Skip to main content

Kerjaya sebagai peguam


Hj Sulaiman Abdullah adalah peguam yang dihormati kawan dan lawan kerana prinsipnya


Oleh: Dr Zulqarnain Lukman

    Sewaktu melintasi tempat meletak kereta di Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam saya terlihat beberapa orang membawa jambangan bunga diiringi oleh ahli keluarga masing-masing. Kelihatan di wajah mereka kegembiraan dan keceriaan. Saya pasti bahawa hari semalam adalah hari besar dalam hidup mereka dan ibu bapa mereka. Mereka telah menghabiskan masa sekurang-kurangnya 1 tahun di peringkat matrikulasi atau A-Level dan 4 tahun bagi menghabisi pengajian undang-undang. Ibu bapa mereka juga pasti telah berbelanja besar untuk menampung yuran pengajian anak-anak di universiti. Tidak syak lagi bahawa semalam adalah hari besar dan bersejarah bagi mereka kerana hari semalam adalah hari mereka didaftarai dan diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya. Ini bermakna pengajian mereka di peringkat sarjana muda undang-undang telah mencapai kemuncaknya. Selepas ini mereka bebas untuk beramal sebagai peguamcara dan peguambela. Mereka dibenarkan untuk memasuki dewan bicara mahkamah dan berhujah di hadapan Yang Arif Hakim. Mereka pasti akan dipanggil sebagai peguam yang terpelajar (learned counsel). Alangkah indahnya saat-saat itu.

Allahyarham Aris Rizal Christopher Fernando sangat cekap semasa sesi  soal balas. Kerjayanya sampai ke kemuncak sewaktu mengendalikan kes Liwat I
Pengalaman yang sama telah saya lalui lebih sedekad yang lalu. Dan saya masih mengingati saat-saat indah ketika diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Temerloh di hadapan Yang Arif Dato’ VT Singham. Sebenarnya, saya dan rakan saya adalah orang yang pertama diterima masuk di hadapan Yang Arif Dato’ VT Singham kerana beliau baru sahaja dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada waktu itu.

Semalam juga saya berbalas mesej dengan seorang rakan senior saya berkaitan kerjaya di dalam bidang guaman ini. Beliau menyatakan kenapa beliau masih belum hidup senang dengan kerjaya ini sedangkan beliau telah diterima masuk sebagai peguam kira-kira 13 tahun. Apakah silapnya?

Dato' Muhamad Shafee Abdullah adalah seorang peguam bidang jenayah tersohor di Malaysia

Saya melihat begitu banyak pahit manis di dalam bidang guaman ini. Ada rakan-rakan yang pernah memiliki 3 buah kereta mewah dan rumah teres yang besar untuk beberapa tahun, akhirnya beliau tersungkur kerana salah perkiraan. Ada juga rakan yang pernah membuka firma guaman tetapi hanya mampu bertahan selama 2 bulan sahaja kerana modalnya sebanyak RM20 ribu habis begitu seolah-olah seperti air yang tumpah. Ada juga firma sahabat peguam yang mampu bertahan selama 2 tahun kerana selepas itu terpaksa ditutup gara-gara karenah rakan kongsi yang pecah amanah terhadap wang klien. Ada firma guaman yang dibuka lebih sedekad lalu dan nampaknya semakin maju. Ada yang rakan yang memperolehi durian runtuh atau ‘jackpot’ dalam kariernya apabila kliennya membayar fi sebanyak RM1 juta ringgit kerana membantu kliennya mendapatkan wang sejumlah RM7 juta. Lantas, beliau pada minggu depannya kelihatan memandu sebuah BMW 3 series dengan bergaya (Kalaulah saya yang menerima ‘jackpot ini, alangkah bahagianya).

Karpal Singh adalah legenda bidang guaman. Dikatakan banyak undang-undang berkaitan dadah dipinda setiap kali beliau memenangi kes. Beliau telah menjadi peguam semenjak tahun 1969 dan semenjak itu wajahnya setiap hari kelihatan di mahkamah.

Pokok pangkalnya, menjalani hidup sebagai peguam memerlukan skil tertentu. Peguam yang berkhidmat sebagai seorang pembantu undang-undang di firma orang lain perlu mempunyai skil bekerja secara bebas (independent) iaitu mampu berfikir dan melaksanakan kerja tanpa perlu menunggu arahan bos. Peguam itu harus mampu membuat penyelidikan sendiri dan mampu mengundang rasa hormat daripada bosnya atas ketrampilan, ilmu dan semangat berkerja. Selain itu, peguam ini harus bijak menangani politik dalaman pejabat dan menjauhi daripada gosip pejabat yang boleh mengundang rasa dengki orang lain.

Bagi peguam yang membuka firma sendiri, beliau harus mempunyai skil yang lebih hebat. Beliau harus mampu mencari kerja, membina rangkaian dan jaringan kenalan supaya mudah mendapat kerja. Beliau juga harus tegak atas prinsip undang-undang. Jangan amalkan memberi rasuah kepada mereka yang memberikan kerja kepada kita. Sebaliknya, biarkan klien yang meletakkan kebergantungannya kepada kita dalam menyelesaikan masalah mereka. Dan peguam ini harus menunjukkan sifat profesional sebagai peguam. Peguam ini harus menepati janji mereka kepada klien dan mempersembahkan kes klien di hadapan Yang Arif dengan sebaik mungkin. Peguam ini tidak boleh menutup telefon kerana terganggu dengan panggilan klien yang bertalu-talu. Pakaian mestilah kemas sesuai dengan profesion. Saya melihat dari aspek ketrampilan ini, peguam seperti Dato’ Mohd Shafee atau Dato’ Wan Mutalib Embong boleh ditiru. Kedua-duanya adalah peguam yang berjaya. Jika klien berpuashati dengan khidmat yang diberikan, insyallah ada lagi pekerjaan lain yang diberikan kepada peguam itu. Mungkin juga, klien itu akan merekomenkan rakannya untuk mengambil khidmat peguam itu.

Allahyarham Raja Aziz Addruse adalah seorang peguam sivil yang ternama. Beliau baru sahaja meninggal dunia. Ketegasannya semasa mengendalikan kes pemecatan Ketua Hakim Tun Salleh Abas amat meninggalkan kesan kepada profesion guaman.

Justeru, bagi peguam muda yang baru didaftarai dan diterima masuk hendaklah bijak merangka pelan kerjaya masing-masing. Berjaya diterima masuk sebagai peguam bukanlah tiket yang menjamin seseorang itu memperolehi gaji yang tinggi (Minggu lepas, Perdana Menteri menyatakan bahawa profesional di Malaysia ini dibayar gaji yang rendah tidak setimpal dengan kerjanya). Peguam muda harus mempersiapkan diri untuk meletakkan target menjadi peguam yang bebas dan tidak bergantung kepada orang lain dalam tempoh 5 tahun akan datang. Sebaiknya peguam muda ini menimba sedikit pengalaman dengan kerja-kerja berkaitan mahkamah terlebih dahulu barang 2-3 tahun sebelum memasuki cabang korporat atau lain-lain kerja berbentuk ‘conveyancing’. Ini kerana, bagi orang kampung, jika disebut peguam yang mereka kenali adalah peguam yang berhujah di mahkamah seperti Tuan Karpal Singh. Selain itu juga, peguam muda ini harus melibatkan diri dengan kerja-kerja sukarela samada di dalam mana-mana jawatankuasa kecil Majlis Peguam atau badan sukarela yang lain. Peguam perlu juga membuat kerja-kerja berbentuk probono (kerja free lah ni tanpa dibayar) kerana pengalaman kerja probono ini amat membantu dalam merangka kerjaya masa hadapan. Selepas itu, peguam muda bolehlah membuat pengkhususan dalam kerjaya samada memilih kerja berbentuk conveyancing, litigasi, korporat, pusaka dan probet, tanah, ekuiti dan amanah, tuntutan kemalangan dan insuran atau lain-lainnya.

Dato' Wan A. Mutalib Embong, seorang legenda peguam di Terengganu. Sewaktu rakan-rakannya menyertai UMNO sekembali dari pengajian di London, beliau sebaliknya menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atas dasar prinsip perjuangan Islam.

Saya yakin bahawa jika di mana ada semangat di situ ada jalan. 

Selamat Berjaya.

Comments

Azree Ariffin said…
Terima kasih atas catatan yang amat bermakna ini, Tuan. Saya bakal menamatkan Latihan Dalam Kamar dalam tempoh sebulan lagi, dan berasa amat bersemangat untuk mengamal sebagai seorang peguam apabila membaca tulisan ini. :)
DrZ said…
Semoga tuan berjaya dalam profesion kelak
Anonymous said…
Apakah kelebihan dan keistimewaan kerjaya sebagai peguam?
DrZ said…
kerjaya sebagai peguam memberikan kelebihan dari segi cara berfikir yang vertikal dan lateral. peguam berfikir secara berlapis lapis dan ini akan meningkatkan tahap keaktifan otak dan menjadikan seseorang lebih produktif
Unknown said…
Tumpang tanye,apa akn jadi kalau sijil degree x diiktiraf lpqb,bar council mcm berlaku pd graduate unisza.
Anonymous said…
Mcm mana klau org tu lemah dlm bidang komunikasi? X pndai berckp da berhujah. Dia x sesuai ke ambik bdag ni?
DrZ said…
kalau LLB tidak diiktiraf oleh Bar Qualifying Board, anda tidak perlu khuatir. anda hanya tidak layak menjadi peguam tetapi layak untuk memasuki bidang lain berkaitan undang-undang seperti menjadi pegawai kerajaan, guru, peguam syarie. Selain itu, anda juga boleh menceburi apa-apa kerjaya lain melainkan kerjaya specialist seperti doktor dan jurutera
DrZ said…
Sdra Anon - jika tidak petah bercakap bukan bermaksud anda tidak boleh menjadi peguam yang berjaya. anda masih boleh menjadi peguam conveyancing atau peguam yang membuat research yang bagus. alam kepeguaman ini sangat luas dan terpulang kepada kebijaksanaan anda untuk merangka kerjaya anda

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor