Skip to main content

Pelanggan Berulang - Bagaimanakah ingin berjaya dalam profesion guaman _ Siri 2

Sebenarnya kejayaan itu datang dengan usaha. Usaha itu yang harus diterokai dengan ilmu dan pengalaman. Kejayaan tidak datang bergolek. Saya teringat tulisan Pak Subky Latif, seorang wartawan veteran bahawa kejayaan itu bukan jadi dengan 'kun fa yakun'.

Kejayaan sebagai peguam menjadi dambaan setiap pelajar undang-undang. Pada waktu belajar dahulu, ramai kawan-kawan ingin menjadi berjaya seperti Karpal Singh, legenda Harimau Jelutong. Tidak salah mempunyai idola atau orang yang didambakan. Tetapi tidak semestinya kita mesti mengikut jalan yang dilalui oleh Karpal Singh untuk berjaya.

Salah satu cara untuk berjaya dalam profesion guaman ini adalah dengan mempunyai pelanggan tetap atau dalam bahasa marketing - 'repeat customer'. Repeat Customer ini bermaksud pelanggan yang berulang-ulang mendapatkan khidmat guaman daripada firma kita. Soalnya bagaimanakah ingin mendapatkan repeat customer ini? Sebabnya peguam bukan penjual kambing percik macam Pak Wan (ada satu gerai nasi di JPJ Wangsa Maju, di Medan Aneka yang satu-satunya menjual kambing percik yang lazat di Kuala Lumpur). Kalau macam Pak Wan, mudah baginya mendapatkan repeat customer sebab tiap-tiap hari orang akan makan nasi. Selagi pelanggan tidak jemu dengan kambing percik mereka akan datang ke gerainya. Malah jika pelanggan jemu dengan kambing percik, masih ada lauk lain seperti ikan belanak bakar yang menyelerakan bersama sayur air keladi dan sayur kuah putih daun ulat bulu yang boleh menjadi pengganti.

Adalah sangat jarang ada orang membeli rumah tiap-tiap bulan atau tiap-tiap bulan orang itu kena saman. Lazimnya, ramai peguam yang mendekati pegawai bank bagi mendapatkan kes pembiayaan supaya jika ada orang ingin membuat pembiayaan dapatlah peguam itu menyediakan dokumen pembiayaan dan dapatlah upahnya. Ada juga yang mendekati pegawai bank bagi mendapatkan kes-kes litigasi bagi kes-kes pembiayaan yang tidak berbayar untuk disaman.

Tetapi, menurut pengalaman lepas, bekerja dengan pegawai bank ini memenatkan disebabkan tiap minggu kena hantar progress report. Bil pula lambat dibayar dan jika dibayar pun upahnya sangat ciput. Malah, ada pula pegawai bank yang meminta diskaun atas fee guaman yang sudah ciput. Bagi pegawai bank yang tidak beretika, ada yang berani meminta komisen secara terang-terangan.

Tindakan ini bukan sahaja tidak beretika malah menjatuhkan standard profesion guaman. Kerjaya guaman adalah kerja yang mulia dan terikat dengan etika profesional. Jadi apakah solusinya?

Solusinya adalah bekerja dengan tekun, berikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pelanggan atau anakguam. Sering-seringlah berhubung dengan anakguam untuk memberitahu perkembangan kes beliau. Perlu juga berbincang dengan anakguam dari semasa ke semasa supaya anakguam faham berkaitan perjalanan kes. Peguam juga tidak sepatutnya bertindak sendiri. Peguam perlu memberitahu anakguam pilihan yang ada dan meminta arahan anakguam berkaitan apakah tindakan yang dipilih anakguam.

Dengan cara ini, saya percaya peguam akan mudah mendapat repeat customer. Pengalaman lepas menunjukkan bahawa kita tidak perlu klien yang ramai tetapi seorang klien itu akan terus mendapatkan khidmat kita sekiranya kita menunjukkan mutu dan keunggulan dalam perkhidmatan.

Seorang klien itu mungkin pada mulanya mendapatkan khidmat kita untuk sesuatu kes litigasi, dan dalam tempoh perjalanan kes itu mungkin klien tersebut akan membeli rumah pula. Selain itu, jika klien itu berpuashati maka dia akan menasihati rakannya supaya mendapatkan khidmat guaman daripada kita. Dengan cara sedemikian, maka kita akan terus mendapat kerja yang berterusan daripada klien-klien yang ada dan akan mendapat klien baru hasil rekomendasi klien yang lama.

Dan akhir sekali, jangan lupa bersyukur kepada Allah swt dan bersalawat ke atas Nabi saw atas nikmat yang diberikannya. Janji Allah swt kepada hambanya bahawa beliau akan menambahkan nikmat kepada hambanya yang bersyukur.


Comments

Popular posts from this blog

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua...

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk mem...

Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Secara umumnya undang-undang berkaitan hak penjagaan anak ini adalah mudah. Lazimnya jika seseorang anak itu belum mumaiyyiz (belum dapat membezakan antara yang baik dan buruk), hak jagaan adalah diberikan kepada ibu. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyyiz, lazimnya umur 7 tahun ke atas, Mahkamah akan menemuramah anak itu dan menanyakan anak tersebut dengan siapakah dia lebih selesa untuk tinggal. Walaupun terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip umum ini, Mahkamah biasanya jarang lari daripada prinsip umum ini. Namun, pengalaman lepas menunjukkan bahawa kes berkaitan hadhanah ini paling sulit untuk diselesaikan disebabkan faktor-faktor yang mendatang. Ini disebabkan seseorang ibu atau bapa itu gagal memahami konsep hadhanah ini menurut hukum syarak. Ibu atau bapa yang bercerai itu kadang-kadang terbawa-bawa dengan sebab perceraian sehinggakan anak tersebut menjadi mangsa. sumber: www.jurnalberita.com Sewaktu kes hadhanah itu berlangsung, pihak-pihak biasanya akan m...