Skip to main content

Kesilapan Lazim Dalam Prosiding Tuntutan Mutaah

Dalam tulisan terdahulu saya telah jelaskan maksud mutaah dan cara  pengiraan kadar mutaah. Tulisan ini bercadang untuk menjelaskan kesilapan yang lazim berlaku dalam tuntutan mutaah. Ini kerana menurut pemerhatian saya kesilapan ini bukan sahaja dibuat oleh orang awam tetapi juga oleh peguam syarie. Saya sendiri tidak terkecuali daripada membuat kesilapan ini dahulu. Tetapi, setelah mengendalikan beberapa kes berkaitan mutaah maka pengalaman mengajar kita untuk menjadi lebih baik.

Saya melihat wujud kesilapan yang dibuat sewaktu dalam penyediaan Pernyataan Tuntutan. Dalam kes berkaitan mutaah, si isteri hendaklah menfailkan saman dan pernyataan tuntutan. Pernyataan Tuntutan adalah sebahagian daripada pliding yang mana akan menjadi panduan kepada hakim dan pihak-pihak yang bertikai sewaktu perbicaraan kelak. Sesuatu yang tidak ditulis di dalam pliding tidak boleh dibangkitkan atau dibicarakan sewaktu perbicaraan. Bukti dan keterangan yang boleh dikemukakan hanya yang ada dalam ruang lingkup pliding yang difailkan.

Di dalam tuntutan berkaitan mutaah, saya lihat ramai yang menfokuskan kepada liabiliti atau pensabitan mutaah dan mengabaikan aspek perkadaran / pengiraan mutaah. Untuk mensabitkan liabiliti, apa yang perlu dibuktikan adalah bahawa seseorang isteri itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut atau wajar. Perceraian itu berlaku hendaklah bukan disebabkan oleh kecacatan isteri seperti ada ketumbuhan di dalam alat kelaminnya. Justeru, di dalam pernyataan tuntutan, seorang isteri kerap menyebutkan hal berkaitan punca perceraian seperti suami mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain yang bukan mahram, suami gagal memberikan nafkah sehingga isteri menanggung kesulitan, suami mengabaikan rumah tangga dan lain-lain alasan perceraian. Dengan dibuktikan hal-hal ini maka hakim akan mensabitkan bahawa mutaah wajar diberikan kepada isteri yang diceraikan. Sayugia juga disebut bahawa tuntutan mutaah bukan sahaja boleh dibuat dalam kes perceraian dengan talak, bahkan ianya boleh juga dibuat dalam kes berkaitan fasakh yang berasaskan kepada pembubaran perkahwinan disebabkan oleh suami seperti gagal memberikan nafkah atau suami ghaib dalam tempoh lebih setahun.

Namun, apabila berlaku pensabitan mutaah itu maka perkara kedua yang perlu diputuskan oleh hakim adalah kadar mutaah yang patut diberikan. Perkara ini yang menjadi kecacatan dalam tuntutan mutaah apabila si isteri gagal memplidkan dengan sewajarnya alasan kenapa beliau patut menerima kadar mutaah yang tinggi. Inilah puncanya Mahkamah memberikan kadar mutaah yang rendah kepada isteri walhal isteri membuat tuntutan dalam jumlah yang besar. Bagi pihak suami pula, selaku defendan dalam tuntutan sebegini beliau sepatutnya memplidkan kenapa isterinya tidak patut diberikan jumlah mutaah yang tinggi.

Butiran yang perlu dimasukkan adalah perkara yang berkaitan sifat dan keturunan isteri.  Apa yang dimaksudkan sebagai sifat ini adalah latar belakang isteri seperti tahap pendidikan, pencapaian, tahap dan taraf kehidupan. Semakin tinggi tahap pendidikan dan pencapaian maka semakin tinggi kadar mutaah yang akan diberikan. Manakala, keturunan pula merujuk status keluarga isteri samada beliau berasal daripada keluarga bangsawan, sederhana atau marhain. Semakin tinggi status keluarganya maka semakin tinggi kadar mutaah yang akan diperolehi.

