Skip to main content

Perbandingan Ringkas Sistem Kenegaraan Malaysia Dan Indonesia

Beberapa hari yang lepas, kami telah melakukan permusafiran ke bumi Sulawesi yang menjadi tempat mastautin masyarakat Bugis. Setepatnya perjalanan ini adalah ke Bandaraya Makassar, Sulawesi Selatan. Rombongan kami terdiri daripada peguam, pegawai tadbir diplomatik dan mahasiswa tahun akhir undang-undang. Perjalanan kali ini adalah perjalanan untuk berkongsi ilmu kepeguaman dan perundangan dengan STISIP (Sekolah Tinggi Ilmu Sosial dan Ilmu Politik) di Kabupaten (Daerah) Rappang, Sulawesi Selatan.

Sulawesi Selatan adalah salah sebuah provinsi (negeri) yang berada dalam negara Indonesia. Provinsi ini mengandungi 24 daerah iaitu 21 Kabupaten dan 3 Kota Madya. Pada mulanya agak sukar untuk memahami sistem kenegaraan dan struktur organisasi pentadbiran di Indonesia. Persoalan berkaitan sistem kenegaraan Indonesia sudah lama bermain di fikiran khasnya selepas Jokowi berjaya memenangi jawatan Presiden Indonesia. Tambahan lagi, kepakaran yang dipelajari selama ini adalah dalam bidang perlembagaan dan kenegaraan.

Bertuahnya, kembara kali ini kami ditemani oleh seorang cendekiawan yang mempunyai ijazah Ph.D dalam ilmu administrasi iaitu Bapak Dr. H.Mustafa Hasbar yang menjadi pak supir (pemandu innova) kami sepanjang tempoh berada di sana. Oleh itu, sepanjang perjalanan yang memakan masa 4 jam pergi dan 4 jam pulang itu dapat dimanfaatkan dengan kuliahnya mengenai sistem pentadbiran di Indonesia. Indonesia adalah sebuah negara ‘unitari’ (unitary state) dan bekas jajahan takluk Belanda. Oleh itu, pengaruh Belanda dalam pentadbiran Indonesia adalah amat kuat. Meskipun begitu, melihat kepada pentadbiran yang ada, pengaruh tradisi pentadbiran yang bersifat feudal masih lagi kukuh bertapak.

Struktur pentadbiran eksekutif di Indonesia ni mempunyai beberapa peringkat iaitu, peringkat Pusat, Provinsi, Kota Madya/Kabupaten, Kecamatan, Lurah dan Desa. Pusat itu ditadbir oleh Pemerintah di Jakarta iaitu di bawah Presiden Indonesia. Pusat mempunyai kuasa yang besar kerana segala polisi dan dasar Indonesia itu dilaksanakan melalui pejabat presiden termasuk yang berkaitan dengan urusan pemilihan (pilihan raya), korupsi, kepolisian dan ketenteraan.

Indonesia ini mempunyai 34 buah provinsi (boleh dibandingkan seperti negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia) dan setiap provinsi ini akan diketuai oleh seorang Gabenor (disebut Gubernur). Seorang Gabenor ini akan diapit oleh wakil peribadinya yang dipanggil Wakil Gabenor. Wakil Gabenor ini akan berfungsi seperti Gabenor sewaktu ketiadaan Gabenor. Meskipun Gabenor ini adalah ketua bagi sebuah provinsi tetapi kedudukan beliau tidak sama seperti seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri. Ini kerana Gabenor ini ibarat pemerintah provinsi tanpa rakyat. Seorang Gabenor ini adalah sebenarnya bertindak sebagai wakil Presiden di dalam Provinsi tersebut.

Sebenarnya, orang yang paling berkuasa di dalam sesebuah provinsi adalah ketua Kota Madya/Kabupaten. Ketua bagi Kota Madya dikenali sebagai Wali Kota manakala ketua bagi Kabupaten dikenali sebagai Bupati. Setiap Wali Kota atau Bupati akan diapit oleh wakilnya yang dipanggil Wakil Wali Kota atau Wakil Bupati. Wakil ini mempunyai kuasa seperti Bupati dalam hal ketiadaan Bupati.

Sesebuah daerah itu akan dipanggil Kota Madya jika daerah itu mempunyai fasiliti dan infrastruktur yang lengkap seperti mempunyai jalinan jalan raya dan pelabuhan atau lapangan terbang. Manakala, daerah yang mempunyai fasiliti yang kurang akan dikenali sebagai Kabupaten. Semasa kunjungan ke Sulawesi Selatan ini sempat kami melalui beberapa Kabupaten iaitu Kabupaten Barru, Sidrap Rappang, Bone dan Kota Madya Parepare. Dalam kata lain, taraf sebuah Kota Madya itu adalah sama dengan sebuah Kabupaten dalam hieraki pentadbiran negara atau dikatakan sebagai ‘sedarjat’ atau sama darjat.

Dalam sistem pentadbiran Indonesia, Wali Kota atau Bupati ini yang paling berkuasa kerana kedudukan mereka adalah ibarat seperti seorang raja kecil di daerah tersebut. Mereka mempunyai kuasa untuk menentukan bajet daerah masing-masing berdasarkan penghasilan pendapatan dan perbelanjaan termasuk urusan kutipan hasil (saya kurang pasti berkaitan sistem percukaian Indonesia). Mereka juga mempunyai rakyat untuk ditadbir berbanding Gabenor yang tidak mempunyai rakyat. Maka tidak hairanlah jika ramai yang bertanding dalam PILKADA (Pemilihan Ketua Daerah) untuk menjadi Bupati dan Wakil Bupati. Mereka juga berkuasa untuk membuat undang-undang kecil selama mana undang-undang kecil itu tidak bercanggah dengan polisi Presiden.

Seterusnya, unit-unit kecil di bawah Kabupaten/Kota Madya adalah Kecamatan, Lurah dan Desa. Sistem demokrasi di Indonesia ini agak unik kerana kesemua peringkat akan mempunyai pemilihan atau pilihan raya kecuali Ketua Kecamatan (dikenali sebagai Pak Camat) akan dilantik. Manakala kesemua jawatan lain iaitu Presiden/Wakil Presiden, Gabenor/Wakil Gabenor, Wali Kota/Wakil Wali Kota, Bupati/Wakil Bupati, Ketua Desa akan dipilih dan dilantik oleh rakyat. Tempoh setiap jawatan itu adalah lima tahun (kecuali Ketua Desa akan menjawat jawatan untuk tempoh 6 tahun). Selepas tamat tempoh, pemilihan baharu akan diadakan mengikut prinsip demokrasi. Namun, setiap yang dipilih ini tidak boleh menjawat jawatan itu lebih daripada tempoh dua penggal atau 10 tahun.

Kelebihan sistem Bupati/Wali Kota ini adalah bahawa mereka mempunyai kuasa yang sangat luas untuk mentadbir daerah mereka tanpa pengaruh daripada Pusat. Oleh itu, mereka sangat dekat dengan rakyat dan mempunyai sifat kebertanggungjawaban terhadap jawatan mereka kepada rakyat. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui interaksi kami dengan penduduk setempat.

Namun, kelemahan sistem Bupati/Wali Kota ini akan menyebabkan berlaku desentralisasi sehingga menyukarkan untuk sesuatu pembaharuan diadakan atau dimulakan di peringkat Pusat. Ini kerana setiap Bupati mempunyai stail dan ego pemerintah masing-masing.

Keadaan ini agak berbeza dengan sistem pemerintahan di Malaysia yang bersifat Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan membahagikan bidang kuasa tertentu kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Kuasa kerajaan Persekutuan pula adalah luas dan menyeluruh meskipun wilayah kerajaan Persekutuan adalah terhad. Kerajaan negeri pula mempunyai bidang kuasa yang tertentu yang lebih kecil daripada Persekutuan. Namun, kerajaan negeri mempunyai had kuasa eksklusif seperti yang ditetapkan dalam Senarai II, Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Dengan cara ini, kerajaan Persekutuan mampu mendominasi dan mempengaruhi polisi kerajaan negeri. Keadaan ini memberikan kelebihan kepada Malaysia daripada sudut keseragaman polisi dan tindakan sehinggakan memudahkan pihak asing untuk membuat pelaburan di Malaysia.

Berbanding dengan sistem Bupati / Wali Kota yang bersifat ‘decentralized’, pihak Pusat akan menghadapi kesukaran untuk menetapkan polisi yang seragam bagi seluruh negara melainkan polisi yang berbentuk umum. Ini juga akan menambahkan masalah birokrasi dalam pemerintahan kerana wujud lapisan pentadbiran yang berbilang peringkat (multi-level management). Meskipun begitu, kelebihan sistem Bupati adalah sistem ini mendasar kepada masyarakat sehinggakan memudahkan implementasi sesuatu tindakan. Selain itu, sesebuah Kabupaten akan menjadi lebih maju jika seorang Bupati itu mempunyai wawasan dan pengalaman. Namun, keadaan sebaliknya akan berlaku jika seorang Bupati itu bukan seorang yang inovatif dan beku idea.

Sistem PILKADA (Pemilihan Ketua Daerah) yang dibuat juga mampu untuk menggerakkan masyarakat untuk berpartisipasi dalam pemerintahan secara demokratik. Ini kerana setiap Bupati itu dipilih secara demokrasi. Keadaan ini lebih mirip kepada sistem pilihan raya kerajaan tempatan. Sistem pilihan raya sebegini akan membolehkan rakyat memilih pemimpin yang benar-benar mampu berkhidmat kepada masyarakat. Ini menolak hujah sesetengah pihak yang menyatakan bahawa sistem pilihan raya kerajaan tempatan akan menyebabkan sesuatu etnik tertentu khasnya golongan tionghua akan memerintah. Sebenarnya, dalam sesuatu sistem yang matang seorang pemilih akan memilih orang yang benar-benar mampu berkhidmat untuk mereka. Ini juga akan menambah kepercayaan orang ramai kepada pemimpin yang dipilih. Tambahan lagi, pemimpin yang dipilih itu tidak boleh memegang jawatan untuk tempoh melebihi dua penggal.

Selain itu, harus dinyatakan bahawa provinsi Acheh adalah sebuah wilayah autonomi. Pemerintah di sana mempunyai hak untuk membuat undang-undang mereka sendiri tanpa banyak terikat dengan polisi daripada Jakarta.

Sebenarnya, ramai pensyarah yang ditemui memandang tinggi kemajuan Malaysia. Mereka melihat bagaimana Malaysia lebih maju daripada sudut infrastruktur dan pelajaran. Mereka ingin belajar sesuatu daripada Malaysia khasnya daripada sudut ekonomi dan cara Malaysia membangunkan negara. Ini tidak bermakna tiada kelebihan Indonesia daripada Malaysia. Menurut mereka, pada tahun 70-an dahulu ramai orang Malaysia datang menuntut ilmu di Indonesia tetapi kini Malaysia lebih maju daripada Indonesia dan mereka tidak malu untuk datang ke Malaysia bagi menuntut ilmu.

Namun begitu, Malaysia tidak harus berpuashati dengan pencapaian yang ada dan seharusnya berubah ke arah yang lebih baik. Ada perkara-perkara yang harus Malaysia tekuni daripada Indonesia khasnya daripada aspek penggunaan Bahasa Indonesia sebagai bahasa penyatuan kaum dan bahasa ekonomi. Begitu juga dengan pengekalan unsur-unsur tradisi yang unik dan budaya yang pelbagai. Unsur-unsur tradisi dan budaya yang pelbagai ini adalah lambang jati diri sesuatu kaum. Unsur-unsur ini tradisi ini akan luput daripada sejarah negara jika kerajaan tidak mengambil langkah-langkah positif untuk memeliharanya.

Comments

Zddin said…
Wali kota - datuk bandar, Bupati peg, bupati - pegawai daerah

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor