Skip to main content

Tawadhu’ Dalam Kepeguaman - Bagaimanakah ingin berjaya dalam profesion guaman - Siri 14

Tawadhu’ atau ‘humility’ adalah prinsip dasar yang harus menjadi amalan dalam kepeguaman. Tawadhu’ ini merujuk kepada sikap dan sifat merendah diri dan hormat kepada pihak yang lain.

Dalam “Forum Prosiding Jenayah Syariah Di Malaysia: Perlukah Anjakan Paradigma?” anjuran Majlis Peguam pada 22/4/2017, Tuan Awang Armadajaya bin Awang Mahmud, Ketua Unit Rayuan, Jabatan Peguam Negara menyebutkan bahawa ‘tawadhu’ ini adalah suatu kemestian bagi yang beramal dalam profesion ini.

Beliau menyatakan bahawa sifat ‘tawadhu’ ini bukan setakat perlu menjadi perhatian peguam malah kepada para pendakwaraya dan hakim itu sendiri. Kesemua pihak mempunyai peranan masing-masing dan perlu menjalankan peranan mereka dengan sebaik-baiknya. Ketiga-tiga pihak itu tidak boleh mendabik dada bahawa merekalah yang paling alim dan arif kerana yang paling utama dalam sesuatu kes adalah melaksanakan keadilan. Keadilan tidak akan tertegak jika mana-mana pihak itu ‘eksyen’ dan berlagak pandai. Pokoknya, masing-masing harus menghormati peranan masing-masing.

Sewaktu berbincang dengan rakan peguam yang lain sewaktu menjamu makan tengahari, seorang rakan peguam menyatakan bahawa beliau pernah mengalami keadaan di mana ada seorang hakim yang terlalu ‘eksyen’ ketika berada di atas ‘bench’ dan sering menengking serta memperendahkan peguam yang hadir di hadapannya. Namun, dek kerana dunia ini ibarat seperti roda, pada suatu hari beliau telah ditukarkan jawatan untuk menjadi pendakwa. Semenjak hari itu, beliau nampaknya insaf tetapi beliau nampak fobia untuk ke mahkamah kerana khuatir untuk bertembung dengan peguam yang pernah diperendahkannya. Ini kerana ada peguam yang dihinanya dahulu mungkin akan berlawan dengannya dan beliau mungkin tidak sanggup menghadapi lawan sebegitu.

Beberapa tahun yang lepas, sewaktu mengendalikan suatu kes pro bono, saya pernah mewakili seorang India Hindu. Beliau telah ditangkap dan dituduh bersama suaminya atas satu kes berkaitan memiliki dadah. Namun, beliau tidak mengakui bahawa dadah itu miliknya dan minta dibicarakan. Suaminya pula telah mengakui dadah itu miliknya dan telah dihukum penjara selama 5 bulan.

Pada hari sebutan kesnya, suaminya telah datang ke mahkamah kerana telah selesai menjalani hukuman (setelah ditolak diskaun hukuman) tetapi isterinya masih direman kerana tidak mampu untuk menjalani hukuman. Setelah berbincang dengan tertuduh, saya menyatakan bahawa adalah lebih baik beliau mengaku salah supaya beliau dapat dilepaskan segera. Ini lebih baik bagi beliau daripada direman berbulan-bulan sementara menunggu tarikh perbicaraan. Walaupun tindakan ini nampaknya tidak adil kepada beliau tetapi langkah ini adalah langkah yang terbaik untuk mengeluarkan beliau daripada penjara dengan lebih cepat. Tambahan pula, hari perayaan deepavali sudah semakin hampir dan beliau berhasrat untuk merayakan perayaan itu bersama ahli keluarganya.

Pada mulanya, beliau telah bersetuju dengan cadangan itu dan pihak pendakwa pun telah bersetuju untuk tidak berkeras dalam memohon hukuman yang tinggi. Namun, rancangan itu gagal apabila sewaktu ditanya oleh Puan Majistret beliau tiba-tiba tidak mengaku salah pula dan membuat bising. Ini membuatkan Puan Majistret itu berasa jengkel dengan tertuduh itu dan menangguhkan prosiding kes.

Selanjutnya setelah berbincang dengan tertuduh dan menerangkannya kembali kesan daripada tindakan itu dan setelah beliau memahaminya, saya telah memohon kepada jurubahasa untuk Mahkamah bersidang kembali. Namun, permohonan itu telah ditolak mentah-mentah oleh Puan Majistret meskipun saya cuba menerangkan kekeliruan itu dan memohon maaf kepada Mahkamah. Pada masa itu, saya berasakan Puan Majistret itu sangat tidak bertimbang rasa dan ‘eksyen’ dengan kuasa yang diberikan kepada beliau.

Mujurlah pada tarikh sebutan yang berikutnya, keadaan telah pulih dan saya telah mengingatkan tertuduh bahana jika beliau gagal mengikut nasihat saya dan membuat onar sekali lagi. Prosiding berjalan lancar dan akhirnya Puan Majistret bersetuju dengan hujahan saya bahawa beliau patut dibebaskan pada hari itu juga. Akhirnya, tertuduh dapat dibebaskan pada hari itu dan sempatlah beliau menyambut perayaan deepavil dengan ahli keluarganya.Hal itu amat menggembirakan tertuduh.

Sehingga kini, jika berjumpa dengan mana-mana hakim yang menunjuk-nunjukkan kuasanya di hadapan para peguam dan orang awam akan mengingatkan saya bahawa dunia ini ibarat roda yang berputar. Janji Tuhan bahawa sesiapa yang berbuat ihsan akan dibalas dengan ihsan dan sesiapa yang berbuat jahat akan dibalas dengan kejahatan.

Isu kehilangan tawadhu’ ini bukan sahaja berlaku kepada hakim malah juga berlaku kepada peguam dan pendakwa. Sering kali saya melihat ada peguam atau pendakwa yang memperendah-rendahkan lawannya yang lain terutama jika dilihat lawannya itu masih ‘junior’ dalam dunia kepeguaman. Ada juga peguam yang memandang rendah kepada Majistret yang ‘junior’ disebabkan beliau telah menjadi peguam ‘senior’.

Saya teringat dengan cerita seorang kawan majistret yang pernah berkhidmat di sebuah pekan kecil di Melaka. Pada masa itu, mendiang Karpal Singh mewakili tertuduh dan beliau memuji bagaimana mendiang Karpal Singh mempunyai tahap dekoram yang tinggi dan tidak memandang rendah kepada beliau meskipun beliau seorang majistret yang masih mentah dalam dunia undang-undang. Tentulah kehadiran Karpal Singh selaku seorang legenda guaman di sebuah pekan yang kecil akan membuatkan aura beliau lebih kuat daripada peguam, pendakwa dan majistret yang beramal di pekan sebegitu.

Dalam satu kes lain, sewaktu bertindak bagi seorang defendan, saya telah meminta pembantu peguam untuk hadir dalam prosiding sebutan kes di hadapan pendaftar. Pembantu peguam itu agak kurang berpengalaman kerana baharu sahaja beramal sebagai peguam. Peguam plaintif pula seorang yang lebih senior dan mempunyai susuk badan yang agak besar, berambut panjang dan bertocang. Ini agak menggerunkan pembantu peguam saya ini. Tambahan lagi, peguam plaintif itu ada membuat komen-komen yang menakut-nakutkan beliau. Akhirnya, saya mengambil alih fail itu daripada pembantu peguam dan saya telah memasukkan suatu permohonan untuk membatalkan kes itu. Dipendekkan cerita, saya telah berjaya mengenepikan saman plaintif kerana ketidakaturan suratcara yang difailkan. Seusai penghakiman diberikan, tidak sempat saya bersalam dengan lawan saya itu dan beliau kelihatan agak marah. Kejadian ini menginsafkan diri bahawa janganlah sesekali kita memandang rendah kepada keupayaan peguam lain meskipun peguam lain itu mungkin lebih ‘junior’ daripada kita.

Sesungguhnya benar kata-kata pepatah Melayu, ular yang menyusur akar tidak hilang bisanya dan perbuatan kita yang tidak tawadhu’ itu sebenarnya ibarat campak baju nampak kurap.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor