Skip to main content

PELABURAN PEGUAM SUPERSKIL

PELABURAN PEGUAM SUPERSKIL


Jika anda menjadi peguam pasti anda akan tertanya-tanya apakah yang akan menjamin kehidupan peguam sekiranya beliau dapat hidup panjang ke usia senja. Mungkinkah jika beliau berumur 80 tahun beliau masih mampu untuk menampung kehidupan sendiri tanpa bergantung harap kepada orang lain. Cuba bayangkan apakah yang seorang peguam lakukan jika dia mampu hidup panjang seperti Tun Mahathir yang masih hidup aktif pada usia 95 tahun. Dalam usia 90-an Tun Mahathir bukan sahaja mampu menjadi Perdana Menteri kali kedua bahkan mampu untuk menubuhkan 2 parti baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang). Dalam usia 90-an, adakah kita masih mampu menyara hidup sendiri dalam keadaan kita sebagai peguam tidak mempunyai sebarang pencen?


Jika seseorang itu bekerja kerajaan maka kehidupannya pada waktu akan datang tidak menjadi isu kerana setiap bulan pasti akan mendapat pencen. Malah, kadang-kala kehidupan bekerja seseorang penjawat awam itu adalah lebih pendek daripada kehidupan pencen.


Beberapa minggu lepas ketika berkunjung ke rumah seorang bapa saudara, hal pencen ini menjadi salah satu tajuk perbincangan. Beliau menyatakan bahawa kehidupan pencennya jauh lebih lama daripada kehidupannya bekerja. Ketika ini usia beliau sudah melebihi umur 80 tahun. Begitu juga isterinya yang telah mengambil pencen awal. Pada masa dahulu seseorang boleh mengambil pencen awal ketika berusia 45 tahun meskipun hasil penuh pencen itu hanya akan dinikmati setelah mencapai usia pencen sebenar pada usia 55 tahun. Beberapa tahun lepas, ada seorang klien saya berusia 88 tahun (kini beliau berusia 95 tahun). Beliau juga adalah pesara kerajaan dan beliau juga menyatakan hal yang sama iaitu kehidupan beliau bekerja adalah lebih pendek daripada kehidupannya menerima pencen kerajaan.


Kini ramai rakyat Malaysia berusia panjang. Jangka usia warga Malaysia kini puratanya melebihi usia 70 tahun bagi laki-laki dan 72 tahun bagi wanita. Selaras dengan peningkatan usia itu maka usia pencen juga dilanjutkan daripada usia 55 tahun kepada usia 60 tahun.


Disebabkan peguam tidak mempunyai pencen maka peguam perlu merancang kehidupannya di usia tua. Adakah beliau perlu merancang untuk memasukkan wang setiap bulan ke dalam KWSP atau skim pencen yang dibuat oleh kerajaan? Atau perlukah beliau menyimpan wang setiap bulan dalam akaun simpanan tetap? Bagaimanakah pula jika Bank Negara Malaysia  mengurangkan kadar faedah maka pastinya pendapatan daripada akaun simpanan tetap akan terjejas.


Sebab itu peguam perlu merancang kehidupan di usia tua untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mengurangkan nilai. Bagi saya pelaburan peguam yang paling penting adalah mendapatkan skil yang hebat atau dipanggil ‘superskill’. Sekiranya semakin tua seorang peguam itu semakin banyak pengalaman yang diperolehi dan semakin banyak ilmu pengetahuan yang beliau ada. Sekiranya beliau gagal untuk mencapai hal tersebut maka kehidupannya pada usia tua akan menghadapi masalah.


Apatah lagi jika peguam itu mempunyai keluarga yang ramai dan mempunyai tahap kesihatan yang rendah. Pastinya kos kehidupannya akan berganda-ganda. Setiap sen pendapatan yang diperolehinya sekarang perlu dihitung dan dilaburkan semula untuk menjana pendapatan pada masa hadapan.


Peguam perlu mengasah ‘superskill’ ini supaya beliau tetap menjadi ‘influencer’ dalam bidangnya. Jika orang mengetahui ‘superskill’ yang dimiliki olehnya maka dengan sendirinya pendapatannya akan terjamin pada masa hadapan kerana beliau akan mendapat pelanggan yang tidak putus-putus.


Karisma seseorang peguam itu bukan terletak kepada kepandaiannya di dalam mahkamah sahaja tetapi juga bergantung kepada tahap kepimpinan yang dimiliki olehnya. Seorang pemimpin perlu memiliki skil empati. Beliau perlu melihat orang di sekililingnya dan membantu orang di sekelilingnya itu. Bayangkan jika seseorang itu menjadi seorang pengurus NGO yang membantu orang ramai. Jika berlaku satu krisis pastinya beliau perlu untuk menggesa sukarelawan NGO itu untuk menggandakan sumbangan mereka untuk membantu orang ramai. Jika beliau dapat memotivasikan sukarelewan itu dengan sikap empati pastinya sukarelawan itu akan menyumbangkan masa mereka dengan rela hati dan orang ramai akan mendapat faedah lebih besar daripadanya. Sikap empati ini amat sukar untuk diamalkan oleh peguam. Peguam lebih banyak mempunyai skil suka berlawan (adverse) daripada mempunyai skil empati. Skil empati memerlukan peguam lebih banyak mendengar daripada mengeluarkan suaranya untuk berbahas. Sebab itu bagi memupuk sikap empati ini adalah disarankan supaya peguam melibatkan diri dalam kegiatan NGO sama ada NGO bersifat kebajikan, kemasyarakatan atau pun politik kerana bidang seperti ini kerana secara perlahan-lahan sikap empati ini akan mula berkembang dalam diri seorang peguam.


Selain itu, sikap kreatif seorang peguam dalam menangani sesuatu isu pastinya akan menyebabkan orang akan memandang tinggi kepadanya. Seorang peguam selalunya berfikir secara logik. Iya! Benar sekali bahawa sesuatu undang-undang itu dibuat berdasarkan logik. Namun, di sebalik logik itu wujudnya kreativiti yang seni. Sifat kesenian inilah yang akan membezakan antara seorang peguam dan peguam yang lain. Cara beliau menangani sesuatu permasalahan itu mewujudkan perbezaan beliau dengan peguam yang lain. Sebab itu, peguam juga seharusnya terlibat dalam aktiviti seni seperti seni halus, seni nyanyian, teater dan drama, seni silat, seni tampak, seni visual atau pelbagai lagi aktiviti yang dapat menyeimbangkan penggunaan otak kiri dan kanan.


Ramai peguam tidak sedar tentang kreativiti untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh seorang pelanggannya. Beberapa tahun lepas sewaktu bertindak bagi seorang pemilik rumah yang disaman oleh sebuah Badan Pengurusan Bersama saya telah berbincang dengan beliau mengenai strategi yang perlu diambil olehnya untuk berhadapan dengan saman seperti itu. Sekiranya seorang peguam itu hanya menggunakan logik akal maka dia hanya akan memikirkan strategi untuk menang kes sahaja dan tidak memikirkan solusi kes kliennya secara holistik.


Jika seseorang itu tinggal di sebuah apartmen atau kondominium sememangnya beliau mesti membayar kos senggara rumah dan mesti menyumbang kepada kumpulan wang penjelas (sinking fund). Dalam kes ini, klien saya enggan membayar wang ini disebabkan beliau menyatakan bahawa beliau telah gagal untuk mencari penyewa rumahnya untuk tempoh 2 tahun disebabkan Badan Pengurusan Bersama itu gagal untuk menjalankan tugas mereka dengan baik menyebabkan fasiliti di kondominium miliknya menjadi usang dan rosak.


Saya berfikir secara logik dan seni dalam menyelesaikan permasalahan tersebut. Saya tahu bahawa seseorang itu tidak mungkin dapat lari daripada membayar hutang wang senggaraan dan wang penjelas. Saya memberitahunya bahawa jika beliau ingin menang kes tersebut beliau perlu mempunyai bukti-bukti dokumentar supaya mahkamah boleh mempercayainya. Ini adalah logik. Maka, saya mengkaji kes beliau secara logik dan mendapati bahawa sistem perakaunan Badan Pengurusan Bersama itu bermasalah dan menggunakan alasan itu menentang Badan Pengurusan Bersama itu di mahkamah. Selain itu, peguam Badan Pengurusan Bersama itu juga gagal untuk mematuhi beberapa proses wajib yang dipatuhi sebelum menfailkan kes. Maka, setelah berbincang dengan klien tersebut beberapa strategi untuk melawan kes ini telah dibuat dan beberapa permohonan interlokutori telah difailkan. 


Pada masa yang sama, peguam perlu menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh. Penyelesaian menyeluruh adalah bagaimana untuk memujuk klien ini menjelaskan hutang tertunggak. Jalannya adalah untuk berunding dengan Badan Pengurusan Bersama dengan membayar jumlah yang diskaun dalam bentuk ansuran. Justeru, saya memintanya untuk berunding dengan pihak Badan Pengurusan Bersama tetapi Badan Pengurusan Bersama telah enggan langsung untuk berunding. Berunding adalah satu seni dan bukanlah satu logik. Orang akan berunding jika kena caranya dan dilakukan pada masa yang tepat. 


Akhirnya, hasil gabungan logik serta seni itu telah berhasil. Logik untuk menyerang secara agresif tindakan Badan Pengurusan Bersama melalui beberapa permohonan interlokutori itu telah berjaya dan akhirnya Badan Pengurusan Bersama telah berundur serta bersetuju untuk berunding. Klien saya juga berpuashati dengan terma rundingan itu iaitu Badan Pengurusan Bersama perlu mencari penyewa dan hasil kutipan sewa itu akan dibuat penepian (set-off) terhadap hutang senggaraan. 


Ramai di kalangan graduan yang keluar daripada universiti yang memilih kerja makan gaji berbanding untuk membuka firma guaman sendiri. Membuka firma guaman sendiri adalah bukan kerja mudah. Adalah lebih mudah untuk kerja makan gaji daripada membuka firma guaman. Tambahan lagi, kos membuka firma guaman di bandar besar seperti Shah Alam atau Kuala Lumpur bukanlah murah. 


Oleh itu, jika sesebuah firma itu mengupah seseorang peguam itu untuk menjadi peguam, firma pasti akan menilai tahap peguam itu mengendalikan sesuatu kes. Ada peguam yang makan gaji ini mengambil mudah kerjanya setiap hari dengan hanya menyelesaikan hal itu melalui cara biasa. Pastinya kerja itu akan selesai mengikut cara biasa. Peguam yang biasa mungkin selepas selesai kerjanya itu akan ‘mengular’ di kafeteria Mahkamah dan masuk lambat pejabat. Bosnya di pejabat mungkin tidak tahu kerja peguam bawahannya itu telah selesai dan masih menganggap peguamnya masih berada dalam Mahkamah.


Bandingkan dengan seorang peguam yang lain yang fokus dengan kerjanya dan mempunyai ‘attitude’ superskil. Peguam itu pastinya akan menyelesaikan tugasannya di Mahkamah dengan lebih cepat dan cepat pula pulang ke pejabat untuk menyelesaikan tugasan lain. Tiada salahnya untuk bersarapan pagi setelah selesai menguruskan kes di mahkamah tetapi jika waktu beliau bersarapan itu melebihi masa beliau bekerja akan menyebabkan kerja-kerjanya lain tertangguh dan tidak siap.


Ada juga peguam yang makan gaji ini kerjanya main game atau berwasap dengan kumpulan peguam yang lain sehingga tanpa disedarinya beliau telah menghabiskan masa selama 2 jam. Sedangkan jika beliau mengambil masa 2 jam itu untuk menyelesaikan kes yang dihadapi seperti membuat pliding atau membuat hujahan atau sekurang-kurangnya mengulangkaji kes tentu sekali ianya lebih mendatang faedah bagi dirinya dan firma tempat beliau bekerja.


Sepatutnya peguam yang makan gaji ini mengambil kesempatan untuk menggunakan masa yang ada untuk mendapatkan skil lain yang lebih berfaedah daripada menghabiskan masa berjam-jam di kafeteria. Jika sebuah firma guaman itu membuat kerja-kerja litigasi dan conveyancing maka peguam yang membuat kerja litigasi sepatutnya mengambil kesempatan masa yang ada untuk belajar juga asas-asas conveyancing supaya beliau akan mendapat skil kedua. Skil ini akan menajamkan lagi bakat guaman yang telah dimiliki olehnya dan seterusnya menjadikan beliau seorang peguam yang superskil.


Berbalik kepada tajuk asal iaitu pelaburan peguam superskil, seperti mana yang saya nyatakan di atas seseorang peguam perlu mengasah skil guamannya sehingga beliau menjadi seorang yang ‘superskil’ dalam bidang guaman yang diceburinya.


Pelaburan ini boleh datang dalam bentuk pengalaman mahu pun teori. Pengalaman akan diperolehi sekiranya beliau aktif dalam menjalankan kes setiap hari. Jangan pula terkeliru. Dahulu ada peguam yang hanya mengkhususkan dirinya dalam litigasi mengutip hutang (debt recovery) bagi pihak bank. Kerja ini adalah mudah kerana jarang sekali pelanggan bank akan mencabar tindakan guaman itu. Sesuatu yang mudah tidak akan menambahkan skil seseorang peguam. Maka, jika seorang peguam itu hanya mengendalikan kes mengutip hutang bank selama 5 tahun beliau tidak akan memperolehi sebarang pengalaman baharu. Justeru, beliau perlu menambahkan pengalaman dalam kerja berkaitan bank seperti membuat kerja-kerja conveyancing atau pun korporat atau mengambil kerja-kerja litigasi am (general case) yang lebih mencabar fizikal dan mindanya.


Saya teringat dahulu ada seorang kawan yang hanya pandai mengambil penghakiman ingkar. Beliau langsung tidak tahu menjalankan proses perbicaraan seperti proses membuat pliding yang kompleks atau menjalankan perbicaraan. Pada masa dahulu penghakiman ingkar perlu direkodkan di hadapan seorang majistret atau hakim. Namun, setelah mahkamah memperkenalkan elemen teknologi efiling maka beliau telah hilang mata pencarian kerana kini penghakiman ingkar boleh terus diperolehi di hadapan sebuah komputer.


Ada juga peguam yang menjalankan kerja-kerja jenayah (jangan silap faham, kerja jenayah ini bukanlah kerja merompak atau merogol orang lain tetapi ianya adalah kerja mewakili orang kena tuduh dalam kes jenayah). Peguam ini mengambil jalan mudah hanya untuk mewakili orang kena tuduh dalam kes jika orang kena tuduh ini mengaku salah dan peguam itu akan membuat mitigasi sahaja (mitigasi adalah proses di mana seorang peguam akan membuat representasi di hadapan majistret bagi pengurangan hukuman selepas sesuatu sabitan dibuat. Sabitan pula akan diperolehi jika orang kena tuduh itu mengaku bersalah). Biasanya caj peguam bagi membuat mitigasi ini adalah sekitar RM300 - RM500. Bayangkan jika peguam ini dapat membuat mitigasi bagi 3 orang kena tuduh sehari maka pendapatannya adalah antara RM900 - RM1500 sehari. Jumlah ini adalah amat lumayan bagi seorang peguam muda tetapi kerja sebegini tidak akan bertahan lama. Bayangkan jika peguam ini berumur 50 tahun, adakah beliau masih lagi mampu bersaing dengan peguam muda yang baru menjadi graduan untuk mendapatkan pelanggan bagi membuat mitigasi?


Sebab itu, adalah lebih baik sekiranya beliau mendapatkan skil lanjutan seperti skil menjalankan perbicaraan kes jenayah dan skil untuk membuat kes-kes rayuan jenayah untuk beliau menjadi peguam superskil dalam bidang jenayah. Ini akan membuatkan seorang peguam itu lebih berdaya saing dan mampu untuk bertahan sehingga umur 80-90 tahun.


Lihat sahaja bagaimana mendiang Karpal Singh bekerja. Pada saat akhir kematiannya pun beliau masih lagi aktif untuk berhujah di Mahkamah. Pada masa itu beliau sudah berkerusi roda tetapi beliau masih mampu berfikir dan bercakap sehinggakan pelanggan masih menaruh kepercayaan kepada beliau dan akan bersetuju untuk membayar upah guaman yang tinggi.


Selain daripada pengalaman menjalankan kerja guaman, peguam juga boleh menambahkan ‘superskil’ melalui pembacaan jurnal. Ini juga adalah kesilapan peguam apabila beliau ketinggalan dalam ilmu baharu. Undang-undang tidak statik dan akan berubah dari semasa ke semasa. Pengetahuan baharu ini akan diperolehi sekiranya ada kes-kes baharu yang dilaporkan di dalam jurnal undang-undang. Ini tidak bermakna beliau perlu membaca semua kes yang dilaporkan. Beliau cuma perlu fokus kepada kes-kes yang dibuat olehnya sahaja. Sekiranya beliau peguam penjenayah maka kesemua kes-kes berkaitan jenayah ini perlu dibaca supaya beliau mempunyai pengetahuan terkini mengenai pengendalian kes-kes berkaitan jenayah.


Saya sendiri tidak mampu membaca kesemua kes-kes yang dilaporkan dan hanya menumpukan kepada kes-kes berkaitan amalan guaman yang biasa saya buat seperti kes-kes berkaitan mahkamah syariah seperti nafkah isteri, nafkah anak, mutaah, hibah, harta sepencarian atau kes sivil yang melibatkan kontrak dan perlembagaan sahaja. Kini saya juga menambahkan bacaan tambahan berkaitan undang-undang komersil kerana kini lebih ramai rakyat Malaysia terlibat dalam bisnes dan perniagaan dan pastinya undang-undang komersil sangat mustahak dalam membangunkan perniagaan dan akan mempunyai permintaan yang tinggi. Pengetahuan sebegini Ini akan memudahkan kita untuk menasihati peguam sekiranya pelanggan kita bertanyakan hal ini atau sekiranya kita ingin mencari pasaran baharu. Percayalah bahawa klien kita amat gembira sekiranya beliau mendapat maklumat yang tepat dan terkini mengenai persoalan yang dihadapi olehnya.


Beberapa hari lepas dalam satu temubual radio BFM, seorang DJ radio bertanyakan kepada seorang pakar perancangan kewangan berkaitan caruman tabung persaraan sama ada lebih baik menabung dalam tabung persaraan atau KWSP. Jawapan pakar tersebut agak memeranjatkan kerana katanya apa yang penting bukanlah caruman tersebut tetapi kemampuan seseorang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Jika seseorang itu masih mampu bekerja kenapa perlu bersara. Konsep tentang persaraan perlu diubah iaitu kiranya pada waktu muda seseorang itu bekerja berhempas-pulas untuk hidup, kerja di usia emas lebih kepada hobi bekerja. Pada masa itu mungkin sudah tidak perlu lagi bekerja keras kerana rumah dan kereta mungkin sudah habis dibayar. Anak-anak pun sudah boleh berdikari sendiri. Jika kita menjadikan pekerjaan kita sebagai hobi tentu tidak ada lagi tekanan hidup dan kita boleh bekerja mengikut kesesuaian kehidupan kita selain kita tiada tekanan untuk mendapatkan lebih wang.


Kata-kata pakar perancangan kewangan ini menunjukkan bahawa seseorang itu masih boleh meneruskan kerjayanya pada usia emas. Kata kunci yang perlu kita sentiasa ingat adalah bagaimanakah kita ingin menghadapi usia emas? Jawabnya kita perlu menjadi peguam superskil dan jalan untuk menjadi peguam superskil ini perlu bermula seawal kerjaya kita lagi. Semoga semua peguam-peguam muda akan terus berjaya kekal dalam profesion ini sehingga ke akhir hayat mereka.


Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor