PEGUAM COVID-19
Semenjak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020 sehingga sekarang, semua orang mengeluh mengenai kesusahan mereka untuk bergerak. Kerajaan telah membuat tindakan drastik untuk membuat perintah kawalan pergerakan di seluruh negara bagi menangani masalah Covid-19.
Masalah Covid-19 ini bukan sahaja mendatangkan musibah kesihatan tetapi juga mendatangkan musibah ekonomi yang teruk kepada semua sektor kehidupan. Satu-satunya sektor ekonomi yang berkembang pesat semenjak Covid-19 ini adalah sektor pembuatan sarung tangan getah. Syarikat berkaitan sarung tangan getah seperti Topglov, Hartalega, Kossan, Supermx telah mencapai zaman kegemilangan mereka. Topglove misalnya melaporkan pendapatan mereka bertambah berganda-ganda. Begitu juga saham syarikat mereka pernah mencapai harga hampir RM30 sesaham dari paras terendah sekitar RM5 sebelum ini. Pendapatan mereka untuk suku tahun sahaja sudah mencecah RM1 billion.
Namun, kemakmuran ekonomi sektor sarung tangan ini tidak melimpah kepada sektor lain. Sektor perundangan juga terjejas teruk disebabkan pelbagai faktor. Tidak kira sama ada peguam itu adalah peguam sivil yang membuat kerja litigasi sivil, jenayah atau syariah terjejas teruk. Begitu juga dengan peguam yang mengendalikan kes conveyancing yang berkaitan dengan urusan perjanjian jual beli hartanah atau pun perjanjian bank.
Seorang rakan peguam syarie mengadu bahawa beliau telah terpaksa menutup pejabatnya dan setelah berbulan-bulan menutup pejabatnya. Mujur juga ada moratorium pinjaman perumahan dan kereta yang diberikan oleh kerajaan. Namun, kini tempoh moratorium juga telah tamat. Perlanjutan tempoh moratorium juga bakal berakhir pada penghujung tahun sedangkan masalah Covid-19 tidak selesai juga.
Ada seorang rakan peguam lain juga telah terpaksa membuang semua pekerjanya dan beliau kini hanya beroperasi daripada rumahnya sahaja. Ini kerana beliau tidak mampu lagi untuk membayar gaji pekerjanya setelah hilang pendapatan disebabkan kes-kes mahkamah yang tidak berjalan sedangkan fi guaman hanya dibayar oleh pelanggan jika kes itu berjalan.
Minggu lepas seorang rakan yang berumur awal 30-an dimaklumkan telah mengalami serangan sakit jantung pada April lepas setelah terlalu tertekan dan stres dengan PKP. PKP telah membuatkan pendapatan firmanya jatuh secara mendadak. Meskipun, kerajaan memberikan bantuan untuk membayar upah pekerja namun ianya masih tidak mencukupi untuk menampung gaji pekerja serta sewa pejabat. Itu belum lagi dikira kos sara hidup beliau dan keluarganya. Mujurlah isterinya itu mempunyai pengetahuan asas dalam hal-hal kecemasan kesihatan apabila beliau tiba-tiba diserang serangan jantung pada jam 3 pagi dan sempatlah beliau dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Kini beliau sendiri tidak berani lagi ke pejabat kerana khuatir tidak mampu untuk menghadapi stres apabila melihat fail-fail di pejabat.
Pendapatan sendiri pun terjejas teruk apabila dikira untuk membuat pembayaran zakat. Pendapatan telah merosot kira-kira 40% berbanding dengan tahun sebelumnya. Mujurlah sebelum ini pernah belajar ilmu untuk menangani stres, ilmu pengurusan kewangan dan ilmu pelaburan. Sekurang-kurangnya dengan ilmu tersebut dapatlah diri ini menghadapi musibah yang tidak dijangka. Apa yang berlaku pada hari esok itu adalah dalam ilmu Allah Taala jua dan kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada-Nya.
Ada juga rakan yang telah ditimpa musibah lebih besar daripada musibah ekonomi apabila beliau telah diserang dengan kuman Covid-19. Kuman Covid-19 ini adalah kuman yang sangat seni dan intelijen. Kuman ini dapat bermutasi secara pantas dan merebak tanpa disedari. Anehnya kuman ini tidak pula bermastautin dalam badan ayam atau itik. Kuman ini memilih untuk tinggal dalam badan manusia. Manusia pula tidak menyedari kehadiran kuman ini sehinggalah pada saat akhir. Kos untuk mengesan kuman ini juga amat mahal kerana ianya tidak dapat dikesan hanya melalui mata kasar atau secara simptom sahaja. Ujian swab perlu dibuat dan proses pengesanannya hanya boleh diketahui setelah dibuat ujian makmal. Alhamdulilah kini rakan itu berada dalam proses penyembuhan meskipun paru-paru beliau telah rosak teruk akibat daripada serangan kuman ini.
Apakah tindakan kerajaan melaksanakan PKP ini perlu dipersalahkan? Sukar juga untuk mengatakan tindakan kerajaan ini salah. Kuman ini adalah jenis kuman yang baharu. Mana-mana negara belum pernah mengalami keadaan seperti ini. Justeru, ilmu pengetahuan mengenai kuman ini adalah terhad. Data-data yang ada masih belum cukup untuk membuat konklusi terhadap kuman ini. Ilmu mengenai kuman ini terus berkembang dari semasa ke semasa.
Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, “(2) Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam, atau penghukuman pesalah, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.” Ini bermakna jika ada masalah kesihatan awam, kerajaan berhak untuk menghalang pergerakan warganegara.
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pula memberikan kuasa yang luas kepada Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan untuk membuat apa-apa sekatan terhadap pergerakan mana-mana orang. Justeru, tindakan kerajaan untuk membuat sekatan pergerakan ini tidaklah mempunyai asas undang-undang yang kuat untuk dicabar dari segi kebebasan asasi warganegara.
Masalahnya sekarang ini adalah apabila kuasa yang diberikan itu terlalu luas, maka kuasa seperti itu perlu ada mekanisme semak dan imbang. Jika kuasa semak dan imbang itu tidak diberikan maka ada kemungkinan berlaku salah guna kuasa atau berlaku keadaan salah tafsiran terhadap sesuatu data yang diperolehi menyebabkan berlakunya pengeluaran arahan yang tidak tepat sehingga menyebabkan kesusahan kepada rakyat.
Apabila kerajaan negeri Selangor menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk isu Covid-19 ini yang diterajui oleh bekas Menteri Kesihatan, YB Dr Dzulkefly Ahmad dan pakar-pakar kesihatan awam yang lain sepatutnya usaha boleh dibuat oleh kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa ini. Namun, kita mendengar keluhan Jawatankuasa ini apabila mereka dinafikan hak untuk mendapatkan perkongsian data yang dikutip melalui aplikasi sistem MySejahtera. Sebelum ini perkongsian data itu telah dibuat dan beberapa langkah proaktif telah dibuat oleh Jawatankuasa ini termasuk untuk mewajibkan penggunaan pelitup muka lebih awal dan pengenalan sistem tracking ‘Selangkah’. Namun, kemungkinan tindakan proaktif ini menyebabkan ada beberapa pihak tidak senang hati sehingga menasihati kerajaan Persekutuan untuk tidak lagi berkongsi data dengan Jawatankuasa ini. Alasan yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan adalah kerana untuk mengelakkan percanggahan pentafsiran data. Alasan ini adalah alasan dangkal dan tidak wajar kerana sepatutnya perbezaan pentafsiran ini disambut gembira kerana akhirnya proses perbezaan pentafsiran ini akan membolehkan percambahan pandangan dan pendapat yang akhirnya para saintislah yang akan membuat kesimpulan yang tepat.
Rakyat sendiri pun bingung dengan pelbagai arahan yang berbeza daripada Majlis Keselamatan Negara. Ada ketika rakyat dibenarkan duduk dua orang satu meja di meja makan di dalam restoran dan ada ketika pula dibenarkan duduk dengan penuh kapasiti meja padahal jumlah pesakit Covid-19 bertambah setiap hari. Ada pula arahan yang mengatakan rakyat hanya dibenarkan naik kereta seramai dua orang sahaja dan kemudiannya dinaikkan kepada tiga orang. Setelah itu keluar pula arahan bahawa rakyat dibenarkan naik kereta mengikut jumlah kapasiti kereta itu sendiri. Ini semua arahan yang membingungkan dan tidak logik.
Rakyat melihat tindakan yang ekstrem di Parlimen apabila ada ahli Parlimen yang boleh datang ke Parlimen dalam tempoh kuarantin dengan memakai pakaian PPE sedangkan rakyat yang lain tidak pula boleh pergi ke sana dan ke sini walaupun memakai PPE. Alasan yang diberikan Speaker adalah bahawa ujian swab telah dibuat dan hasilnya adalah negatif. Jika pun benar ujian itu negatif kenapakah pula tidak sahaja dilepaskan mereka daripada kuarantin?
Bagi peguam litigasi, kesan besar daripada Covid-19 ini adalah langkah yang dibuat Mahkamah apabila pada suatu ketika telah menangguhkan kesemua kes-kes. Begitu juga dengan pendaftaran kes-kes baharu yang diletakkan pelbagai syarat dan sekatan. Ini menyukarkan peguam untuk membuat kerja guaman. Ada kalanya proses carta alir kerja Mahkamah juga tertangguh disebabkan ramai kakitangan Mahkamah yang bekerja dari rumah. Kapasiti Mahkamah yang sebelum ini 100% telah menurun sehingga 50%. Kita pun tidak faham bagaimanakah proses kerja dari rumah bagi kakitangan Mahkamah kerana tidak mungkin fail-fail Mahkamah diusung dan dibawa pulang oleh kakitangan Mahkamah. Tambahan lagi, risiko besar jika fail-fail itu dibawa pulang dan hilang atau musnah akibat kecuaian.
Justeru, SOP bekerja daripada rumah itu perlukan kajian lanjut oleh ketua jabatan. Kerja dari rumah itu hanya sesuai bagi kakitangan awam yang tidak terlibat langsung dengan orang awam seperti kerja-kerja kakitangan bahagian dasar dan polisi. Kerja-kerja seperti ini tidak memerlukan kakitangan itu untuk berada di pejabat daripada jam 8 pagi sehingga 5 petang.
Inisiatif Mahkamah untuk membuat proses digitalisasi seperti membuat sistem e-filing adalah langkah yang baik. Ini akan memudahkan urusan Mahkamah dan orang awam. Namun, ada ketikanya jika sistem dibuat tetapi pemikiran masih manual maka ianya tidak berguna juga. Apa gunanya sistem temujanji yang dibuat secara atas talian tetapi perlaksanaan tidak dipantau rapi sehinggakan menyukarkan orang awam. Peguam adalah orang tengah antara orang awam dan mahkamah. Sewajarnya sebarang SOP yang diwujudkan oleh mana-mana Mahkamah perlu dirundingi dengan badan peguam supaya perjalanan SOP itu dapat dipantau rapi dan bukannya SOP yang hanya berpihak kepada satu pihak sahaja.
Beberapa minggu lepas ramai peguam yang mengeluh mengenai kesukaran untuk membuat urusan di pejabat tanah di Selangor berikutan arahan untuk penggunaan ‘smartbox’. Namun, perlaksanaan sistem ‘smartbox’ itu mendapat kritikan daripada pengguna kerana ianya mendatangkan kesukaran dan kepayahan. Ada peguam yang terpaksa bangun jam 5.00 pagi semata-mata untuk membuat pembayaran secara online. Itu pun ada peguam yang menghadapi kesulitan kerana jumlah transaksi telah dihadkan sebanyak 300 sehari sahaja. Mujurlah tindakan Jawatankuasa Peguam Selangor berunding semula dengan pejabat tanah telah sedikit sebanyak mendatangkan hasil sehingga perubahan dapat dilaksanakan.
Soalnya sekarang bagaimanakah industri guaman ini dapat bangkit semula. Sehingga sekarang tiada siapa yang dapat menjangkakan bilakah pandemik Covid-19 ini dapat berakhir. Menteri Pertahanan sendiri pun semacam sudah berputus asa dalam berperang dengan Covid-19 dan telah mengatakan bahawa kita semua harus belajar hidup dengan kuman ini. Kuman ini akan terus berada di sekeliling kita untuk satu tempoh yang lama.
Kemungkinan panduan yang paling tepat bagi peguam untuk bangkit semula adalah berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebutkan, ‘“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Sebelum pandemik ini melanda, ramai peguam yang berada dalam keadaan sihat dan berduit tetapi tidak punya masa yang cukup. Setiap hari peguam sibuk ke Mahkamah dan apabila balik dari Mahkamah sibuk pula dengan urusan pejabat untuk menyiapkan kertas kausa. Hasil kerjanya itu telah dibayar dengan upah yang lumayan. Ada peguam yang menghabiskan masa berjam-jam pada waktu malam di pejabat dan akhirnya hal tersebut telah menyebabkan peguam itu lupa untuk hidup dengan lebih sihat.
Peguam lupa untuk bersenam dan menjaga kesihatan. Peguam juga lupa untuk memberikan tumpuan kepada keluarga dan anak-anak. Anak-anak makin terabai tanpa. Al-Quran tidak dibaca. Buku-buku untuk menambahkan ilmu baru juga tidak dibaca. Makanan pun selalu dibeli di kedai dan makanan yang dibeli pun tidak bermutu sekadar untuk melampiaskan nafsu lapar semata-mata.
Maka, tatkala pandemik ini melanda dan kini sudah masuk tempoh hampir sepuluh bulan sepatutnya peguam sudah boleh menumpukan usaha-usaha untuk meningkatkan kualiti diri dari segi kesihatan dan intelektual. Peguam mempunyai masa yang lapang agak banyak dan gunakanlah masa lapang itu untuk beriadah. Riadah pula mestilah mempunyai target tertentu seperti bertujuan untuk mengurangkan berat badan berlebihan atau menambahkan stamina. Banyak video-video di dalam youtube dan instagram yang menunjukkan cara untuk beriadah secara yang betul tanpa perlu pergi ke jimnasium.
Begitu juga dengan makanan. Peguam mungkin boleh mencuba pelbagai resepi baharu yang sihat bagi menggantikan menu di kedai. Cubalah meneroka pasar berdekatan dan membeli bahan mentah seperti ikan dan sayuran yang lebih segar. Sebenarnya memasak makanan sendiri juga boleh menjadi satu terapi diri bagi mengurangkan stres tatkala pandemik melanda. Cubalah mengadun dan membakar roti sendiri dengan menambahkan pelbagai bahan sihat seperti kismis, kekacang almond, gajus, kurma, yoghurt dan krim masam. Kurangkan mengambil diet karbohidrat nasi sebaliknya banyakkan pengambilan sayuran, jagung, bijiran, ubi dan protein sihat. Sayuran juga mempunyai pelbagai jenis yang boleh diambil. Ada sayuran yang berasaskan ubi seperti karot dan lobak putih. Ada sayuran hijau selain sawi, bayam dan kangkung yang mempunyai rasa lebih enak seperti daun keledek, brokoli, scallion, burdock root dan akar teratai. Kesemua jenis sayuran dedaun ini sangat lazat jika digoreng hanya dengan bawang putih, garam dan lada hitam. Mungkin juga boleh dimasukkan stok ayam untuk memberikan lebih perisa.
Selain itu, luangkan masa untuk meningkatkan daya intelek seperti membanyakkan pembacaan buku berbanding dengan menghabiskan masa di facebook atau di whatapps yang hanya sekadar bersifat gosip sinikal. Kini banyak buku-buku yang boleh diperolehi secara e-book dengan kos yang jauh lebih kurang daripada buku fizikal. Alat membaca kindle daripada Amazon berupaya untuk menyimpan kira-kira 4000 buah buku di dalamnya. Dengan hanya membayar RM120 setahun kita boleh meminjam buku daripada perpustakaan digital Amazon yang mempunyai kira-kira 1 juta judul. Begitu juga dengan perpustakaan digital. Misalnya Perpustakaan Negara Malaysia juga membenarkan ahlinya meminjam buku digital secara percuma. Buku ini boleh dibaca terus dengan sistem ‘elib’ yang dibekalkan oleh ‘e-sentral’. Bagi yang berminat untuk membaca majalah dan suratkhabar boleh meminjamnya melalui portal online Perpustakaan Negara atau melalui U-Pustaka. Tempoh pembacaan buku digital ini biasanya lebih cepat daripada tempoh membaca buku fizikal memandangkan kita boleh mengaksesnya daripada telefon bimbit kita sendiri yang kita boleh mengaksesnya pada setiap masa. Ada kajian yang mengatakan bahawa masyarakat di Amerika secara puratanya akan membuka telefonnya sebanyak 150 kali sehari. Bacalah pelbagai genre buku untuk menambahkan keluasan pemikiran. Usah hadkan membaca buku perundangan semata-mata kerana tugasan sebagai peguam memerlukan kita berfikir daripada pelbagai sudut.
Masa yang terluang juga jangan dilupakan untuk menambahkan ibadat bagi memperkuatkan rohani untuk menempuh cabaran kehidupan. Fizikal yang kuat adalah tidak bermakna jika mental tidak kuat. Kajian oleh Persatuan Kesihatan Mental Malaysia menyatakan bahawa pada tahun 2020 ini jumlah pesakit mental adalah yang kedua terbesar selepas pesakit jantung. Seramai 11.2% atau kira-kira 3.3 juta rakyat Malaysia mengalami sakit mental. Sehingga Mei 2020 sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima lebih daripada 8000 panggilan telefon berkaitan kesihatan mental. Jika sebelum ini kita sukar untuk mengkhatamkan Al-Quran sekali setahun sepatutnya dalam tempoh ini kita paling kurang berjaya mengkhatamkan Al-Quran setiap 2-3 bulan sekali. Al-Quran mempunyai 60 hizb. Ini bermakna setiap juzu’ mempunyai dua hizb. Sepatutnya kita usahakan untuk membaca sekurang-kurangnya satu hizb setiap hari. Jika kita berjaya menghabiskan dua hizb setiap hari bermakna kita akan khatam Al-Quran setiap bulan. Rasulullah SAW berpesan bahawa setiap huruf itu jika dibaca akan membawa kepada 10 kebajikan dan bayangkan betapa banyak kebajikan yang kita akan dapat dengan membaca hanya satu hizb setiap hari. Begitu juga dengan amalan sunat yang lain seperti solat sunat dan puasa sunat yang boleh dibuat tatkala kita tidak disibukkan dengan kerja-kerja guaman.
Akhir sekali, apa pun ujian yang kita hadapi ini perlulah kembali kepada petunjuk yang diberikan Allah Taala. Rasullah SAW menyatakan bahawa ajaib sungguh cara orang Islam berfikir. Tiada yang tidak baik bagi orang Muslim sama ada ketika beliau beroleh kesenangan atau ditimpa musibah.
Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”
(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999)
Pandemik COVID-19 ini barangkali ingatan Allah Taala kepada kita semua. Renungilah juga firman Allah Taala dalam surah An-Nahl: 112
Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.
Comments