Ini ada dinyatakan disebut di dalam Kitab I’anat Al-Talibin, Jilid 4, Darul Salam, tanpa tarikh, hlm. 2403 – 2404,

“Jika mereka berdua (suami isteri) bertelagah (iaitu tiada persetujuan berkaitan kadar mutaah) maka qadi/hakim akan membuat penentuan kadar mutaah berdasarkan hal ehwal keadaan kedua-dua pasangan suami isteri itu dari segi kesenangan dan kesusahan suami, keturunan dan sifat-sifat isteri”.

Begitu juga dengan apa yang disebut dalam Kitab Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syujak, Juz 2, tanpa tarikh, Darul Kutub Ilmiah, Beirut, hlm. 271 – 272 menyatakan,

“Jika antara suami isteri berbeza pendapat mengenai banyaknya mut’ah, maka banyaknya mut’ah ditentukan oleh hakim. Tentunya menurut kebijaksanaan hakim yang mana kebijaksanaan tersebut disesuaikan dengan persekitaran serta disesuaikan dengan keadaan keduanya iaitu, kaya atau miskinnya suami, dengan nasab atau sifat isteri.

Selain itu, si isteri juga hendaklah memplidkan kemampuan suaminya untuk membayar jumlah mutaah itu, Si isteri perlu membuat 'homework' untuk menyiasat jumlah pendapatan suami. Saya selalu berpesan kepada si isteri untuk menyimpan rekod pendapatan suami. Ini bukanlah bermakna kita berniat untuk bercerai tetapi lebih kepada 'menyediakan payung sebelum hujan'. Jika berlaku perceraian maka tidaklah sukar bagi isteri untuk membuktikan kemampuan suaminya.

Perkara yang baharu yang saya dapati Mahkamah ambil kira juga dalam menentukan kadar mutaah adalah berkaitan sumbangan dan tempoh perkahwinan meskipun ianya tidak dinyatakan di dalam kitab fiqh mazhab Syafie. Semakin lama tempoh perkahwinan dan semakin banyak sumbangan isteri dalam menjaga keharmonian dan kerukunan rumahtangga maka semakin tinggi mutaah akan diberikan. Tetapi bagi saya ianya adalah faktor yang kecil berbanding faktor keturunan dan sifat-sifat isteri.

Perkara lain yang perlu diplidkan dengan jelas dan kemas adalah berkaitan kemampuan suami. Jika dilihat ayat yang digunakan dalam kitab fiqh, para ulama menyebutkan 'kesenangan dan kesusahan suami' atau 'kaya dan miskinnya suami'. Ini bermakna kemampuan suami itu bukan sahaja diukur dari segi pendapatannya bahkan daripada kemampuannya secara keseluruhan termasuk harta-harta lain yang dimiliki oleh suami. 

Seringkali saya ketemu di dalam pliding, si isteri hanya memplidkan bahawa 'suaminya mampu untuk membayar' tanpa memberikan pendetailan bagaimanakah yang disebut sebagai mampu itu. Ada juga yang mengatakan suaminya berpendapatan besar. Ada juga yang menyebutkan suaminya bergaji RM20,000-00 dan suaminya mampu untuk membayar sebanyak RM100,000 tuntutan mutaah. Hakikatnya, kemampuan suami itu perlu dibuktikan oleh si isteri. Pembuktian itu boleh dibuat dengan cara mengemukakan slip pendapatan atau rekod pembayaran cukai pendapatan. Bagi suami yang berniaga, barangkali boleh dibuktikan dengan cara mengemukakan rekod kewangan syarikat yang menjadi rekod awam di dalam simpanan Suruhanjaya Syarikat. Jika suami itu berkerja di syarikat besar, barangkali saksi yang menjaga akaun syarikat boleh dipanggil untuk mengemukakan dokumen kewangan suaminya itu.

Perkara yang saya ingin tekankan dalam tulisan ini adalah kepentingan untuk memplidkan perkara-perkara penting yang mewujudkan kausa tindakan yang kukuh akan membantu Mahkamah dan melicinkan proses perbicaraan. Justeru, apabila mendrafkan kertas kausa berkaitan mutaah ini maka butiran-butiran yang dinyatakan itu hendaklah dimasukkan dengan sempurna.

Kegagalan memplidkan dengan sempurna alasan mengapa tuntutan mutaah dibuat dan alasan mengapa mutaah perlu diberikan pada kadar yang tinggi boleh menyebabkan keputusan Mahkamah tidak berpihak kepada isteri.

Saya sering kali menemukan aduan isteri yang mana isteri mengadu diabaikan oleh suami tetapi gagal mengemukakan bukti yang kuat berkaitan pendapatan suaminya sehingga menyebabkan jumlah mutaah yang diterima itu kecil.

Semalam ada seorang teman peguam bertanya kepada saya, kalau perkahwinan itu berlangsung selama 3 tahun, berapakah jumlah yang wajar dituntut. Saya menjawab dengan menyatakan faktor usia perkahwinan semata-mata tidak membantu Mahkamah untuk membuat keputusan. Oleh itu, hal-hal yang saya nyatakan di atas perlu diselidik baharulah saya mampu untuk menganggarkan jumlah mutaah yang patut diterima.

Di dalam satu kes yang saya kendalikan, seorang isteri itu menuntut mutaah sebanyak RM92,000 atas sebab suami berjanji untuk memberikan nafkah sebanyak RM1000 sebulan. Setelah perbicaraan berlangsung hampir 3 tahun, akhirnya Mahkamah hanya memutuskan jumlah mutaah yang wajar diterima oleh isteri hanyalah RM9,200 sahaja. Begitu juga jika kita mengikut perbicaraan kes mutaah yang dituntut oleh artis Rita Rudaini yang mana beliau menuntut mutaah sebanyak RM300 ribu, yang mana akhirnya Mahkamah memutuskan mutaah yang wajar diterima hanyalah RM30,000 sahaja. Ini tidak bermakna Mahkamah memutuskan mutaah itu pada kadar 10% daripada jumlah tuntutan. Tetapi, Mahkamah akan memutuskan berdasarkan fakta yang dikemukakan.

Tetapi ada di kalangan isteri yang merasakan boleh menjadi kaya dengan wang mutaah. Ini adalah tanggapan yang silap kerana mutaah diberikan bukan untuk menjadikan isteri itu kaya. Mutaah bukanlah pampasan akibat perceraian tetapi mutaah adalah saguhati kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut bertujuan untuk menutup aib yang berlaku, yang mana mungkin perceraian itu akan menjadi buah mulut jiran atau rakan pejabat. Apabila mutaah itu diberikan maka ianya sekaligus dapat menutup mulut orang ramai kerana terbukti bahawa perceraian itu bukan berlaku disebabkan keaiban di pihak isteri.

Oleh itu, adalah sangat wajar supaya pihak suami dan isteri dapat berunding dan menetapkan kadar mutaah yang wajar daripada membiarkan kes berlangsung bertahun-tahun dan akhirnya jumlah mutaah yang diterima itu tidak berpadanan dengan tempoh perbicaraan yang dijalankan. Ada satu kes yang mana dikendalikan oleh teman peguam, yang mana dalam kes itu isteri menuntut mutaah sebanyak RM150 ribu. Akhirnya setelah berlangsung perbicaraan selama 3 tahun Mahkamah hanya memutuskan mutaah yang wajar diterimanya hanyalah berjumlah RM3,500 sahaja memandangkan suaminya yang berkerja sebagai juruteknik hanya berpendapatan kecil sahaja.

Akhir kata, Islam telah menetapkan bahawa hukum memberikan mutaah itu wajib melainkan hak mutaah itu digugurkan oleh isteri secara rela hati. Tetapi, hak yang wajib itu tidak harus disalahgunakan bagi menekan bekas suami sebaliknya hak itu harus digunakan dengan sebaik-baiknya menurut panduan yang ditetapkan oleh agama.

Wallahualam



Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor