Baru-baru ini saya dan beberapa orang teman yang lain telah dijemput untuk berkongsi pengalaman bersama mahasiswa/i undang-undang tahun akhir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Sg Pusu dalam satu program yang dinamakan “Teh Tarik Session With Law Firms”. Kesemua panelis yang dijemput itu adalah peguam-peguam yang telah lama berkhidmat di dalam dunia perundangan mewakili pelbagai cabang amalan.
Sejurus sebelum program bermula, kami dimaklumkan oleh seorang pensyarah kanan di universiti berkenaan bahawa ramai di kalangan graduan sekarang tidak berminat untuk menjadi peguam. Beliau meminta kami untuk berkongsi pengalaman dunia guaman sebagai galakan kepada mereka untuk turut menceburi bidang ini.
Saya mewakili cabang amalan guaman syariah, Tuan Ariff Azami mewakili bidang litigasi jenayah, Tuan Noorazmir mewakili bidang guaman litigasi sivil dan Puan Azlina mewakili bidang dokumentasi ‘conveyancing’.
Maklumbalas yang diperolehi daripada penganjur menunjukkan bahawa mahasiswa/i itu amat berminat untuk mengetahui apakah prospek kerjaya yang bakal mereka tempuhi selepas graduasi.
Menariknya, majoriti daripada panelis ini sebenarnya tidak meletakkan kerjaya guaman sebagai minat utama semasa belajar. Namun, takdir yang menentukan bahawa kami mampu bertahan dalam industri ini semenjak belasan tahun yang lalu.
Tuan Ariff Azami menyatakan bahawa beliau paling tidak berminat untuk menjadi peguam khasnya peguam bagi penjenayah tetapi kini bidang litigasi jenayah adalah periuk nasi beliau. Saya melihat Tuan Ariff Azami telah berjaya mencipta nama dalam litigasi jenayah sekaligus memecah mitos bahawa hanya peguam berbangsa India atau Sikh sahaja yang mahir dalam bidang litigasi jenayah ini. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang Pendakwa Raya dan telah berkhidmat selama lima tahun sebelum meletakkan jawatan dan menjadi peguam.
Apa yang menariknya pendedahan yang beliau kongsikan adalah bahawa ramai orang Melayu tidak meminati litigasi jenayah sedangkan ramai tertuduh di Mahkamah berbangsa Melayu, Pendakwa Raya pun berbangsa Melayu, Hakim pun berbangsa Melayu malah pengadu atau mangsa pun berbangsa Melayu. Sebab itu, prospek mahasiswa/i untuk ‘mencari makan’ dalam litigasi jenayah adalah cerah. Beliau juga menyarankan supaya setiap peguam cuba untuk ‘upgrade’ diri masing-masing dari setahun ke setahun. Adalah tidak memadai untuk membuat perkara yang sama seperti hanya membuat kes di Mahkamah Majistret sahaja tanpa mencabar diri untuk membuat kes-kes lain di Mahkamah Atasan.
Bagi beliau, adalah menjadi suatu amalan fardhu kifayah untuk berkhidmat sebagai peguam kerana lebih baik seorang peguam Muslim untuk mewakili seorang Muslim yang lain. Ini kerana seorang peguam Muslim bukan setakat dipandu etika amalan kepeguaman bahkan juga dipandu oleh syariat yang dipelajari sehingga memudahkan peguam itu untuk menasihati anakguam sama ada untuk melawan kes, mengaku salah atau memohon untuk mengurangkan pertuduhan dan hukuman.
Bagi Tuan Noorazmir, perjalanan beliau menjadi peguam litigasi sivil agak berbeza. Beliau menyatakan bahawa beliau berminat untuk menjadi peguam Mahkamah dan pernah menjalani latihan dalam kamar dengan elaun hanya sebanyak RM200 sebulan. Setelah itu, beliau pernah menjadi peguam di peringkat awal dengan elaun hanya RM1000 sebulan. Walaupun beliau tidak dikategorikan sebagai pelajar ‘Dean’s List’ dan CGPA beliau pun tidak begitu memberangsangkan tetapi penglibatan beliau dalam persatuan di UIAM khasnya sebagai Presiden Law Society telah banyak membantu beliau dalam berinteraksi dengan rakan peguam, klien dan Mahkamah di alam pekerjaan.
Selain itu, graduan UIAM mempunyai kelebihan dalam kerjaya kerana kemampuan untuk berbahasa Inggeris dan Melayu. Ini memudahkan untuk berkomunikasi dan membuat kajian kes. Seorang peguam tidak dapat lari daripada berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana kebanyakan kes yang dilaporkan dalam jurnal adalah dalam bahasa Inggeris. Selain itu, sesetengah perkara lebih mudah untuk diterangkan dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.
Puan Azlina pula berkongsi pengalaman bagaimana beliau telah mencari bidang amalan yang sesuai dengan beliau. Pada peringkat awal beliau masih tercari-cari hala tuju dalam amalan guaman dan akhirnya beliau merasakan amalan guaman ‘conveyancing’ yang melibatkan hartanah adalah sesuai dengan jiwa beliau. Apabila membuat sesuatu perkara sesuai dengan jiwa maka laluan untuk berjaya itu adalah amat mudah. Kini beliau berjaya menubuhkan firma guaman sendiri dan mengupah tujuh peguam lain untuk membuat kerja-kerja guaman. Bukan suatu perkara yang mudah untuk mengekalkan satu firma guaman kerana kos operasi firma guaman terutama yang terlibat bidang ‘conveyancing’ adalah amat tinggi khasnya di Lembah Klang ini.
Bagi saya sendiri, menjadi peguam bukanlah menjadi suatu kerjaya pilihan. Saya lebih cenderung untuk menjadi pensyarah atau guru. Namun, mungkin kerjaya ini sudah ditakdirkan untuk diri ini. Setelah belasan tahun berada dalam industri ini minat untuk menjadi peguam itu lahir dengan sendiri. Kini saya tidak memikirkan lagi untuk bertukar kerjaya kerana saya merasakan wujud ‘chemistry’ dalam diri ini dengan kerjaya berunsur perundangan. Kerjaya sebagai peguam memungkinkan saya untuk membuat pelbagai kerja lain yang bersangkutan dunia guaman seperti menulis, konsultan dan membuat pelaburan.
Bidang litigasi syariah mempunyai peluang yang memberangsangkan kerana masyarakat kini mula menyedari hak-hak yang mereka patut pertahankan. Oleh itu, bukanlah suatu perkara yang aneh untuk melihat kadar peningkatan kes yang difailkan di Mahkamah Syariah. Walaupun wujud perbezaan antara prektis di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil yang mana jarang sekali kes yang difailkan di Mahkamah Sivil tanpa peguam berbanding Mahkamah Syariah, namun hakikatnya ramai litigan lebih suka untuk diwakili oleh peguam khasnya bila mana kes tersebut perlu melalui proses perbicaraan yang panjang. Ini kerana bukan semua orang awam akan faham proses dan prosedur undang-undang yang bukan sahaja melibatkan fakta kes tetapi aspek teknikal prosedur dan pembuktian. Perkara ini hanya akan dapat difahami oleh peguam yang beramal.
Oleh itu, saya merasakan program seumpama ini perlu dibuat secara berkala supaya mahasiswa/i dapat menjiwai apakah sebenarnya letak duduk kerjaya sebagai peguam. Program seperti ini mampu untuk memberikan semangat dan motivasi kepada mereka untuk bersama-sama dalam industri guaman negara.
Comments