Skip to main content

RUU 355 [SELEPAS PINDAAN] : BENARKAH AKAN MEMPERKASAKAN MAHKAMAH SYARIAH

Menjelang 18 Februari 2017, suatu himpunan yang diungkapkan sebagai himpunan raksasa seramai 300,000 orang manusia akan diadakan di bandaraya Kuala Lumpur sempena RUU 355 [Pindaan] yang dijangka akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat pada bulan Mac, 2017.

Setakat ini sudah dua kali peluang diberikan kepada YB Ahli Parlimen Marang untuk membacakan usul persendirian bagi pengemukaan RUU 355 iaitu pada 26 Mei 2016 dan 24 November 2016. Namun, sayang sekali usul itu hanya setakat dibaca tanpa dibuat pembentangan yang sewajarnya mengenai justifikasi bagi usul tersebut untuk disokong. Hal ini menyebabkan polemik RUU 355 ini berterusan sehingga ke hari ini.

Salah satu war-war yang kerap diulang adalah bahawa tujuan RUU 355 ini adalah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah. Ironinya, war-war ini hanya berani dibuat di luar Dewan Rakyat semata-mata. Sekurang-kurangnya, war-war seperti ini hendaklah dijelaskan di dalam Dewan Rakyat supaya hal tersebut menjadi terang dan nyata dan dapat direkodkan di dalam Hansard. Jika diulang seribu kali pun ianya tidak akan menjadi rekod Dewan Rakyat melainkan sehinggalah ianya diulang kembali di dalam Dewan Rakyat.

Ini menjadi tanda-tanya besar akan kenapakah puncanya YB Ahli Parlimen Marang tidak membentangkan hujahnya dan hanya membiarkan orang lain berpolemik di luar Dewan. Kalau dahulu polemiknya adalan berkaitan memberikan ‘cek kosong’ kepada Mahkamah Syariah, kini polemik yang mungkin berlaku adalah berkaitan kemunasabahan jumlah hukuman yang dimasukkan iaitu hukuman penjara maksimum 30 tahun, denda RM100 ribu dan / atau 100 kali sebatan.

Sekali imbas, hujahan (di luar Dewan Rakyat) bahawa peningkatan kadar hukuman ini akan menaikkan martabat Mahkamah Syariah nampaknya sangat logik dan munasabah. Ini kerana dihujahkan bahawa hukuman 3 tahun penjara, RM5000 denda itu tampak lebih rendah daripada bidang kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Majistret. Mahkamah Majistret pada masa kini boleh membicarakan kes-kes sivil sehingga tuntutan sebanyak RM250,000 dan bagi kes jenayah boleh membicarakan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun (namun had hukuman yang boleh dijatuhkan adalah 5 tahun). Langkah ini diwar-warkan sebagai suatu tindakan untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah iaitu meningkatkan wibawa Mahkamah Syariah di sisi Mahkamah Sivil.

Justeru, wajar sekali bagi YB Ahli Parlimen Marang menjelaskan justifikasinya di dalam Dewan Rakyat akan sebab dan alasan kenapakah kadar hukuman yang sebegini dicadangkan. Jika YB Ahli Parlimen Marang mengambil langkah sedemikan, orang ramai tidak perlu berteka-teki mengenai justifikasi peningkatan kadar hukuman yang dikenakan itu.

Kadar hukuman yang dikenakan sekarang ini dikatakan sebagai sangat rendah. Ini adalah pandangan sesetengah warga masyarakat. Ada pula yang mengatakan bahawa kadar hukuman yang dikenakan ini perlu disemak kerana kali terakhir kadar hukuman ini disemak adalah kira-kira 33 tahun yang lalu. Pada hari ini, masyarakat sudah makin kaya dan mampu menjelaskan kadar denda yang dikenakan. Akibatnya, hukuman ke atas sesuatu kesalahan itu sudah tidak efektif dan tidak lagi menjadi suatu deteren atau pengajaran kepada orang lain dan mencegah orang lain daripada membuat kesalahan yang sama.

Pandangan seperti ini mempunyai merit tetapi yang menjadi persoalan bukanlah mengenai peningkatan kadar hukuman. Perkara yang menjadi persoalan adalah kenapakah dicadangkan hukuman itu adalah denda sebanyak RM100,000 dan penjara 30 tahun dan sebatan 100 kali.

Apakah justifikasinya sehingga kadar denda itu dinaikkan daripada RM5000 sehingga RM100,000 iaitu peningkatan sehingga 1900% daripada kadar asal. Apakah pula justifikasi peningkatan hukuman penjara daripada maksima 3 tahun kepada 30 tahun iaitu peningkatan sebanyak 900%. Bukankah peningkatan ini terlalu ekstrem dan memerlukan penjelasan serta pencerahan? Sayang sekali tiada sebarang justifikasi diberikan melainkan hanyalah dibuat perbandingan dengan Mahkamah Sivil semata-mata. Kita khuatir cadangan ini hanyalah dipaksikan kepada emosi dan nafsu sahaja sedangkan emosi itu musuh rasional dan nafsu itu sering menyuruh berbuat kejahatan. Kita tidak tahu apakah sudah ada data dan statistik yang dikemukakan bagi menyokong peningkatan hukuman begitu ekstrem. Mampukah peningkatan hukuman sebegitu boleh mencerminkan konsep ‘rahmatan lil alamin’? Atau kelak, adakah hukuman sedemikian boleh mendatangkan musibah dan tohmahan kepada Islam amnya dan Mahkamah Syariah khasnya? Di manakah konsep ‘tadarruj’ yang sering diwar-warkan selama ini?

Kita boleh memahami tujuan peningkatan hukuman sebatan daripada 6 kali kepada 100 kali sebatan. Kadar ini ditingkatkan bagi membolehkan sebahagian kesalahan di dalam Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan (1993) 2015 [“KJS 2015”] dilaksanakan. Antara hukuman yang boleh dilaksanakan jika cadangan RUU 355 diluluskan adalah jenayah syurb, qazf dan zina ghayr muhsan dapat dilaksanakan. Jenayah syurb boleh dihukum dengan hukuman sebatan antara 40 - 80 kali, qazf boleh dihukum dengan sebatan 80 kali dan zina ghayr muhsan boleh dihukum dengan hukuman sebatan 100 kali.

Hanya yang agak aneh kerana penyokong RUU 355 tidak berani untuk berterus terang menyatakan kaitan RUU 355 dengan KJS 2015 dan terus berkeras mengatakan RUU 355 tiada kaitan dengan hukum hudud. Secara teknikalnya, RUU 355 bukanlah hukum hudud tetapi dengan lulusnya pindaan RUU 355 ini akan membawa kepada perlaksanaan sebahagian hukum hudud. Hukum hudud adalah hukuman yang ditetapkan oleh Allah taala maka semua orang Islam percaya bahawa hukuman yang ditetapkan oleh Allah taala pasti baik dan mempunyai hikmah yang besar.
Justeru, penolakan beberapa kelompok terhadap KJS 2015 pastinya disebabkan kegagalan untuk berdakwah dengan bijaksana sehingga orang ramai dapat menerima hukum hudud ini dengan hati yang terbuka. Pendekatan paksaan seperti pernyataan bahawa orang Islam wajib menerima hukuman ini tanpa soal adalah pendekatan yang tidak bertepatan dengan konsep “muwajah silmiyyah” yang dipakai dalam konteks demokrasi Malaysia. Seharusnya penerangan yang dibuat itu bukan setakat penerangan di peringkat bawahan bahkan penerangan yang dibuat itu hendaklah dibuat sehingga ke peringkat tertinggi termasuk kepada Raja-Raja Melayu.

Berbalik kepada justifikasi hukuman dinaikkan kepada RM100,000 dan 30 tahun penjara itu memerlukan perincian. Kekhuatiran yang wujud adalah bagaimanakah peningkatan kadar hukuman itu akan memberikan keinsafan kepada tertuduh.

Klasifikasi perbuatan jenayah di Mahkamah Syariah berbeza dengan hukuman di Mahkamah Sivil. Sesetengah perbuatan jenayah di Mahkamah Syariah bukanlah suatu kesalahan di bawah Mahkamah Sivil. Contohnya, kesalahan mengajar agama Islam tanpa tauliah. Bagi orang bukan Islam, mereka boleh memberikan apa jua pengajaran selagi mana ianya bukanlah suatu perbuatan menghasut, menfitnah atau mengancam keselamatan. Tetapi di Mahkamah Syariah, mengajar agama Islam hatta mengajar al-Quran kepada orang ramai sekalipun adalah suatu perbuatan jenayah jika tidak ditauliahkan. Padahal, saranan Nabi SAW sendiri yang menganjurkan setiap orang Islam untuk menyampaikan ajaran agama kepada mana-mana orang walaupun sekadar membaca suatu ayat.

Keesahan undang-undang berkaitan tauliah ini sudah diabsahkan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes FATHUL BARI MAT JAHYA & ANOR v. MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN & ORS [2012] CLJ JT(2). Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria telah memutuskan antara lain:

(1) Terdapat autoriti jelas berasaskan Hadith Nabi (selawat dan salam ke atasnya) berhubung dengan penghantaran Muaz bin Jabal ke Yaman bahawa suatu bentuk pentauliahan adalah perlu sebelum seseorang boleh dibenarkan mengajar agama kepada orang lain. Apapun, ulamak-ulamak sependapat bahawa pengajaran agama Islam perlu dikawalselia bagi menghalang ajaran sesat. Pihak berkuasa harus terlebih dahulu menentukan sama ada seseorang pengajar itu berkelayakan secukupnya untuk mengajar dan mengembangkan agama dan ini harus dibuat sebelum si pengajar keluar ke dalam masyarakat untuk mengajar. Adalah jelas bahawa syarat mengenai tauliah hanyalah mekanisma untuk mencapai maksud ini.
(2) Terma "perintah agama Islam" yang merangkumi persoalan pokok aqidah, syariah dan akhlak harus diberikan pentafsiran yang liberal. Ini selaras dengan autoriti-autoriti berkaitan dengan tajuk-tajuk atau bidang-bidang perundangan seperti yang terdapat di dalam senarai-senarai perundangan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, setiap butiran dalam setiap senarai perundangan hendaklah diberikan kepentingannya yang seluas mungkin, dan skopnya tidak harus diperkecilkan kecuali setakat yang perlu untuk memberi kesan kepada butiran-butiran perundangan lain. (Sulaiman bin Takrib v. Kerajaan Negeri Terengganu (Kerajaan Malaysia, Intervener) & Other Applications (diikuti), Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar & Anor v. Kajing Tubek & Ors and Other Appeals, (diikuti)).
(3) Keperluan tauliah bagi maksud melindungi kepentingan awam adalah termasuk di bawah konsep Siyasah Syari'yah. Perintah atau arahan sedemikian bukan hanya dibuat bagi membendung ajaran sesat, tetapi juga untuk menjaga keamanan awam dan menghalang perpecahan dalam masyarakat. Jelasnya, tiada seorang pun boleh mendakwa bahawa keperluan tauliah seperti yang ditetapkan oleh s. 53 Enakmen adalah satu maksiat. Sebaliknya, dalam keadaan sekarang, adalah perlu untuk pihak berkuasa menyelia penyebaran dan pengajaran agama Islam bagi mengawal, jikapun tidak membanteras, ajaran sesat. Inilah yang hendak dibuat oleh s. 53, dan berdasarkan kedudukan ini, hujah bahawa Mahkamah Syariah di Negeri Sembilan tidak berbidangkuasa untuk mendengar kesalahan di bawah s. 53 Enakmen adalah tidak bermerit.
(4) Tujuan s. 53 Enakmen adalah jelas iaitu untuk melindungi keunggulan aqidah, syariah dan akhlak yang merupakan ajaran agama Islam. Seksyen 53 adalah perlu untuk mempastikan bahawa hanya mereka yang layak sahaja dibenar mengajar agama Islam. Ini adalah langkah untuk membendung penyebaran ajaran sesat di kalangan orang Islam yang merupakan satu kesalahan di bawah s. 52 Enakmen. Sudah diterima ramai bahawa menyebar ajaran sesat di kalangan orang Islam adalah suatu kesalahan terhadap ajaran Islam. Ianya mengikut bahawa terdapat merit pada hujah responden-responden bahawa, secara implikasi, mengajar agama Islam tanpa tauliah boleh ditafsir sebagai satu kesalahan terhadap ajaran Islam. Ianya juga mengikut bahawa Dewan Undangan Negeri Sembilan bertindak dalam kuasa perundangannya apabila menggubal s. 53 Enakmen.
(5) Seksyen 53 Enakmen digubal di bawah s. 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965, satu undang-undang persekutuan yang memberi bidangkuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah berhubung kesalahan-kesalahan terhadap ajaran agama Islam oleh penganut-penganut agama tersebut. Ianya dengan itu mengikut selanjutnya bahawa Mahkamah Syariah Negeri Sembilan adalah berbidangkuasa untuk mendengar kes yang sedemikian.
(6) Mahkamah bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Mufti Negeri Sembilan bahawa s. 53 Enakmen adalah merupakan perintah atau arahan yang dibuat oleh Ulil Amri atau Kerajaan dan selagi perintah atau arahan tersebut tidak bercanggahan dengan Al-Qur'an atau As-Sunnah dan bukan merupakan perintah atau arahan untuk berkecimpung dalam maksiat, maka adalah wajib untuk orang-orang Islam mematuhi perintah atau arahan tersebut. Pematuhan kepada perintah atau arahan sedemikian adalah sebahagian dari ajaran Islam.
Baru-baru ini YB Abdul Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Shah Alam telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM2,900 atas kesalahan yang dipertuduhkan di bawah S. 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan hukuman maksima sebanyak RM3000. Sebelum itu, Ustaz Mat Esa Deraman telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM5000 atau jika gagal bayar dipenjarakan selama 6 bulan. Beliau turut dihalang untuk berceramah di bumi Johor selama tempoh setahun. Sebelum itu, seorang pendakwah lain, Rasul Dahri telah dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda sebanyak RM5000 akibat mengajar tanpa tauliah.

Berdasarkan kes-kes yang dinyatakan di atas itu, hampir keseluruhan hukuman yang dikenakan adalah denda yang hampir maksima. Di Selangor denda maksima yang boleh dikenakan bagi kesalahan itu adalah RM3000 manakala di Johor adalah sebanyak RM5000. Kita belum pasti apakah kelak jika RUU 355 ini diluluskan makan kadar hukuman itu akan ditingkatkan kepada RM100,000. Maka, apakah justifikasinya bagi peningkatan kadar hukuman yang begitu tinggi dibandingkan dengan kesalahan yang dibuat.

Aspek hukuman yang dikenakan perlu perincian yang wajar. Sehingga kini, masih belum ada suatu kajian komprehensif dibuat bagi peningkatan hukuman itu, Pada 17 November 2016, Dr Arik Sanusi Yeop Johari, Pengarah Seksyen Syariah di Jabatan Peguam Negara mendedahkan dalam suatu forum terbuka anjuran Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bahawa Jabatan Peguam Negara sebenarnya telah terlibat dalam jawatankuasa untuk mengkaji penambahbaikan terhadap undang-undang syariah termasuk kajian bagi Akta 355 namun setelah RUU 355 dikemukakan, kajian terhadap Akta 355 telah dihentikan bagi memberikan peluang kepada YB Ahli Parlimen Marang menyelesaikan urusannya. Sayang sekali sepatutnya kajian itu mungkin telah selesai sekiranya YB Ahli Parlimen Marang tidak mengemukakan usul persendirian dan mungkin RUU 355 sudah boleh dikemukakan oleh pihak kerajaan.

Akhirnya sekali, sewajarnya pindaan Akta 355 ini sepatutnya dibawa oleh kerajaan setelah suatu kajian terperinci telah dibuat berkaitan peningkatan jumlah hukuman yang dikenakan. Selain itu, bentuk hukuman berkaitan khidmat komuniti juga perlu diperkuatkan dalam pindaan Akta 355. Tempoh 2 tahun untuk membawa RUU 355 melalui usul persendirian ini sudah memakan masa yang terlalu lama dan sudah berlaku pembaziran masa. Kita semua masih belum tahu ke mana hala tuju RUU 355 setelah ianya diluluskan (jika YB Ahli Parlimen Marang masih berkeras untuk membawa semula usul ini pada sidang dewan akan datang). Berapakah pula tempoh masa yang akan diambil bagi pihak kerajaan untuk membawa semula RUU 355 ke Parlimen sebelum ianya diluluskan dan diwartakan? Berapakah pula masa yang diambil oleh kerajaan negeri untuk meminda jumlah hukuman jenayah syariah?

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor