Semalam (22 November 2016), Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Timbalan
Perdana Menteri bersama-sama dengan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Di
Jabatan Perdana Menteri iaitu menteri yang bertanggungjawab berkaitan hal ehwal
Islam telah memanggil kesemua Ahli Parlimen Islam untuk menghadiri satu
taklimat khas berkaitan pindaan terhadap Akta 355.
Sebelum itu, YB Ahli Parlimen Marang telah mengusulkan pindaan
kepada Akta 355 yang lebih popular dengan istilah RUU 355 pada 26 Mei 2016.
Usul YB Ahli Parlimen Marang itu telah menimbulkan polemik dan kontroversi yang
besar kepada umat Islam di negara ini.
Sebaik sahaja usul tersebut dibaca, YB Ahli Parlimen Marang
menyatakan akan menghuraikan usul tersebut pada sesi Parlimen yang akan datang
yang bermula pada 17 Oktober 2016 sehingga 24 November 2016. Berduyun-duyun
penyokong YB Ahli Parlimen Marang turun ke Parlimen pada tarikh tersebut untuk
memberikan sokongan dan akhirnya kesemuanya balik dalam kehampaan kerana usul
tersebut tidak dapat dibaca pada tarikh itu.
Penyokong YB Ahli Parlimen Marang menyatakan bahawa usul itu
sengaja ditangguhkan pada 26 Mei 2016 tanpa huraian dan perbahasan bagi
memberikan peluang kepada ahli-ahli Parlimen yang lain bersedia untuk
perbahasan.
Tindakan penangguhan itu akhirnya tidak mencapai matlamat yang
dihasratkan oleh penyokong YB Ahli Parlimen Marang, sebaliknya menjadi polemik
yang besar sehingga ada pemimpin parti YB Ahli Parlimen Marang yang telah
mengatakan kegagalan menyokong usul itu boleh membawa kepada isu akidah.
Tindakan itu juga telah menarik minat pelbagai ilmuan dan
cendikiawan agama Islam untuk turut menulis dan berbahas berkaitan dengan RUU
355. Sahibus Samahah Datuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli
Al-Bakri misalnya telah mengeluarkan pendapat sepanjang 52 mukasurat mengenai
hal itu.
Saya sendiri telah mengulas panjang mengenai usul itu dalam
beberapa siri tulisan dan akhirnya tulisan itu telah dibukukan di dalam buku
“Hududisme: Antara Realiti Dan Retorik” terbitan bersama ABIM dan Ilham Books.
Ahli Parlimen Marang dalam usul persendirian berkaitan RUU 355
ini, antara lain telah mengusulkan seperti berikut:
“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2
Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang
syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang
disebutkan diatas, selain dari hukuman mati.”
Semenjak dari awal saya menyatakan bahawa YB Ahli Parlimen
Marang perlu meletakkan had hukuman supaya ianya tidak menimbulkan kekeliruan.
Saranan itu bukan sahaja tidak diterima malah diejek dan dicemuh oleh penyokong
beliau. Antara isu yang saya bangkitkan adalah bahawa usul YB Ahli Parlimen
Marang itu adalah ibaratnya seperti memberikan “cek kosong” yang angkanya boleh
ditulis sesuka hati. Ini akan membuka ruang kepada ketidakseragaman hukuman
undang-undang jenayah Syariah di negeri-negeri. Ianya juga akan membuka ruang
kepada pelbagai pentafsiran yang akan membawa masalah dalam perlaksanaannya di
Mahkamah Syariah kelak. Begitu juga dengan perkataan “... hukuman yang
dibenarkan oleh undang-undang syariah” juga akan membawa kepada pelbagai maksud
yang luas dan infiniti.
Hari ini kebenaran muncul jua. Nampaknya apa yang ditulis
sebelum ini benar dan akhirnya YB Ahli Parlimen Marang akur adalah tidak
munasabah untuk memberikan “Cek Kosong” kepada Dewan Undangan Negeri dan
Parlimen. Setelah mendapat “wahyu” daripada taklimat yang dipengerusikan
Timbalan Perdana Menteri, dikhabarkan bahawa YB Ahli Parlimen Marang akan
mengemukakan notis pindaan bagi menghadkan hukuman yang akan dinaikkan dalam
RUU 355 kepada sebatan tidak lebih daripada 100 rotan, denda tidak lebih
daripada RM100 ribu dan penjara tidak lebih daripada 30 tahun. Jika benar
khabar ini, “Cek Kosong” yang dijaja beberapa bulan yang lalu akhirnya terisi. Ini
juga menunjukkan bahawa YB Ahli Parlimen Marang mengakui bahawa sesuatu “Cek”
tidak harus dibiarkan kosong. Saya berharap penyokong YB Ahli Parlimen Marang
yang sebelum ini bermati-matian mempertahankan RUU 355 versi asal dapat
memahami bahana dan malapetaka “Cek Kosong”.
Polemik yang dibuat oleh YB Ahli Parlimen Marang itu harus
dijadikan teladan. Bukan sedikit wang yang habis dibelanjakan untuk berkempen
bagi RUU 355 tajaan YB Ahli Parlimen Marang ini. Ada wang yang dibelanjakan itu
adalah wang kerajaan. Misalnya, Jabatan Kehakiman Syariah di beberapa negeri
telah membelanjakan wang untuk menganjurkan penjelasan mengenai RUU 355 ini.
Ini tidak termasuk lagi wang parti yang dibelanjakan sedangkan wang tersebut
lebih mustahak untuk dibelanjakan bagi tujuan yang lebih murni dan produktif.
Sebenarnya RUU 355 ini tidak wajar dipolemikkan langsung. Ianya
adalah pindaan biasa bagi meningkatkan hukuman. Banyak undang-undang yang telah
dipinda berkali-kali bagi menaikkan jumlah hukuman dan ianya langsung tidak
menimbulkan kekecohan.
Meskipun begitu, saya masih berharap supaya suatu jawatankuasa
khas dapat dibentuk sama ada di peringkat parlimen atau teknikal untuk mengkaji
bentuk hukuman yang akan ditetapkan dalam RUU 355. Kini, hukuman 3 serangkai
[sebat, penjara dan denda] sudah makin lapuk. Banyak negara sudah berubah
kepada hukuman yang berbentuk mendidik seperti khidmat masyarakat. Begitu juga,
hukuman penjara maksima 30 tahun itu apakah wajar bagi kesalahan berbentuk
pentadbiran seperti bernikah atau berpoligami tanpa izin. Begitu juga hukuman
mengajar agama Islam tanpa tauliah. Malah, hukuman bagi menyebarkan ajaran
sesat pun perlu dikaji dengan lebih teliti kerana sekiranya orang itu sudah
menjalani modul tertentu di penjara dan sudah insaf maka tiada sebab untuk
orang itu dipenjarakannya sehingga 30 tahun.
Kesimpulannya, kita seharusnya tidak begitu taasub dengan
satu-satu pandangan semata-mata kerana ianya dikemukakan oleh pemimpin kita.
Kita harus rasional dalam mempertimbangkan idea pemimpin atas neraca baik dan
buruk, bukan atas neraca taasub. Kita bertanggungjawab atas perbuatan kita
sendiri. Pemimpin tidak akan menanggung dosa yang kita buat bahkan pemimpin
akan berlepas diri daripada kesilapan kita itu. Kita dibekalkan dengan akal
untuk berfikir dan agama sebagai panduan. Maka, gunakanlah kedua-duanya dengan
sebaik mungkin. Kepada Allah SWT jua kita berharap dan semoga kita tidak terus
dipolemikkan dengan perkara-perkara yang tidak produktif dan tidak mendatangkan
faedah kepada umat.
Comments
Tetapi, bagaimana dengan sistem penjara itu Dr, adakah pesalah hukuman syariah akan diletakkan sekali dengan pesalah hukuman sivil?