Skip to main content

Tuntutan mutaah menurut hukum syarak dan undang-undang



Pembayaran mutaah adalah wajib ke atas suami yang menceraikan isterinya tanpa sebab yang patut di sisi Hukum Syarak. Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan:

“Selain dari haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.”

Allah Taala telah berfirman,


“Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mutaah (pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang takwa”
Al-Baqarah 2:241

Hal ini diperkuatkan lagi dengan tawaran Nabi S.A.W memberikan mutaah kepada isteri-isteri Baginda S.A.W sepertimana yang difirmankan,


“…katakanlah kepada isteri-isterimu: “sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mutaah (sagu hati) dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.”
Al-Ahzab 33:28

Namun begitu, tidak ada kadar yang tertentu yang ditetapkan untuk pemberian mutaah ini. Oleh itu, para hakim boleh melakukan ijtihad masing-masing mengenai kadar itu berdasarkan apa yang sesuai dengan kedudukan atau taraf suami isteri dari segi kaya, miskin, keturunannya dan sifatnya. Ini sesuai dengan firman Allah Taala:


“…hendaklah kamu memberi mutaah (pemberian sagu hati) kepada mereka (yang diceraikan itu) iaitu suami yang senang (hendaklah memberi saguhati ) menurut ukuran kemampuannya dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya..”
Al-Baqarah 2:236

Berdasarkan dalil dan hujah yang disebutkan di atas seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa apa-apa sebab yang patut berhak untuk membuat tuntutan mutaah di Mahkamah dan Mahkamah dalam membuat keputusan terhadap tuntutan mutaah ini boleh memerintahkan suami membayar jumlah yang difikirkannya wajar dan patut berdasarkan kemampuan selaras dengan Hukum Syarak.



Comments

Popular posts from this blog

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua...

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk mem...

Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Secara umumnya undang-undang berkaitan hak penjagaan anak ini adalah mudah. Lazimnya jika seseorang anak itu belum mumaiyyiz (belum dapat membezakan antara yang baik dan buruk), hak jagaan adalah diberikan kepada ibu. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyyiz, lazimnya umur 7 tahun ke atas, Mahkamah akan menemuramah anak itu dan menanyakan anak tersebut dengan siapakah dia lebih selesa untuk tinggal. Walaupun terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip umum ini, Mahkamah biasanya jarang lari daripada prinsip umum ini. Namun, pengalaman lepas menunjukkan bahawa kes berkaitan hadhanah ini paling sulit untuk diselesaikan disebabkan faktor-faktor yang mendatang. Ini disebabkan seseorang ibu atau bapa itu gagal memahami konsep hadhanah ini menurut hukum syarak. Ibu atau bapa yang bercerai itu kadang-kadang terbawa-bawa dengan sebab perceraian sehinggakan anak tersebut menjadi mangsa. sumber: www.jurnalberita.com Sewaktu kes hadhanah itu berlangsung, pihak-pihak biasanya akan m...