Skip to main content

Rukun talak dan pensabitan talak


1.      Dalam Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji Jilid 4 (2002) hlm. 691-694 menyatakan bahawa syarat sah talak ada tiga iaitu:

a.      Akadnikah telah sabit berlaku.
b.     Waras serta sempurna akal. Talak kanak-kanak, orang gila dan orang yang tidur adalah tidak sah.
c.      Mempunyai kuasa memilih yang sempurna dan mencukupi. Talak yang dibuat secara paksa adalah tidak sah. Paksaaan itu mestilah paksaan yang berlaku secara tidak syarie atau disertai ugutan yang ditujukan terus kepada suami seperti ugutan yang menyebabkan suami terdedah kepada mudarat yang besar seperti dibunuh, dipotong anggota atau dipukul dengan pukulan yang menyakitkan.

2.      Di dalam kes Hasanah binti Abdullah lwn Ali bin Muda Jurnal Hukum Disember 1999 Jld XIII Bhg II, di hlm 161, Yang Arif Hakim telah memetik kitab I’anat al-Talibin, Jilid 4 yang menyatakan bahawa rukun talaq ada lima iaitu, suami, lafaz yang digunakan, diqasadkan talaq, kepada siapa talaq itu ditujukan ataupun isteri, dan talaq itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami.

3.     Rukun talaq yang pertama iaitu suami perlu dibuktikan samada melalui pengakuan atau melalui keterangan dalam surat perakuan nikah yang menunjukkan bahawa beliau adalah suami kepada si isteri.

4.   Rukun talaq yang kedua iaitu lafaz yang digunakan. Di dalam perbahasan hukum Syarak, ada ditimbulkan persoalan samada lafaz itu dibuat secara jelas (soreh) atau secara sindiran (kinayah). Seumpama lafaz “I cerai you lah” itu adalah lafaz soreh.

5.      Di dalam kitab Kifayatul Akhyar, Jilid 2 (1993), di hlm 176 menyatakan bahawa:


[Adapun soreh itu ada tiga lafaz: iaitu talaq (talak), firaaq (cerai) dan saraah (lepas). Dan talak dengan yang soreh tidak lagi memerlukan niat}.
Adapun talak itu menjadi soreh kerana memang lafaz itu telah berulang-ulang dalam Al-Quran dan mengenai ertinya pula sudah dikenal orang, iaitu niat melepaskan ikatan nikah pada masa jahiliah mahupun pada masa Islam dan sebahagian besar manusia telah menerapkannya dalam kehidupan mereka dan tak seorang pun berbeza faham.

6.   Lafaz yang soreh dan jelas dan tidak memerlukan niat untuk menjadikan lafaz ini efektif.

7.      Mengenai rukun talaq ketiga, niat atau qasad adalah tidak menjadi isu jika lafaz yang dilafazkan adalah lafaz yang soreh. Namun, jika ianya lafaz kinayah maka ianya memerlukan kepada niat. Niat dapat diketahui daripada pengakuan suami atau melalui bukti sokongan seperti tulisan di dalam sesuatu surat. 

8.      Mengenai rukun talaq keempat, iaitu kepada siapa lafaz dibuat atau isteri. Jika lafaz itu dibuat di hadapan isteri maka tiada ragu lagi bahawa lafaz itu ditujukan kepada isteri. Namun, kesulitan akan timbul jika suami mempunyai ramai isteri, maka suami perlu memberitahu Mahkamah kepada isteri manakah ditujukan lafaz talak tersebut.

9.     Berkaitan rukun talaq kelima, iaitu talaq dijatuhkan dengan kekuasaan suami. Jika suami dipaksa untuk melafazkan talak maka talak tersebut tidak jatuh. Soalnya, bagaimanakah yang dimaksudkan suami dipaksa? 

10. Dalam Kifayatul Akhyar, Jilid 2 (1993), hlm 213, ada dijelaskan bahawa paksaan itu ialah apabila orang yang memaksa itu berkuasa dan sanggup melaksanakan apa yang diancamkannya kepada orang yang dipaksa. Kesanggupan itu dapat diukur dalam bentuk kekuasaan, atau dapat mengalahkan dengan pengaruh, ataupun menyerang dengan ganas. Dan orang yang dipaksa memang dapat dikalahkan dan tidak sanggup mempertahankan diri dengan melarikan diri atau melawan ataupun meminta pertolongan kepada orang lain. Juga ia mesti mempunyai sangkaan kuat kalau ia menentang apa yang dipaksakan kepadanya dia akan ditimpakan bahaya.

11. Di dalam Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji Jilid 4 (2002) seperti yang dinyatakan di atas suatu paksaan itu mestilah disertai ugutan yang ditujukan terus kepada suami seperti ugutan yang menyebabkan suami terdedah kepada mudarat yang besar seperti dibunuh, dipotong anggota atau dipukul dengan pukulan yang menyakitkan.

12. Dalam kes yang mana suami sendiri mengakui bahawa tiada paksaan atau ancaman bersenjata atau sekadar berlaku perdebatan atau perbalahan lisan sahaja, meskipun suami mengatakan dia dalam keadaan tertekan namun dia akui dia masih waras dan boleh berfikir maka akan jatuh talak tersebut. 

13. Oleh itu, jika cukup kelima-lima rukun talak ini maka telah sempurna di sisi hukum syarak talak itu dan lafaz yang dibuat oleh suami itu telah menjatuhkan talak ke atas isteri.
  
Isu ketiadaan niat tentang jumlah talak

14. Berdasarkan kepada kitab Fathul Mu’in, Jilid 3 (2005) hlm 155 yang menyatakan:

 [Apabila suami mengatakan “Saya mentalakmu” dan meniatkan adanya bilangan talak dua atau satu, maka talak jatuh seperti yang diniatkan, sekalipun pada isteri yang belum pernah digauli. Dan jika tidak meniatkan bilangan maka jatuh talak satu.]

Pensabitan Talak


15. Dalam kes Hasanah binti Abdullah lwn Ali bin Muda Jurnal Hukum Disember 1999 Jld XIII Bhg II, di hlm 164, Yang Arif Hakim telah memetik kitab I’anat al-Talibin juzuk ke 4 yang menyatakan: ‘Sesungguhnya talaq itu disabitkan dengan persaksian dua orang lelaki yang adil lagi merdeka, sebagaimana pula ianya disabitkan dengan iqrar adanya talaq.”

16. Oleh itu, jika si isteri mahu menfailkan kes pengesahan lafaz talak, hendaklah dipastikan samada suami itu akan mengakui lafaz tersebut telah dibuat atau mestilah ada 2 orang saksi lelaki yang mendengar lafaz tersebut dibuat baharulah Mahkamah akan mensabitkan perceraian itu.

Wallahualam

Comments

Hamba Allah said…
Salam..
Sy nak minta pandangan tentang talak..
Sy isteri kedua dari suami sy sebelum nie..
Isteri pertama mengugut jika suami sy tak cerailan sy maka dia akn bunuh anak mereka.. masa tu anak ada di pangkuan isteri pertama.. dan dia juga ugut untuk merosakan kerjaya suami jika dia tak ceraikan sy..
Maka isteri pertama memaksa suami sebut apa yg di tulis nya dan suruh suami sy bercakap dengan sy melalui panggilan hp..
Sy nak fau.. sama ada talak itu jatuh sah atau tidak.. sebab di nyatakan kalau memudaratkan suami.. tapi kalau memudaratkan org lain dan suami cuba untuk trnangkan emosi isteri dan nak selamatkn anak mereka.. suami akur dan lafazkan cerai 3 kat sy..
Mohon jawabpan nya.. sekarang kami tak tahu sama ada kami masih sah suami isteri atau tak..

Popular posts from this blog

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua...

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk mem...

Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Secara umumnya undang-undang berkaitan hak penjagaan anak ini adalah mudah. Lazimnya jika seseorang anak itu belum mumaiyyiz (belum dapat membezakan antara yang baik dan buruk), hak jagaan adalah diberikan kepada ibu. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyyiz, lazimnya umur 7 tahun ke atas, Mahkamah akan menemuramah anak itu dan menanyakan anak tersebut dengan siapakah dia lebih selesa untuk tinggal. Walaupun terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip umum ini, Mahkamah biasanya jarang lari daripada prinsip umum ini. Namun, pengalaman lepas menunjukkan bahawa kes berkaitan hadhanah ini paling sulit untuk diselesaikan disebabkan faktor-faktor yang mendatang. Ini disebabkan seseorang ibu atau bapa itu gagal memahami konsep hadhanah ini menurut hukum syarak. Ibu atau bapa yang bercerai itu kadang-kadang terbawa-bawa dengan sebab perceraian sehinggakan anak tersebut menjadi mangsa. sumber: www.jurnalberita.com Sewaktu kes hadhanah itu berlangsung, pihak-pihak biasanya akan m...