TUGAS FIDUSIARI PEGUAM
Perkataan fidusiari ini agak asing dalam bahasa Melayu. Barangkali jika tidak menjadi peguam saya tidak akan ketemu dengan istilah ini. Namun, sebenarnya istilah fidusiari ini adalah istilah biasa yang kita amalkan dalam kehidupan seharian kerana ianya membabitkan isu amanah dan integriti.
Malahan kalau kita lihat kamus PRPM DBP pun tidak mendefinisikan maksud dan makna fidusiari ini. Dalam bahasa teknikal, fidusiari ini didefinisikan oleh wikipedia sebagai memberikan maksud bahawa seseorang itu memegang hubungan secara perundangan atau etika atas dasar kepercayaan dengan pihak yang lain kepada beliau sehinggakan hubungan ini menimbulkan hubungan amanah dan percaya (A fiduciary is a person who holds a legal or ethical relationship of trust with one or more other parties (person or group of persons). ... A fiduciary is someone who has undertaken to act for and on behalf of another in a particular matter in circumstances which give rise to a relationship of trust and confidence.)
Dalam kata lain, hubungan fidusiari ini adalah hubungan unik yang terjalin antara seorang individu dengan individu atas dasar percaya. Hubungan sebegitu akan wujud antara peguam dan anak guamnya. Seorang anak guam akan memberikan kepercayaan penuh kepada peguam untuk mengendalikan masalah yang dihadapi olehnya. Masalah anak guam itu mungkin rumit dan mungkin juga tidak rumit. Namun, apa pun peguam itu mesti mengendalikan urusan anak guamnya dengan penuh amanah dan berdedikasi.
Sebaik sahaja seseorang peguam itu dilantik maka beliau akan menerima tugasan itu dan berikrar akan mengendalikan tugasan anak guamnya itu secara yang terbaik menurut batasan undang-undang. Sebab itu dalam proses melantik peguam biasanya akan ada terlebih dahulu sesi temuduga atau interbiu dan peguam itu akan menilai sama ada tugasan itu mampu dilaksanakan atau tidak. Begitu juga seseorang anak guam perlu menggunakan sesi interbiu itu untuk menilai kebolehan seseorang peguam dengan bertanyakan soalan-soalan yang wajar. Sebaiknya sebelum bertemu dengan peguam, seseorang anak guam boleh membuat carian di internet terlebih dahulu berkaitan permasalahan yang dihadapi dan dengan itu anak guam akan lebih bersedia dengan soalan-soalan ‘maut’ untuk ditanyakan kepada peguam.
Kadang kala seseorang peguam itu akan berada dalam dilema sama ada untuk menerima tugasan tersebut atau tidak terutamanya jika tugasan itu mendapat upah yang tinggi. Jika diterima tugasan itu mampukah beliau melaksanakannya dengan cara yang terbaik atau beliau baharu terpaksa membuka buku dan belajar terlebih dahulu cara untuk mengendalikan kes tersebut. Jika ternyata daripada interbiu yang dibuat itu seorang peguam tidak mahir dalam mengendalikan permasalahan tersebut adalah lebih baik melantik peguam yang lain untuk mengendalikan kes itu daripada menghadapi risiko kalah kes.
Ilmu undang-undang ini adalah amat luas dan tidak terjangkau oleh seorang peguam sepenuhnya. Seseorang peguam itu tidak mampu menanggapi keseluruhan ilmu undang-undang. Sebab itu ada peguam yang hanya mengendalikan kes jenayah sahaja dan tidak mengendalikan kes saman sivil. Gelanggang pertempuran setiap bidang undang-undang itu tidak sama. Dahulu ada klien yang datang berjumpa saya untuk melantik saya mengendalikan hal berkaitan dengan undang-undang pembinaan. Undang-undang pembinaan bukanlah kemahiran yang saya miliki dan pengetahuan saya dalam undang-undang pembinaan hanyalah di peringkat dasar sahaja. Meskipun saya pernah mengendalikan kes berkaitan kontrak pembinaan tetapi agak sukar untuk saya hadam istilah teknikal yang berbentuk kejuruteraan. Saya menolak untuk mewakilinya dan mencadangkan rakan yang lain untuk mengendalikan hal tersebut. Undang-undang ini bukan setakat teori, ianya datang bersekali dengan prosedur. Masalah dalam perundangan ini banyak bertembung di peringkat prosedur. Jika seseorang itu tidak mahir prosedur maka beliau boleh menghadapi kekalahan.
Pada peringkat awal menjadi peguam dahulu ada sebuah syarikat arkitek yang melantik firma saya untuk mengendalikan kes saman sivil. Pada waktu itu saya baharu tamat latihan dalam kamar dan tuntutan yang dibuat itu menjangkau jumlah RM700 ribu. Ianya satu jumlah yang besar dan menarik untuk dikendalikan. Firma kami menerima tugasan tersebut dan telah menfailkan kes terhadap defendan. Sememangnya kami amat yakin akan menang kes tersebut kerana setelah mendengar cerita daripada anak guam dan meneliti semua dokumen ternyata defendan berhutang dengan anak guam.
Akan tetapi, masalah mula timbul setelah kes difailkan. Defendan telah melantik peguam dan peguam lawan telah memasukkan permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan atas alasan saman yang difailkan itu tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan, remeh dan salah guna proses mahkamah.
Kami menjadi tergumam dengan tindakan peguam defendan itu dan tidak tahu apa yang patut dibuat. Akhirnya kami membuat keputusan untuk berbincang dengan anak guam dan memindahkan fail tersebut kepada peguam lain yang lebih berpengalaman. Hal itu menjadi titik perubahan dalam cara pemikiran dan tindakan. Saya mula menimba pengalaman dan pengetahuan dengan membaca buku-buku berkaitan saman dan tindakan undang-undang. Saya juga melibatkan diri dengan pelbagai kes bersama peguam lain untuk mengendalikan kes saman sivil sehinggalah diri yakin dengan pengetahuan dan pengalaman tersebut baharulah mula mengambil kes saman sivil semula.
Mengambil sesuatu tugasan (dalam bahasa loyar disebut ‘brief’) daripada anak guam adalah satu tanggung jawab fidusiari. Antara perkara pokok dalam tanggung jawab fidusiari adalah untuk mendedahkan kepada anak guam tentang semua perkara tanpa menunggu anak guam bertanyakan hal tersebut terlebih dahulu.
Ini berbeza dengan prinsip ‘caveat emptor’ dalam urusan jual beli barang. Prinsip ‘caveat emptor’ akan dipelajari oleh semua penuntut undang-undang dalam subjek undang-undang kontrak. ‘Caveat emptor’ adalah berasal daripada perkataan latin yang memberikan maksud biarlah pembeli itu sedar sendiri (let the buyer beware). Seseorang itu tidak harus keliru dengan urusan kaveat yang dimasukkan di pejabat tanah. Kaveat pejabat tanah adalah perkara yang berbeza sepenuhnya dengan prinsip ‘caveat emptor’. Contoh klasik yang menjadi perumpamaan dalam buku teks undang-undang berkaitan ‘caveat emptor’ adalah contoh seorang penjual seekor kuda lumba tidak perlu menceritakan kepada pembeli kuda mengenai kecacatan kuda itu melainkan ada soalan spesifik yang ditanyakan oleh pembeli kuda itu seperti bertanyakan sama ada kuda lumba itu pernah mengalami patah kaki. Tatkala soalan itu ditanyakan adalah menjadi kewajipan kepada penjual kuda itu untuk menceritakan secara spesifik kecacatan kuda itu. Jika penjual gagal untuk mendedahkan hal tersebut selepas ditanyakan maka pembeli berhak menyaman semula penjual tersebut atas dasar kegagalan itu dan membatalkan kontrak yang telah dimeterai. Sebaliknya, jika pembeli kuda itu tidak bertanyakan hal tersebut ianya tidak menjadi satu kesalahan kepada penjual untuk tidak mendedahkannya (Ini adalah prinsip ‘common law’, sebaliknya dalam undang-undang syariah Islam seseorang itu tidak harus menyembunyikan kecacatan produk jualannya).
Baru-baru ini ada seorang anak guam berjumpa saya menceritakan masalah yang dihadapi olehnya apabila membeli beberapa mesin basuh terpakai untuk kegunaan kedai dobi beliau. Setelah meneliti dokumen kontrak saya mendapati ada klausa yang menyatakan spesifikasi mesin basuh tersebut mestilah dalam keadaan baik dan boleh digunakan serta menampung muatan 14 kilogram. Setelah barang tersebut dihantar dan wang telah dibayar anak guam mendapati bahawa penjual telah melakukan penipuan terhadapnya kerana beberapa mesin tersebut dalam keadaan rosak dan tidak dapat digunakan serta perlu diperbaiki. Begitu juga berat muatan mesin basuh tersebut adalah hanya 12 kilogram dan bukannya 14 kilogram seperti mana yang termaktub di dalam kontrak. Anak guam akhirnya telah menyaman penjual dan berjaya mendapatkan penghakiman ke atas penjual berkenaan.
Dalam maksud lain, tugas fidusiari ini adalah tugas yang berat bagi peguam kerana peguam perlu menasihati anak guam berkaitan isu undang-undang dan prosedur. Sekiranya peguam tersebut gagal menasihati anak guam dengan sewajarnya maka anak guam boleh menyaman peguam itu semula atas dasar kegagalan peguam itu menasihatinya dengan sewajarnya.
Beberapa tahun lepas ketika mengendalikan satu kes berkaitan perceraian pasangan suami isteri bersetuju untuk menyelesaikan harta sepencarian yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan. Antara persetujuan yang dicapai adalah bahawa si suami boleh memasukkan kaveat ke atas hartanah yang ketika itu didaftarkan atas nama isteri seorang.
Saya telah mengarahkan seorang peguam yang di bawah senggaraan saya untuk memasukkan kaveat persendirian ke atas hartanah itu. Selepas melihat resit pendaftaran saya berpuashati bahawa tugasan itu telah sempurna dan tidak membuat tindakan susulan selanjutnya untuk memastikan bahawa kaveat tersebut didaftarkan.
Rupa-rupanya, permohonan pendaftaran kaveat itu telah ditolak oleh pejabat tanah kerana masalah teknikal dan perlu dimasukkan semula untuk didaftarkan dengan kos pendaftaran sebanyak RM320 perlu dibayar semula.
Hal itu hanya disedari 3 tahun selepas arahan tersebut diberikan tatkala masalah antara pasangan ini timbul semula. Saya mencari punca masalah tersebut dan rupa-rupanya pejabat tanah telah menghantar surat makluman bahawa dokumen pendaftaran itu telah ditolak namun dokumen itu telah disembunyikan daripada pengetahuan saya. Peguam yang mengendalikan hal tersebut juga telah berhenti kerja. Saya menjumpai dokumen tersebut tersorok dalam laci peguam itu.
Atas dasar tanggung jawab fidusiari ini maka saya terpaksa menceritakan kepada anak guam masalah yang berlaku dan meminta maaf kepada beliau kerana kesilapan tersebut. Bukan mudah untuk kita menceritakan kesilapan yang dibuat atas dasar profesional kerana ianya boleh mendatang risiko sama ada kita akan dipecat sebagai peguam atau kita akan disaman. Saya boleh sahaja mengarahkan kakitangan yang lain untuk memasukkan semula kaveat itu tanpa pengetahuan anak guam. Namun, etika kepeguaman menyatakan bahawa setiap tindakan yang dibuat mestilah di bawah arahan anak guam dan dalam pengetahuan mereka. Jika peguam membuat keputusan bagi pihak anak guam maka ianya akan bercanggah dengan etika kepeguaman dan akan menjejaskan profesionalisme amalan guaman.
Alhamdulilah, anak guam memahami keadaan dan mengarahkan saya untuk memasukkan semula kaveat tersebut. Saya memasukkan semula kaveat tersebut atas kos sendiri dan kali ini saya benar-benar memastikan bahawa pendaftaran telah dibuat. Kadang kala ada orang yang berkira dengan wang sebanyak RM320 padahal itu membabitkan kerjaya dan reputasi peguam itu sendiri. Saya memilih untuk berkorban wang RM320 daripada menggadaikan maruah dan reputasi guaman. Bagi saya wang itu boleh dicari tetapi reputasi tidak boleh dijual beli. Mujurlah dalam kes ini anak guam masih belum mengalami kerugian yang lebih besar apabila hartanah itu dijual dalam keadaan beliau tidak tahu dan hasil jualan harta sepencarian itu lesap entah ke mana.
Pokoknya tugas fidusiari ini amat penting untuk seseorang peguam itu hidup lama dalam karier mereka. Tanpa tugas fidusiari ini maka anak guam boleh hilang kepercayaan kepada peguam tersebut dan akhirnya karier seseorang peguam itu akan musnah kerana kehilangan pelanggan.
Comments