Skip to main content

Hijrah Peguam

Umat Islam telah menyambut sambutan Hijratul Rasul atau Maal Hijrah baru-baru ini. Semangat menyambut tahun baru gregorian mempunyai sedikit perbezaan dengan semangat berhijrah yang disambut setiap awal Muharam. Jika setiap tanggal 31 Disember, masing-masing memulakan tahun baharu dengan azam dan resolusi hidup yang baharu tetapi dalam semangat Hijratul Rasul ini kita membayangkan berpindah daripada kehidupan yang susah kepada kehidupan yang baharu yang kita sendiri tidak tahu masa hadapannya. Apa yang kita pasti adalah bahawa dengan meninggalkan kehidupan yang lama itu kita akan keluar daripada kesusahan kehidupan yang lama.

Sewaktu umat Islam di dalam tahun ke-13 kenabian Nabi Muhammad SAW mereka merasakan kebebasan beragama mereka semakin terancam dan Nabi SAW telah diperintahkan untuk berhijrah daripada kota Mekah ke Yastrib. Mekah dan Yastrib ini berada kira-kira 400 kilometer perjalanan. Bayangkan perjalanan di padang pasir kering kontang 1439 tahun yang lampau. Tentu sekali mereka menghadapi kepayahan dan keperitan yang amat sangat.

Mereka sendiri pun tidak dapat membuat kajian terlebih dahulu bagaimanakah kehidupan mereka di kota Yastrib kelak. Apa yang mereka tahu kedudukan mereka di kota Mekah pada masa itu berada dalam keadaan yang sangat menekan hidup mereka dan kehidupan di Yastrib mungkin akan menjadi lebih baik berbanding dari kota Mekah. Setelah sampai di Yastrib baharulah Nabi SAW mengubah nama Yastrib kepada nama baharu yang kita kenal pada hari ini sebagai Madinah.

Dalam konteks ini, semangat untuk berubah daripada kesusahan sepatutnya diambil oleh peguam. Ramai peguam yang mengadu menghadapi kesulitan pada masa kini terutamanya kerana bank sudah mengenakan syarat yang ketat untuk mengeluarkan pembiayaan hartanah. Ramai peguam yang bergantung kepada kes-kes yang diperolehi melalui penyediaan suratcara pembiayaan bank akan menghadapi kesulitan untuk menampung kos operasi firma guaman mereka. Malah, ada rakan yang berkecimpung dalam dunia guaman jenayah juga mengadu hal yang sama yang mana mereka semakin sukar untuk mengutip yuran guaman daripada klien mereka. Perlaksanaan percukaian GST lebih memburukkan keadaan dalam hal peguam terpaksa mengutip GST bagi pihak kerajaan. GST bukan sahaja dikenakan kepada yuran guaman bahkan bagi disbusmen yang dikutip daripada klien. Satu-satunya  perkara yang tidak dikenakan GST adalah hal berkaitan reimbursement kepada klien seperti bayaran duti setem atau bayaran pendaftaran kes atau bayaran kepada pejabat tanah.

Kini, Lembaga Hasil Dalam Negeri pula mengejar profesional untuk membayar cukai pendapatan dan ramai profesional yang terkesan. Rakan peguam saya memberitahu bahawa LHDN telah mengejarnya pada tahun lepas dan dikatakan bahawa rakan saya itu tidak membayar secukupnya cukai. Rakan saya itu terpaksa menjual emas simpanan yang dihadiahkan oleh rakan yang lain untuk mencukupkan wang cukai yang dikenakan itu. Apabila ditanya kenapa tidak dibantah, beliau nyatakan bahawa LHDN akan membuat anggaran yang dikenakan dan beliau khuatir jika dilawan akan membuatkan kepala lebih serabut bila mana LHDN akan meminta pelbagai dokumen sokongan.

Mana-mana peguam yang menghadapi isu kesusahan dalam amalan guamannya sepatutnya mengambil semangat untuk berhijrah. Semangat untuk berhijrah ini akan timbul jika hanya seseorang itu berada dalam kesulitan dan kepayahan. Semangat berhijrah tidak akan hadir dalam keadaan seseorang itu berasa selesa dengan kehidupannya. Tekanan fizikal dan mental akan menjadi dorongan kepadanya untuk berhijrah.

Saya telah membuat hijrah pada bulan Jun, 2009 apabila saya telah meninggalkan firma tempat saya bekerja hampir 10 tahun. Pada tahun 2007-2008, firma tempat saya bekerja menghadapi kesulitan kewangan akibat kemelesetan ekonomi yang berlaku sehingga menyebabkan sewa bangunan pejabat tertunggak puluhan ribu. Pendapatan yang diterima hanya cukup-cukup untuk membayar gaji kakitangan manakala gaji saya pada mulanya dipotong tetapi kemudiannya terus tidak dibayar. Keadaan itu telah berlangsung kira-kira satu setengah tahun sebelum saya membuat keputusan untuk berhijrah dan memasuki firma lain.

Saya mempunyai rasa cinta yang mendalam dengan tempat kerja yang lama itu sehingga saya berbolak-balik dalam membuat keputusan untuk berhijrah tersebut. Tetapi, perasaaan cinta kepada tempat kerja sepatutnya tidak menjadi faktor seseorang itu bertukar kerja khasnya dalam berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik. Usah jatuh cinta kepada tempat kerja kerana ianya mungkin akan membawa kesusahan dalam hidup. Ini tidak bermakna seseorang itu tidak perlu setia dan bekerja tidak sepenuh hati di firma tempat beliau bekerja. Tekun dalam bekerja adalah tuntutan agama. Jika kita bersifat culas dalam bekerja itu sudah dikira sebagai mengkhianati majikan dan perbuatan khianat itu pasti akan menerima pembalasan yang setimpal.

Keputusan untuk berhijrah itu adalah keputusan yang tepat kerana itulah janji yang dinyatakan oleh Allah Taala bahawa jika kamu berhijrah maka kamu akan keluar daripada kesusahan yang sedia ada dan tempat yang baharu itu akan menjanjikan kehidupan yang lebih baik. Firman Allah SWT, “Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (An-Nisa’: 100).

Setelah berhijrah, saya dapati janji Allah ini adalah benar. Saya dapati saya dapat keluar daripada kesusahan akibat tidak mendapat gaji. Walaupun pada peringkat permulaan pastinya akan ada masalah untuk bermula daripada bawah semula. Namun, hal-hal begitu dapat kita atasi dengan usaha keras dan berkat doa ibu serta ahli keluarga.

Selain daripada itu, ada siri-siri hijrah kecil yang saya buat dalam kerjaya guaman ini. Pada peringkat awal saya membuat kerja-kerja berkaitan guaman jenayah. Setelah itu, saya berpindah kepada urusan guaman sivil. Selepas itu, saya berhijrah kepada urusan guaman hartanah dan pembiayaan bank. Selepas itu saya berhijrah kepada urusan guaman sivil dan syariah. Kini saya cuba untuk berhijrah kepada urusan konsultasi guaman. Hijrah kecil ini adalah perlu jika seseorang peguam itu ingin berjaya supaya fikirannya akan pelbagai dan tidak dikekang dengan satu dimensi yang sempit.

Jika selepas ini selepas ini saya ditimpa musibah dalam kerjaya guaman maka saya tidak akan ragu-ragu untuk berhijrah sekali lagi. Bayangkan Nabi saw sendiri terpaksa berhijrah dalam usianya 53 tahun ke sebuah tempat yang beliau sendiri tidak pernah sampai. Proses hijrahnya itu pasti menghadapi pelbagai rintangan dan susah payah kerana beliau menggunakan jalan baharu yang belum diteroka oleh pedagang. Selain itu, hijrahnya juga diimbau dengan perasaan takut akibat dikejar oleh musuh Quraish. Oleh itu, tiada istilah bahawa kita terlalu tua untuk berhijrah. Bagi orang muda, janganlah ragu-ragu untuk berhijrah jika keadaan memerlukan. Sebaliknya, jika dilihat masih ada kebaikan untuk tetap kekal di tempat yang sama maka bersabarlah dengan sebarang kesusahan yang menimpa.

Akhir sekali, bagi orang-orang yang mengambil pengajaran daripada peristiwa Hijratur Rasul ini pasti akan dapat merasai betapa pentingnya peristiwa hijrah dalam kehidupan khususnya jika beliau sedang menghadapi kesulitan dan kesusahan hidup. Tidak dinafikan bahawa amat sukar untuk berbuat hijrah tetapi percayalah bahawa ketetapan Tuhan adalah bahawa hijrah akan membuka ruang dan menambahkan rezeki yang sempit.


Comments

Unknown said…
Assalamualaikum. Hai, saya wani.
Setelah membaca nukilan tuan ini,member satu 'ketukan' di minda saya untuk cuba berhijrah.
Saya sebenarnya sudah pun tamat latihan dalam.kamar sejak 2015, namun masih tiada kekuatan untuk ber'amal' sebagai peguam. Tambahan pula saya mempunyai anak kecil berusia 10 bulan.
Namun, akibat tekanan beban hutang pengajian saya dulu, menyebabkan saya rasa tiada pilihan lain, melainkan mendapatkan pekerjaan. Pekerjaan yang saya nampak sekarang ini hanyalah beramal sebagai peguam.
Mungkin, jika tidak.keberatan, saya ingin mendengar nasihat daripada tuan, berkenaan , apakah yang perlu saya lakukan sebagai persediaan untuk memasuki bidang guaman ini? Dan bagaimana saya perlu menyiapkan minda saya agar dapat bertahan dalam bidang guaman ini?

Terima kasih.
DrZ said…
Waalaikumusalam Wani

Saya gembira mendengar wani ingin menjadi peguam. Jika ingin menjadi peguam maka wani perlu menyempurnakan proses chambering terlebih dahulu selama 9 bulan. Ini untuk menjadi advocate and solicitor. jika ingin menjadi peguam syarie, itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan di negeri masing-masing. Menjadi peguam bagi seorang ibu yang mempunyai anak kecil adalah lebih mudah untuk mengaturkan masa terutama jika beramal dalam bidang conveyancing. perkara yang perlu difikirkan nanti di firma manakah yang ingin kita beramal atau ingin membuka firma sendiri. fikirkan juga nanti bagaimana cara nak dapatkan klien. meskipun jika bekerja di firma orang, boleh nanti buat arrangment dgn firma itu utk mendapat komisen tambahan hasil klien yang kita bawa ke pejabat.

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor