Skip to main content

Peguam Cap Ayam dan Peguam Cap Babi

Baru-baru ini tular dalam media sosial mengenai tulisan seorang warga fb yang tidak berkenan dengan tindakan seorang peguam yang mewakili Dato Boy Iman. Pada tanggapannya peguam tersebut adalah peguam cap babi kerana katanya “peguam yang membela Boy Iman itu walaupun tahu Boy Iman itu bersalah tetapi sanggup membela beliau kerana duit dan imbuhan.” Kesimpulannya bahawa peguam sedemikian adalah peguam yang tak berguna. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa “kalau sudah tahu klien itu bersalah maka jangan ambil kes tersebut dan mohon tarik diri.” Katanya lagi, “peguam sudah tidak tahu halal dan haram dan hanya fikirkan job masuk supaya duit dapat masuk poket.”

Sewaktu di Universiti Islam Antarabangsa dahulu, isu halal dan haram dalam kerja-kerja guaman ini sudah menjadi perdebatan khasnya bagi pelajar tahun akhir. Polemik itu berlaku kerana ramai yang tidak memahami kaedah fiqh yang betul. Kebanyakan orang hanya menonton rancangan televisyen berkaitan undang-undang dan terus membuat kesimpulan berdasarkan drama yang ditonton itu. Pada masa dahulu, ramai orang suka menonton rancangan LA Law dan Ally McBeal kerana rancangan guaman sebegitu nampak lebih hidup dan mempunyai aura kehidupan.

Bagi peguam yang beramal dalam bidang conveyancing mungkin tertanya-tanya sejauh manakah halalnya pendapatan jika kerjanya menulis dokumen yang melibatkan bunga dan faedah. Sedangkan ada hadis yang mencela orang memberi dan mengambil riba serta yang menulis suratnya.

Bagi peguam yang beramal dalam bidang litigasi terutamanya litigasi jenayah akan tertanya-tanya sejauh manakah halalnya pendapatan jika kerjanya membela penagih dan pengedar dadah, perompak, pencabul, perasuah, penipu dan perogol.

Sebenarnya bukan kerja peguam sahaja yang melibatkan dosa dan pahala. Kerja menulis di wall fb juga melibatkan dosa dan pahala. Jika yang ditulis itu adalah kata-kata fitnah dan mengumpat dah tentulah ianya mendatangkan dosa.

Begitu juga jika kerjanya sebagai ustaz atau penceramah agama, jika hadis yang dibaca itu hadis palsu yang direka oleh entah sesiapa maka Rasulullah saw sudah mengatakan bahawa sesiapa yang berdusta atas dirinya maka disediakan tempatnya dalam api neraka. Malah, selepas ditegur pun ada sesetengah ustaz itu yang masih meneruskan dengan hadis dongeng lagi palsu itu dalam ceramahnya.

Maka, yang silap itu adalah manusia dan bukan profesion yang diceburinya. Lainlah jika profesion yang diceburinya itu memang asasnya berdosa seperti profesion peragut, perompak atau pelacur. Itu memang sudah jelas sebagai kerja yang sudah terang-terang berdosa.

Bagi kerjaya peguam pula, ianya termasuk dalam kerja yang mungkin membawa kepada dosa dan mungkin membawa kepada pahala. Itu bergantung kepada niat dan perbuatannya.

Soalnya, adakah salah dan berdosa untuk membela orang seperti Dato Boy Iman atau pengedar dadah, peragut,  perompak atau pencuri? Ini adalah perkara yang samar-samar kerana tugas peguam bukan untuk melepaskan orang yang bersalah. Tugas peguam dalam sesuatu perbicaraan jenayah adalah untuk memastikan orang kena tuduh itu mendapat perbicaraan yang adil. Jika selepas suatu perbicaraan yang adil itu beliau didapati bersalah maka patutlah beliau dikenakan hukuman. Sebaliknya jika tidak bersalah maka beliau patut dilepaskan dan dibebaskan.

Sesuatu perbicaraan adalah dianggap sebagai adil jika sabitan dibuat ke atasnya berdasarkan bukti-bukti yang telah diuji dan boleh diterima sebagai keterangan menurut Akta Keterangan. Jika bukti itu adalah tidak dapat diterima maka adalah tidak wajar beliau dijatuhi hukuman.

Dalam satu-satu perbicaraan jenayah, ada 3 pihak yang terlibat iaitu Hakim, Pendakwa dan Peguam. Hakim adalah pihak yang bertindak sebagai pengadil dan perlu mengadili perbicaraan itu dengan menentukan apakah bukti-bukti yang boleh diterima dan ditolak. Jika bukti itu telah ditolak maka hakim tidak boleh berpegang dengan bukti itu untuk membuat sabitan ke atas orang kena tuduh.

Bagi pendakwa pula, beliau perlu membuktikan kes itu melampaui sebarang keraguan yang munasabah. Keraguan yang munasabah ini bermaksud bahawa bukti itu perlulah menunjukkan bahawa tertuduh itu bersalah selepas bukti itu gagal dipatahkan oleh peguam orang kena tuduh.

Peguam pula perlu memastikan bahawa bukti yang dikemukakan oleh pendakwa tadi mematuhi segala piawaian menurut Akta Keterangan. Sebarang bukti yang tidak mencapai piawaian seperti bukti cakap dengar (hearsay) atau bukti sekunder seperti dokumen fotostat haruslah dibantah melainkan ianya mematuhi syarat penerimaannya menurut Akta Keterangan. Selain itu, peguam juga perlu memastikan bahawa orang kena tuduh itu didakwa menurut prosedur yang tepat seperti yang terkandung dalam Kanun Prosedur Jenayah. Kanun Prosedur Jenayah itu akan memperincikan tatacara bagaimana seseorang itu ditangkap, dituduh, dibicarakan, disabitkan dan dihukum. Berapa ramai tertuduh yang telah dilepaskan kerana kesilapan pendakwa dalam merangka sesuatu pertuduhan.

Jangan lupa bahawa kuasa boleh menjadikan seseorang itu mabuk dan gila. Orang mabuk dan gila ini akan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mendapatkan sabitan ke atas orang yang kena tuduh. Sebab itu, pendakwa terikat dengan kedua-dua Akta Keterangan dan Kanun Prosedur Jenayah dalam menjalankan kes mereka supaya mereka tidak menjadi mabuk dan gila kuasa.

Saya pernah mewakili seorang tertuduh dalam dalam satu perbicaraan jenayah yang membabitkan kes tipu wang ratusan ribu di Mahkamah Sesyen Ampang. Tidak dinafikan bahawa klien saya itu telah berhutang wang dengan pengadu dalam kes tersebut untuk suatu tujuan perniagaan dan beliau telah mungkir janji untuk membayar hutang itu semula. Pengadu telah tidak berpuas hati dengan kemungkiran itu dan telah membuat laporan polis. Polis telah menyiasat kes itu dan akhirnya klien saya itu telah dituduh di Mahkamah.

Setelah meneliti fakta kes dan dokumen, saya berpendapat bahawa klien saya itu tidak sepatutnya dituduh di bawah pertuduhan jenayah tipu kerana tiada unsur-unsur jenayah tipu. Apa yang ada hanyalah bahawa klien saya itu salah daripada sudut hukum sivil kerana mungkir untuk membayar hutang dan bukan dari sudut hukum jenayah. Sepatutnya pengadu itu membawa kes itu secara sivil.

Namun, oleh kerana klien saya telah dipertuduhkan maka saya tiada pilihan kecuali meneruskan dengan proses perbicaraan. Pembelaan yang saya akan gunakan bahawa elemen pertuduhan bagi kes tipu tidak dipenuhi dan kes itu adalah kes sivil dan bukan kes jenayah. Perbicaraan telah berlangsung dan beberapa orang saksi telah dipanggil. Semua soalan sewaktu pemeriksaan balas adalah menjuruskan kepada pembelaan yang saya buat itu. Akhirnya, hal itu telah mendapat perhatian Puan Hakim Sesyen dan Puan Hakim telah memanggil saya dan pendakwa ke dalam kamar dan bertanyakan soalan yang sama kepada pendakwa. Puan Hakim menyatakan bahawa kes itu lebih menjurus kepada kes sivil dan bukan jenayah berdasarkan keterangan saksi-saksi. Dan ada kemungkinan bahawa pendakwa akan gagal dalam kes tersebut maka lebih baik bagi pendakwa menarik balik pertuduhan untuk tidak membuang masa dan kos mahkamah. Pendakwa telah merujuk kes itu kembali kepada orang atasan dan akhirnya pertuduhan ke atas klien saya telah ditarik balik.

Beberapa tahun lepas, saya juga pernah mewakili seorang guru yang dituduh meliwat seorang murid tingkatan dua sebuah sekolah swasta agama di ibu kota. Saya bertanyakan kepada klien itu apakah benar berlaku perbuatan itu. Katanya perbuatan liwat tidak berlaku kerana tidak berlaku penetrasi dalam dubur mangsa kerana berlaku ejakulasi di peringkat awal. Setelah menerima laporan perubatan, saya mendapati bahawa laporan perubatan itu konsisten dengan cerita klien saya bahawa tidak berlaku penetrasi meskipun kesan sperma dijumpai di tempat kejadian. Saya boleh menerima hakikat jika klien saya itu dituduh mencabul kehormatan tetapi untuk mendakwa beliau meliwat mangsa adalah suatu tindakan yang tidak adil.

Dalam suatu kes lain yang melibatkan seorang pengedar dadah, klien saya telah dituduh mengedarkan dadah. Pada hari kejadian, klien saya telah berada di dalam bengkel tempat beliau bekerja dan tempat beliau bekerja itu telah diserbu polis. Polis telah menjumpai dadah dalam bekas pam air di dalam tandas. Saya bertanyakan beliau apakah itu dadah miliknya. Beliau menafikan hal tersebut dan berkata dia tidak tahu milik siapakah dadah tersebut. Beliau mengakui bahawa beliau ada mengedar dadah tetapi bukan melibatkan dadah yang dijumpai itu.

Pada masa perbicaraan, hal itu telah menimbulkan keraguan kepada Mahkamah kerana dadah itu telah dijumpai bukan dalam pegangan dan milikan tertuduh. Ada kemungkinan dadah itu diletakkan oleh rakan-rakan mangsa kerana bengkel itu tidak berkunci. Malah, ada pekerja bengkel lain yang gagal disiasat oleh polis. Sewaktu disoal, polis penyiasat bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau tidak membuat siasatan menyeluruh berkenaan hal tersebut dan tidak dapat menjawab secara konklusif bahawa dadah itu milik tertuduh. Akhirnya klien saya telah dibebaskan dan saya menasihatinya supaya meninggalkan perbuatan itu. Mungkin kali ini ada rahmat Allah swt ke atas dirinya untuk menjadikannya insaf dan bertaubat.

Begitulah juga dalam kes Dato Boy Iman ini, biarlah proses perbicaraan itu berlangsung dengan seadilnya. Adalah tidak wajar untuk menghukum peguam yang mewakilinya itu sebagai peguam babi atau peguam cap ayam semata-mata kerana beliau mewakili Dato Boy Iman. Dato Boy Iman jika dituduh kelak berhak mendapat perbicaraan yang adil. Malah, tindakan memohon reman berkali-kali ke atas Dato Boy Iman itu sepatutnya tidak terjadi. Adalah menjadi suatu kewajipan peguamnya untuk membantah reman berkali-kali kerana ini akan lebih memberatkan suspek kerana pihak polis sepatutnya menggunakan tempoh masa reman yang diberikan itu untuk menyelesaikan soal siasat.

Ini tidak bermakna saya bersetuju dengan tindakan Dato Boy Iman menjual rumah kaedah DBI Property Sdn Bhd itu. Tetapi, ada pelbagai lagi kaedah siasatan dan penguatkuasaan yang boleh dibuat selain daripada kes tipu yang diadukan terhadap dirinya. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempunyai kuasa yang luas untuk mencegah hal-hal seperti ini daripada berlaku.

Bagi saya sendiri, pendakwa perlu berhati-hati jika ingin mendakwa di bawah kes tipu kerana kes tipu perlu melibatkan elemen mens rea (niat dan persediaan) dan actus reus (perbuatan menipu itu sendiri). Jika gagal untuk membuktikan kedua-dua elemen itu maka pendakwaan tersebut mungkin gagal.

Pada suatu masa dahulu sewaktu membela seorang tertuduh yang didakwa melakukan perbuatan muncikari (ibu atau bapa ayam), saya telah menggunakan pembelaan actus reus ini. Faktanya bahawa klien saya itu telah diupah oleh seorang ibu ayam untuk menjaga premis yang dijadikan tempat pelacuran. Premis itu adalah sebuah rumah yang baharu disewa dan ayam yang dibawa pula adalah gadis yang ditipu kononnya untuk bekerja di Kuala Lumpur. Sebelum sempat gadis itu dilacurkan kepada mana-mana pelanggan, tempat itu telah diserbu oleh polis. Polis telah menjumpai beberapa kotak kondom dalam premis itu dan mendapati tingkap premis juga telah ditutup dengan kertas.

Akhirnya klien saya itu telah dibebaskan kerana tiada bukti ke atas klien saya bahawa beliau telah bertindak sebagai muncikari. Begitu juga ibu ayam itu juga turut terlepas. Pada saya sepatutnya pendakwa tidak boleh mendakwa ibu ayam itu atas perbuatan muncikari kerana actus reus pelacuran masih belum sempurna. Sepatutnya pendakwa menuduh mereka atas perbuatan lain yang lebih jelas kesalahannya meskipun kesalahan itu hukumannya lebih rendah.

Kesimpulannya, usahlah melabel peguam sebagai peguam cap ayam atau peguam babi. Jika tidak berpuashati dengan khidmat peguam itu kerana peguam itu cuai dalam menjalankan tugasannya atau telah caj yuran guaman berlebih-lebihan maka orang itu boleh membuat aduan kepada Lembaga Tatatertib Peguam supaya tindakan disiplin dapat diambil ke atas peguam itu. Malah, untuk kes yang lebih teruk, saman mahkamah atas kecuaian profesional juga boleh difailkan ke atas peguam berkenaan. Peguam litigasi jenayah hanya menjalankan tugas yang diperuntukkan kepada mereka menurut undang-undang. Apa yang dilihat dalam drama tv itu tidak menggambarkan situasi sebenar kerjaya guaman. Berlaku adillah kepada peguam!.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor