Skip to main content

Amalan Ayat 1000 Dinar Dalam Perceraian

Baru-baru ini seorang wanita muda berusia awal 30-an datang mengadu halnya yang telah diceraikan oleh suaminya. Kasih yang dipupuk di bangku sekolah menengah akhirnya runtuh setelah lima tahun mendirikan mahligai bahagia. Tambah menyayatkan hatinya apabila beliau diceraikan tatkala masih dalam tempoh berpantang anak bongsunya. Air matanya berderai tatkala menitipkan kisahnya. Mujurlah ada kotak tisu yang disediakan di dalam bilik tetamu, dapatlah digunakan untuk menyembunyikan rasa sedihnya itu. Setiap perkahwinan yang dilangsungkan tidak pernah seorang pun yang mengimpikan untuk bercerai. Namun, kadang kala perceraian itu tidak dapat dielakkan apabila sakinah, mawaddah wa rahmah (ketenangan, kecintaaan dan kasih sayang) sudah luput dalam kamus pasangan berkenaan. Perceraian yang berakhir antara pasangan yang tidak mempunyai anak lazimnya tidak mendatangkan parut luka yang lama. Namun, jika pasangan itu mempunyai anak maka hubungan dengan bekas suami dan isteri tidak dapat dielakkan. Anak tersebut masih perlu mendapatkan kasih sayang daripada ibu bapanya. Ingatlah! Perceraian tidak menamatkan pertalian darah antara anak dan ibu bapanya. Perceraian hanya merungkaikan akad pertalian antara suami dan isteri. Perceraian hanya mengakibatkan hubungan intim yang halal menjadi haram antara pasangan berkenaan. Maka, janganlah dimangsakan si suami atau si isteri atau anak-anak dengan kesan perceraian tersebut. Inilah yang berlaku kepada wanita muda tersebut. Bercerai dalam usia muda dalam keadaan tidak bekerja adalah suatu pengalaman yang meronta jiwa. Mana hendak dicari sumber kewangan untuk menampung hidup sesudah bercerai. Bagi wanita yang sebegini, untuk memulakan hidup baru memerlukan beliau menapak daripada langkah yang pertama. Untuk menjangkaui tapak yang ke seribu barang kali memerlukan tempoh beberapa tahun. Maka terpaksalah beliau berusaha untuk memulakan kerja semula untuk menyara dirinya dan anak-anaknya. Bekas suaminya meskipun bergaji tinggi tetapi sangat berkira duit dengannya walhal sudah dipersetujui untuk membayar kos tempat tinggal, makan minum dan pakaian yang berjumlah hampir RM2000. Tetapi, wang tersebut telah dipotong apabila bekas isteri enggan untuk tinggal di rumah bekas suaminya. Wanita muda ini keluar daripada rumah tersebut kerana jiwanya sering ditekan oleh bekas suami seolah-olah beliau perempuan terhina. Dipaksakan bekas isteri untuk membayar pula kos selenggaraan, astro dan lain-lain sehingga bekas isterinya terasa terbeban. Ditambah pula dengan pelbagai sindiran negatif menyebabkan langkah keluar rumah itu perlu dilakukan.. Tambah menyeksakan apabila nilaian nafkah anak-anak sebanyak RM2000 itu telah dikurangkan menjadi RM700. Tidak cukup dengan itu, bekas suaminya secara halus telah membeli jiwa anak-anak dengan mainan yang mahal-mahal yang tidak mampu dibeli olehnya sehinggakan anak-anak kini lebih suka tinggal dengan bapanya daripada ibunya. Sebab itu, ada langkah parti politik yang mencadangkan supaya suami juga turut mencarum dalam KWSP bagi isterinya itu khasnya bagi isteri yang tidak bekerja adalah langkah yang baik bagi menjamin kewangan isteri di masa hadapan. Mekanisme caruman itu hendaklah tidak membebankan suami berkenaan. Misalnya pada masa sekarang ini suami yang bekerja hanya mencarum untuk dirinya 11% dan majikan pula mencarum 13% (jika silap mohon diperbetulkan). Jika selama ini caruman itu adalah hanya untuk suami sahaja, kini jika cadangan ini menjadi kenyataan ianya boleh memberikan manfaat kepada isteri. Sepanjang pengetahuan saya, Mahkamah Syariah masih belum menerima hujahan bahawa caruman KWSP juga adalah sebahagian daripada harta sepencarian. Bayangkan jika hanya 1% diambil daripada suami dan majikan suami maka itu sudah dikira cukup baik untuk manfaat isteri. Dalam kes perceraian sebegini, isteri banyak mengadu hal bahawa suami telah mengabaikan nafkah anak-anak padahal anak itu adalah dalam jagaan isterinya. Anak-anak yang masih kecil memerlukan perbelanjaan yang besar. Jika isteri itu pergi bekerja maka dia pasti terpaksa meninggalkan anak-anak itu di pusat jagaan sementara beliau pergi bekerja. Kos di pusat jagaan kini paling kurang akan mencecah RM150-RM250 setiap anak bergantung kepada lokasi di mana beliau tinggal. Itu tidak termasuk lagi kos lain seperti tempat tinggal, makan minum dan permainan anak-anak. Maka, dalam hal ini Allah Taala telah mengingatkan para suami untuk tidak menyusahkan isterinya selepas bercerai dan tidak bercadang untuk merujuk kembali kepada isterinya. Arahan Allah Taala ini telah dimeteraikan dalam surah yang khusus kepada pasangan yang bercerai iaitu dalam Surah Al-Talaq. Maka, mana-mana pasangan yang bercerai wajib atas mereka untuk mentadabbur surah ini untuk mencari jalan keluar daripada jiwa yang serabut selepas bercerai. Surah ini memberikan motivasi dan panduan kepada pasangan yang bercerai. Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (At-Talaaq 65:2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaaq 65:3) Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya. (At-Talaaq 65:4) Peraturan-peraturan yang demikian adalah hukum-hukum Allah yang diturunkan dan diterangkanNya kepada kamu; dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala balasannya. (At-Talaaq 65:5) | Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya. (At-Talaaq 65:6) Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (At-Talaaq 65:7) Dan bukan sedikit negeri-negeri yang penduduknya menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka dan Rasul-rasulNya, maka Kami hitung amal mereka satu persatu dengan hitungan yang keras rapi, serta Kami seksakan mereka dengan azab yang tidak pernah dikenal dahsyatnya. (At-Talaaq 65:8) Lalu mereka merasai kesan yang buruk dari perbuatan derhakanya, dan menjadilah akibat perbuatan mereka satu kerugian yang besar. (At-Talaaq 65:9 Allah menyediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya. Maka bertaqwalah kepada Allah kepada wahai orang yang berakal sempurna dari kalangan orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu peringatan - (At-Talaaq 65:10) Isi kandungan daripada ayat-ayat di atas jelas memberikan amaran kepada para suami untuk tidak menyusahkan bekas isterinya. Bahkan, seawal tempoh perceraian lagi diingatkan untuk para suami itu menyediakan kelengkapan semasa tempoh beriddah. Begitu juga selepas tempoh iddah, para suami dilarang daripada mencari jalan untuk menyusahkan bekas isterinya. Ayat ini memberikan gambaran kepada bekas suami bahawa azab yang pedih bakal menunggu mereka di akhirat jika mereka berlagak sombong dengan rezeki kurniaan Allah Taala. Menariknya dalam ayat ketiga dan keempat surah ini adalah ayat yang dikenali oleh masyarakat kita dengan Ayat Seribu Dinar. Apakah kaitan Ayat Seribu Dinar dengan perceraian? Ini adalah suatu perkara yang menarik untuk dikaji. Kata pengarang Tafsir Al-Maraghiy ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa “Ayat ini menunjukkan bahawa takwa menjadi asas segala urusan di sisi Allah s.w.t dan dengan takwa itu kebahagiaan di dunia dan di akhirat akan diperolehi. Dia juga menunjukkan bahawa perceraian termasuk urusan yang menuntut keutamaan takwa; kerana perceraian adalah perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. Sepanjang kerjaya sebagai peguam syarie hampir 20 tahun ini, pelbagai karenah pasangan bercerai yang telah dilihat. Boleh dikatakan bahawa pasangan bercerai ini banyak yang melanggar ‘hudud’ atau ketetapan dan sempadan (bukan potong tangan ini) yang ditetapkan Allah Taala. Arahan Allah Taala untuk berbuat baik kepada isteri yang diceraikan itu antara dugaan yang paling berat dilakukan. Pasangan yang bercerai ini mungkin disebabkan masalah dalam rumah tangga yang sudah berlarutan bertahun-tahun dan secara psikologinya adalah sangat memberatkan jiwa. Tatkala menghadapi dugaan begitu bayangkan Allah Taala menyuruh pula suami berbuat baik kepada bekas isterinya. Bukankah ini satu cubaan yang berat terhadap jiwa manusia? Allah Taala juga seakan menjawab persoalan yang sama kepada isteri, apakah jika bekas suami kamu tidak berlaku adil maka kamu juga boleh berlaku tidak adil kepada bekas suami kamu? Ketidakadilan seperti Ini juga kerap berlaku dalam perceraian. Ingatlah bahawa perbuatan tidak adil adalah perbuatan zalim dan setiap perbuatan zalim pasti akan menerima balasan Allah. Ramai isteri yang menghalang bekas suami daripada berjumpa dengan anak-anak disebabkan masalah perceraian itu. Ada yang sengaja menukar alamat dan berpindah randah semata-mata untuk mengelakkan si bapa berjumpa anaknya. Beberapa tahun lepas ada seorang klien yang mengadu bahawa anaknya itu telah dilarikan oleh bekas isterinya semenjak anaknya berumur 3 bulan. Beliau langsung tidak tahu di mana anaknya berada sehingga pada suatu hari beliau mendapat petunjuk di mana anaknya berada. Pada masa itu anaknya sudah berumur 16 tahun. Alangkah terkejutnya anak itu apabila mengetahui hakikat ini. Selama ini, ibunya menyatakan bahawa bapa tirinya itu adalah bapa sebenar. Ini juga adalah perbuatan zalim dan tidak adil terhadap bekas suami. Justeru, Allah Taala mendamaikan hati yang gundah dengan sikap pasangan yang tidak adil ini dengan Ayat Seribu Dinar itu. Telitilah betul-betul maksud Ayat Seribu Dinar ini dan konteks ianya digunakan dalam Surah Al-Talaq ini. Percayalah bahawa sesiapa yang berbuat kebaikan maka kebaikan itu adalah bagi dirinya sendiri. Jika ada yang menzaliminya sekali pun balasan Allah Taala pasti akan disegerakan di dunia ini lagi. Seperkara lagi, jika ditelitikan Surah Al-Talaq ini kelihatan begitu banyak sekali diulang perkataan ‘takwa’. Mengikut hitungan yang dibuat tidak kurang 5 kali disebut perkataan takwa ini. Isyarat ini juga harus diambil perhatian oleh pasangan bercerai. Perceraian yang baik akan mendatangkan takwa dan perceraian yang buruk akan mendatangkan dosa. Maka, lihatlah sisi positif daripada perceraian untuk meningkatkan darjat ketakwaan dalam diri. Renunglah kesilapan diri sendiri dan carilah titik positif daripada perceraian itu untuk menghasilkan takwa. Takwa 1 - Arahan takwa supaya menceraikan isteri untuk iddahnya dan menghitung iddah itu dan supaya mematuhi hududillah (peraturan-peraturan Allah) (Ayat 1). Takwa 2 - Arahan takwa supaya merujuk isteri yang diceraikan atau melepaskannya dengan baik dan makruf (Ayat 2). Takwa 3 - Bahawa sesiapa yang bertakwa Allah Taala akan memudahkan urusannya (Ayat 4) Takwa 4 - Bahawa sesiapa yang bertakwa Allah Taala akan menutupi kesalahannya dan menganugerahkan pahala yang besar (Ayat 5). Takwa 5 - Amaran Allah Taala bahawa Dia telah menyediakan azab yang besar, maka bertakwalah (Ayat 10) Akhir sekali sebelum menutup tulisan ini, bagi suami atau isteri yang dizalimi oleh pasangannya, hendaklah beliau membanyakkan ucapan “La hawla wa la quwwata illa billah”. Pengarang Tafsir Al-Maraghiy menyebut satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas yang menyatakan, “Awf ibn Malik Al-Ashja’iy telah datang menemui Rasulullah saw lalu berkata, “Wahai Rasulullah, anakku telah ditawan oleh musuh dan isteriku amat gelisah, Apakah yang tuan perintahkan kepadaku? Baginda bersabda, “Allah memerintahkan kepadamu dan kepadanya supaya memperbanyakkan ucapan La hawla wa la quwwata illa billah.” Isteriku berkata, “Alangkah baiknya apa yang diperintahkan kepadamu”. Lalu kedua-duanya mulai memperbanyakkan ucapan itu. Kemudian, anaknya dilepaskan oleh musuh. Lalu dia pulang membawa kambing mereka dan membawanya kepada bapanya. Maka, turunlah ayat ini yakni ayat 3-4 Surah Al-Talaq (Ayat Seribu Dinar). Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Mardawayh.

Comments

mia delaila said…
thank you..really like your writing.please continue it..

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor