Skip to main content

Kebebasan berfikir dan bersuara dan polemik berkaitan liberalisme

Khutbah Jumaat di Negeri Selangor pada 13 Oktober 2017 bertajuk “Liberalisme Perosak Islam”. Sewaktu khatib menyebut tajuk khutbah ini, terlintas langsung di benak fikir, apakah yang ingin disampaikan oleh sang khatib? Adakah khatib sendiri memahami maksud liberalisme atau khatib hanya berupaya membaca teks khutbah tanpa memahami isi khutbah itu?

Langsung tergerak untuk menyemak kembali isi khutbah tersebut yang telah dimuatnaik di portal e-masjid.jais.gov.my. Teks itu menyatakan, antara lain, “Fahaman liberalisme adalah fahaman bebas yang tidak terikat dengan syariat Islam. Fahaman ini menjauhkan seseorang Muslim daripada agamanya…” Kemudian dihuraikan juga bahawa bahaya liberalisme kerana “Fahaman liberalisme membawa kepada fahaman semua agama adalah sama...” “Golongan liberalisme dan pluralisme menolak wujudnya kebenaran Islam dan menyatakan semua agama adalah sama dan menganjurkan kepada kebaikan. Mereka mendakwa bahawa jika orang bukan Islam diberikan kebebasan untuk menukar agama, maka orang Islam pun hendaklah diberikan kebebasan untuk murtad.”

Selanjutnya dinyatakan juga, “Fahaman liberalisme memperjuangkan fahaman sekularisme. Bahaya fahaman sekularisme terhadap akidah apabila seseorang berkeyakinan agama adalah urusan peribadi dan agama hanya dihadkan dalam ruang lingkup upacara agama semata-mata. Golongan sekularisme mendakwa agama bertentangan dengan sains, atau wahyu bertentangan dengan akal…”. Perkara lain yang disebut, “ Fahaman liberalisme berpaksikan logik akal semata-mata. Mengikut logik akal semata-mata secara mutlak adalah bahaya tanpa sebarang panduan wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah…”

Sewaktu di universiti dahulu, antara buku yang dikaji adalah buku “On Liberty” karya John Stuart Mill. Perkataan ‘liberalisme’ ini diambil daripada kata dasar ‘liberty’. Justeru, Mill telah memperincikan perkembangan doktrin ‘liberty’ ini. Katanya, perkataan ‘liberty’ ini jika dirujuk dalam sejarah lampau Greek, Rom dan England bermaksud perlindungan daripada kezaliman pemerintah politik. Pada masa itu wujud ketegangan hubungan antara pemerintah dan rakyatnya. Sering kali, pemerintah enggan menuruti kehendak rakyatnya. Oleh itu, wujud keperluan untuk menghalang kuasa itu daripada terlalu berkuasa dengan mewujudkan suatu kekebalan yang dinamakan sebagai ‘political liberty or rights’ (kebebasan atau hak berpolitik). Kebebasan ini akan dilindungi menerusi suatu dokumen yang dinamakan perlembagaan yang akan memperincikan hak-hak rakyat yang perlu dilindungi oleh pemerintah. Perlembagaan juga akan memperincikan mekanisme semak dan imbang terhadap pemerintah.

Selain itu, Mill juga berbahas panjang mengenai kepentingan kebebasan untuk berfikir. Baginya, tindakan pemerintah yang menyekat kebebasan berfikir adalah tidak sah. Meskipun begitu, ada beberapa pandangan beliau berkaitan had-had dan sekatan dalam kebebasan berfikir dan bersuara yang boleh dibincangkan pada masa lain.

Apa yang menariknya berkaitan khutbah selama 15 minit ini telah membuat rumusan bahawa ‘Liberalisme Perosak Islam’. Bagi saya, tajuk liberalisme ini sendiri suatu tajuk yang kabur. Sesuatu yang tidak jelas tidak seharusnya dipolemikkan. Apabila dikatakan bahawa liberalisme ini adalah faham bebas yang tidak terikat dengan agama Islam maka kita sendiri sudah menyempitkan maksud liberalisme itu sendiri. Sedangkan para pengkaji sosial politik memerlukan tempoh berhari-hari dan berminggu-minggu untuk mengajar mengenai topik liberalisme ini.

Jika dilihat maksud liberalisme dalam wikipedia Bahasa Melayu itu sendiri pun menyatakan liberalisme sebagai “falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi. Seseorang yang menerima fahaman liberalisme dipanggil seorang liberal. Walau bagaimanapun, maksud perkataan liberal mungkin berubah mengikut konteks sesebuah negara. Liberalisme menekankan hak-hak peribadi serta kesamarataan peluang. Dalam fahaman liberalisme, pelbagai aliran dengan nama "liberal" mungkin mempunyai dasar dan pandangan yang berlainan, tetapi secara umumnya aliran-aliran ini bersetuju dengan prinsip-prinsip berikut termasuk kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara, batasan kepada kuasa kerajaan, kedaulatan undang-undang, hak individu ke atas harta persendirian, pasaran bebas dan ketelusan sistem pemerintahan. Mereka yang liberal menyokong sistem kerajaan demokrasi liberal dengan pengundian yang adil dan terbuka, di mana semua rakyat mempunyai hak-hak yang sama rata di bawah undang-undang.”

Jika melihat kepada definisi wikipedia ini saya tidak nampak apakah sebab kita menolak liberalisme yang demikian definisinya. Umat Islam sebenarnya akan bertambah maju jika digalakkan kebebasan berfikir dan bersuara. Rakyat negara ini sendiri pun bersetuju dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi salah satu teras Rukunegara. Malah, setiap hari kita berharap supaya wujud kerajaan yang telus yang berupaya membataskan kuasanya sendiri demi kepentingan rakyat.

Begitu juga, jika dilihat definisi yang diberikan oleh Ensiklopedia Britannica yang mendefinisikan liberalisme sebagai suatu doktrin politik yang bertujuan untuk melindungi dan meningkatkan kebebasan individu. Ensiklopedia ini juga menyatakan bahawa adalah menjadi kelaziman bagi orang yang percaya kepada liberalisme bahawa pemerintah mempunyai tanggungjawab dan kewajipan untuk melindungi mana-mana individu daripada dikacau ganggu oleh individu yang lain. Selain itu, liberalisme juga percaya bahawa pemerintah itu sendiri adalah musuh terbesar kepada kebebasan individu maka perlu wujud suatu sistem kawal selia yang boleh menjadi mekanisme semak dan imbang.

Melihat kepada definisi Mill, Wikipedia dan Britannica ini, liberalisme adalah sesuatu yang baik bagi umat dan harus digalakkan. Kekuatan umat terletak kepada sejauh mana umat itu mampu berfikir dan menterjemahkan pemikiran itu dalam penghasilan pelbagai produk yang akhirnya akan mendatangkan kemajuan kepada negara itu.

Ironinya, khutbah JAIS ini pula menyatakan liberalisme ini adalah fahaman bebas yang tidak terikat dengan Islam. Dikatakan juga liberalisme ini sama dengan pluralisme sedangkan kedua-duanya itu adalah perkara yang jauh berbeza. Mungkin apa yang dimaksudkan oleh khutbah ini adalah ‘liberalisme agama’ dan ‘pluralisme agama’ sebagaimana yang pernah difatwakan dan diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 (Sel. P.U. 28). Oleh itu, sepatutnya khutbah ini mendefinisikan terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan pluralisme dan liberalisme dan sebaiknya definisi itu perlu diwartakan supaya kelak tidak berlaku perbahasan daripada segi maknanya. Menggunakan perkataan itu secara umum boleh mengundang pelbagai tafsiran kerana perkataan liberalisme itu membawa kepada maksud yang positif bagi ahli sains politik dan ahli perundangan.

Justeru, panel khutbah perlu lebih berhati-hati apabila membuat khutbah untuk mengelakkan salah faham dalam penggunaan istilah yang pelbagai ini. Khutbah Jumaat haruslah berpaksikan kepada sesuatu maklumat yang lebih jelas dan ringkas. Usah dibuat dalam khutbah perkara yang kompleks seperti liberalisme ini kerana ianya akan mengundang kepada perbahasan falsafah yang panjang. Perkara yang kompleks ini sepatutnya dibahaskan melalui wacana ilmiah dan bukan semata-mata melalui khutbah yang berbentuk komunikasi sehala. Selain itu, ketepatan isi khutbah perlu diperhalusi oleh panel JAIS kerana kesilapan fakta akan memalukan panel JAIS sendiri. Ini secara tidak langsung akan merosakkan imej Islam itu sendiri memandangkan JAIS adalah institusi pentadbiran agama Islam yang diberikan kuasa oleh undang-undang.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor