Skip to main content

DILEMA MENYAMBUNG PENGAJIAN LANJUTAN

DILEMA MENYAMBUNG PENGAJIAN LANJUTAN


Sewaktu mula-mula menjadi peguam 20 tahun lepas, saya memberitahu seorang rakan sekelas yang juga kawan akrab semasa di universiti bahawa cita-cita saya adalah untuk menjadi jutawan apabila mencecah umur 40 tahun. Pada waktu itu, saya berumur 27 tahun. Saya memasuki alam pekerjaan agak lewat daripada rakan-rakan yang lain. Pada masa mendapat ijazah pertama kami berusia 24 tahun dan apabila habis latihan dalam kamar akan berusia 25 tahun. Ramai di kalangan kami yang terus memasuki alam pekerjaan dan masing-masing akan bergaya dengan kereta yang cantik-cantik. Sememangnya setiap graduan akan mempunyai cita-cita pertama mereka untuk memiliki kereta. Pada masa itu, kereta Proton Perdana kelihatan begitu gah di mata dan ada seorang teman yang telah memiliki kereta itu seawal dua tahun memasuki alam pekerjaan. Mungkin graduan sekarang sudah tidak pandang kepada kereta Proton Perdana. Kereta Proton Perdana pun sudah tidak lagi kelihatan di jalan raya. Mungkin sudah diberhentikan pengeluarannya.


Namun, saya memutuskan untuk menyambung pelajaran untuk mendapatkan ijazah kedua LL.B (Syariah) iaitu satu program khusus yang dibuat oleh Almarhum Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim (semoga Allah merahmati beliau dan mengampunkan dosa-dosanya) selama setahun yang mana pengajiannya dibuat dalam Bahasa Arab sepenuhnya. Pada masa itu semua pelajar LL.B(Syariah) tidak perlu membayar yuran pengajian kerana ianya ditaja sepenuhnya sebagai galakan kepada pelajar untuk menyambung pelajaran. Selain itu, pelajar juga akan mendapat elaun bulanan sebanyak RM500 sebulan iaitu satu jumlah yang memadai untuk menampung kos pembelajaran dan kehidupan.


Program LL.B (Syariah) ini agak unik. Mungkin Almarhum Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim telah melihat bagaimana kepentingan ijazah kedua ini khasnya kepada para pelajar yang pernah mengikuti aliran sekolah agama. Sebenarnya pengajian LL.B (Syariah) ini perlu dimulakan seawal tahun pertama lagi. Kami terpaksa mengambil mata pelajaran lebih daripada pelajar LL.B sahaja. Ini bermakna kami belajar subjek undang-undang lazim (common law) dalam bahasa Inggeris dan belajar subjek undang-undang syariah dalam bahasa Arab. Ada faedahnya berbuat demikian kerana pelajar aliran agama tidak akan meninggalkan pengetahuan mereka dalam bahasa Arab yang telah dipelajari dari sekolah menengah. Kesemua pengajaran diajar dalam bahasa Arab termasuklah terpaksa menyiapkan tugasan serta menjawab peperiksaan dalam bahasa Arab. Saya dapati pengajian di peringkat LL.B(Syariah) ini amat membantu saya untuk menyiapkan hujahan bagi kes-kes syariah yang memerlukan kita untuk mentelaah kitab-kitab dalam bahasa Arab.


Pada zaman itu, malah pada zaman sekarang ini pun sukar untuk mencari orang yang mahir kedua-dua bahasa. Jika pelajar itu pergi belajar ke Timur Tengah barangkali mereka tidak akan mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kecuali setelah itu menyambung pelajaran lanjutan di negara Barat. Inilah antara kelebihan pelajar di Universiti Islam Sungai Pusu yang membuka peluang kepada pelajarnya untuk belajar kedua-dua bahasa penting ini. Inilah juga mungkin wawasan Almarhum Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim iaitu supaya pelajar universiti ini dapat lebih berdaya saing dalam alam pekerjaan.


Setelah itu, saya menyambung pula ijazah lanjutan bagi mendapatkan ijazah Sarjana Perbandingan Undang-Undang (Master in Comparative Laws) yang juga satu program khusus yang hanya wujud di Universiti Islam Sungai Pusu pada zaman itu dan zaman sekarang. Pada saat menerima tawaran itu, saya ada bertanyakan ibu saya sama ada boleh saya menyambung pelajaran memandangkan terdapat 5 orang lagi adik saya yang masih belajar dan pastinya kewangan akan menjadi satu isu yang perlu difikirkan memandangkan bapa telah meninggal dunia sewaktu ibu saya berusia awal 40-an dalam keadaan ibu tidak bekerja. Alhamdulilah ibu memberikan restunya dan saya meneruskan pengajian tersebut.


Program tersebut hanya memakan masa 9 bulan dan pada hemat saya alangkah ruginya jika tidak mengambil peluang itu kerana rata-ratanya program ijazah lanjutan itu memerlukan seseorang menghabiskan masa 2 tahun. Kos untuk kursus tersebut juga lebih murah iaitu sekitar RM4000 bagi 2 semester berbanding dengan ijazah lanjutan seperti MBA atau LL.M yang akan memakan belanja sehingga RM15 ribu dengan tempoh pengajian minima 3-4 semester. Pada waktu itu, tiada program bentuk komprehensif yakni program yang berteraskan pengajian tatap muka dan mengambil peperiksaan sahaja. Pada masa itu setiap pelajar diberikan pilihan sama ada ingin menulis disertasi sahaja atau pengajian tatap muka dicampur dengan penulisan disertasi. 


Saya mengambil keputusan untuk mengambil pengajian tatap muka dicampur dengan disertasi. Rupa-rupanya ramai pelajar yang berjaya menghabiskan pengajian tatap muka dengan cemerlang tetapi gagal di peringkat disertasi kerana tidak mampu menulis disertasi sebanyak 80 muka surat. Hakikatnya pekerjaan menulis ini bukanlah satu kerja mudah. Apatah lagi ianya adalah penulisan akademik yang akan disemak pula oleh profesor. Pengajian di peringkat ini juga membolehkan kita lebih rapat dengan pensyarah kerana pensyarah sudah tidak menganggap kita seperti budak-budak lagi. Ini menjadikan interaksi kita dengan pensyarah lebih bermakna. Tambahan lagi, populasi pelajar dalam kelas tidak lagi ramai seperti sewaktu peringkat ijazah LL.B.


Pastinya profesor tidak akan meluluskan disertasi yang tidak mempunyai nilai akademik atau penulisan yang hanya bersifat santai. Menulis disertasi adalah jauh lebih sukar daripada menulis hujahan di mahkamah. Proses menulis disertasi memerlukan perancangan yang rapi dan susunan bab yang merangkumi teori yang perlu digarap rapi bagi menjadikan disertasi itu mempunyai satu nilai tambah kepada pengkaji undang-undang.


Bagi pelajar yang mengikuti program MCL disertasi yang ditulis perlulah mempunyai elemen perbandingan kerana nama ijazah itu sendiri adalah Sarjana Perbandingan Undang-Undang. Saya memilih tajuk perbandingan hak-hak orang kena tuduh di bawah undang-undang sivil dan syariah. Penyelia saya pada waktu itu adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari. Kewibawaan Profesor Abdul Aziz Bari ini dalam hal-hal perlembagaan tidak perlu dipertikaikan. Banyak karya-karya dan penulisan beliau yang dibuat sama ada dalam bentuk makalah perundangan mahu pun buku. Sebab itu saya memilih beliau untuk menjadi penyelia penulisan.


Kebetulan pula saya mengambil pengajian subjek undang-undang perlembagaan  di dalam kelas maka ianya amat bertepatan untuk beliau menjadi penyelia. Ramai pelajar yang tidak berapa gemarkan cara beliau mengajar. Ini kerana cara pengajaran beliau adalah tidak bersifatkan menyuap mulut pelajar tetapi lebih berbentuk membuka jalan dan minda untuk meneroka sendiri melalui pembacaan dan penulisan. Bagi sesetengah pelajar cara yang sedemikian boleh menyebabkan pelajar itu menjadi bingung dan terawang-awang. Apatah lagi ilmu perlembagaan adalah tidak sama dengan ilmu undang-undang kontrak.


Belajar perlembagaan adalah belajar teori dan struktur sesebuah negara. Maka adalah tidak pelik jika beliau berpendapat Piagam Madinah itu bukanlah satu bentuk perlembagaan kerana ianya tidak mempunyai ciri-ciri perlembagaan moden sesebuah negara. Jika dibandingkan dengan Magna Carta barangkali ianya lebih tepat untuk dipanggil sebagai satu perlembagaan. Apa pun Piagam Madinah itu adalah unik pada zaman itu kerana pada zaman arab badwi jarang sekali ditulis satu kontrak antara pemerintah dan rakyat. Sekurang-kurangnya Piagam Madinah itu menjadi panduan bertulis yang perlu dihormati oleh semua rakyat Madinah pada ketika itu.


Belajar di peringkat ijazah sarjana ini sebenarnya membuka mata saya sebagai penuntut undang-undang. Seingat saya, ilmu yang diperolehi dalam tempoh 9 bulan itu lebih bermakna daripada ilmu yang diperolehi selama 4 tahun menjalani pengajian di peringkat LL.B. Ini kerana dalam tempoh 4 tahun menjalani LL.B itu boleh dikatakan tempoh masa untuk menghabiskan waktu di perpustakaan itu boleh dihitung dengan jari. Berbanding dengan tempoh masa yang dihabiskan di perpustakaan sewaktu belajar ijazah sarjana itu boleh dikatakan kami menghabiskan masa untuk membuat kajian lebih 6 jam setiap hari. Lazimnya, bagi setiap subjek itu kami mestilah menyiapkan 6 tugasan (assignment) dan bayangkan jika seseorang itu menjadi pelajar sepenuh masa yang wajib mengambil 4 subjek setiap semester. Maka tentu sekali pelajar itu perlu menghabiskan masa di siang hari untuk mencari bahan dan menghabiskan masa di malam hari untuk menulis. Sebab itu, sepatutnya tahap pemikiran orang yang mempunyai ijazah lanjutan lebih kritis berbanding dengan mereka yang tidak mengambil ijazah lanjutan.


Selepas tamat 2 semester pengajian, saya perlu pula menyiapkan disertasi. Sebagaimana yang dinyatakan, menulis disertasi ini bukanlah seperti menulis cerita kontot atau cerita pendek di facebook. Penulisan perlulah dipandu oleh teori dan objektif. Teori dan objektif itu pula haruslah diuji dengan penemuan-penemuan lain. Mujurlah pada waktu itu kami belum diwajibkan untuk mengambil data primer melalui survey seperti yang dibuat sekarang tetapi metod yang dipakai pada waktu itu adalah lebih kepada metod kajian perpustakaan (library research). Pada masa sekarang, saya difahamkan bahawa adalah wajib untuk membuat kajian lapangan bagi mengumpul data dan kemudiannya data primer itu perlu dikaji pula untuk menghasilkan satu dapatan. Metod sebegini akan memakan belanja dan masa yang banyak. Justeru, saya dapat menghabiskan disertasi itu hanya dalam tempoh 3 bulan setelah siang malam menghabiskan masa sama ada di perpustakaan atau pun di hadapan komputer.


Pada waktu itu (1999), internet masih belum digunakan secara meluas. Jurnal undang-undang perlu dibuka dan kewujudan jurnal dalam talian adalah agak nadir. Maka, kami terpaksa berhempas pulas untuk mencari maklumat bagi melengkapkan disertasi sehinggakan kami mampu menghafal setiap penjuru rak perpustakaan bagi mendapatkan jurnal dan buku-buku.


Bukanlah satu perkara mudah untuk kita menumpukan pelajaran dalam keadaan kehidupan tidak mencukupi dari segi kewangan. Pengajian di peringkat ijazah ini tidak lagi ditaja oleh universti dan kami perlu mempunyai dana sendiri. Mujurlah ada institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang membantu memberikan pinjaman yang perlu dibayar setelah tamat pengajian. Pada masa itu belum wujud lagi Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti mana sekarang. Jasa MARA bagi membangunkan tahap pendidikan bumiputra adalah besar sekali. Malangnya, kini tugas MARA dalam bidang pendidikan ini banyak diambil alih oleh PTPTN kerana MARA telah mengalihkan tumpuannya kepada pembangunan usahawan bumiputra.


Setelah tamat pengajian ijazah di peringkat sarjana, sekali lagi ujian tiba. Saya menerima surat daripada Universiti Islam Sungai Pusu yang menawarkan saya untuk menyambung pelajaran di peringkat Ph.D. Sekali lagi saya berjumpa dengan Profesor Abdul Aziz Bari dan bertanyakan pendapatnya mengenai hal itu. Beliau amat menggalakkan saya menyambung pelajaran di peringkat doktor falsafah dan saya masih ingat kata-katanya bahawa akan datang masyarakat akan memerlukan orang seperti kamu. Kata-kata itu semacam menjadi satu azimat untuk melalui satu perjalanan yang panjang. Saya juga mengambil restu ibu untuk menyambung pelajaran di peringkat Ph.D.


Pengajian doktor falsafah ini dibuat secara sambilan. Pelajar undang-undang tidak perlu hadir kelas tatap muka lagi dan hanya perlu menyiapkan satu tesis bagi melayakkannya untuk dianugerahkan dengan ijazah doktor falsafah. Pada masa itu sangkaan saya bahawa menulis tesis ini hanya panjang sedikit sahaja daripada menulis disertasi. Saya melihat manual yang dikeluarkan oleh universiti dan menurut manual itu tulisan tesis itu adalah sekitar 220-230 muka surat sahaja. Saya membayangkan bahawa saya mampu untuk menyiapkan tesis itu dalam tempoh waktu yang singkat sahaja memandangkan saya mampu menyiapkan disertasi dalam tempoh 3 bulan sahaja.


Rupa-rupanya menulis tesis ini adalah 10 kali ganda lebih sukar daripada menulis disertasi. Apatah lagi pada waktu itu saya sudah memasuki alam pekerjaan. Pada waktu itu (tahun 2000) tidak ramai peguam yang menyambung pelajaran di peringkat Ph.D. Seingat saya antara peguam yang mengambil Ph.D adalah Tan Sri Dato’ Seri Dr Rais Yatim yang mengambil Ph.D di University of London. Beliau menulis mengenai kebebasan kehakiman yang pada waktu itu menjadi topik hangat disebabkan pemecatan beberapa orang Hakim Mahkamah Agung termasuklah Tun Salleh Abas. Itu pun mungkin kerana beliau membawa diri ke London telah dibuang daripada UMNO kerana masuk parti Semangat 46.


Masalah dalam membuat Ph.D ini adalah apabila kita pergi ke perpustakaan maka akan berlaku banyak senggolan kerana kita akan membaca banyak material yang tidak relevan dengan tesis yang dikaji. Ini kerana kita akan terdorong untuk membaca semua buku-buku yang dijumpai. Proses membaca ini akan memakan masa kita walhal masa tersebut sepatutnya digunakan untuk mengkaji tajuk tesis kita. 


Saya memilih untuk mengembangkan lagi tajuk penulisan disertasi. Jika di peringkat sarjana saya menulis berkaitan hak orang yang dituduh maka di peringkat Ph.D ini saya menulis mengenai hak asasi di bawah Perlembagaan. Tajuk yang dipersetujui oleh penyelia pada waktu itu adalah ‘The Scope And Implementation of Fundamental Liberties In Malaysia’. Tajuk ini nampak mudah dan ringkas tetapi hakikatnya tidak sedemikian.


Saya menghabiskan masa hampir setahun untuk menyiapkan proposal (kertas cadangan) dan selepas itu kertas cadangan itu perlu dipertahankan dalam sesi khas bersama pensyarah-pensyarah sebelum kita dibenarkan untuk menulis. Proses ini pada ketika itu dipanggil ‘defend proposal’. Para pensyarah pada waktu itu akan mengkritik ‘proposal’ yang dibuat. Penyelia kita pula tidak akan dapat membantu sewaktu kita mempertahankan ‘proposal’ yang dibuat. Maka, jika tiada persiapan yang cukup pasti kita akan gagal mempertahankan ‘proposal’ yang dibuat.


Setelah ‘proposal’ itu lulus, baharulah bermula proses penulisan. Proses menulis yang disangka mudah itu rupa-rupanya memakan masa bertahun-tahun. Hanya orang yang cekal hati sahaja yang boleh menghabiskan pengajian Ph.D. Tidak hairanlah jika ada orang yang menggelarkan Ph.D itu sebagai ‘permanent head damage’! Tambahan lagi, jika kita mengambil Ph.D secara sambilan. Pada siang hari kita bertungkus lumus di pejabat dan pada malam hari kita pula bertungkus lumus menghadap komputer. Kadang-kala dalam seminggu itu kita hanya mampu untuk menulis sekitar dua tiga muka surat sahaja. Ini perbezaannya jika mengambil Ph.D secara sambilan berbanding dengan para pensyarah yang mendapat cuti bergaji untuk menyambung pelajaran. Sayang sekali wujud juga pensyarah yang tidak dapat menghabiskan Ph.D mereka kerana pelbagai faktor. Ada pelajar yang tidak dapat menghabiskan Ph.D kerana wujud krisis antara mereka dan penyelia. Kadang kala penyelia kita meninggal dunia maka terpaksa bertukar kepada penyelia lain. Penyelia baharu pula mempunyai pola pemikiran berbeza sehingga pelajar itu terpaksa menulis semula. Ada pula yang sibuk dengan hal lain seperti berjual MLM sehingga gagal menulis tesis mereka.


Perjalanan Ph.D adalah satu perjalanan yang sunyi. Pada peringkat awal lagi penyelia saya mengingatkan saya hal tersebut. Ini kerana hanya kita sahaja yang tahu hal kajian kita. Orang lain tidak tahu kerana Ph.D itu bermakna kita akan menghasilkan satu teori atau falsafah yang baharu. Jika bidang kajian kita itu telah dikaji oleh orang lain maka kita terpaksa mencari tajuk yang lain. Maka, kita sukar untuk berbincang dengan orang lain dan kita terpaksa bermonolog dengan diri sendiri.


Seingat saya, dua kali saya bertemu dengan penyelia saya untuk memberitahunya bahawa saya sudah menyerah kalah. Namun, setiap kali bertemu penyelia saya terpaksa beralah dengannya. Akhirnya dalam kepayahan dan keterpaksaan saya keluar dari biliknya dan terpaksa memujuk diri untuk meneruskan penulisan.


Antara untungnya membuat kajian berkaitan perlembagaan adalah kerana perlembagaan ini jarang berubah berbanding dengan undang-undang lain seperti undang-undang hakcipta atau undang-undang siber. Sepanjang 10 tahun membuat kajian itu undang-undang perlembagaan tidak berubah. Hanya apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampuk pemerintahan baharulah ada pembaharuan kepada aspek-aspek hak asasi. Itu pun mungkin kerana desakan rakyat pada waktu itu yang menggesa Tun Abdullah untuk membuka ruang yang lebih luas kepada hak-hak rakyat.


Perjalanan Ph.D saya memakan masa sehingga 11 tahun. Saya hanya berkonvokesyen pada tahun 2011. Mengikut undang-undang universiti, pelajar sambilan mestilah menghabiskan penulisan tesis dalam tempoh 7 tahun dan boleh memohon 1 tahun lagi tempoh lanjutan menjadikan tempoh penuh adalah 8 tahun. Jadi boleh dikatakan bahawa saya mengambil masa kira-kira setahun untuk menyiapkan satu bab. Perjalanan ini boleh dikatakan amat perlahan. Seingat saya untuk tiga tahun terakhir itu saya terpaksa bangun tidur seawal jam 3-4 pagi supaya dapat menggunakan masa sekurang-kurangnya 2 jam setiap hari untuk menulis. Sememangnya menulis pada awal dinihari itu amat produktif. Malah sehingga sekarang saya masih mengamalkannya jika ingin menyiapkan satu-satu hujahan mahkamah.


Apabila telah menyiapkan penulisan dalam tempoh 8 tahun itu, setahun lagi berlalu sebelum saya dipanggil untuk proses ‘viva’. Proses ‘viva’ ini sama seperti proses ‘defend proposal’ juga. Bezanya, proses ‘viva’ ini hanya diperiksa oleh seorang pemeriksa dalaman dan seorang pemeriksa luar. Pada awalnya saya tidak tahu siapakah pemeriksa itu. Ini memang sudah menjadi polisi universiti. Barangkali polisi ini dibuat supaya pelajar itu tidak melobi atau mengganggu pemeriksa.


Pada saat akhir sewaktu hampir proses ‘viva’ itu dibuat baharu saya tahu siapakah pemeriksa tesis itu. Pemeriksa dalaman adalah Profesor Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz dan pemeriksa luar pula adalah Profesor Dr Faridah Jalil (UKM). Agak teruk juga menghadapi proses ‘viva’ itu. Hampir sahaja tesis saya perlu dibuat ‘major correction’. Namun, akhirnya pemeriksa-pemeriksa saya itu bersetuju untuk saya membuat ‘minor correction’ walaupun sebenarnya ‘correction’ yang dibuat itu agak besar juga. Ini bermakna saya perlu menghabiskan ‘correction’ itu dalam tempoh 6 bulan berbanding jika diarahkan membuat ‘major correction’ maka kita akan diberikan tempoh 12 bulan. Entahlah, mungkin juga saya bernasib baik kerana penyelia saya, Profesor Dr Abdul Aziz Bari itu dikenali sebagai pakar perlembagaan maka agak canggung jika murid kepada profesor terkenal kena buat ‘major correction’. Sebab itu jika kita ingin membuat Ph.D, carilah penyelia yang betul-betul berkaliber dalam bidangnya kerana sedikit sebanyak kita akan mendapat ‘syafaat’ daripada kemasyhuran penyelia kita. Ini saya kira sebagai satu perhitungan politik dalam belajar.


Membuat tesis di bawah seliaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari tidak menyulitikan. Beliau adalah seorang yang agak terbuka dan tidak menggesa muridnya untuk berjumpa setiap minggu. Beliau menyerahkan kepada kita untuk menyiapkan bab-bab yang ditulis. Beliau lebih suka jika kita menyerahkan tulisan itu 3-4 bab sekali serahan untuk diperiksa. Sesetengah penyelia mahukan pelajarnya berjumpa setiap minggu atau dua minggu sekali. Saya ingat mungkin saya berjumpa penyelia itu hanya setiap 6 bulan sekali sahaja. Beliau juga tidak akan memakan masa yang lama untuk memeriksa bab-bab yang diserahkan. Paling lama hanya sekitar 2 minggu sahaja kita akan mendapat semula bab-bab yang diserahkan itu. 


Akhirnya tesis saya itu lulus juga pada tahun kesepuluh. Tetapi kelulusan Senat yang diterima itu agak terlewat untuk dimasukkan dalam buku konvokesyen tahun 2010. Maka sebab itu konvokesyen saya hanya dibuat pada tahun 2011.


Membuat Ph.D ini sebenarnya bukanlah kita menulis satu tesis yang bersifat ‘masterpiece’. Ini juga pesanan penyelia saya. Buatlah tesis itu mengikut panduan universiti dan cukuplah jika tesis itu memenuhi kesemua keperluan yang ditetapkan. Tidak perlulah kita berkhayal untuk membuat tesis yang bersifat ‘masterpiece’ kerana tesis itu sebenarnya adalah latihan menulis satu penulisan akademik. Tulisan ‘masterpiece’ itu boleh dibuat setelah Ph.D selesai.


Bagi para pelajar, ingatlah pesanan yang selalu kita dengar bahawa belajarlah sehingga ke negara China dan belajarlah dari peringkat buaian sehingga ke liang lahad. Ramai orang bertanyakan saya dahulu kenapakah bersusah payah menyambung pelajaran ke peringkat Ph.D sedangkan ijazah Ph.D itu tidak memberikan sebarang nilai tambah dalam profesyen guaman. Klien tidak akan bertanyakan kita berapa ijazah yang kita ada tetapi klien akan bertanyakan kita berapa kes yang telah kita menang.


Namun, bagi saya tugas membuat Ph.D ini adalah satu kerja fardhu kifayah yang perlu dilunaskan oleh orang Islam yang mampu. Bukan semua orang akan mendapat peluang untuk belajar dan bukan semua yang mendapat peluang itu berjaya sampai ke garisan penamat.


Ramai yang tidak percaya bahawa kos yuran universiti yang dibayar untuk menghabiskan Ph.D ini hanyalah RM18,210.00 sahaja bagi tempoh 11 tahun. Itu pun sebahagiannya mendapat penajaan daripada MARA. Namun, kerana ada kesilapan komunikasi antara MARA dan Universiti Islam Sungai Pusu menyebabkan Universiti Islam Sungai Pusu itu tidak membuat tuntutan yuran saya dan peruntukan MARA itu ditarik semula kerana sudah habis bajet 


Sebenarnya, saya hanya membayar yuran sebanyak RM210 pada masa pendaftaran pada tahun 2000 dan tidak pernah membayar yuran lagi sehinggalah pada tahun 2011 baharu saya tahu tiada tuntutan dibuat kepada MARA. Ini menyebabkan saya terpaksa mengorek tabung wang untuk melunasi yuran tertunggak sebanyak RM18,000 itu secara sekaligus. Mujurlah ibu saya sekali lagi membantu untuk meminjamkan wang sebanyak RM10,000 bagi membayar yuran itu dan RM8,000 lagi dikorek daripada tabung sendiri. Jika tidak saya pasti tidak akan dapat berkonvokesyen pada tahun 2011.


Walaupun ada masalah komunikasi antara Universiti Islam Sungai Pusu dan MARA sehingga menyebabkan terpaksa mencari wang sendiri untuk melunaskan yuran pengajian, bagi saya pelaburan sebanyak RM18,210.00 itulah pelaburan yang paling bernilai dalam kehidupan saya. Melalui tiket Ph.D itu banyak membuka ruang dan jalan kepada saya untuk meluaskan pengalaman kerjaya. Memang betul Ph.D itu tidaklah bermakna sangat di dalam mahkamah tetapi jika kita ingin menceburi bidang-bidang sampingan yang lain seperti membuat kerja-kerja penyelidikan maka kredibiliti dan wibawa kita akan lebih ketara jika kita mempunyai pengiktirafan Ph.D. Selain itu, Ph.D juga membantu kita untuk menghasilkan hujahan-hujahan yang lebih bermutu kerana pelajar Ph.D memang dilatih untuk membuat kajian secara sistematik. Mungkin sebab itulah juga saya diajak untuk sama-sama membangunkan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) beberapa tahun lepas.


Sayang sekali ramai juga yang hanya berhajatkan untuk mendapatkan gelaran Di Ar (DR) tanpa melalui proses pembelajaran. Ada yang mendapat gelaran ini dengan membelinya daripada kilang ijazah (degree mill). Tujuannya adalah untuk meningkatkan kredibiliti dirinya di mata masyarakat dan meraih penghormatan sosial. Ini kerap berlaku di kalangan ahli politik mahu pun ahli perniagaan. Sebenarnya tindakan sebegini adalah perbuatan menipu diri sendiri. Antara tektik untuk kita tahu sama ada seseorang itu membeli ijazah Ph.D palsu atau tidak adalah dengan bertanyakan soalan lanjut berkaitan tesis yang menjadi kajiannya. Jika beliau tergagap-gagap menjawab maka ertinya ijazah yang diperolehinya itu adalah ijazah yang tidak autentik.


Ada juga yang mengupah orang lain untuk menulis tesis bagi pihaknya. Ini juga kerap terjadi yang mana biasanya orang itu akan mengupah orang lain untuk menulis bagi pihaknya dan apabila tesis itu siap maka orang itu akan menyerahkannya kepada pihak universiti seolah-olah penulisan itu hasil tulisannya sendiri. Tidak salah untuk mengupah orang lain untuk mencari bahan penulisan tetapi menyuruh orang lain menulis bagi pihaknya adalah satu perbuatan menipu yang melampau. 


Bagi orang yang berkecimpung dalam dunia akademik pasti akan berjumpa dengan watak-watak sebegini. Perangai hodoh sebegini bukan sahaja wujud di kalangan pelajar malah ada profesor yang gemar menyuruh pelajarnya membuat kajian dan menulis artikel untuk sesuatu isu dan kemudian tanpa segan silu menyuruh pelajar itu menempel namanya sebagai pengarang bersama. Ini juga amalan buruk di kalangan para ahli akademik. Paling teruk adalah ada profesor yang hanya menyalin kulit tugasan pelajarnya dan menggantikan kulit itu dengan namanya sendiri. Tindakan plagiat ini amat banyak berlaku. Plagiat ini adalah satu jenayah akademik yang tidak boleh dimaafkan dan jika ada pelajar yang ditangkap membuat kerja plagiat maka beliau boleh dibuang daripada universiti.


Akhir sekali, saya menasihati mana-mana orang yang berpeluang khasnya mereka yang baharu menamatkan pengajian universiti untuk cuba menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi dengan cara yang betul. Bagi yang tiada peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Master atau Ph.D boleh menyambung pelajaran di peringkat diploma atau sijil. Ini lebih mudah dilakukan. Tambahan lagi, sekarang ini proses pengajian lebih mudah dengan wujudnya sistem belajar secara online atau jarak jauh. Pokoknya proses pembelajaran itu mestilah berterusan sehingga ke akhir hayat. Proses pembelajaran ini akan menjadikan kita lebih menghargai kehidupan kita. Janganlah kita terus berada dalam dilema untuk menyambung pengajian lanjutan. Cekalkan hati, kuatkan semangat, perbetulkan niat dan istiqamahkan perjalanan,  Insya Allah akan dipermudahkan jalannya.









Comments

Fai said…
Wah thank you share pengalaman✨ Semoga dipermudahkan untuk yang bakal ambil juga bidang undang2 nanti

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor