
tidak seharusnya kerajaan berasa terancam. Semoga demokrasi terus subur di
Malaysia.
Comments