Pada 18 Februari 2017, suatu himpunan untuk menyokong Usul Persendirian RUU 355 telah diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Antara salah satu objektif yang ditetapkan dalam himpunan tersebut adalah untuk memberikan penjelasan kenapa Akta 355 perlu dipinda, disokong dan didukung.
Antara hujah yang dinyatakan bagi meminda akta ini adalah bahawa akta ini sudah lama tidak dipinda dan setelah berlalunya sekian masa yang panjang maka timbulah kewajaran untuk meminda akta ini disebabkan perkembangan tempoh masa yang memerlukan supaya peruntukan hukuman itu disemak semula.
Dato’ Mahamad Naser Disa, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam (IKSIM) di dalam satu forum yang pernah diadakan mengatakan pindaan kepada Akta 355 ini perlu dibuat untuk menjaga ‘burung-burung kita yang liar’ yang menyumbangkan kepada kelahiran anak-anak di luar nikah yang kian meningkat.
Justeru, YB Ahli Parlimen Marang telah mengemukakan usul pindaan bagi RUU Persendirian 355 sepertimana yang direkodkan di dalam hansard Parlimen bertarikh 24 November 2016 seperti berikut:
MENGUBAH ISI-ISI SESUATU USUL DI BAWAH P.M. 28 & MENYAMBUNG USUL DALAM MESYUARAT AKAN DATANG DI BAWAH P.M. 15(5)
12.20 tgh.
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 28, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Yang Berhormat bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti berikut:-
Pindaan Seksyen 2 - Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, [Akta 355] dipinda dalam proviso kepada seksyen 2 dengan menggantikan perkataan “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali” dengan perkataan “penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah”.
Kesan langsung berdasarkan usul ini adalah cadangan untuk meningkatkan hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah iaitu daripada hukuman asal 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 sebatan kepada 30 tahun penjara, denda tidak lebih RM100,000 dan sebatan 100 kali.
Beberapa hari lepas, Mufti Perlis, SS Dato’ Dr M. Asri Zainal Abidin dan ilmuwan hadith Dr Rozaime Ramlee menyatakan bahawa mereka menyokong pindaan sebatan daripada 6 kali kepada 100 sebatan. Manakala, kadar hukuman penjara dan denda itu adalah suatu bentuk ijtihad yang boleh diterima dan ditolak berdasarkan kekuatan hujah yang perlu dikemukakan terlebih dahulu.
Saya juga pernah menulis sebelum ini bahawa kesulitan untuk memahami Usul Persendirian ini adalah kerana YB Ahli Parlimen Marang bukan sahaja telah menangguhkan perbahasan usul ini bahkan menangguhkan pembentangan justifikasi terhadap usul ini. Sehingga kini, tiada apa-apa justifikasi yang dikemukakan oleh YB Ahli Parlimen Marang terhadap usul ini kecuali hanya sekadar justifikasi umum sahaja iaitu untuk meningkatkan bidangkuasa Mahkamah Syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah. YB Ahli Parlimen Marang lebih cenderung untuk menghukum dan memanggil orang yang tidak bersetuju dengan Usul Persendirian ini dengan panggilan seperti ‘nyamuk’ dan ‘agas kecil’ daripada memberikan penerangan dan justifikasi yang secukupnya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga hanya sekadar menyatakan “"Saya harap semua pihak bertindaklah atas fakta yang betul, bukan mengelirukan ummah dan rakyat, sebaliknya jadilah jurubicara kepada mereka untuk menjernihkan segala fitnah yang dilemparkan terhadap RUU 355. Kami, penganut agama Islam hanya mahu mengamalkan ajaran agama kami, menegakkan syariat yang juga sebahagian daripada akidah dan syahadah yang kami ucapkan, serta ini juga termasuk dalam perintah Allah." Beliau sendiri gagal memberikan apa-apa fakta mengenai justifikasi kepada peningkatan jumlah hukuman itu berdasarkan kepada apa-apa kajian empirikal.
Kerangka undang-undang Syariah di Malaysia ini berbeza dengan pemahaman sesetengah orang. Ada yang memahami bahawa perlaksanaan undang-undang jenayah Syariah di Mahkamah Syariah hanya berkaitan hukuman hudud dan qisas sahaja atau yang berkaitan dengan khalwat semata-mata.
Undang-undang jenayah Syariah yang diamalkan di Malaysia ini terbahagi kepada dua bahagian. Ada jenayah yang sememangnya sudah termaktub dalam Al-Quran dan Al-Sunnah seperti jenayah zina, qazf, muncikari, liwat, ityan al-bahimah, khalwat, berjudi dan syurb (minum arak). Manakala kategori kedua adalah kesalahan yang tidak menyalahi hukum Syarak tetapi menyalahi pentadbiran agama Islam seperti mengajar agama Islam tanpa tauliah, mendirikan sekolah agama tanpa kebenaran, berkahwin tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa kebenaran. Maka, jika ditingkatkan kadar hukuman maka peningkatan kadar hukuman itu perlulah berkadar dengan kesalahan yang dilakukan. Apatah lagi jika kesan daripada hukuman itu bakal menjadikan kehidupan seseorang itu sengsara sepanjang hayat seperti dikenakan hukuman penjara yang boleh menyebabkan beliau kehilangan pekerjaan. Ini akan menambahkan sengsara beliau dan ahli keluarga yang menjadi tanggungan beliau. Di sinilah perlu ditunjukkan kebijaksanaan (hikmah atau wisdom) Mahkamah Syariah berbanding Mahkamah Sivil iaitu penonjolan sifat holistik Rahmatan lil ‘Alameen.
Penyokong yang menyokong Usul Persendirian seringkali berhujah dengan perbandingan kuasa di Mahkamah Sivil khasnya Mahkamah Majistret dengan kadar hukuman di Mahkamah Syariah. Namun, perbandingan itu hanya sekadar terhadap bidangkuasa semata-mata tanpa penelitian lanjut ke atas kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum. Jika perbandingan ingin dibuat sewajarnya takat bidangkuasa Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi juga haruslah dikaji. Usul Persendirian yang mencadangkan bidangkuasa maksima 30 tahun dan denda RM100,000 itu dipakai secara mutlak tanpa perincian kesalahan itu boleh mendatangkan impak yang negatif.
Hal ini mungkin berlaku kerana Usul Persendirian (Pindaan) ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa tanpa rundingan dengan pihak-pihak stakeholder dan orang ramai. YB Ahli Parlimen Marang sendiri pun tidak pernah mengadakan konsultasi khusus mengenai hal ini dengan orang ramai sedangkan bagi kesalahan yang berbentuk takzir ini adalah suatu kesalahan yang memerlukan maklumbalas daripada pelbagai pihak.
Selain itu, pendraf Usul Persendirian ini masih berada dalam kerangka menghukum yang lama. Jika dilihat daripada Usul Persendirian ini pendrafnya masih terikat dengan bentuk draf yang lama yang meletakkan hukuman tiga serangkai penjara, denda dan sebat yang berbentuk 3,5 dan 6 kepada 30, 100,000 dan 100. Sepatutnya, setiap kesalahan itu dinilai dengan perkadaran seriusnya kesalahan itu maka ditetapkan hukuman sekadar itu mengikut tingkatan Mahkamah. Sewajarnya, hukuman yang berbentuk takzir ini diperincikan mengenai jumlah maksima hukuman yang boleh dikenakan bergantung kepada jenis keseriusan hukuman itu. Adalah tidak munasabah sekiranya kesalahan berbentuk pentadbiran seperti mengajar agama Islam tanpa tauliah dikenakan hukuman maksima penjara 30 tahun atau denda RM100,000. Tetapi corak draf yang begini mestilah mempunyai daya kreativiti yang tinggi berbanding dengan corak hukuman tiga serangkai. Aneh sekali, pendraf usul ini juga gagal untuk melihat kewajaran dimasukkan hukuman yang berbentuk khidmat komuniti (community service)
Ada pihak yang menyatakan bahawa kadar hukuman yang besar ini seolah-olah seperti memberikan kuasa kepada pihak Dewan Undangan Negeri untuk membuat perincian masing-masing. Akta ini akan memberikan ruang kepada negeri masing-masing untuk membina ‘lebuh raya lima lorong’ dan kelak terpulanglah kepada negeri itu untuk membina lebuh raya berapa lorong mengikut bajet masing-masing asalkan ianya tidak melampaui lima lorong yang ditetapkan.
Saya berpendapat bahawa membiarkan negeri memutuskan hukuman yang sesuai boleh membawa tohmah yang lebih besar. Sama halnya seperti kita menetapkan harga siling bagi ayam yang dijual di pasar adalah RM50 sekilo dan membiarkan para peniaga di pasar menetapkan harga masing-masing. Bagi saya harga siling ayam sebanyak RM50 sekilo itu adalah tidak logik dan munasabah dalam konteks tujuan sebenar penguatkuasaan harga siling ayam. Tujuan sebenar penetapan harga siling ayam adalah supaya kepentingan orang ramai adalah terpelihara dan tidak dimanipulasi oleh peniaga ayam yang rakus.
Justeru, wajar sekali bagi YB Ahli Parlimen Marang menjelaskan justifikasinya di dalam Dewan Rakyat akan sebab dan alasan kenapakah kadar hukuman yang sebegini dicadangkan. Saya juga masih belum mendapat apa-apa maklumat bahawa YB Ahli Parlimen Marang telah memberikan justifikasi ini dalam sidang himpunan di Padang Merbok. Jika YB Ahli Parlimen Marang mengambil langkah sedemikan, orang ramai tidak perlu berteka-teki mengenai justifikasi peningkatan kadar hukuman yang dikenakan itu.
Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya juga ralat dengan penambahan frasa “sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah” di akhir usul pindaan ini. Akta 355 ini dibuat bagi memberikan bidangkuasa takat hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Saya tidak nampak apa-apa tujuan dimasukkan frasa tersebut. Malah, akta yang digubal semenjak tahun 1965 itu dapat berjalan dengan baik selama ini meskipun tiada frasa tersebut dimasukkan. Memasukkan frasa tersebut sebenarnya menimbulkan persoalan baharu kerana wajarkah Parlimen mencampuri urusan tatacara jenayah sedangkan Perlembagaan Persekutuan hanya sekadar menetapkan ‘takat bidangkuasa yang dibenarkan sahaja’.
Justeru, harapan saya agar penambahbaikan isu ini perlu diberikan perhatian sebelum ianya dibentangkan sekali lagi di Parlimen. Kekhuatiran ramai pihak adalah akan berlaku penangguhan sekali lagi atas alasan untuk memberikan peluang dibuat kajian semula. Jika hal ini berlaku maka sia-sialah tujuan perhimpunan H355 dibuat kerana gagal mencapai matlamat yang ditetapkan.
Comments